Khamis, 31 Oktober 2019

Dua Adun antara 10 didakwa lagi berkaitan LTTE

MALAYSIAKINI


Adun Gadek G Saminathan dan Adun Seremban Jaya P Gunasekaran adalah antara sepuluh lelaki yang hari ini didakwa lagi di beberapa Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur yang berasingan berhubung kaitan mereka dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Elam atau LTTE yang kini tidak lagi beroperasi.

Pada 29 Oktober lalu, semua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen di beberapa negeri. Hari ini semua 10 lelaki itu sekali lagi dibawa ke tiga Mahkamah Sesyen berasingan, bagi menghadapi pertuduhan tambahan.

Ahli DAP, V Suresh Kumar, 43, dan peniaga B Subramaniam, 57, pula pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen menjadikan semua yang didakwa, 12 orang.

Di hadapan Hakim Rozina Ayob, Saminathan, 34, pemandu teksi V Balamurugan, 37, penghantar surat S Teeran, 38, dan peniaga besi buruk A Kalaimughilan, 28, masing-masing didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan LTTE.

Mahkamah 8
Mereka didakwa menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama berlainan. Saminathan didakwa menggunakan nama ‘Gsami Nanthan Siva', Balamurugan atas nama 'Balamuurungan Veerasamy', Teeran dengan nama 'Tamil Kannamah' dan Kalaimughilan dengan nama 'Kalai Mugilan’.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8(M) Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, di Kuala Lumpur pada 7 Okt dan 8 Okt 2019 pada masa berlainan iaitu 9 pagi, 10 pagi dan 9.30 malam.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Teeran turut didakwa atas pertuduhan memiliki item berkaitan dengan kumpulan LTTE di kawasan letak kereta B2, Mandarin Pacific Hotel, Jalan Sultan di Kuala Lumpur, pada 11.40 pagi 10 Okt lepas mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Kalaimughilan juga menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE dengan cara menggunakan aplikasi media sosial YouTube pada 10 pagi 2 Jun 2014 di lokasi sama.

Dia turut didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam satu majlis di Dewan Tan Sri Soma, Wisma Tun Sambanthan No 2, Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Attap di Kuala Lumpur pada 8 malam hingga 11. 30 malam, 17 Mac 2014.

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan.

Pada 29 Okt lepas, kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen di beberapa negeri berkaitan kumpulan LTTE.

Saminathan didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights di sini pada 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 Nov, 2018.

Di Kuala Kangsar, Perak, Balamurugan, menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE dalam majlis di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar Cawangan Sungai Siput (Utara) antara 6.30 petang sehingga 11.45 malam, 28 Dis, 2014.

Kalaimughilan, 28, dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan memiliki item-item berkaitan dengan kumpulan LTTE di sebuah rumah di Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang dan di dalam sebuah kereta di tempat sama, pada 9.30 pagi dan 12.35 tengah hari, 10 Okt lepas.

Teeran, didakwa di Segamat, Johor atas kesalahan sama di alamat 10M, Jalan Genuang, Kampung Paya Pulai kira-kira 6.30 petang, 10 Okt lepas.

Mahkamah 9

Di mahkamah sesyen berasingan, Adun Seremban Jaya P Gunasekaran dan pengutip besi buruk A Kalaimughilan dihadapkan sekali lagi ke Mahkamah Sesyen bagi menghadapi pertuduhan tambahan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Pada 29 Okt lepas, Gunasekaran, 60, didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka manakala Kalaimughilan, 28, dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang, di Kuala Lumpur.

Sementara itu ahli DAP, V Suresh Kumar, 43, dan peniaga B. Subramaniam, 57, pula pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berhubung kumpulan LTTE.

Tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh yang hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Gunasekaran, Suresh Kumar dan Subramaniam masing-masing didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama berlainan.

Gunasekaran didakwa menggunakan nama "DAP Guna Palanisamy ", Subramaniam atas nama "US Subra Subramaniam" dan Suresh Kumar dengan nama "RocketSuresh DAP".

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, di sini pada 7 Okt dan 11 Okt 2019 pada masa berlainan iaitu 2 petang, 5.30 petang dan 6 petang.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Kalaimughilan pula didakwa dengan pengetahuan telah mengedar item yang berkaitan dengan LTTE di Dewan Tan Sri Soma, Wisma Tun Sambanthan, Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Attap, di Kuala Lumpur, lebih kurang 8 malam hingga 11.30 malam, 17 Mac 2014.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Mahkamah 14

Turut dibawa ke mahkamah sesyen hari ini di hadapan Hakim Azman Ahmad, adalah lima lelaki.

Mereka adalah ketua pegawai perbadanan S Chandru, 38, juruteknik S Arivainthan, 27, penjaga stor SThanagaraj, 26, pengawal keselamatan M Pumugan, 29, dan seorang guru sekolah menengah kebangsaan di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan @ Rengasamy, 52 tahun.

Kesemua mereka didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi Facebook masing-masing atas nama ‘Ariventhan Subramaniam’, ‘Tamilarasan Sivam’, ‘Pumagan Tamilan’ ,’Chandru Suparmaniam’ dan ‘Elilan Elilan’.

Mereka masing-masing dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8(M) Cawangan Khas Bukit Aman di Kuala Lumpur pada 9 pagi dan 3 petang, antara 11 Jan dan 11 Okt lepas.

Kesemuanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Pengakuan tidak direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan kes-kes di bawah SOSMA akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.


Pengakuan mereka akan direkodkan di Mahkamah Tinggi kemudian.

Pada 29 Okt lepas, kelima-lima tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen di beberapa negeri atas pertuduhan memberi sokongan dan memiliki item berkaitan kumpulan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad manakala peguam Ramkarpal Singh, Gan Chen Kiong, Damian Yeo dan RSN Rayer mewakili tertuduh.

Muhamad Iskandar tidak menawarkan jaminan ke atas kesemua tertuduh atas alasan penahanan mereka di bawah SOSMA tidak dibenarkan jaminan.

Peguam Ramkarpal memohon supaya tertuduh dibenarkan jaminan dan turut memohon agar permohonan jaminan dirujuk ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan esok untuk keputusan permohonan jaminan. Semua tertuduh kemudiannya dibawa ke Penjara Sungai Buloh untuk ditahan.

LIHAT VIDEO DI SINI

 

BN susah nak menang, majoriti pengundi tak lagi sokong MCA

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

 

Penyokong PAS, UMNO mungkin pilih PH atau tak keluar mengundi

BANGI – Barisan Nasional (BN) membuat keputusan tidak tepat apabila meletakkan Datuk Seri Wee Jeck Seng sebagai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, 16 November depan. 

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Noor Mat Yazid berkata, walaupun Tanjung Piai pernah menjadi kerusi tradisi MCA, namun dari segi prinsip demokrasi, adalah lebih wajar meletakkan calon Melayu di kawasan yang penduduk majoritinya adalah Melayu. 

Malah, beliau turut menyifatkan keputusan Pakatan Harapan (PH) meletakkan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, untuk bertanding dalam PRK itu sebagai jauh lebih tepat daripada tindakan BN.

“Pada prinsip demokrasi yang dilihat daripada perkembangan politik semasa, keputusan BN tidak begitu tepat kerana kawasan itu majoritinya adalah Melayu. 

“Pengundi Melayu sama ada penyokong PAS atau UMNO berkemungkinan akan bergerak kepada Bersatu. Atau mungkin mereka tidak keluar mengundi, maka peratusan mengundi akan menjadi rendah,” katanya ketika dihubungi Ismawet, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Noor yang juga Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa Universiti Malaysia Sabah (UMS) percaya BN terdorong membuat keputusan sedemikian atas perkiraan Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan 2013, walhal majoriti pengundi Cina sendiri sudah tidak berpihak kepada MCA.

“Pada PRU14, lebih 90 peratus orang Cina telah memihak kepada PH terutamanya DAP. Ini berbeza dengan PRU sebelumnya di mana orang Cina masih memberikan undi kepada BN. Ia akan menjadi wajar untuk meletakkan calon MCA di Tanjung Piai jika senario politik kini masih sama seperti waktu itu.

“Tapi kini, untuk MCA menang mungkin sukar. Pengundi Melayu, pengundi Cina tidak akan berikan sokongan kepada MCA. Kalaulah menang pun majoriti sangat kecil.

“Ahli-ahli PAS juga, walaupun di pusat akan beri sokongan kepada MCA, tidak semua pengundi PAS akan berpihak kepada MCA kerana telah banyak isu berkaitan dengan Melayu dan Islam seperti isu RUU355 dan sebagainya telah mengguris hati mereka,” katanya.

Pada PRU-14, Jeck Seng tewas kepada Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik dengan majoriti 524 undi.

Beliau bagaimanapun sekali lagi diumumkan akan mewakili BN untuk PRK bulan depan. 
Kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan 53,528 pengundi berdaftar pada PRU-14, memiliki komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus Cina, 1.01 peratus India dan lain-lain 0.55 peratus.


Kampung Baru perlu dikekalkan warisan turun-temurun Melayu

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

 

Jadikan pembangunan Kampung Gelam di Singapura sebagai contoh


BANGI – Kerajaan disyor membangunkan tanah Kampung Baru dengan cara pembangunan lebih ‘mesra’ kepada Melayu, selaras dengan objektif asal tanah itu yang dikurniakan Sultan Selangor ketika itu, Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa (Sultan Sulaiman).

Justeru, Pensyarah Jabatan Pengurusan Hartanah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak, Dr Mohd Hasrol Haffiz Aliasak meminta kerajaan mengekalkan Kampung Baru sebagai warisan turun-temurun Melayu serta memastikan kelangsungan survival dan keberadaan masyarakat Melayu selaku komuniti di Kuala Lumpur.

“Inisiatif ini secara tidak langsung dapat menarik perhatian pelancong dalam mengenali kebudayaan dan adat masyarakat Melayu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau turut memberi contoh di Singapura, apabila kerajaannya mengambil alih kawasan penempatan Melayu iaitu Kampung Gelam di tengah-tengah Singapura pada tahun 2002.

Beliau berkata, tanah itu adalah milik keturunan bekas Sultan Johor-Riau yang diturunkan daripada takhta pada tahun 1819 oleh Sir Stamford Raffles.

Bahkan, tanah itu sempat menjadi polemik tidak hanya dalam kalangan masyarakat Melayu di Singapura, tetapi juga menarik perhatian masyarakat Melayu di Malaysia. 

“Namun begitu, tanah perkampungan tersebut telah diambil oleh Kerajaan Singapura dan dibangunkan dengan Pusat Kebudayaan Melayu Singapura,” katanya.

Tanah Kampung Baru yang dahulunya berstatus tanah rizab pertanian Melayu mahu dibeli oleh pihak kerajaan untuk tujuan pembangunan.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mengumumkan kadar baharu bagi pembelian tanah di Kampung Baru dengan nilai RM1,000 satu kaki persegi, yang mana RM850 akan dibayar berdasarkan pilihan pulangan yang dipilih pemilik tanah sama ada dalam bentuk tunai; tunai dan aset; aset sahaja; atau saham.

Sementara baki RM150 lagi, beliau berkata, pulangannya adalah berbentuk pegangan saham dalam Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang akan ditubuhkan kelak.

Khalid juga berkata, kira-kira 90 peratus pemilik tanah bersetuju dengan tawaran RM850 bagi setiap satu kaki persegi oleh kerajaan.


Guan Eng penipu bersiri

ainulillia

 

‘Dulu semua salah Najib, kini salah PM ke-7, baik punya tai-chi’

BANGI – Datuk Seri Najib Razak hari ini menempelak kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah menjual sebarang aset negara sejak memegang tampuk pemerintahan.

Melabelkan pemimpin parti tamak haloba, DAP itu sebagai penipu bersiri, Najib yang kini berdepan tuduhan mahkamah menegaskan, sudah banyak aset kerajaan yang dilupuskan di bawah pemerintahan PH.

“Dia kata tiada sebarang penjualan tanah milik kerajaan sejak PH menang. Dia seorang penipu bersiri.

“Hospital Prince Court yang dijual dengan harga RM1.02 bilion itu dibina di atas awan ke? Penjualan sebahagian dari Bandar Malaysia dengan harga RM7.41 bilion bulan April 2019 itu tak melibatkan tanah?

“Penjualan pembangunan DUO (RM4.7 bilion) dan Hotel Andaz (RM1.45 bilion) di Singapura itu tak libatkan tanah?,” soalnya.

Malah, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan tidak berpuas hati apabila Guan Eng menyatakan bahawa penjualan aset adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri dan bukan kementeriannya.

“Guan Eng kata cara untuk mengurangkan hutang negara ialah dengan menjual aset negara. Dia kata jual aset ini tanggungjawab PM ke-7.

“Dulu semua salah Najib. Kini semua salah PM ke-7. Baik punya tai-chi,” katanya.

Guan Eng dalam persidangan Dewan Rakyat semalam berkata, cara-cara untuk mengurangkan hutang selain mencapai belanjawan berlebihan atau surplus. 

Katanya, ia merangkumi proses pelupusan harta, yang menurutnya di bawah Jabatan Perdana Menteri dan bukan Kementerian Kewangan.

Beliau juga berkata, sehingga kini tidak ada tanah yang dilupuskan oleh pihak kerajaan PH sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada 9 Mei tahun lepas.


UMNO silap besar letak calon ‘recycle’ ultra kiasu

siti hafidah 

 

Politik bodoh akan berulang, yang rugi tentu orang Melayu Islam

BANGI– “Sudah tiada calon lain nak bertanding? Jika calon MCA sekali pun carilah individu seperti mendiang Prof Khoo Kay Kim, Prof Teo Kok Siong.

“Bukan calon ‘recycle’ yang kita sudah tahu pendirian dia terhadap Melayu dan Islam,” luah pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Beliau mengakui kecewa tindakan Barisan Nasional (BN) memilih calon daripada parti perkauman MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng bagi mewakili gabungan itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang akan berlangsung pada 16 November depan.

Difahamkan, pemilihan Jeck Seng sebagai calon bagi PRK berkenaan adalah keputusan sepakat yang telah dicapai bersama seluruh kepimpinan BN.

Ridhuan Tee menyifatkan, UMNO melakukan kesilapan besar dengan meletakkan calon ‘recycle’ yang sudah terkenal dengan sifat ultra kiasu itu.

“Kecewa yang teramat apabila mendapat berita UMNO memilih MCA untuk bertanding di Tanjung Piai, mungkin kerana telah diugut MCA, akan keluar BN sehingga membawa kepada terbubarnya BN.

“Hina sangat UMNO jika termakan dengan ugutan ini. Jika benarlah dengan keluarnya MCA akan terbubar BN, semua Ahli Parlimen BN akan menjadi tidak berparti atau ahli bebas, reda dan hadapilah dengan penuh tabah.

“Jika tidak, sampai PRU15 nanti, pasti politik ‘bodoh’ akan berulang dan menjadi budaya. Budaya yang membodohkan kita sebagai orang Islam. Yang rugi sudah tentu bukan MCA, tetapi adalah parti orang Melayu seperti UMNO dan PAS,” katanya.

Ridhuan Tee bagaimanapun mengakui tidak semua ahli MCA bersikap ultra kiasu, namun malangnya mereka yang baik tidak menjadi pemimpin utama.

“Rata-rata yang memimpin adalah ultra kiasu. Mereka ini jadi duri dalam daging, gunting dalam lipatan. Tidak mahu patuh kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial. Terus pertikaikan, ugut dan desak. Sampai bila kita mahu menjadi pengemis kepada MCA?

“Saya bukan rasis. Saya tetap Cina sampai bila-bila. Semua Cina itu saudara saya. Lebih-lebih lagi ahli keluarga saya. Namun, saya masih boleh mengenali mana Cina baik, mana yang ultra kiasu.

“Cina baik adalah Cina seperti mendiang Profesor Khoo Kay Kim, Prof Teo Kok Siong dan lain-lain lagi. Manakala, Cina ultra kiasu adalah Cina yang berada dalam parti ultra kiasu seperti MCA, Gerakan dan DAP,” katanya.

Mengulas lanjut, Ridhuan Tee berkata, sekiranya parti berkenaan tidak ultra kiasu, sudah tentu mereka akan bersama menjunjung perkara yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial yang telah menghasilkan Perlembagaan negara.

“Contoh-contoh yang biasa kita dengar seperti kedudukan Islam, bahasa Melayu, hak istimewa Melayu dan Bumiputera, Raja-Raja Melayu dan sebagainya,” katanya.


Adun DAP mahu dibebaskan walaupun berdepan dakwaan keganasan, kata peguam

Suspek dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini 
untuk dikenakan tuduhan tambahan.

KUALA LUMPUR: Peguam yang mewakili lima lelaki, termasuk dua Adun DAP yang berdepan dakwaan berkaitan keganasan pada Selasa lalu berkata, mereka tidak menarik balik permohonan habeas corpus yang difailkan minggu lalu.

“Saya tidak fikir perkara itu sudah menjadi akademik, walaupun kelima-limanya sudah didakwa,” kata Ramkarpal Singh kepada FMT ketika ditanya jika anak guamnya akan menarik balik permohonan itu kerana mereka sudah didakwa minggu ini.

Permohonan itu yang dijadualkan didengar di depan Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamad Shariff Abu Samah, hari ini ditunda ke 5 Nov nanti.

Adun Seremban Jaya, M Gunasekaren, Adun Gadek, G Saminathan, S Chandru, V Suresh Kumar dan S Arivainthan memfailkan permohonan itu pada 21 Okt lalu susulan penahanan mereka pada 10 dan 12 Okt lalu.

Mereka memohon dibebaskan daripada penahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) susulan dakwaan mempunyai hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang sudah terkubur.

Dalam permohonan secara berasingan itu, lima lelaki terbabit menamakan pegawai penyiasat masing-masing, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay, ketua polis negara, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.

Mereka berkata, penahanan itu menyalahi undang-undang kerana tiada pematuhan ketat ke atas Sosma dan bertentangan kebebasan asasi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, Gunasekaran, Saminathan, Suresh dan B Subramaniam didakwa memberi sokongan kepada LTTE melalui ucapan atau media sosial sejak 2014 hingga bulan ini.

Lapan lagi – A Kalaimughilan, Chandru, V Balamurugan, Arivainthan, R Sundram, S Thangaraj, M Pumugan dan S Teran – berdepan satu pertuduhan tamabahn memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas itu.

Semua kecuali Subramaniam dan Sureshkumar didakwa dengan pertuduhan sama di lima negeri pada Selasa lalu. Mereka berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun atau seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Kabinet setuju larang tanda ‘bebas minyak sawit’ pada produk

Saifuddin Nasution Ismai.
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Kementerian Industri Utama mahu mengadakan suatu peraturan melarang tanda ‘bebas minyak sawit’, ‘tidak mengandungi minyak sawit’ atau seperti itu pada sebarang jenis produk.

Menteri Saifuddin Nasution Ismail berkata cadangan itu selaras hasrat kerajaan menyokong industri minyak sawit, dan ia sudah dibawa dan dipersetujui Kabinet pada 18 Okt lalu.

“Ia bagi memastikan tidak berlaku lagi penjualan produk-produk yang mempunyai penandaan seperti “bebas minyak kelapa sawit”, “tidak mengandungi minyak kelapa sawit”, “palm oil free”, “no palm oil” atau ungkapan, petunjuk terhadap minyak sawit,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Saifuddin berkata pemeriksaan KPDNHEP di 2,609 premis seluruh negara menemui 12 produk yang mempunyai tanda seperti itu.

“KPDNHEP sudah menasihatkan peniaga untuk tidak mempamerkan produk-produk tersebut untuk jualan,” katanya.

Beliau berkata kementerian akan meneliti secara teliti apakah peraturan yang akan ditetapkan secepat mungkin.

Menteri Industri Utama Teresa Kok pula berharap langkah yang akan diputuskan kelak akan dapat membendung perbuatan memburukkan reputasi minyak sawit Malaysia.

“Kita pengeluar kedua terbesar minyak sawit di dunia. Kalau ada sesuatu produk itu tidak ada penggunaan minyak sawit, tidak perlulah tulis ‘bebas minyak sawit’,” katanya.

“Produk yang kita dapati di pasaraya, seperti mentega kacang memang tidak ada minyak sawit…ini hanyalah satu gimik pemasaran yang cuba keruhkan lagi kritikan terhadap minyak sawit.”

Beliau berkata industri sawit sering dikaitkan sebagai penyumbang utama penyahhutanan dan kehilangan biodiversiti tetapi tanggapan dan dakwaan itu tidak benar, dan gambaran negatif terhadap produk berasaskan sawit “tidak disokong fakta saintifik tepat”.

Umno tak tanding PRK Tg Piai kerana takut kalah, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad.

PONTIAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir Mohamad berkata, Umno tidak meletakkan calon untuk mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai kerana takut kalah.

“Umno takut sebab saya tahu kalau dia letak, akan kalah. Kita yakin kita boleh menang walaupun dia letak sesiapa. Kalau letak Umno lebih baik, tapi dia letak MCA (sebagai wakil BN),” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bin Chong, di sini sempena lawatan kerja sehari ke Johor hari ini.

Pengerusi PPBM itu mengulas tindakan BN memilih calon MCA, iaitu bekas penyandang kerusi itu selama dua penggal, Wee Jeck Seng, 55, bukannya calon Umno seperti yang disebut-sebut sebelum ini.

Wee pernah menjadi ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal pada 2008 hingga 2018. Beliau sekali lagi bertanding bagi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun lepas, namun tewas kepada calon PH, Md Farid Md Rafiq.

Isnin lalu, Ketua PPBM Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, diumumkan sebagai calon PH untuk PRK tersebut.

Berasal dari Pontian, Karmaine merupakan anak seorang tokoh agama tempatan dan pernah menjadi imam Masjid Al-Muttaqin di Johor Bahru serta pengerusi Biro Agama PPBM Johor.

Pada PRU14, Karmaine bertanding di Parlimen Pontian tetapi tewas kepada calon BN, Ahmad Maslan dengan hanya majoriti 833 undi.

Terdahulu dalam ucapannya, Mahathir sempat menyentuh mengenai Karmaine yang diyakini akan memberi kemenangan dan mengekalkan kerusi tersebut buat PH.

“Saya percaya, calon ini boleh menunaikan janji-janjinya. Beliau dikenali di kawasan ini dan akan mendapat sokongan daripada kerajaan (untuk menunaikan janji). Saya berasa gembira berada di sini. Kita akan berusaha untuk memastikan beliau akan berjaya. Itulah harapan kita,” katanya disambut tepukan gemuruh.

Mahathir turut berpesan hanya calon daripada kerajaan sahaja yang mampu menunaikan janji, berbanding daripada kem pembangkang yang hanya pandai menabur janji serta tidak boleh melaksanakannya.

Tegasnya, PRK ini bukan medan menukar kerajaan dan kerana itu janji-janji pembangkang tidak boleh ditunaikan, berikutan tiada mandat dan kuasa berbanding calon kerajaan.

“Siapa menang, kalah, kerajaan tetap sama iaitu PH. Kenapa saya cakap tiada perubahan? Kerana pembangkang hanya akan berjanji (ketika PRK) tetapi apabila menang, mereka tidak boleh menunaikan janji kerana mereka bukan kerajaan.

“Tetapi jika PH menang, kita boleh tunaikan janji. Niat kita untuk bantu dan kayakan rakyat khasnya di kawasan luar bandar. Ada perbezaan dari segi kampung, negeri, bangsa dan kaum…kekayaan ini berbeza-beza dan boleh timbul perasaan marah dengki. Tetapi jika kita boleh kurangkan jarak pendapatan, soal kelainan dan perbezaan ini tidak akan menjadi masalah besar antara satu sama lain,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Nov sebagai hari penamaan calon dan 16 Nov sebagai hari mengundi bagi pilihan raya kecil Parlimen itu.

PRK itu diadakan selepas Farid, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lalu.

Pada PRU14, Farid memenangi kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan Wee (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962 undi).

PAS cuma sediakan calon 'standby' di Tanjung Piai

MALAYSIAKINI
 


PRK TG PIAI | Tidak ada calon simpanan, cuma calon standby - itu ditegaskan PAS menjelang hari penamaan calon yang dijadual diadakan pada Sabtu ini.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu tidak akan meletakkan calon untuk merebut kerusi yang kosong ekoran kematian penyandangnya, Allahyarham Md Farid Md Rafik pada 21 Sept lalu.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim mengakui PAS menyediakan calon yang akan dikemukakan jika berlaku "apa-apa kes" pada calon MCA yang diputuskan mewakili pembangkang nanti.

“Tidak timbul calon simpanan. PAS sudah menjelaskan bahawa tidak akan meletakkan calon dan calon simpanan tiada istilah dalam pilihan raya.

“Cuma yang beraku ialah kita standby sekiranya berlaku apa-apa kes kepada calon BN,” katanya seperti dipetik harakahdaily hari ini.

Semalam media melaporkan, PAS Johor diarah menyediakan calon sebagai persediaan bagi menghadapi kemungkinan wakil pembangkang bermasalah untuk bertanding menghadapi PH.




Memetik kenyataan sumber yang tidak didedahkan, BH Online melaporkan, PAS berbuat demikian sebagai persediaan jika berlaku perkara di luar jangkaan seperti pencalonan pembangkang ditolak.

Kata sumber itu, PAS diminta kepemimpinan parti mengambil "langkah berjaga-jaga".

Tambahnya PAS sudah mengenal pasti anggota parti itu yang dirasakan layak serta berwibawa untuk dicalonkan bagi merebut tempat kerusi parlimen Tanjung Piai jika keadaan memerlukan.
BN malam tadi mengumumkan Wee Jeck Seng sebagai pertaruhan mereka merampas kembali kerusi Tanjung Piai yang sebelum ini dimenangi PH.

Untuk rekod, lebih 50 peratus daripada pengundi di kawasan parlimen Tanjung Piai adalah Melayu.
PAS sudah menyatakan pendirian rasmi mereka untuk menyokong Wee dalam PRK kali ini.

Tuan Ibrahim berkata PAS menerima Wee sebagai calon mewakili pembangkang dan menghormati keputusan diambil BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 16 Nov, manakala pengundian awal dijalankan pada empat hari sebelum itu.


Tajuddin kena gantung lagi


PARLIMEN | Dewan Rakyat gamat lagi hari ini dengan pertengkaran di antara wakil kerajaan dan pembangkang ketika Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020.

Situasi itu menyebabkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon, menggantung Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) selama dua hari.

Baru sahaja memberikan salam, Khalid terus dicelah oleh Shahidan Kassim (BN-Arau) yang meminta perbahasan itu diganti oleh timbalan menteri, Dr Shahruddin Md Salleh.

“Dia tak layak, dia menteri broker. Kalau dia jawab, kami panas. Dia jual Kampung Baru,” celah Shahidan.

“Kalau panas keluarlah,” balas Khalid.

Khalid sebelum ini mengumumkan kerajaan menawarkan harga RM850 sekaki persegi untuk pengambilalihan tanah di Kampung Baru sebelum ia dibangunkan.

Pada 25 Okt lalu Kementerian Wilayah Persekutuan membuat tawaran baru iaitu RM1,000 sekaki persegi, dengan RM150 daripadanya ditawarkan dalam bentuk pegangan saham syarikat tujuan khas (PSV).

Diberi amaran beberapa kali
 
Sesi perbahasan kemudian terganggu apabila dewan gamat dengan pertikaman lidah sebelum reda seketika dan Khalid menyambung ucapan penggulungannya.

“Pemimpin-pemimpin parti Melayu, yang 60 tahun pegang pemerintahan, dia bangga, dia kekalkan Kampung Baru dalam keadaan mundur …” kata Khalid.

Ketika itulah, Tajuddin dan Noh Omar (BN-Tanjung Karang) bangkit meluahkan kemarahan.

“Memang kita bangga ini tempat Melayu. You tak bangga ke? Ini Melayu punya. Melayu punya you tak bangga? Bodoh!” laung Tajuddin.
Selepas itu, dewan menjadi gamat lagi dengan berbalas jeritan antara wakil rakyat pembangkang dan kerajaan sehingga persidangan tertangguh beberapa ketika.

Situasi itu berlanjutan biarpun timbalan speaker memberi amaran beberapa kali agar wakil rakyat bertenang, sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk menggantung Tajuddin.

“Bentara sila jalankan tugas, saya minta Pasir Salak keluar, dua hari,” katanya.

Dewan kembali gamat selepas pengumuman tersebut dibuat, malah Tajuddin juga enggan berganjak dari tempat duduknya.

“Saya tetap dengan keputusan saya tapi Pasir Salak boleh duduk, saya minta menteri terus bercakap, tapi saya dah buat keputusan untuk Pasir Salak (digantung) untuk dua hari,” katanya.

Hanya setelah beberapa ketika, barulah Khalid dapat menyambung ucapannya, sementara Tajuddin terus dibiarkan duduk di dalam dewan.

Namun, keadaan tetap kembali gamat beberapa kali di sepanjang masa Khalid meyampaikan ucapannya.

LIHAT VIDEO DI SINI


Misteri kelapa sawit, pencemaran dan Belanjawan 2020


ULASAN | Mari kita renungkan kembali. Kita telah melalui dua kejadian pencemaran di Pasir Gudang, diikuti beberapa pencemaran lain menyebabkan penutupan loji rawatan air, serta jerebu baru-baru ini.

Isu-isu yang berbeza ini mempunyai persamaan yang ketara. Apabila insiden tersebut berakhir, kita cenderung untuk melupakannya sehingga kejadian itu berulang lagi.

Tiada penyelesaian konkrit terhasil daripadanya, kecuali omong kosong daripada pihak berwajib.
Insiden jerebu saja berlaku selama lebih dari dua dekad. Belanjawan 2020 baru-baru ini
mengumumkan bahawa RM27 juta diperuntukkan untuk menguruskan kempen antiminyak kelapa sawit dan RM30 juta lagi kepada Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kimia untuk menangani masalah pencemaran.

Adakah kita akan mendapat nilai untuk wang yang dibelanjakan itu? Sebagai pembuka tirai, apa yang telah berlaku kepada "laporan penuh" mengenai pencemaran Sg Kim Kim dan Pasir Gudang?

Lihatlah bagaimana keadaan jerebu menjadikan Malaysia kalah. Ia akan bermula dengan penafian diikuti dengan kenyataan menyesali insiden tersebut.

Apabila tekanan mula memuncak di Malaysia, kita akan dapat jawapan bahawa masalah itu hanya beberapa bulan tetapi mereka (Indonesia) memberi udara bersih untuk bernafas untuk bulan-bulan seterusnya.

Sekiranya tekanan mulai meletus, Indonesia akan menamakan beberapa syarikat Malaysia yang diikuti sketsa 'wayang kulit' yang pendek. Akhirnya, kita diserang penyakit pelupa sehingga isu ini berulang kembali.

Tiada tindakan hingga kini

Ini adalah versi ringkas tentang bagaimana jerebu berlaku di Malaysia.

Tambahan lagi, bolehkah undang-undang jerebu rentas sempadan membantu? Sepatutnya, menteri yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar harus melihat kepada gambaran makro, dan tidak mengikuti Singapura untuk membuat undang-undang mengenai jerebu rentas sempadan saja.

Malaysia harus menggubal undang-undang pencemaran rentas sempadan, dan jerebu adalah salah satu elemen yang boleh dimasukkan. Persetujuan undang-undang kerjasama antara negara jiran kita - Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina - harus mengikutinya.

Gunakan kerjasama sedemikian untuk terus mendapatkan Asean untuk mengguna pakai Perjanjian Kerjasama Pencemaran Rentas Sempadan yang meliputi semua jenis pencemaran.

Lihat saja keadaan di Pasir Gudang. Ia sangat mudah untuk menghubungkan titik-titik dan pautan ke syarikat-syarikat berpotensi di sebalik kejadian pencemaran. Tetapi, tiada tindakan diambil terhadapnya sehingga kini.
Apa yang akan kita lakukan jika bahan kimia berbahaya menyeberangi sempadan untuk mencemarkan - dan mungkin menyebabkan kematian di negara jiran - atau sebaliknya? Oleh itu, Asean perlu matang dan memberikan perlindungan lebih baik untuk rakyatnya berbanding dengan hanya mengejar jerebu sahaja.

Sebenarnya mudah untuk menangani jerebu. Inilah yang perlu dilakukan oleh kerajaan Malaysia:
1. Dapatkan senarai semua syarikat yang didapati bersalah oleh Indonesia sejak 1990-an.
2. Senaraikan semua pesalah, manakala pesalah berulang perlu disenaraikan dalam kategori khas untuk pengetahuan umum.

3. Kerajaan mesti mengeluarkan larangan ke atas produk yang berkaitan dengan syarikat tersebut (terutamanya pesalah berulang) dan ini adalah hukuman ekonomi yang lebih efektif. Anda perlu 'memukul' mereka di tempat paling menyakitkan melalui kaedah "namakan dan malukan".

4. Wujudkan tekanan yang sama di peringkat antarabangsa untuk mengharamkan syarikat-syarikat dan para pelabur mereka. Sekarang sudahpun wujud kumpulan untuk menguar-uarkan pesalah-pesalah terbabit secara percuma.

5. Mewujudkan model pencemaran tiga dimensi dan indeks pencemaran yang lebih baik untuk lokasi-lokasi yang mempunyai kepadatan tinggi seperti petempatan bertingkat. Satu analisis titik tunggal tidak mewakili penduduk yang tinggal di bangunan-bangunan tinggi. Ini untuk memastikan pemantauan pencemaran dan pengurusan kecemasan yang lebih baik.

6. Kerajaan juga harus menerbitkan laporan sumber tahunan yang terbazir untuk menguruskan jerebu. Kerugian ini mesti dikira dari tahun jerebu bermula yang ditambah dengan kadar deposit tetap lazim digunakan setiap tahun untuk mengumpul kerugian sehingga 2019. Ini termasuk anggaran perbelanjaan perubatan awam dan swasta, kakitangan kerajaan yang ditugaskan untuk mengendalikan keadaan jerebu, gangguan operasi orang awam dan sektor swasta disebabkan jerebu dan bidang berkaitan yang lain. Akhirnya, inilah beban hutang 'pesalah' kepada rakyat Malaysia.

7. Gunakan platform Asean untuk menuntut kerugian yang dialami oleh Malaysia selama ini.

Sebaliknya, kempen antiminyak kelapa sawit dapat dikendalikan secara profesional dan cepat.

Setelah Malaysia dan Asean mengeluarkan syarikat-syarikat yang bersalah, kedudukan industri kelapa sawit akan menjadi lebih kukuh.

Jika industri kelapa sawit telah dituduh secara salah, fakta perlu diperbetulkan dalam kes mahkamah dan gunakan semakan kehakiman atau proses-proses lain untuk membatalkan larangan Kesatuan Eropah (EU) mengenai penggunaan minyak kelapa sawit untuk biofuel.
Sekiranya EU dikalahkan, keputusan mahkamah ini akan menjadi iklan percuma di seluruh dunia dan industri kelapa sawit boleh membersihkan namanya secara bergaya!

Mengapa perlu menggunakan wang pembayar cukai? Di Malaysia kita menggunakan minak kelapa sawit untuk hampir semua aktiviti. Kenapa berkempen di sini?

Industri ini harus membiayai sebarang aktiviti untuk melindungi kepentingan mereka.

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer) tidak pernah menjangkakan perlindungan kebajikan alam sekitar dan orang ramai akan jatuh ke tahap yang sangat teruk.

Lebih menyakitkan hati lagi apabila melihat lebih banyak tumpuan diberikan kepada publisiti murahan.

Jadi, sebelum mana-mana peruntukan terbazir, bolehkah menteri-menteri yang menjaga kelapa sawit dan alam sekitar melaksanakan cadangan-cadangan yang diberikan sebelum penghujung 2019?

Jika kedua-dua anda gagal, sila lakukan perbuatan yang mulia dengan menarik diri dari portfolio masing-masing dan memberi laluan kepada mereka yang boleh menggenggam bara api sampai jadi arang.


PIARAPAKARAN S ialah presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer).

Selasa, 29 Oktober 2019

Dua ADUN, ketua pegawai perbadanan didakwa beri sokongan kepada LTTE

THE MALAYSIAN TIMES



MELAKA: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang ketua pegawai perbadanan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, pada November tahun lepas.

Tertuduh, G. Saminathan, 34; P. Gunasekaran, 60, dan S. Chandru, 38 didakwa melakukan kesalahan itu dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights di sini pada 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 Nov 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Saminathan turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan memiliki item yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE di dalam sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy S9+ warna biru gelap di Pejabat Exco Perpaduan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Ketua Menteri, Kompleks Seri Negeri di sini pada 10.25 pagi, 10 Okt lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan. —Bernama 

.PAS tolak jawatan exco Perlis

 
 

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini mendedahkan parti itu ada menerima tawaran daripada kerajaan negeri Perlis bagi bagi jawatan exco.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata PAS mengambil keputusan untuk tidak menerima tawaran tersebut.

“Ada sesetengah negeri macam kerajaan negeri Perlis dia ada kekosongan, dia (Perlis) tawarkan kita. Kita hormati hak kerajaan Perlis dan PAS buat keputusan untuk tidak bersama.

“Tetapi kita menyokong semua polisi kerajaan Perlis dan Pahang, sepertimana mereka menyokong polisi kita di Terengganu dan Kelantan," katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cabaran Pengerusi Amanah Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad agar PAS menerima sekurang-kurangnya dua pemimpin Umno dalam kerajaan negeri untuk membuktikan keikhlasan mereka.

Menurut Raja Kamarul, Pakatan Harapan (PH) sebelum ini membenarkan parti yang memiliki kerusi minoriti untuk memegang jawatan sebagai ketua menteri.

Justeru katanya tiada sebab PAS tidak boleh melantik dua ahli Umno sebagai exco negeri tanpa melepaskan kerusi menteri besar.

Muafakat PAS-Umno masih baik

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata permuafakatan kedua-dua parti masih berjalan dengan baik di Kelantan dan Terengganu.

“Bagi kita dalam keputusan PRU14, rakyat dah beri mandat dan kita setuju Umno dan PAS jadi satu pasukan, (Umno) bukan pembangkang walau tak terlibat secara langsung,” kata anggota parlimen Kubang Kerian itu.

Tambahnya, meskipun pemimpin Umno tidak terlibat secara langsung dalam pentadbiran kerajaan namun mereka terlibat dalam beberapa agensi di bawah kerajaan negeri.

“Hingga setakat ini, dari segi kerajaan, mereka tidak masuk secara terus tapi mereka terlibat dalam beberapa agensi bawah kerajaan negeri.

“Buat masa ini penglibatan mereka sangat baik,” katanya.


Dia ahli PKR tapi Anwar tak bersuara pun - isteri OKT

 
Isteri A Kalaimughilan tidak dapat menahan sebak selepas suaminya diheret ke mahkamah atas dakwaan memiliki video yang berkait dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

M Tamilmalar juga mempersoalkan kenapa PKR, parti yang disertai suaminya, tidak bersuara dalam kes itu.

"Ini bukan kes Sosma tahu? Kenapa mereka mendakwa suami saya di bawah Sosma? Kes ini bukan Sosma.
 
 
"Tapi dia kata macam Sosma, suami saya macam pengganas. Sebelum ini dia pun ada (sertai) PKR. Bapa dia pun ada dalam PKR.

“Dia ada buat banyak acara untuk PKR.

“Tapi sekarang ini, Anwar (Ibrahim) dan siapa pun tak bersuara untuk suami saya," katanya sambil menahan tangis kepada pemberita di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini.

Semakan dengan daftar keahlian PKR menunjukkan dia merupakan anggota cabang Kepong sejak 2010.

Mahkamah tidak membenarkan permohonan ikat jamin Kalaimughilan, menyebabkan dia akan kekal dalam tahanan polis sehingga sebutan kes 16 Disember depan.
Anwar Ibrahim (kanan)
Kalaimughilan sebelum ini ditahan tanpa bicara selama 19 hari bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sementara itu, Tamilmalar berkata suaminya bukan pengganas.

"Tolong bantu suami saya!

"Suami saya bukan pengganas. Tolong bantu keluarga kami," katanya lagi sambil menangis.

Orang kena tuduh (OKT), Kalaimughilan, 28, bekerja sebagai pengutip besi buruk.

Dia hari ini didakwa dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana barangan berkenaan, jika sabit kesalahan.

Semakan tolak ikat jamin

Di mahkamah hari ini, peguam yang mewakili Kalaimughilan, V Yoges memohon ikat jamin di hadapan hakim Maziah Joary Mohd Tajudin namun ditolak.

Sukarelawan biro undang-undang MIC juga memohon agar kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi namun sekali lagi ditolak pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman berkata kes tersebut hanya boleh dipertimbang untuk dipindahkan sekiranya terdapat surat keizinan daripada pihak pendakwaan.

Memandangkan pihak pendakwaan masih menunggu “beberapa laporan”, Rohaiza berkata mereka tidak boleh untuk memberi izin kepada permohonan tersebut.

Yoges kemudiannya menegur pihak pendakwaan kerana mendakwa anak guamnya walaupun masih terdapat beberapa laporan yang belum lengkap.
Kalaimughilan ketika hadir di mahkamah hari ini
Dia juga menggelar penyiasatan itu sebagai “separuh masak”.

Bercakap kepada media selepas itu, Yoges memberitahu dia mempertimbangkan untuk menghantar semakan bagi penolakan ikat jamin tersebut.

Ini kerana katanya hukuman maksimum untuk kesalahan itu tidak terlalu berat jika dibandingkan dengan kesalahan lain.

Tambahan, katanya Kalaimughilan bukanlah seorang yang boleh melarikan diri dan tidak mampu untuk mengusik barang bukti memandangkan pihak polis sudahpun merampas kesemua barangan yang dimiliki untuk siasatan itu.

Yoges turut menjelaskan anak guamnya tidak pernah melakukan sebarang tindakan berkaitan pengganas walaupun memiliki bahan berkaitan LTTE, yang disyakinya sebagai “video” dari 2014.

"Mengikut undang-undang, ikat jamin sepatutnya dipertimbangkan dan diberikan [...] kerana tiada apa yang dilakukan dengan video tersebut.

"[...] saya faham ia adalah Sosma dan keselamatan negara, tetapi mahkamah sepatutnya melihat berapa jauh (video) itu mengancam keselamatan negara.

"Apa yang telah dilakukan dengan video itu? Apakah impak video itu?" soalnya lagi.

 Penangkapan Kalaimughilan pada 10 Okt lalu adalah sebahagian daripada penangkapan besar-besaran bagi membanteras kegiatan berkait LTTE yang menyaksikan lebih 12 individu ditahan.

Dua ahli dewan undangan negeri PKR, P Gunasekaran (Seremban Jaya) dan G Saminathan (Gadek) juga turut ditahan dalam operasi tersebut.

Kedua-mereka dan Kalaimughilan adalah antara 10 individu yang didakwa hari ini.


Surat tunjuk sebab sudah beri, tunggu respon Ronnie

Muhammad Azizul Osman
MGF29102019_SIDANG-PARLIMEN_43
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Chong Chieng Jen bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL
 

KUALA LUMPUR – DAP telah mengemukakan surat tunjuk sebab kepada Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu berhubung kenyataannya bahawa Pakatan Harapan (PH) boleh membentuk kerajaan tanpa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Displin DAP, Chong Chieng Jen berkata, parti itu kini sedang menunggu maklum balas daripada Ronnie berhubung surat tunjuk sebab yang telah diberikan kepadanya.

“Surat tunjuk sebab sudah diberikan kepada Ronnie, dan DAP sedang menunggu surat balas daripada beliau.

“Prosesnya adalah mengemukakan surat tunjuk sebab, bila dia sudah balas kita akan buat keputusan,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Stampin ditanya mengenai perkembangan terbaharu DAP mengenai isu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu yang mempersoalkan kesepakatan Pakatan Harapan (PH) yang kini membentuk kerajaan Persekutuan.

Sebelum ini, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook, menyifatkan tindakan Ronnie itu dilihat sebagai tindakan sabotaj parti dan satu tindakan yang sangat serius.

Oleh yang demikian, Anthony berkata, DAP akan merujuk Ronnie Liu Tian Khiew ke jawatankuasa disiplin parti kerana kenyataan itu.

Beliau turut berkata kenyataan itu amat tidak wajar dan tidak bertanggungjawab malah tidak mencerminkan pendirian parti. -MalaysiaGazette

Komik propaganda politik tersebut tidak pernah mendapat kelulusan KPM.

Oleh Dr Maszlee Malik



Sebagai Menteri Pendidikan, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa komik propaganda politik tersebut tidak pernah mendapat kelulusan dari Kementerian Pendidikan Malaysia. KPM tidak akan membenarkan pengedarannya ke sekolah-sekolah di bawah KPM.

Semua sekolah yang telah menerima komik tersebut telah diarahkan untuk tidak disebarluaskan.
KPM tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempergunakan sekolah sebagai alat propaganda murahan.

Saya juga telah mengarahkan KPM untuk menyiasat segera jika terdapat mana-mana individu termasuk anggota dalaman yang bertanggungjawab membenarkan komik ini diedarkan di sekolah. 

KPM akan memastikan siapa sahaja jika terbukti benar dakwaan ini akan diberi tindakan tegas.

Saya ingin menasihatkan mana-mana ahli DAP yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan agar kembali mematuhi semangat “rule of law” dan juga “collective responsibility”.

Saya juga ingin menggesa pimpinan DAP untuk mendisiplinkan ahli-ahli mereka agar menghormati keputusan kerajaan dan patuh terhadap perlembagaan dan undang-undang negara. Kedua perkara inilah yang membina negara kita.

Tindakan merendah-rendahkan parti komponen lain seperti yang dilakukan oleh Saudara Ronnie Liu ialah tindakan yang biadab dan sangat tidak berasas.

Budaya politik murahan begini hanya akan merosakkan keadaan. Ia membawa lebih banyak perpecahan malah membantutkan agenda reformasi yang sedang kita laksanakan. 
 
 

Maut dirempuh, diseret ambulans

Dziyaul Afnan Abdul Rahman
 
 

PENUNTUT universiti awam (UA) maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebelum diseret sejauh 15 meter oleh ambulans hari ini.

Kejadian berlaku di Kilometer 10 Jalan Kangar - Alor Setar di Kampung Permatang Pauh 2 petang tadi.

Siti Faieza Idzuana Abdullah, 20, dari Kampung Kechik Gunung Medan, Utan Aji maut di lokasi akibat parah anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, siasatan mendapati mangsa dan ambulans dari arah sama menuju ke bahagian selatan Perlis.

Bagaimanapun setibanya di lokasi, mangsa dikatakan memperlahankan motosikalnya untuk membelok ke kanan.

“Namun ambulans dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa.

“Mangsa turut diseret sejauh 15 meter pada bahagian tepi ambulans sebelum van itu terbabas ke parit berhampiran,” katanya.

Wari berkata, ketika kejadian, cuaca baik selain jalan lurus dan tidak licin.

“Mayat dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tiada rakyat Malaysia terjejas setakat ini

Siti A’isyah Sukaimi
 


KEMENTERIAN Luar mengesahkan tiada laporan rakyat Malaysia terjejas susulan kejadian gempa bumi 6.6 skala Richter di timur Tulunan, Cotabato Utara di Filipina hari ini.

Menerusi kenyataannya di Putrajaya, Kementerian Luar memantau perkembangan susulan kejadian itu yang mana pusat gempa bumi terletak kira-kira 152 kilometer dari Davao City.

“Menurut pihak berkuasa tempatan, gempa bumi itu setakat ini mengorbankan dua nyawa serta menyebabkan kerosakan bangunan dan tempat tinggal penduduk.

“Justeru, Kementerian Luar menyampaikan simpati dan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Filipina khususnya mereka yang terjejas secara langsung akibat kejadian ini,” katanya.

Mengulas lanjut, kenyataan itu turut meminta rakyat Malaysia di negara berkenaan yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City di talian +63 82 221 4050 dan +63 936 9684001 manakala emel, mwdavao@kln.gov.my.

Selain itu, boleh menghubungi Kementerian Luar di talian 03-8887 4530 dan 03-8887 4570 (selepas waktu bekerja).

Media antarabangsa hari ini melaporkan, satu gempa bumi kuat menggegarkan selatan Filipina menyebabkan kecederaan dan merosakkan bangunan.

Tinjauan Geologi Amerika Syarikat melaporkan, gempa bumi itu melanda wilayah Mindanao yang belum pulih dengan bencana alam serupa hampir dua minggu lalu.

Pusat gempa itu dikesan kira-kira 26 kilometer dari timur laut Tulunan, Cotabato pada 9.04 pagi (waktu tempatan), bagaimanapun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Presiden UMNO mohon maaf pada kepimpinan Pas

DENYUT REFORMASI

 
 
KUALA TERENGGANU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh kepimpinan Pas pada Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) peringkat Terengganu di Stadium Negeri malam tadi.

Menurutnya, kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu bukan sekadar takdir malah ketentuan ALLAH SWT.

"Mungkin ALLAH SWT mahu turunkan pengajaran disebabkan kifarah kesilapan yang berlaku sejak 61 tahun.

"Justeru saya mewakili seluruh kepimpinan UMNO memohon maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki daripada seluruh kepimpinan Pas," katanya ketika berucap pada himpunan itu.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada seluruh akar umbi parti dapat mengetepikan perbezaan pendapat demi mengembalikan maruah Islam dan Melayu di negara ini.

"Tiada beza sama ada berkopiah putih atau bersongkok hitam, kita semua adalah satu ummah dan satu perjuangan.
 
"Ketepikan perbezaan pendapat dalam kalangan kita, apabila kita mahu bertasawwur (konsep kehidupan Islam) perkara pokok yg perlu ada pada diri kita ialah keikhlasan.

"Keikhlasan dalam hubungan yang terjalin antara UMNO dan Pas ini bukan sekadar retorik semata-mata, kita menuju satu matlamat yang sama demi penyatuan ummah," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyatakan kesediaan dan mengalu-alukan sekiranya Muktamar Tahunan Pas pada tahun depan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

"Saya pernah berbisik kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sekiranya Muktamar Pas tahun depan mahu berpindah ke PWTC, 'ahlan wasahlan'.

"Selama 61 tahun Pas terseksa jadi pembangkang, insya-ALLAH lepas menang dalam PRU15, kita sama-sama duduk dalam satu Kabinet.

"Kita berusaha, bertawakal dengan izin-Nya, Putrajaya sudah mesti milik kita dalam PRU15," katanya.

Terdahulu, sejarah tercipta setelah kedua-dua parti itu membuka lembaran baharu setelah mengisytiharkan pembentukan Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah di PWTC pada 14 September lalu 
 
 

Isu peralihan kuasa: Kita boleh bercakap - Tun Mahathir

DENYUT REFORMASI

 
 
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersedia untuk berbincang mengenai peralihan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, bagaimanapun perbincangan tersebut perlu dilakukan dalam Majlis Presiden.

Ini kerana katanya, sepertimana sebelum ini, semua keputusan mengenai pelantikan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dibuat pada peringkat berkenaan.

“Saya bersetuju kalau nak bercakap mengenai perkara itu (peralihan kuasa), kita boleh bercakap.

“Kalau mahu ada perbincangan mengenai perkara itu, ia boleh dibincangkan dalam Majlis Presiden kerana di situ lah kita buat keputusan dulu.

“Cadangan untuk melantik pemimpin Pakatan Harapan (PH), kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan cadangan supaya saya jadi pengerusi dan bakal Perdana Menteri, semuanya dibuat dalam Majlis Presiden,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Baku, di sini.
 
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menyatakan kesediaan untuk berbincang mengenai peralihan kuasa Perdana Menteri.

Ia susulan kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata isu peralihan kuasa antara Perdana Menteri, dan Anwar secara terperinci seharusnya dibincangkan secara muafakat dalaman antara pemimpin PH.

Sebelum ini, Dr Mahathir tiba di Azerbaijan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18. 
 
 

Bukan soal ihsan, Adly adil jadi ketua menteri, kata DAP Melaka

DENYUT REFORMASI

 
 
MELAKA — DAP Melaka menolak tuduhan pembangkang yang mendakwa Adly Zahari sebagai Ketua Menteri Melaka yang lemah dan tidak dapat mengawal ahli exco kerajaan negeri.

Setiausaha DAP Melaka Damian Yeo Shen Li menegaskan bahawa DAP bukanlah ‘gila kuasa’, sekaligus menepis tuduhan ketua pembangkang negeri Datuk Seri Idris Haron yang mendakwa kedudukan Adly kini adalah atas ihsan DAP.

“Bagi kami di dalam DAP, Adly adalah seorang pemimpin yang adil, dan kini memandangkan kita berada dalam pentadbiran negeri, kita perlu mengambil peluang ini untuk membetulkan apa yang salah, sama ada berkaitan pentadbiran mahupun politik, penjagaan kesihatan ataupun perumahan, pelancongan atau bola sepak. Ia bukan soal “ihsan DAP”.

“Ia berkenaan memberikan yang terbaik daripada kita semua untuk Melaka, DAP bukan gila kuasa. Kami hanya membantu dengan apa yang termampu sahaja, sebagai anggota dalam Pakatan Harapan,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi Whatsapp di sini semalam.

Sebuah portal berita semalam menerbitkan kenyataan Idris yang antara lain menyebut Adly seorang yang lemah, dan tidak dapat mengawal exco, kerana partinya hanya menduduki dua kerusi Dewan Undangan Negeri Dalam Negeri, berbanding DAP lapan.

Kelmarin, sebuah portal berita melaporkan ada cadangan untuk menggantikan kepimpinan Adly dengan pembentukan kerajaan negeri menerusi ‘pintu belakang’ namun ia dinafikan oleh 14 Ahli Dewan Undangan Negeri yang teguh berdiri di belakang Adly.

Yeo berkata walaupun DAP mempunyai lapan ADUN, Melaka secara keseluruhannya mempunyai lebih daripada 300 anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), tetapi hanya 10 peratus daripada mereka adalah ahli DAP.

Katanya melihat kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), anggota DAP hanya menerajui syarikat-syarikat yang dibebani hutang seperti Perbadanan Stadium Melaka, Perbadanan Bioteknologi Melaka dan Putra Hospital.

“ dan kami berjaya memulihkan syarikat-syarikat ini. Kami percaya dengan kerjasama semua anggota PH, kita boleh pulihkan banyak lagi syarikat, termasuk Persatuan Bola Sepak Melaka,” katanya. — Bernama 
 
 

10 warden penjara dituduh bunuh tahanan

Suzianah Jiffar
 


SERAMAI 10 warden penjara dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini atas tuduhan membunuh seorang penghuni penjara.

Tertuduh ialah Barry Jipmon, 30; Mohd Dzulfikri Mohd Safri, 28; Farizan Mokri, 41; Mohd Saiful Saidin, 35; Amran Yasik, 25; Ab Mutalib @ TalibAbd Rasul, 40; Zerry Maidin, 33; Tomy Momoh, 36; Shahryll Nazry Wan Sofian, 25; dan Muhammad Fazi Lakui, 32.

Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh, selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.

Mengikut pertuduhan, semua mereka didakwa melakukan pembunuhan terhadap Shainal Mukhtar, 36, di sel tahanan Blok Gemilang Penjara Pusat Kota Kinabalu, pada 4.30 petang, 4 Oktober 2019.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah Khairul Anuar Abdul Halim, manakala semua tertuduh diwakili peguam PJ Pereira.

Mahkamah menetapkan 25 November ini untuk sebutan semula kes.

Pada 4 Oktober lalu, seorang banduan yang dipenjarakan atas kesalahan membabitkan dadah, disahkan meninggal dunia selepas dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) berikutan tidak sedarkan diri.

Dicabul depan hotel

Ryan Stanley
 


PEMANDU e-hailing ditahan selepas dipercayai mencabul seorang wanita di hadapan sebuah hotel di Putatan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, lelaki berusia 40-an itu ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

“Penahanan itu dibuat selepas mangsa berusia 23 tahun membuat laporan polis pada 10.05 malam.

“Siasatan mendapati, sebelum kejadian, mangsa menempah perkhidmatan e-hailing untuk pulang ke rumahnya di Putatan pada 4.48 petang.

“Dalam perjalanan ke rumah wanita itu, suspek mengambil jalan lain dan mengatakan mahu melihat kawasan sekitar Putatan kerana jarang ke situ,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Haris berkata, mangsa pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa dan mengikut kemahuan suspek tanpa membantah.

“Tidak lama selepas itu mangsa tidak menyangka suspek memberhentikan keretanya di hadapan sebuah hotel di Putatan lalu mengajak mangsa masuk ke dalam untuk berehat.

“Suspek dipercayai mencabul mangsa. Bagaimanapun, wanita itu berjaya melarikan diri dan membuat laporan polis,” katanya.

Tambah beliau, suspek berjaya ditahan selepas menyerah diri dalam tempoh 24 jam selepas kejadian itu.

“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tragedi basikal lajak: 'Kami kesal, terkilan'

Mohd Sabran Md Sani
 
 

“KAMI semua kesal dan tidak dapat terima keputusan itu,” kata Fatimah Nasir, 45, ibu kepada seorang daripada mangsa kemalangan meragut lapan nyawa di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, 18 Februari 2017 lalu.

Fatimah meluahkan kekecewaan itu berhubung keputusan Mahkamah Majistret Johor Bahru kerana melepas dan membebaskan jurujual yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.

Menurutnya, perkara itu diluahkan semua keluarga mangsa kemalangan yang berbincang menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp ‘lapan anak syurga’ hari ini.

“Ketika berkongsi keputusan itu (pembebasan wanita daripada pertuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian), semua keluarga tidak boleh terima.

“Kami akan berbincang dan berkumpul selepas ini untuk membuat sebarang keputusan seterusnya sama ada melawan semula kes itu atau sebaliknya,” katanya kepaa Harian Metro, hari ini.

Fatimah berkata, kumpulan WhatsApp itu ditubuhkan sejak 2017 selepas kemalangan meragut nyawa ahli keluarga masing-masing.

“Di situ, kami berkongsi semua perkara bersama ahli keluarga lapan mangsa serta tiga peguam kami.
“Bermula daripada kes kemalangan itu hingga perbicaraan di mahkamah, semuanya dikongsikan bersama, ibarat satu keluarga,” katanya.

Menurut Fatimah, semua keluarga mangsa kemalangan itu tidak mengetahui keputusan akan dijatuhkan di Mahkamah Majistret, hari ini.

Katanya, tiada pihak, termasuk polis dan peguam yang memberitahu mereka sedangkan sebagai keluarga, mereka berhak tahu perkembangan penting kes membabitkan wanita itu sama ada bersalah atau tidak.

“Kami kesal, terkilan. Sepatutnya ada wakil keluarga mendengar keputusan penuh itu, ini tidak kami hanya mengetahuinya menerusi laman sosial sebelum berbincang mengenainya di kumpulan WhatsApp lapan anak syurga,” katanya.

Berita berkaitan
Tragedi basikal lajak: Pemandu bebas tuduhan [METROTV]
Tragedi basikal lajak: Keluarga tidak dimaklumkan keputusan