Selasa, 31 Mac 2020

Memang mungkin kami ‘idiots’ untuk pastikan anda semua selamat – Nik Ezanee

Kumara Sabapatty
MGF31032020_SJR-PERSIARAN-SURIAN-KPD-PJ_14-1
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal bercakap kepada media ketika memantau sekatan jalan raya OPS Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan wabak Covid-19 di Persiaran Surian, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI
 

PETALING JAYA – Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal mengesahkan penahanan seorang wanita berusia 30an kerana mengeluarkan kata-kata kesat menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Ada pagi tadi. Saya rasa disebabkan kesesakan jalan akibat sekatan ini apabila dia sampai ke lokasi dia jerit ke arah petugas ‘you all are idiots’,” katanya diminta mengulas kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.

Artikel berkaitan: ‘Hoi stupid idiots!’… maki polis di sekatan jalan raya wanita ditahan

Mengulas lanjut, beliau yang juga turun padang bertugas semasa sekatan jalan raya Op Covid di Persiraran Surian bersempadan Kota Damansara-Damnsara itu dengan nada sinis berkata:

“Memang kami semua (polis) mungkin idiot (bodoh), tetapi kami bodoh kerana ada aspek keselamatan yang perlu dijamin dalam minda dan juga hati.

“Jadi minta maaf untuk menyebabkan kesulitan sebegini.

“Kami ada tugas untuk dilaksanakan demi negara dan keselamatan rakyat untuk memastikan anda semua sentiasa selamat, itulah kerja kami, saya minta maaf ya.”

Beliau juga mengesahkan wanita berkenaan ditahan di bawah Seksyen 7 Akta 342 dan dibawa ke Balai Damansara.

Wanita berkenaan semasa terperangkap dalam kesesakan jalan raya telah membunyikan hon berterusan selama 30 minit.

Dan sebaik tiba di perkarangan tempat tinggalnya di sebuah apartmen bersebelahan lokasi sekatan jalan raya itu, beliau telah menjerit ‘Hoi stupid idiots” ke arah pasukan polis dan tentera yang bertugas. – Malaysia Gazette

Agong, Permaisuri setuju kerajaan tak bayar emolumen diraja 6 bulan

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah 
dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah 
Maimunah Iskandariah.
 
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan supaya kerajaan tidak membayar emolumen diraja kepada mereka berdua selama 6 bulan mulai Mac hingga Ogos.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata persetujuan Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bertujuan membantu meringankan beban kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19, serta menyahut keputusan kerajaan memotong 2 bulan gaji perdana menteri, menteri serta timbalan menteri dan disalurkan ke Tabung Covid-19.

“Perkenan Seri Paduka Baginda Berdua ini turut mencerminkan keprihatinan dan keperibadian tinggi Seri Paduka Baginda berdua terhadap perkembangan terkini pandemik ini dan situasi kewangan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata perkara tersebut dimaklumkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, sempena Hari Doktor semalam, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan penghargaan kepada para doktor dan petugas kesihatan, khususnya barisan hadapan atas khidmat, bakti dan pengorbanan tanpa penat lelah dan mengira masa menjalankan tanggungjawab membendung pandemik itu.

“Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan berkaitan di atas pengiktirafan yang diberikan oleh firma perkhidmatan kewangan terkemuka di dunia baru-baru ini berkenaan tata cara pengendalian Covid-19 di Malaysia,” katanya.

Ahmad Fadil berkata Agong menzahirkan harapan agar rakyat terus bersama mereka, berdoa memohon ihsan Allah semoga Malaysia sentiasa dalam lindungan dan rahmatNya dan pandemik ini diakhiri dengan berkesan dan segera.

KKM: Pastikan ‘crowd control’ di bazar Ramadan

Prosedur pengurusan bazar Ramadan di WP tahun ini akan 
dipertingkat bagi mengelak orang ramai bersesak di gerai jualan.
 
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan sebarang penganjuran Bazar Ramadan tahun ini mestilah perlu memastikan “crowd control”.

“Kita perlu melihat pelaksanaan dan selagi mereka boleh mengikuti prosedur operasi standard (SOP) kami seperti mengikut jarak sosial yang ditetapkan dan mencuci tangan.

“Manakala, orang ramai perlu dikawal supaya jaga jarak sosial,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di KKM.

Sebelum itu, prosedur pengurusan bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan mulai tahun ini akan dipertingkat bagi mengelak orang ramai bersesak di gerai jualan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat penelitian lanjut bersama pihak berkaitan sebelum pengumuman dilakukan tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Hisham memaklumkan statistik menunjukkan terdapat 2 kumpulan umur yang paling tinggi kes positif Covid-19.

Beliau berkata kumpulan tersebut adalah dalam lingkungan 26 sehingga 30 tahun dan juga 56 sehingga 60 tahun.

“Umur muda sebab pelajar kembali ke luar negara atau mereka sering keluar walaupun ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi mereka keluar bergaul.

“Umur ke-2 (56-60) mungkin ketua rumah selalu keluar beli barang dan sebagainya dan dijangkiti dari masa keluar rumah itu,” katanya.

Hisham juga berkata setakat ini pesakit paling muda yang dijangkiti Covid-19 adalah yang berusia 18 bulan.Bagaimanapun, katanya, ibu bapa bayi itu dibenarkan bersama menjaganya.

183 didakwa ingkar arahan duduk di rumah di Pulau Pinang

Pihak berkuasa memastikan PKP dipatuhi di pasar awam Air
Itam, Pulau Pinang.
 
GEORGE TOWN: Seramai 183 individu didakwa di 3 Mahkamah Majistret berasingan di Pulau Pinang hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Daripada jumlah itu, 151 mengaku bersalah atas tuduhan itu dan dikenakan denda RM1,000 dan khidmat masyarakat atau penjara.

Berdasarkan maklumat ketua polis daerah, 77 didakwa di Bukit Mertajam, 73 di Butterworth dan 33 di George Town.

Mereka didakwa di bawah Peraturan 3(1) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang melarang orang ramai meninggalkan rumah mereka untuk melakukan sebarang aktiviti yang disenaraikan sebagai tidak penting.
Tuduhan itu membawa denda RM1,000 atau 6 bulan penjara jika sabit kesalahan. Mereka yang ditangkap melakukan kesalahan di seluruh negeri antara 24 dan 29 Mac.

107 atlet, jurulatih, pegawai MSN negatif Covid-19

Ketua Pengarah MSN Ahmad Shapawi Ismail. (Gambar 
Bernama)
 
KUALA LUMPUR: Semua 107 terdiri daripada atlet, jurulatih dan pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) disahkan negatif Covid-19.

Jumlah itu termasuk kontak rapat dan kontak sekunder atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong yang disahkan positif dan kini sedang dirawat di Hospital Sibu, Sarawak, selain beberapa atlet baru pulang dari luar negara sama ada menyertai kejohanan atau menjalani program latihan.

Ketua Pengarah MSN Ahmad Shapawi Ismail dalam kenyataan hari ini mengesahkan perkembangan menggembirakan itu.

“Sehingga 30 Mac, daripada 107 yang dikuarantin, 86 orang menjalani ujian sama ada melalui Pejabat Kesihatan Daerah ataupun pihak swasta dan keputusan ujian yang diperoleh adalah negatif.

“Sementara baki 21 orang yang tidak perlu melakukan ujian juga bebas daripada proses kuarantin di rumah apabila tidak menunjukkan sebarang gejala setelah tamat proses kuarantin selama 14 hari,” menurut kenyataan itu.

Mengenai status kesihatan Jackie, Ahmad Shapawi berkata keputusan sampel ujian kali ke-3 pemenang pingat perak Sukan SEA Filipina 2019 itu yang diambil pada Sabtu lepas menunjukkan keputusan negatif.

“Namun, beliau masih perlu melalui ujian kali terakhir yang dibuat pada 30 Mac untuk menentukan beliau benar-benar bebas daripada jangkitan berkenaan dan keadaan beliau ketika ini adalah sihat,” tambahnya.

Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata MSN bersama Institut Sukan Negara (ISN) melalui Jawatankuasa Bertindak Covid-19 sudah melaksanakan beberapa tindakan serta-merta.

Beliau berkata bagi tujuan pencegahan, MSN dan ISN melakukan proses sanitasi sebanyak 2 kali pada 17 Mac dan 24 Mac melibatkan kawasan yang dikunjungi Jackie dalam tempoh 1 hingga 10 Mac sebelum proses sama di keseluruhan Kompleks MSN, ISN dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan pada 25 Mac.

“Sememangnya harapan kita agar tiada lagi jangkitan melibatkan atlet, jurulatih dan pegawai sukan negara dan mereka dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan terus di hospital atau pejabat kesihatan berdekatan bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut jika terdapat simptom.

“Atlet perlu terus melakukan latihan persendirian berdasarkan program latihan yang dibekalkan oleh jurulatih masing-masing dan semua diminta mematuhi segala arahan dan panduan dikeluarkan pihak kerajaan dari semasa ke semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini,” katanya.

COVID-19: Pasar perlu ikut SOP KKM - KP Kesihatan

Astro Awani
COVID-19: Pasar perlu ikut SOP KKM - KP Kesihatan
Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan perlu diterapkan di semua pasar menjual barangan basah termasuk pasar tani, ujar Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Gambar hiasan/BERNAMA
 

KUALA LUMPUR: Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu diterapkan di semua pasar menjual barangan basah termasuk pasar tani, ujar Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Jelas beliau, langkah itu bagi mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan orang ramai.

"Pasar sebagai contohnya Pasar Tani, apa yang penting ialah jarak selamat, langkah pencegahan perlu dilakukan dan menerapkan aspek kebersihan sepanjang proses pelaksanaannya.

"Pengawalan orang ramai adalah penting, elak kesesakan ramai. Kita perlu kepada pelaksanaannya. Mereka perlu mengikut SOP KKM bagi mengekang kontak, mempunyai jarak yang baik, ada tempat basuh tangan, pengawalan seluruh tempat," katanya dalam satu sidang media di sini pada Selasa.

Justeru katanya, pembukaan premis jualan barangan keperluan berkenaan bergantung garis panduan ditetapkan KKM.

"Kami menasihatkan mereka apa perlu buat dan apa tidak sepatutnya buat. Jika mereka ikut SOP, mungkin kami akan beri mereka green light," ujar beliau.

Amaran keras buat jemaah himpunan tabligh ingkar lakukan saringan COVID-19 - Hamzah

Umavathi Ramayah, Astro Awani
Amaran keras buat jemaah himpunan tabligh ingkar lakukan saringan COVID-19 - Hamzah
Hamzah Zainudin memberitahu, tindakan tegas juga akan diambil terhadap ahli keluarga yang menyorok maklumat mengenai individu yang menyertai perhimpunan tabligh tetapi tidak melakukan saringan. - Foto Facebook/Polis Diraja Malaysia
 
 
KUALA LUMPUR : Kluster jemaah perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur yang masih ingkar arahan kerajaan untuk membuat saringan COVID-19 akan diambil tindakan tegas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata tindakan yang sama katanya akan turut diambil ke atas ahli keluarga yang menyorokkan maklumat mengenai individu yang menyertai perhimpunan itu tetapi tidak melakukan saringan.
 
"Saya tidak mahu mengumumkan apa hukuman di sini, bila kita sudah ambil tindakan. Masa itu media turun sama-sama melihat apa yang kita akan buat.

"Pada masa ini saya cuma bagi amaran keras. Esok jangan marah kita lagi," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, pada Selasa.
Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan  timbalannya, Datuk Mazlan Mansor.

Hamzah menjelaskan, jumlah sebenar kluster tabligh terbabit masih belum dapat dipastikan memandangkan ada maklumat yang mengatakan jumlah itu mencecah sehingga 20,000 orang.

Namun begitu katanya, setakat ini seramai 10,000 jemaah yang menyertai perhimpunan itu telah dikenal pasti dan disaring.

Dalam perkembangan berasingan, Hamzah berkata kesemua 83 jemaah yang menyertai perhimpunan tabligh di Makassar, Sulawesi, Indonesia baru-baru ini telah dikenal pasti dan diarahkan untuk dikuantarin.

Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi sebarang hantaran yang boleh memudaratkan perpaduan negara dengan mengaitkan wabak pandemik itu.

Katanya, wabak itu boleh menjangkit mana-mana individu tanpa mengira agama, keturunan, pangkat dan kedudukan.

"Jika ada individu yang berbuat demikian, polis akan mengambil tindasan keras," ujarnya lagi. 
 
 

COVID-19: Malaysia sedang alami perubahan ekonomi total, ini 8 langkah persediaan

COVID-19: Malaysia sedang alami perubahan ekonomi total, ini 8 langkah persediaan
COVID-19 menjejaskan -kesihatan- ekonomi negara melalui tiga saluran utama. - Foto BERNAMA


RAMAI mungkin tidak menjangkakan krisis wabak COVID-19 telah membawa “bencana” yang lebih besar kepada ekonomi Malaysia berbanding dengan krisis-krisis lain seperti perang dagangan China-Amerika Syarikat.

COVID-19 menjejaskan “kesihatan” ekonomi negara melalui tiga saluran utama.

Pertama, sektor perlancongan dan sektor-sektor berkaitan terjejas akibat sekatan kemasukkan pelancong asing dan kawalan pergerakkan yang menjejaskan aktiviti pelancongan domestik.

Kedua, sektor-sektor ekonomi dalam negara terjejas akibat kesan rantaian bekalan global. Contohnya, pengeluaran sektor pembuatan automobil dan topeng muka terjejas kerana kekurangan pengeluaran bahan mentah di negara-negara terjejas akibat COVID-19 seperti China. Sektor pengangkutan udara juga terjejas kerana syarikat penerbangan terpaksa menghadkan atau memberhentikan seketika operasi penerbangan segmen luar negara.

Ketiga, gunatenaga perniagaan terjejas akibat daripada pekerja-pekerja yang terkena jangkitan dan juga arahan sementara kawalan pergerakkan penduduk. Akibatnya, pengeluaran barangan dan perkhidmatan akan berkurangan.

Sejauh mana negara berjaya pulih daripada krisis ekonomi akibat COVID-19 bergantung sebahagian besarnya oleh peranan yang perlu dimainkan oleh isirumah dan pemain industri.

Berikut adalah beberapa peranan proaktif yang boleh dimainkan oleh isi rumah dan pemain industri di dalam membantu pihak kerajaan menguruskan ekonomi semasa krisis.

Pemain industri

1. Membantu menyalurkan maklumat tepat berkenaan dengan aktiviti-aktiviti pengeluaran dan perniagaan mereka. Contohnya semasa tempoh PKP, pengeluaran bekalan makanan bukan sahaja perlu mengcukupi malah tiada manipulasi harga berlaku di pasaran. Untuk memastikan perkara ini terjamin, syarikat-syarikat atau pertubuhan perniagaan perlu melaporkan data-data dan permasalahan yang tepat supaya tindakan segera boleh diambil.

2. Hindarkan mengambil kesempatan perniagaan ke atas kelemahan sistem perlaksanaan pakej rangsangan. Dana bantuan kerajaan adalah terhad. Jika syarikat-syarikat masih boleh bertahan dan mempunyai aliran tunai yang kukuh, maka berilah peluang kepada syarikat-syarikat lain yang lebih memerlukan. Contoh lain adalah pemilik-pemilik rumah sewa, kedai sewa dan tanah sewa perlulah menangguhkan bayaran sewaan (atau berikan kadar diskaun) seperti mana manfaat moratorium yang mereka perolehi.

3. Menyusun semula strategi perniagaan. Syarikat-syarikat perlu mengambil peluang untuk menilai dan menyusun semula strategi pemasaran mereka. Contohnya, pemasaran perniagaan makanan yang berasaskan ejen jualan dijangka akan terjejas di dalam tempoh PKP. Dalam situasi krisis ini, kaedah pemasaran “tradisional” iaitu pemasaran di pasararaya dan kedai mungkin lebih menjamin kelangsungan perniagaan.

4. Membantu reformasi perniagaan dan ekonomi. Ini adalah masa terbaik untuk melaksanakan reformasi perniagaan dan ekonomi. Contoh mudah seperti berikut. Salah satu permasalahan di sektor pertanian adalah peranan orang tengah yang didapati mengekploitasi pasaran. Harga yang dikenakan kepada pasaran lebih mahal berbanding dengan harga yang dibayar kepada petani atau pengusaha.
Dengan teknologi digital yang sedia ada, petani atau pengusaha boleh mengubah rantaian bekalan ini dengan terus memasarkan barangan mereka kepada isi rumah (menjalankan penghantaran terus ke rumah melalui aplikasi digital).

5. Penilaian kepada sistem pekerjaan yang lebih bersifat fleksible. Di negara-negara maju, amalan sistem pekerjaan yang fleksible telah dilaksanakan. Contohnya, pekerja boleh bekerja beberapa jam sehari, beberapa hari seminggu dan amalan bekerja daripada rumah. Semasa krisis Covid-19 dan tempoh PKP adalah masa terbaik untuk sektor perniagaan menilai sejauh mana sistem pekerjaan fleksible ini boleh membantu mengurangkan kos dan dalam masa yang sama dapat mengekalkan keuntungan.

Isi rumah

1. Penilaian semula gelagat perbelanjaan bulanan isirumah. Dalam tempoh PKP ini, isirumah tertumpu kepada perbelanjaan berbentuk keperluan sahaja selain komitmen pembayaran hutang bulanan. Kemungkinan bebanan kewangan isirumah sebelum ini dipengaruhi sebahagian besarnya oleh perbelanjaan kepada bukan keperluan yang terarah kepada gaya hidup. Sepatutnya tempoh pasca PKP akan lebih mendidik isirumah lebih rasional di dalam berbelanja.

2. Mengoptimumkan kelebihan teknologi digital. Dalam tempoh PKP dan krisis Covid-19, isirumah boleh mengoptimumkan teknologi digital di dalam mempelbagai sumber pendapatan. Krisis ini memberi pengajaran bahawa kebergantungan kepada hanya satu jenis sumber pendapatan mungkin tidak kukuh. Membantu isirumah lain untuk mendapatkan barangan secara digital adalah antara aktiviti perniagaan yang boleh dilakukan.

3. Jangan lakukan pembelian panik. Lakukan perbelanjaan seperti kebiasaan dan kurang berbelanja kepada barang bukan bersifat keperluan. Pembelian panik boleh menyebabkan herotan pasaran yang akan memberi impak negatif kepada ekonomi. Bekalan barangan akan kekurangan yang menyebabkan harga cenderung untuk meningkat.




* Prof. Madya. Dr. Mohd Yusof Saari adalah pemegang ijazah PhD daripada University of Groningen, the Netherlands. Beliau merupakan pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UPM.

17 kes positif di Menara City One hadir Himpunan Jemaah Tabligh di Sri Petaling

Astro Awani
17 kes positif di Menara City One hadir Himpunan Jemaah Tabligh di Sri Petaling
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan kes COVID-19 yang mendadak menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan.
 

PUTRAJAYA : 17 kes positif jangkitan COVID-19 di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah dilaporkan hadir Himpunan Jemaah Tabligh di Masjid Sri Petaling Februari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan kes COVID-19 yang mendadak menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan.

"Kita dapati kes di Menara City One ada 17 kes telah dilaporkan yang ada kaitan dengan indeks yang menghadiri  Himpunan Jemaah Tabligh di Masjid Sri Petaling.

"Kes indeks telah menjangkiti ahli keluarga tersebut. Kebanyakan yang terlibat ialah tiga apartmen iaitu melibatkan seramai keluarga 12 ahli. Jadi ada kes yang mendadak di apartmen itu, tindakan kita ialah PKPD di kawasan tersebut," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Kerajaan pada Isnin membuat keputusan untuk melaksanakan  PKPD di keseluruhan Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, di ibu negara bermula jam 12 tengah malam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada Menteri Kesihatan.

Lori bawa roti dicuri di KL, ditinggalkan di Kemaman

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini
 
 
Sebuah lori yang dilaporkan dicuri di Kuala Lumpur ditemukan di Kemaman, Terengganu malam tadi.

Ketika kecurian lori adalah perkara yang sudah berlaku berkali-kali, namun kejadian terbaru itu menarik perhatian kerana ia melibatkan kenderaan membawa bekalan roti.

Roti adalah satu daripada produk yang 'diburu' ramai ketika seluruh negara dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Difahamkan lori berkenaan - seberat 3 tan - ditemui di pekarangan Masjid Beris Meraga, Kijal, kira-kira jam 8 malam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan, memberitahu Malaysiakini, ketika ditemui lori terbabit masih berisi dengan roti.

Beberapa gambar yang tular di media sosial juga menunjukkan roti masih ada dalam perut lori terbabit.

Sementara itu Astro Awani melaporkan lori terbabit asalnya digunakan untuk mengedar bekalan roti di sekitar Kuala Lumpur dan dilaporkan hilang di Jalan Petaling, Kuala Lumpur kira-kira jam 7 pagi semalam.

Kata Hanyan, kecurian itu disedari pemandunya ketika hendak memulakan tugas.
Pemandu terbabit kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Menurut Hanyan, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri kenderaan. Lori tersebut, katanya, akan diserahkan kepada polis Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Covid-19: Pakar anggap langkah disinfeksi jalan sebagai membazir

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini
 
 
Beberapa pakar perubatan menyifatkan tindakan nyahjangkitan di permukaan jalan tidak berkesan untuk menghapuskan koronavirus, malah ia hanyalah pembaziran sumber yang sepatutnya digunakan untuk perkara yang lebih mendesak.

Anggota Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor Dr Christopher Lee, berkata proses itu yang dijalakan di Petaling Jaya hari ini tidak akan mencapai tujuannya, iaitu mengurangkan kadar jangkitan Covid-19.

"Langkah nyahjangkitan di jalan jelas tidak akan memberi impak. Pembaziran sumber dan masa kerja.

"Langkah membersihkan permukaan yang sering disentuh akan memberi lebih kesan. Marilah (bertindak) berdasarkan bukti," katanya yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Kementerian Kesihatan, di Twitter.

Beliau kini turut mengetuai National Covid-19 Mortality Review Committee yang ditubuhkan Kementerian Kesihatan untuk menjalankan audit terhadap kes kematian pesakit Covid-19 di hospital.

Beliau mengulas laporan New Straits Times yang memetik beberapa pakar kesihatan yang membangkitkan kerisauan sama, berhubung keberkesanan tindakan disinfeksi di kawasan awam oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan menterinya Zuraida Kamaruddin, di pasar Jalan Othman, Petaling Jaya pagi tadi.

New Straits Times memetik bekas timbalan ketua pengarah Kesihatan Dr Lokman Hakim Sulaiman yang mempersoalkan proses itu, yang antara lain melibatkan penyemburan cecair penyahjangkit secara terus ke permukaan jalan.

"Apa yang mereka lakukan? Siapa yang menasihati mereka? (Ia) benar-benar pembaziran wang. Bagaimana jalan dan susur jalan tercemar (dengan virus)?

Apabila ramai orang yang dijangkiti batuk ke arahnya?

"Kalau pun permukaan jalan tercemar, bagaimana ia (virus) boleh sampai ke muka anda? Apabila orang menggosok tangan di jalan dan kemudian menyentuh muka mereka?" soalnya seperti dipetik.

"Atas bukti atau dasar apa mereka melakukannya? Ya, mereka mungkin kata ikut prosedur operasi standard (SOP), tetapi siapa yang sediakan SOP dan menyokongnya?

"Dan tengok orang ramai (yang memerhati operasi itu)? Tindakan publisiti ini sudah pun mendedahkan ramai orang kepada risiko," katanya lagi.

Menurut laporan itu lagi, Lokman berkata pihak berkuasa sepatutnya melakukan nyahjangkitan di tempat yang sering disentuh, seperti tombol pintu, butang di lif, dan selusur eskalator untuk membendung penularan Covid-19.

Laporan itu juga memetik pakar virologi Lam Sai Kit ebagai berkata, jalan raya tidak tercemar atau menjadi punca jangkitan Covid-19.

"Anggota patut dilatih untuk membuat nyahjangkitan di mana (virus) mungkin berada dan menjadi sumber jangkitan. Bukan jalan.

"Daripada gambar (yang menunjukkan anggota menyembur jalan), nampaknya mereka sedang membasuh jalan," katanya seperti dipetik.

Polis guna dron pantau kawasan PKPD: KPN

Aqila

 

Lebih selamat untuk pantau keadaan keseluruhan kediaman penduduk



KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengerakkan unit dron pasukan itu bagi menjalankan pemantauan di tujuh kampung di Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor yang dikenakan tindakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bermula hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, penggunaan dron lebih selamat untuk memantau keadaan keseluruhan kediaman penduduk yang terlibat.

“Ini (penggunaan dron) adalah paling selamat dan kami telah pun terbangkan dron ke sana untuk melihat muka bumi dari atas supaya anggota dapat memahami taburan penduduk di kawasan itu.

“Data ini juga dapat membantu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sekatan jalan raya di Batu 21 Sungai Lui, hari ini.

Jelasnya lagi, penggunaan dron juga dijalankan di dua lokasi di Simpang Renggam, Kluang, Johor yang lebih awal dikenakan PKPD iaitu bermula tengah malam 27 Mac.

Abdul Hamid berkata, kira-kira 50 anggota polis ditugaskan menjalankan kawalan di dua lokasi sekatan jalan raya di Jalan Sungai Lui iaitu di Batu 21 dan Batu 24 yang menghala keluar ke Semenyih dan Jelebu, Negeri Sembilan.

“Setakat ini persediaan anggota kami di sini berada di tahap yang terbaik. Sebuah dewan serba guna berhampiran akan kita gunakan sebagai pusat menyimpan bekalan makanan dan bilik gerakan PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Semalam, kerajaan memutuskan pelaksanaan PKPD di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui berkuat kuasa tengah malam tadi sehingga 13 April, melibatkan 3,918 penduduk merangkumi 700 rumah daripada tujuh kampung. – Bernama


Pusat rawatan MAEPS persediaan jika kes Covid-19 meningkat

Kumara Sabapatty
muhyiddin-maeps1
Muhyiddin memantau persiapan terakhir di Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 Berisiko Rendah di Maeps Serdang pada Isnin 30 MAC 2020. Foto: FB Muhyiddin
 

KUALA LUMPUR  – Penyediaan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) adalah salah satu langkah kesiapsiagaan kerajaan menghadapi kemungkinan penularan wabak Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan lawatan memantau kerja-kerja akhir penyediaan di MAEPS di Serdang yang mampu menempatkan kira-kira 600 pesakit dalam satu-satu masa.

Menurutnya, ia dibina sebagai persediaan menempatkan pesakit Covid-19 jika bilangan kes positif wabak itu terus meningkat.
muhyiddin-maeps
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memantau persiapan
 terakhir di Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 Berisiko 
Rendah di MAEPS Serdang  pada Isnin 30 MAC 2020. Foto: 
FB Muhyiddin.
“Ia diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kerja Raya.

“Antara perkhidmatan yang disediakan di pusat ini ialah perkhidmatan klinikal, wad pesakit dalam untuk pesakit Covid-19, ruang resuscitation untuk menstabilkan pesakit dalam keadaan kecemasan, perkhidmatan ambulan, perkhidmatan farmasi, perkhidmatan x-ray dan perkhidmatan makmal patologi,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan rasmi dalam Facebooknya hari ini.
muhyiddin-maeps3
Muhyiddin memantau persiapan terakhir di Pusat Rawatan dan 
Kuarantin Covid-19 Berisiko Rendah di Maeps Serdang pada 
Isnin 30 MAC 2020. Foto: FB Muhyiddin
Tambah Ahli Parlimen Pagoh itu lagi, fasiliti yang disediakan kepada pesakit termasuk katil, meja, kerusi, loker, TV, lounge, WiFi, komputer, surau, CCTV, tandas, ruang mandi, bilik persalinan dan ruang istirehat.

Menurutnya, bagi anggota yang bertugas pula, pusat itu menyediakan kaunter jururawat (nurse station), bilik rawatan dan kecemasan (treatment room/resuscitation room), ruang rehat anggota, bilik persalinan anggota dan ruang mandi termasuk ruang “Donning/ doffing” PPE (personal protective equipment) serta ruang mesyuarat dan seminar.

“Pada ketika ini kapasiti di hospital Covid-19, Pusat Kusta dan Institut Latihan KKM adalah mencukupi untuk menempatkan pesakit Covid-19,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:*  MAEPS ‘bertukar’ jadi hospital sementara Covid-19

Jemaah tabligh punca utama kes naik mendadak di Hulu Langat

Nizam Zain
MGF30032020_Sidang-Media-KP-KKM_02
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah hadir pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI
 

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kemungkinan kluster jemaah tabligh antara penyumbang utama kepada peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di Hulu Langat, Selangor.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ujian saringan yang dilaksanakan pihak mendapati berlaku peningkatan kepada 91 kes positif khususnya di Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di Batu 23, Sungai Lui.

“Asalnya, kita dapati ada 71 kes, apabila kita masuk dua hari lepas, kita dapati ada peningkatan hingga 91 kes, satu kes di luar madrasah, dan 91 kes di dalam Batu 21 hingga Batu 24. Kluster besar kemungkinan sebab ada kaitan dengan jemaah tabligh.

“Dalam tempoh sebulan, jemaah tabligh telah menularkan penyakit ke generasi kedua, ketiga, keempat sehingga kelima. Jadi mungkin, ada di antara mereka, penduduk kampung di Hulu Langat ini atau Kampung Sungai Lui yang positif,” katanya pada sidang media di KKM hari ini.

Terdahulu kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh kampung di Hulu Langat, Selangor berkuat kuasa tengah malam tadi hingga 13 April ini.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, arahan itu membabitkan kawasan di Batu 21 hingga Batu 24, Sungai Lui.

Tindakan itu dibuat susulan nasihat KKM yang mengesahkan terdapat 71 kes positif jangkitan Covid-19 membabitkan 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di Batu 23, Sungai Lui.

Sementara itu, mengulas perkembangan arahan PKPD di Simpang Renggam, Noor Hisham berkata, pihaknya akan melaksanakan 300 ujian saringan Covid-19 setiap hari di kawasan itu.

“Sekarang ini setiap hari kita boleh laksanakan 300 ujian untuk mereka dalam kumpulan sasaran KKM. Kita harapkan dalam tempoh 14 hari kita mungkin dapat kurangkan kes jangkitan Covid-19 di dua kampung tersebut.

“Kita jangka dalam masa 10 hari kita mungkin akan siapkan semua ujian tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Bekalan rokok tak cukup selepas kampung ditutup

MalaysiaGazette
MGF270320_HUMAN-INTEREST-COVID19_11-1
Gambar hiasan

SIMPANG RENGGAM – Makanan kucing dan rokok merupakan antara barang yang diminta penduduk Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatakan.

China Press melaporkan, Jabatan Kebajikan Masyarakat bagaimanapun tidak dapat memenuhi permintaan penduduk berkenaan kerana apa yang diminta bukanlah barang keperluan asas.

Jabatan Kebajikan Masyarakat Kluang sebaliknya meminta perokok yang berdepan “kekurangan stok” kerana tidak dapat membeli rokok dalam tempoh kawalan pergerakan supaya mengambil peluang untuk membuang tabiat merokok yang tidak sihat.

Jurucakap jabatan itu juga menafikan bahawa penduduk berdepan masalah kekurangan bekalan barangan keperluan harian.

Jelasnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat bersama Jabatan Pertahanan Awam telah menghantar bekalan ke dua kampung yang kini “ditutup” itu.

“Bekalan akan diletak dalam dewan Majlis Daerah Simpang Renggam dulu dan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan melakukan pengagihan mengikut jumlah orang dalam keluarga,” katanya.

Tinjauan wartawan pula mendapati jalan-jalan kecil ke dua kampung itu juga telah ditutup polis untuk mengelakkan penduduk kampung menyelinap keluar.

Sementara itu, Nanyang Siang Pau melaporkan, ‘pesta nyanyi’ sekumpulan remaja di sebuah padang di Kepong Baharu, Kuala Lumpur berakhir apabila polis melakukan kunjungan selepas menerima maklumat.

Kejadian itu berlaku pada kira-kira tiga petang pada Ahad apabila sekumpulan remaja mengingkari perintah kawalan pergerakan dengan berkumpul dan bernyanyi di padang.

Polis yang tiba di tempat kejadian tidak mengeluarkan saman, sebaliknya mendenda pesalah melakukan ketuk ketampi selama puluhan kali sebelum membenarkan mereka pulang. – MalaysiaGazette

Masjid jadi pusat komuniti agih bantuan asnaf: Dr Zulkifli

tyrazalhe

 

Tabung masjid mesti dimanfaat anak kariah terutama di kampung

BANGI – Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam seluruh Malaysia bersetuju menjadikan masjid sebagai pusat komuniti bagi pengagihan bantuan kepada asnaf dan mereka yang memerlukan.

Perkara itu antara beberapa perkara yang dipersetujui dalam Persidangan Khas Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Seluruh Malaysia Tahun 2020 yang diadakan pagi tadi.

Mesyuarat berkenaan antara lain bersetuju sebahagian daripada peruntukan tabung masjid perlu dimanfaatkan untuk anak-anak kariah terutamanya di kawasan kampung.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, jawatankuasa masjid dipertanggungjawabkan untuk mengenalpasti anak kariah yang tidak berstatus asnaf tetapi memerlukan bantuan bagi memudahkan penyaluran sumbangan.

“Semua pihak perlu prihatin berhubung penangguhan aktiviti di surau dan masjid termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah. Justeru, semua pihak perlu akur dengan ketetapan ini.

“Semua masjid dan surau perlu melaksanakan operasi pembersihan dan nyahkuman dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Zulkifli turut memaklumkan cadangan pemasangan bacaan al-Quran di masjid sebelum azan akan diperincikan lebih lanjut oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing.


PKPD: Jalan utama hubungkan Jelebu-Hulu Langat ditutup

Aqila

 

Kekang kemasukan orang luar, elak penularan COVID-19 ke daerah terbabit

JELEBU – Jalan utama menghubungkan daerah Jelebu dengan Hulu Langat, Selangor ditutup hari ini sebagai langkah mengekang penyebaran COVID-19 di daerah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah, Nurul Huda Musa berkata, penutupan itu juga selari dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang diumumkan kerajaan semalam bagi kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat.

Arahan PKPD dikeluarkan bagi kawasan itu apabila 71 kes positif jangkitan COVID-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di kawasan tersebut.

“Jalan Genting Peres ke Hulu Langat ini laluan utama dari kawasan itu ke Jelebu. Pada mesyuarat Jawatankuasa Bencana pagi tadi dan cadangan daripada Ketua Polis Daerah Jelebu, kita ambil langkah berjaga-jaga untuk mengekang kemasukan orang luar daerah ke Jelebu bagi elak penularan COVID-19 ke daerah ini.

“Jalan yang ditutup ini berada kira-kira 25 kilometer dari Hulu Langat,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD yang berkuat kuasa hari ini sehingga 13 April itu, melibatkan tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu.

Negeri Sembilan hari ini merekodkan 10 lagi kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan 172 kes. – Bernama


COVID-19: Tujuh tips jaga kesihatan mental

Dr Rozanizam Zakaria

 

Kongsi perasaan dengan individu yang diselesai

LET’S be honest. Fasa ini memang akan menguji emosi dan psikologi kita. Terutamanya individu positif atau pun  Kes Yang Disyaki (PUI), mahupun keluarga mereka terkesan secara langsung.

Jadi bagaimana mahu mengelakkan jadi lebih tertekan? Saksikan perkongsian dari Dr Rozanizam Zakaria dengan mengklik pautan Youtube beliau.

Di bawah adalah nota ringkas yang dapat saya rumuskan dari video perkongsian beliau:

1. Kekalkan rutin harian yang sihat:
 
– tidur dan rehat yang mencukupi
– pemakanan yang seimbang dan sihat
– selitkan aktiviti-aktiviti riadah yang ringan

2. Teruskan berhubung dan bersosial:
 
– Berkongsi perasaan dan emosi dgn orang yang anda rasa selesa, untuk memastikan anda berasa disokongi dalam situasi mencabar kini.

3. Keep your perspective right, cara kita melihat kepada situasi:
 
– Contoh: sekiranya kita melihat isolasi sebagai hukumam atau bebanan, ia akan melahirkan emosi yang negatif ke atas diri kita.

Akan tetapi, sekiranya kita melihat isolasi sebagai pencegahan supaya orang lain tidak mempunyai atau dijangkiti masalah yang sama, mungkin kita mampu melihat ia dari perspektif positif.

Hampir 80 peratus pesakit COVID-19 mengalami gejala ringan dan lebih 90 peratus pula berjaya sembuh. Sekiranya kita melihat dari perspektif positif, ia akan memberi impak  positif kepada emosi kita.

4. Berlatih cara pernafasan + meditasi:
 
– membantu mengurangkan adrenaline dalam otak kita dan juga mengurangkan perasaan panik mahupun gelisah

5. Keep your mind busy:
 
– Sibukkan minda anda dgn aktiviti. Sekiranyan pemikiran kita kosong, maka akan lebih mudah untuk pemikiran negatif menguasai pemikiran kita.

6. Monitor our thoughts:
 
– Pemikiran negatif akan menarik emosi yang negatif.

Dalam keadaan tertekan kita mudah tertarik dgn fikiran-fikiran negatif seperti “saya takkan sembuh”, “saya menyusahkan org”, “orang lain lebih bahagia, sedangkan sy terperangkap di sini”.

Oleh yg demikian cuba tepiskan dan cabar pemikiran negatif dgn pemikiran positif agar ia mampu mewujudkan emosi yg lebih sihat. 

7. Sokongan Spiritual:
 
– Cari hikmah dan makna dengan apa yang terjadi.

Seperti yang di ajar Rasulullah ï·º:

“Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”
 
(Hadith riwayat Muslim, No.Hadith : 2999)

*Dr Rozanizam Zakaria- Naib presiden 2 I-Medik Pakar Psikiatri UIAM

Pemimpin DAP melampau tuduh kerajaan tak telus agih bantuan

fazleen safina 

 

Adakah beliau telah beri sumbangan guna saluran Pusat Khidmat?

BANGI – Pemimpin parti tamak haloba DAP, Liow Cai Tung kelihatan sangat melampau apabila menuduh kerajaan Malaysia tidak cekap dan tidak telus dalam mengedarkan makanan dan keperluan asas kepada rakyat.

Menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya itu sebagai ‘tidak peka’, Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Cikgu Izzat Johari mempersoalkan sekiranya Cai Tung mewakili mana-mana badan bukan kerajaan (NGO).

“Atau adakah beliau telah memberi sumbangan dengan menggunakan saluran Pusat Khidmat?

“Jika NGO, adakah betul-betul NGO atau NGO proksi politik semata-mata bagi mengaburi mata pihak kerajaan Malaysia dan rakyat?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Cai Tung mendakwa bahawa NGO perlu terbabit mengedarkan makanan serta barangan keperluan asas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana kerajaan dilihat kurang telus dan cekap dalam pengagihan bantuan.

Cai Tung berkata, kerajaan juga dilihat tidak mempunyai koordinasi serta komunikasi dengan jabatan berkenaan dan masyarakat, selain mempunyai pemahaman yang kurang lengkap berkenaan permasalahan itu sebelum membuat keputusan itu.

“Disebabkan kerajaan yang kurang telus dan cekap, banyak NGO mengambil inisiatif mengedarkan makanan dan keperluan asas kepada golongan sasar sejak pelaksanaan arahan PKP pada 18 Mac lalu. Usaha ini tidak harus dilepas pandang kerajaan,” katanya.

Menempelak perkara itu, Cikgu Izzat mengingatkan pemimpin rasis itu supaya tidak mencemarkan nama baik NGO, yang sememangnya sentiasa memberikan bantuan dalam apa jua keadaan, selain menegur kerajaan sekiranya terdapat sebarang kekurangan dan kesilapan.

“Inilah peranan NGO dan bukannya bertindak sebagai badan yang menjadi proksi politik kononnya badan bebas, sedangkan dipayungi ahli politik.

“Kepada kerajaan Malaysia, kami barisan NGO bersedia bekerjasama dengan barisan hadapan untuk memastikan bantuan dan sumbangan dapat diberikan dengan baik kepada semua golongan yang memerlukan,” katanya.


Isnin, 30 Mac 2020

Ingat Fatwa Covid-19, rupanya fatwa politik.. Orang sibuk dengan ancaman virus, dia sibuk partinya tak dapat makan



FATWA MENGEJUTKAN DARIPADA PENASIHAT UMUM AMANAH

Mengejutkan sekali bila, tatkala seluruh rakyat sedang cemas berhadapan dengan wabak COVID-19, tiba-tiba sahaja Penasihat Umum AMANAH, Datuk Seri Ahmad Awang, muncul secara live lewat malam tadi untuk memberi fatwa dalam media rasmi AMANAH, Media Oren.

Ingatkan fatwa yang hendak diberi adalah mengenai hukum syarak ke atas mereka yang tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Rupa-rupanya fatwa yang diberi oleh Datuk Seri Ahmad Awang adalah mengenai hukum syarak ke atas mereka yang didakwa khianat kerana “meninggalkan Pakatan Harapan melalui mereka keluar meninggalkan parti mereka atau parti itu sendiri meninggalkan Pakatan Harapan”.

Kata Datuk Seri Ahmad Awang: “Mengkhianati amanah rakyat, mengkhianati amanah parti, mengkhianati amanah Kerajaan Pakatan Harapan dari segi syarak adalah satu perkara yang dilarang keras dan ia boleh membawa kepada kerosakan dan merupakan dosa besar”.

Tambah Datuk Seri Ahmad Awang: “Mereka yang bersubahat untuk membentuk kerajaan dengan kumpulan-kumpulan pengkhianat ini adalah terlibat sebagai orang yang bersubahat dan mereka juga adalah berdosa kerana mereka juga adalah pendukung kepada pengkhianat tersebut”.

Dalil yang Datuk Seri Ahmad Awang gunakan ialah Ayat 27 Surah al-Anfal yang bererti: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”.


Beberapa perkara berbangkit daripada pengeluaran fatwa oleh Datuk Seri Ahmad Awang ini:

(1) Apakah Datuk Seri Ahmad Awang mempunyai kelayakan dari sudut undang-undang untuk mengeluarkan fatwa?

(2) Apakah fatwa yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Ahmad Awang adalah fatwa yang benar atau fatwa yang batil?

(3) Apakah fatwa yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Ahmad Awang membawa makna kerajaan yang ada sekarang adalah sebuah kerajaan yang tidak sah dari sudut hukum syarak?

(4) Apakah fatwa yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Ahmad Awang turut terkena ke atas Yang di-Pertuan Agung yang terlibat di dalam pembentukan kerajaan yang ada sekarang?

(5) Mengapakah fatwa ini dikeluarkan bila ia menjejaskan kepentingan Pakatan Harapan tetapi tidak dikeluarkan bila ia menjejaskan kepentingan PAS dan Barisan Nasional?


Semoga alim ulama’ akan dapat membicarakan perkara ini dalam kadar segera sebelum ia lebih membarah.

MR :  AMANAH makin hari makin celaru


Permainan Politik Licik PH bukan nak Parlimen bincang pakej ransangan untuk rakyat tapi....


NAJIB bongkarkan lagi hipokrasi dan permainan politik licik PH (Pakatan Harapan).

Baca perlahan-lahan.

PH dengan gengnya sedang mendesak dan menuntut kerajaan PN (Perikatan Nasional) untuk mengadakan sesi Parlimen dua hari untuk berdebat dan meluluskan pakej rangsangan ekonomi COVID (COVID-19) yang telah diumumkan Jumaat lalu.

Alasan PH ialah kerana pakej rangsangan ini melibatkan kenaikan perbelanjaan langsung kerajaan sebanyak RM22 bilion yang tidak ada dalam bajet 2020 yang diluluskan PH maka ianya melanggar prinsip demokrasi berpalimen serta prinsip “Good Governance”.

Sebab itu, PH kata kenaikan RM25 bilion ini perlu diluluskan selepas didebat dua hari di Parlimen.

Di bawah undang-undang Malaysia, ianya memang benar bahawa segala perbelanjaan tambahan yang pecahkan bajet tahunan perlu diluluskan.

Tetapi ianya BOLEH dan dibenarkan untuk diluluskan kemudian setelah wang dibelanjakan.

Adakah PH semua lupa bahawa pada bulan April 2019, bekas Menteri Kewayangan memohon untuk luluskan bajet tambahan sebanyak RM19.6 bilion bagi tahun 2018 setelah mereka pecahkan bajet 2018 yang dibentang saya dan diluluskan parlimen pada tahun 2017?

Ya, kerajaan PH telah lari bajet 2018 dengan amat besar di mana defisit negara tahun 2018 telah dinaik PH dari 2.8% yang diluluskan oleh BN ke 3.7%.

Sebab itu pada April 2019, Guan Eng usulkan bajet tambahan bagi tahun 2018 sebanyak RM19.6 bilion SETELAH wang itu sudah dibelanjakan dan bajet sudah pecah dalam tahun sebelumnya.

“2 Apr 2019: Guan Eng mohon belanjawan tambahan RM19.6 bilion” https://www.malaysiakini.com/news/470559

Tak ada pulak PH tuduh Guan Eng langgar prinsip demokrasi berpalimen serta prinsip “Good Governance” kerana dia tak minta bajet tambahan diluluskan SEBELUM wang itu dibelanjakan masa itu pun.

Ya, maksud PH ialah perbelajaan tambahan RM19.6 bilion PH pada masa BUKAN krisis boleh diluluskan oleh parlimen 4 bulan kemudian selepas ianya dibelanjakan tetapi perbelanjaan tambahan RM22 bilion PN pada masa KECEMASAN KRISIS perlu diluluskan oleh parlimen sebelum ianya dibelanjakan.

Jadi, kenapakah PH asyik desak kerajaan PN untuk membawa permintaan bajet tambahan bagi pakej rangsangan ekonomi Covid untuk diluluskan dalam parlimen sebelum ianya dilaksanakan walaupun ianya memang dibenarkan di bawah undang-undang untuk mendapat kelulusan parlimen pada masa hadapan setelah wang telah dibelanjakan?

Kerana setelah berdebat dua hari, Parlimen akan suruh semua Ahli Parlimen untuk undi setuju atau tidak untuk memberi bajet tambahan bagi pakej rangsangan.

(Jika bukan untuk diundi, buat apa penat-penat debat 2 hari dalam parlimen)

Masa itu, PH pun ada peluang (walaupun tipis) untuk menewaskan usul kerajaan PN, menghalang pakej rangsangan untuk dilaksanakan dan menumbangkan kerajaan PN supaya geng-geng kewayangan, kekanda dan Lid boleh menjadi Menteri sekali lagi.

Hiprokit tak, PH?

Licik tak, permainan politik PH?

MR :  Mereka pentingkan perut mereka... rakyat semua mereka kencing

Pakej Rangsangan Ekonomi: Bagus, Tetapi Pertimbang Pakej Seterusnya Dan Segerakan Agihan BPN





PAKEJ Rangsangan Ekonomi (PRE), #PrihatinRakyat rata-rata mendapat sambutan positif. Kritikan akan sentiasa wujud, dan adakalanya ia kritikan berbaur politik yang tak relevan pada waktu ini. Saya telah mengulas sewaktu FB Live semalam dan banyak pihak lain juga telah menolak cubaan mempolitikkan situasi seperti dakwaan palsu bahawa PRE perlu kelulusan Parlimen dan sebagainya.

Hakikatnya, PRE ini adalah intervensi kerajaan yang paling besar pernah dibuat. Ini memberi gambaran bahawa kerajaan sedar dan maklum tentang apa yang sedang berlaku di peringkat bawahan. Membawa semangat tiada siapa yang akan tecicir, PRE ini dilihat amat menyeluruh dan menyentuh pelbagai segmen masyarakat.

Meskipun begitu, tidak salah rasanya untuk kita mencadangkan beberapa perkara untuk mengukuhkan lagi PRE, termasuk dari segi pelaksanaannya. Dua perkara utama bagi saya:

1) Inisiatif penting pastinya adalah pemindahan wang tunai terus kepada rakyat. Di sini, pengumuman bahawa Bantuan Prihatin Nasional akan diagihkan pada lewat April sedikit membimbangkan. Jika kekhuatiran Kerajaan adalah hendak mengambil masa mendapatkan data M40 yang kali pertama mendapat bantuan sebegini, maka agihkanlah secepat mungkin kepada golongan B40 yang paling terkesan. Saya risau banyak individu yang hilang mata pencarian sepanjang tempoh PKP tidak mampu tunggu sehingga hujung April sebelum mendapat “relief” dari Kerajaan.

2) Pemberian subsidi gaji RM600 adalah suatu langkah tepat. Cuma, timbul kekhuatiran ia terlalu kecil dan majikan masih perlu menanggung jumlah yang besar sekiranya hendak mengekalkan pekerja sedangkan perniagaan yang langsung tidak mampu menjana pendapatan dalam tempoh sukar ini.
Ini bermakna, kerajaan perlu mempertimbang untuk menilai semula jumlah RM600 sekiranya benar mahu memastikan pekerja sedia ada tidak kehilangan pekerjaan dan pendapatan dalam tempoh masa panjang.


Saya yakin semua ini boleh dipertimbangkan memandangkan kedudukan fiskal negara masih terpelihara buat masa sekarang – apatah lagi gambaran bahawa PRE yang telah diumumkan banyak menggunakan pembiayaan dividen GLC dan bukan terbitan hutang baru Kerajaan.

Bermakna jika perlu, Kerajaan masih mampu berbelanja. Saya ulangi, defisit bukan keutamaan sekarang. Kalau perlu terbit special sukuk atau bon, tak perlu teragak-agak. Dari suatu sudut, adakalanya Kerajaan bukan hanya wajar fikir kos berbelanja, tetapi juga kos jika tidak belanja.

Barangkali Kerajaan bijaksana mahu “simpan peluru” untuk suatu lagi pakej lebih bersasar setelah penilaian penuh kesan COVID-19 dibuat kelak. Sebab kita tak tahu berapa lama dan berapa dalam kesan ekonomi dunia akibat krisis ini. Saya yakin PM dan Kabinet ada kebijaksanaan untuk mengurus situasi sebaik mungkin.

Apa sekalipun, strategi untuk mengatasi permasalahan ini haruslah jelas dan dapat memberi ketenangan kepada semua pihak. Saya berharap Kerajaan terus prihatin dan cakna bukan hanya kepada suara rakyat tetapi kepada situasi ekonomi – supaya tidak teragak-agak jika perlu tindakan susulan.

Buat masa sekarang, yang paling penting dalam tempoh mencabar ini adalah pertama, membantu wira barisan hadapan kita, dan kedua, pelaksanaan PRE ini. Sama-sama kita doakan pemimpin-pemimpin kita diberi kekuatan untuk melaksanakan yang terbaik untuk negara.

*SHAHRIL HAMDAN-Ketua Penerangan UMNO Malaysia

Harga Siling Penutup Hidung Dan Mulut RM1.50 Seunit Mulai 1 April

UMNO ONLINE




PUTRAJAYA – Kerajaan menetapkan harga siling baharu bagi penutup hidung dan mulut atau topeng muka adalah RM1.50 seunit berkuat kuasa 1 April ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata harga baharu itu lebih murah berbanding yang ditetapkan sebelum ini iaitu RM2.00 seunit.

“Topeng muka tidak banyak dikeluarkan dalam negara tetapi kebanyakannya diimport, jadi kita juga terikat dengan harga yang diimport.

“Kita akan terus mengkaji dari semasa ke semasa harga (topeng muka) itu dan jika didapati harga yang dibeli sudah pun menurun daripada harganya, kita berkemungkinan kaji balik dan umum harga baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sini hari ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai sama ada kerajaan akan menetapkan harga bagi cecair pembasmi kuman, Ismail Sabri menjelaskan perkara itu akan dibincangkan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sekiranya ada keperluan.

Beliau berkata situasi harga barangan cecair pembasmi kuman berbeza dengan situasi harga penutup hidung dan mulut memandangkan barangan berkenaan mempunyai jenama yang berbeza-beza.

“Setakat ini, KPDNHEP belum menetapkan harga untuk cecair pembasmi kuman kerana barangan ini mempunyai jenama yang berbeza dan harganya mungkin berbeza kerana ada yang diimport dan tempatan.

“Jadi kita tiada lagi ketetapan harga terkawal untuk cecair pembasmi kuman, berbeza dengan topeng muka. Namun, saya akan berbincang dengan pihak KPDNHEP jika ada keperluan,” kata Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan.- BERNAMA

Persatuan perubatan mohon kerjasama rakyat putuskan rantaian Covid-19

PKP dilaksanakan sejak 18 Mac hingga 14 April ini.
 
PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 tidak mencukupi tanpa kerjasama penuh semua lapisan masyarakat mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP).

Presiden MMA, Dr N Ganabaskaran yakin pihak berkuasa bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan berlaku gelombang ke-3 jangkitan Covid-19, tetapi persoalannya sejauh mana rakyat mahu memberi kerjasama kepada petugas barisan depan.

Beliau berkata, tanggungjawab memerangi pandemik itu bukan terletak di bahu Kementerian Kesihatan saja.

Katanya, rakyat yang akhirnya terpaksa menanggung akibat daripada tindakan mereka melanggar PKP.

“Kementerian boleh sahaja buat sehingga berapa tahap pun.

“Kalau rakyat masih mahu main-main, berjalan kaki dan berada di luar rumah, apa-apa yang kerajaan dan kementerian lakukan tidak mencukupi,” katanya kepada FMT.

Sabtu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, 2 dewan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) akan dijadikan pusat kuarantin dan rawatan sebagai persediaan jika berlaku peningkatan drastik pesakit Covid-19 yang dijangka pada pertengahan April.

PKP yang dilaksanakan sejak 18 Mac, dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Kerajaan turut menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan di Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang mulai Jumaat lalu serta Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui di Hulu Langat, Selangor tengah malam tadi, susulan lonjakan kes Covid-19.kesih

‘Tok Ayah’ Muhyiddin semakin disenangi rakyat





Tiga krisis yang berlaku serentak – ekonomi, kesihatan dan politik – telah membawa tekanan amat besar kepada Malaysia dan rakyatnya.

Di waktu ini, Malaysia dan rakyatnya memerlukan sebuah kerajaan yang efektif, tegas dan dihormati majoriti rakyat Malaysia. Ini penting kerana usaha memerangi Covid-19 memerlukan setiap arahan dan usaha kerajaan diberikan perhatian serius dan dipatuhi rakyatnya tanpa was-was.

Tiada siapa sangka krisis politik negara pada akhir Februari akan memberikan Malaysia perdana menteri baru, iaitu Muhyiddin Yassin untuk berdepan pandemik Covid-19 yang meningkat 100 kali ganda dalam masa sebulan, yakni daripada 25 kes pada 28 Feb kepada 2,470 pada 29 Mac.

Kadangkala seseorang memerlukan krisis untuk menonjolkan bakat terpendam dalam dirinya. Itulah yang berlaku kepada perdana menteri kita, dan setakat ini, prestasi Muhyiddin tidak menghampakan ramai yang kagum dan berpuas hati dengannya.

Cara komunikasi Muhyiddin yang unik umpama seorang bapa kandung di kaca televisyen berunding, merayu, mengingatkan dan bertegas sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan semakin menawan hati rakyat Malaysia.

Mesej sempoinya “stay at home”, cerita kisah kehidupan dirinya sebagai rakyat biasa dan sebagai Tok Ayah yang juga terpisah dengan cucu kerana PKP serta penggunaan contoh santai seperti Makcik Kiah menyebabkan ucapan Muhyiddin yang panjang jela mudah difahami, diikuti dan diingati ramai.

Perkara yang paling menonjol di dalam ucapan terbarunya ialah pengakuan rendah dirinya bahawa kerajaan Perikatan Nasional bukanlah kerajaan yang diundi rakyat. Kebijaksanaan ini semakin hari semakin menambat hati kawan dan lawannya.

Muhyiddin juga tidak menghabiskan masa berbalas hujah dengan kritikan dan desakan pembangkang, contohnya kritikan terhadap keputusannya mengerahkan tentera membantu polis menguatkuasakan PKP mahupun desakan pembangkang agar pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.

Tindakan ini dilihat bijak kerana sebarang perbalahan politik pada waktu ini hanya akan menyebabkan perhatian rakyat beralih kepada perbalahan politik daripada membantu melawan penularan Covid-19.

Antara perkara yang paling terserlah di dalam kepimpinan Muhyiddin sepanjang PKP ialah mengekalkan komunikasi satu saluran. Meskipun ada sedikit kekeliruan pada peringkat awal, tetapi saban hari komunikasi satu saluran ini semakin jelas dan efektif.

Kesannya, setakat ini, tiada percanggahan dan kecelaruan kenyataan antara menteri-menteri Kabinet dan tiada pertikaian antara ahli Kabinet. Ini jauh berbeza dengan kerajaan Pakatan Harapan dahulu.

Selain itu, meskipun pernah bersama kerajaan PH selama 22 bulan, Muhyiddin nampakya tidak terikut-ikut dengan cara kerajaan PH yang terus-menerus menyalahkan kerajaan Barisan Nasional sepanjang pemerintahannya.

Setakat ini, tiada sepatah kata daripada Muhyiddin yang mempertikaikan jasa atau salah laku kerajaan PH. Ini satu tindakan bijaksana yang wajar dipuji.

Tahniah juga diucapkan kepada bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad yang turut menggesa rakyat mematuhi PKP dan kempen duduk di rumah yang dipelopori Muhyiddin.

Sifat negarawan yang dimiliki Mahathir ini wajar dicontohi, tetapi sayangnya sifat ini tidak dimiliki mereka yang berada dalam PH. Ada di antara mereka masih bersikap “merapu pun tak apa asalkan diri tidak dilupakan” meskipun negara sedang berdepan krisis paling rumit dan besar sejak merdeka.

Apapun, sekarang bukan masa untuk berbalah, mementingkan diri mahupun merendah-rendahkan kemampuan kerajaan. Sekarang ialah masa untuk menyokong dan memperbaiki segala usaha kerajaan. Berilah teguran dan cadangan secara membina, bukannya demi menghentam dan meraih mata politik.

Jangan sengaja menimbulkan isu politik yang memerlukan perhatian dan masa kerajaan untuk menyelesaikannya. Ini akan menyebabkan kerajaan tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha memerangi Covid-19, menyelamatkan ekonomi dan menjaga rakyat dalam kesusahan.

Sesungguhnya, kita semua terlibat dalam perang terhadap Covid-19. Oleh itu, kita perlu bersama-sama memainkan peranan kita.

Perkara terpenting ialah kita perlu memastikan kita tidak menjadi ejen penyebaran. Amalkan kesedaran untuk memerhatikan aktiviti tangan kita sentiasa. Kita perlu sentiasa sedar apa yang disentuh tangan kita. Amalkan membasuh tangan selalu. Kita wajib membina kesedaran baru untuk mengawal tangan daripada menyentuh muka dalam apa jua keadaan.

Dengan beberapa perkara mudah ini sahaja, kita dapat membantu meratakan lengkung jangkitan Covid-19 ini dan seterusnya menghalang virus ini melumpuhkan sistem kesihatan negara.

Marilah kita berganding bahu menghadapi krisis Covid-19 ini dengan bersangka baik, memberi ruang dan sokongan kepada perdana menteri dalam melaksanakan tugasnya bersama Kabinetnya,
menyebarkan tenaga positif kepada semua petugas barisan depan kita dan saling membantu rakyat Malaysia yang berada dalam kesusahan.

Semua ini akan memastikan peluang kita kekal cerah untuk memenangi perang terhadap makhluk ghaib Covid-19 ini dan tsunami kemelesetan ekonomi yang bakal menyusul.