KUALA LUMPUR: MIC menghormati keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno
menggantung Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan Timbalan Presiden
parti kerana ia adalah hak parti berkenaan.
Presidennya Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata MIC tidak mencampuri
sebarang urusan atau keputusan yang ditetapkan Umno memandangkan perkara
itu merupakan hal dalaman parti berkenaan.
"Mereka sudah buat keputusan. Kami tidak campur tangan dengan urusan
parti lain dalam Barisan Nasional (BN). Saya rasa parti komponen BN
mempunyai hak mengambil keputusan yang dirasakan perlu.
"Jadi, apa sahaja keputusan adalah urusan dalaman parti itu. MIC akan
menghormatinya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Bengkel
Koordinasi dan Pengurusan Strategik Media Sosial, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan MT Umno
semalam untuk menggantung jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden
parti berkuat kuasa serta-merta sehingga pemilihan MT akan datang.
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan keputusan itu selepas mesyuarat MT.
Tugas Timbalan Presiden akan dijalankan Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dr Subramaniam berkata MIC juga pernah dan akan menjalankan tindakan
seperti itu terhadap mana-mana anggotanya yang didapati melanggar
disiplin demi kebaikan parti.
"Kami pernah menggantung ahli. Kami juga pernah menyingkirkan mereka
kerana berasakan ia adalah keputusan yang tepat dan parti perlu
melakukannya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan