Isnin, 31 Ogos 2009

Catatan fasa dua Ramadan dan permainan perkauman BN yang berbahaya

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN


Ramadan sudah melewati fasa 10 hari kedua, yang dijanjikan keampunan (maghfirah), selepas Allah melimpahkan rahmat, sebelum "pembebasan dari api neraka".

Bagi yang alpa-leka dan mensesiakan tempoh satu pertiga Ramadan yang berlalu itu, masa belum terlambat untuk kembali merebut peluang keemasan, yang tentunya tidak dapat dipastikan akan berulang pada tahun depan.

Perhatikan di sekeliling, mungkin ada anggota keluarga atau rakan taulan yang bersama-sama menikmati juadah berbuka tahun lalu, bertarawikh dan bertadarus, tetapi kini sudah menghadap Ilahi.

Madrasah Ramadan, pusat latihan mendidik diri menundukkan nafsu, bulan penuh keberkatan menemui diri di malam-malamnya, sambil beristighfar, bermunajat dan bertaubat penuh keinsafan.

Ramadan juga mendidik jiwa menjernihkan hati, menyantuni golongan fakir, mengasihi orang tua, menyuburkan sifat pemurah, meluhurkan tekad, mengikis budaya tamak-haloba.

Ramadan turut mendorong dan menyemarakkan semangat jihad, mengangkat martabat umat, meninggikan darjat agama dan bersedia mengorbankan kepentingan diri.

Masya-Allah, sungguh luarbiasa bulan istimewa ini. Pastikan anda dan saya dapat memanfaatkan setiap detik di dalamnya untuk beribadah setulus dan seikhlasnya.

II.

Agak berang Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Seri Ahmad Said Hamdan dengan pelbagai kritikan yang dihamburkan kepada badan berkenaan terutama berkaitan kes kematian Teoh Beng Hock.

Wibawa SPRM dipersoal oleh setiap lapisan masyarakat. Ia bagai diasak kiri dan kanan, depan dan belakang, atas dan bawah. Malah, dalam inkues yang berjalan, publik didedahkan dengan gelagat pegawainya yang mencurigakan.

Sebagai orang yang pernah berurusan dengan SPRM (dulunya BPR), ia tambah meneguhkan keyakinan saya bahawa badan itu perlu direformasi besar-besaran sebelum dapat melaksanakan misi unggul membanteras rasuah.

Syarat utama, pecat semua pegawai kanannya yang bukan saja dilihat bersekongkol dengan pemerintah tetapi lebih buruk lagi, "memperdagangkan" laporan rasuah demi mengejar habuan lumayan.

Mana mungkin korupsi dapat dibanteras jika, misalnya, SPRM hanya ghairah dengan kes peruntukan Dun Selangor tetapi berdiam diri apabila TPM mengaku menggunakan helikopter Nuri milik TUDM untuk merasmikan mesyuarat agung Umno Penampang, 16 Ogos lalu. Senarai kes "pilih bulu" ini terlalu panjang untuk dibutirkan.

Seperti ditegaskan Prof Abd Rahman Embong dalam Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas, semua jenayah seperti membunuh, merompak, mencuri dan merogol mempunyai mangsa yang jelas, kecuali rasuah. Ia suatu jenayah yang cukup kompleks dan usaha menanganinya rumit sekali.

Justeru, bagi Alatas, sebarang perubahan struktural dan perundangan dalam pentadbiran pemerintah bagi tujuan menangani rasuah hanya akan berjaya sekiranya terdapat sekumpulan individu yang berprinsip tinggi dan teguh menduduki jawatan utama yang penting bagi kejayaan misi pencegahan rasuah.

III.

Keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir memang mengecewakan Umno pimpinan Najib Razak. Harapan untuk melihat momentum Manek Urai berjangkit ke Permatang Pauh, kubu Anwar Ibrahim, berkecai.

Trend mengundi Mac 2008 masih tidak berubah. Meskipun Umno bermain dengan bahaya api perkauman, seperti ditonjolkan melalui Utusan Malaysia, pengundi Melayu di kawasan bandar dan pinggir kota khususnya, tetap menolak BN, manakala masyarakat bukan Melayu makin menjauhkan diri, apatah lagi parti komponen seperti MCA bergolak dahsyat.

Terbaru isu kuil Hindu dan perarakan kepala lembu di Shah Alam pasti membuatkan pengundi India (yang pada awalnya seperti ada sebahagian daripadanya mahu kembali kepada BN) semakin dekat dengan siapa saja yang berseteru politik dengan Umno-BN.

Presiden PAS menyifatkan pengundi bermaklumat, seperti di Permatang Pasir, lebih cenderung untuk bersama Pakatan Rakyat. Mereka membuat keputusan untuk mengundi seseorang calon berdasarkan ilmu dan kefahaman.

Namun segalanya tidak mudah buat Pakatan. Pengundi Melayu harus lebih dijinakkan, terutama untuk mendekati PAS. Selagi PAS belum dapat menembusi kubu Umno, agak sukar BN ditumbangkan di peringkat pusat.

Dalam negara yang majoriti penduduknya Melayu-Muslim maka peneraju Pakatan harus datang dari parti Melayu-Muslim juga. Sentimen perkauman sempit yang dimarakkan sekarang memang boleh menjerat Umno, namun PAS harus segera bingkas memperlihatkan keupayaannya untuk memimpin perubahan.
Pengundi Melayu bukannya terlalu sukar untuk menolak Umno tetapi mereka mungkin lebih selesa untuk menunggu isyarat jelas daripada PAS dahulu ...

Keluarga Mangsa Sedih SPRM Bermuka-Muka

TV ANTARA


Keluarga Setiausaha Politik kepada Exco Selangor yang ditemui mati di bawah pengawasant Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Teoh Beng Hock, berdukacita dengan tuduhan rasuah yang dilemparkan suruhanjaya itu terhadap mangsa di inkues minggu lalu.

Adik kepada mangsa, Teoh Lee Lan, berkata SPRM bermuka-muka kerana sebelum ini mengesahkan Beng Hock dipanggil sebagai saksi, dan bukannya suspek dalam siasatan keatas kerajaan Selangor.

"SPRM menegaskan sebelum ini bahawa Beng Hock adalah saksi dalam penyiasatan. Sekarang Mohd Anuar (pegawai penyiasat) tuduh abang saya terima sogokan," kata Yee Lan.

Mohd Anuar Ismail, seorang pegawai penyiasat SPRM, ketika dipanggil ke kandang saksi pada 26 Ogos lalu mendakwa Beng Hock menerima wang dari sebuah syarikat swasta sebanyak RM112.

"Mengapa Mohd Anuar fitnah Beng Hock?" soal Lee Lan.

Beng Hock ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 14 ibupejabat SPRM Selangor, Plaza Masalam. SPRM sebelum ini mendakwa Beng Hock dipanggil sebagai saksi dalam operasi besar-besaran agensi itu terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Mangsa maut selepas disoalsiasat selama 10 jam tanpa henti.

Koroner, Azmin Muntapha Abas, atas permintaan peguam Gobind Singh Deo, mengarahkan supaya dakwaan Mohd Anuar itu ditarik-balik dari rekod inkues.

Lee Lan bagaimanapun berkata fitnah itu sudah terpalit ke muka mangsa. Beliau menuntut SPRM menunjukkan bukti rasuah itu segera, atau memohon maaf kepada keluarganya.

"Bukti diperlukan untuk menzahirkan kebenaran dan keadilan untuk terlaksana," kata Lee Lan.

"Membuat tuduhan terhadap seseorang yang tidak lagi boleh mempertahankan dirinya adalah perbuatan keji dan tidak boleh diterima sama-sekali," tambahnya.

Isu Kepala Lembu: Polis Selesai Siasatan Esok

TV SELANGOR


Polis dijangka menyelesaikan siasatan mereka keatas tunjuk perasaan "kepala lembu" esok, kata Ketua Polis Selangor, Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata penganjur dan beberapa individu terbabit dalam tunjuk perasaan itu telah dipanggil untuk disoal-siasat dan diambil keterangan.

Sebuah kumpulan khas diwujudkan untuk menyiasat perkara ini bagi mempercepatkan siasatan polis. Khalid menambah kes ini disiasat dibawah Akta Hasutan.

Pihak polis dikritik kerana lambat mengambil tindakan keatas penunjuk perasaan tempoh hari. Khalid berkata polis harus mengikuti lunas undang-undang.

"Kita harus rujuk pendakwaraya terlebih dahulu dan kumpul bukti. Kita tidak boleh semena-mena tahan orang dan dakwa mereka dibawah Akta Hasutan," kata Khalid.

Lebih 380 Penunggang Motosikal Ditahan Di Malam Merdeka

BERNAMA


KUALA TERENGGANU -- Lebih 380 penunggang motosikal ditahan di sekitar bandar raya Kuala Terengganu dalam operasi membanteras lumba motor haram yang dijalankan sempena ambang kemerdekaan negara ke-52, awal pagi Isnin.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kuala Terengganu ASP Mohd Faudzi Mohammad berkata daripada jumlah itu sebanyak 146 saman dikeluarkan dengan 180 pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen dan insurans motor yang sah.

"Operasi dijalankan oleh lebih 60 anggota dan pegawai dengan mengadakan rondaan dan sekatan jalan raya di sekitar lokasi strategik di kawasan bandar raya yang dikenal pasti sering menjadi tumpuan penunggang motosikal," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Mereka yang ditahan kemudian dibawa ke Bahagian Trafik Kuala Terengganu untuk pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan dan penunggang termasuk ujian air kencing.

Hasil pemeriksaan itu sebanyak lapan buah motosikal disita manakala daripada ujian rambang air kencing yang dijalankan terhadap 44 orang penunggang dan pembonceng motosikal mendapati enam daripadanya positif pil kuda.

Ong pintas usaha penyokong Chua, arah EGM dalam 30 hari

MALAYSIA KINI


Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat memintas usaha penyokong Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, dengan mengarahkan supaya mesyuarat agung luar biasa parti itu diadakan dalam tempoh 30 hari.

Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah usaha penyokong Chua untuk mendapatkan tandatangan perwakilan MCA bagi mengadakan EGM bagi membatalkan pemecatan timbalan presiden parti itu.

Hari ini, Ong mengarahkan setiausaha MCA supaya mengadakan EGM itu dalam tempoh 30 hari ini.

Ketika mengumumkan perkara itu pagi ini, Ong berkata, beliau menggunakan Klausa 30.1 perlembagaan parti untuk mengarahkan setiausaha agung parti itu, Wong Foon Meng memanggil EGM tersebut.

Menurutnya, EGM itu bertujuan untuk menyerahkan kepada perwakilan untuk memutuskan pendirian mereka mengenai kontroversi yang melanda parti itu.

Ong kini berdepan dengan kumpulan penyokong Chua yang dipecat dari parti itu minggu lalu berkaitan kes skandal seksnya.

Lima usul

Sementara itu, akhbar-akhbar berbahasa Cina melaporkan bahawa penyokong Chua sedang mendapatkan berusaha sokongan perwakilan untuk mengadakan EGM itu bagi membentangkan lima resolusi, iaitu:

1. Usul tidak percaya terhadap presiden MCA, Tee Keat.

2. Membatalkan keputusan majlis presiden dan jawatankuasa pusat (jika dibuat) untuk memecat Chua.

3. Menuntut Chua dikembalikan ke jawatan timbalan presiden MCA.

4. Menolak sebarang pelantikan untuk sebarang jawatan oleh jawatankuasa pusat, termasuk jawatan timbalan presiden, sebelum EGM diadakan.

5. Menolak aduan dan tindakan disiplin terhadap mereka yang memanggil EGM diadakan.

Resolusi 3 dan 4 ditambah bagi mengelak puak Ong daripada melantik calon lain bagi mengisi jawatan nombor dua parti.

Calon utama untuk mengisi jawatan tersebut adalah Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai, yang merupakan penyokong kuat Ong. Liow juga merupakan menteri kesihatan.

75 bayi merdeka di Selangor, Wilayah dan Terengganu

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Seramai 67 bayi merdeka, 37 daripadanya lelaki dan 30 lagi perempuan dilahirkan di 11 hospital kerajaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor dari 12.01 tengah malam tadi sehingga 12 tengah hari tadi.

Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang mencatatkan jumlah kelahiran tertinggi dengan 13 bayi diikuti Hospital Selayang (12), Hospital Kuala Lumpur (11), Hospital Sungai Buloh (8), Hospital Ampang (6), Hospital Serdang (6), Hospital Banting (4) Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam (3) Hospital Kajang (3) dan seorang di Hospital Kuala Kubu Bharu.

Daripada jumlah itu empat kelahiran dicatatkan melalui pembedahan cesarean masing-masing satu di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Jemaah.

Hospital Ampang juga turut mencatat kelahiran seorang bayi lelaki membabitkan warga Myanmar.

Bayi pertama Selangor dilahirkan dengan berat 3.1 kg pada pukul 12.10 minit pagi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Hospital Kuala Lumpur pula menyambut kelahiran bayi pertama mereka Muhammad Adam Iskandar Abdul Aziz seberat 2.46 kg pada 12.17 pagi bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Tiada kes kematian sama ada ibu mahupun bayi dilaporkan sehingga ini di semua 11 hospital kerajaan berkenaan.

Di KUALA TERENGGANU lapan bayi merdeka dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini bermula dari pukul 12.41 hingga 6 pagi ini.

Bayi pertama dilahirkan lelaki pukul 12.41 seberat 2.29 kilogram oleh seorang guru yang mengajar di Sabah, Nafisah Ismail, 32, secara normal.

"Kami gembira dengan kelahiran bayi kami yang pertama ini dengan nama Fawwaz Hasbullah," kata suami wanita berkenaan Hasbullah Abu Bakar, 34, ketika ditemui di wad bersalin hospital itu.

Beliau yang tinggal di Kampung Tebakang, Manir dekat sini berharap apabila besar nanti anaknya menjadi seorang hafiz al-Quran dan yang mentaati ajaran agama.

Sementara itu jurucakap wad bersalin hospital itu berkata, selain lapan bayi yang dilahirkan itu sehingga jam 6 pagi, lebih ramai bayi merdeka dijangka akan dilahirkan hari ini.

Semua mangsa banjir di Langkawi dibenar pulang

BERNAMA


LANGKAWI: Kumpulan terakhir seramai 160 orang dari 55 keluarga mangsa banjir di pulau pelancongan ini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini selepas air surut berikutan hujan yang telah reda sejak semalam.

Mereka adalah sebahagian dari 275 keluarga seramai 1,347 orang dari Mukim Kedawang, Padang Mat Sirat dan Ulu Melaka yang dipindahkan sejak Khamis lepas.

Menurut Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Langkawi, Che Ahmad Che Noor kumpulan terakhir itu adalah dari Pusat Pemindahan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang.

Hujan yang turun beberapa hari menyebabkan banjir kali kedua melanda tiga mukim iaitu Kedawang, Padang Matsirat dan Ulu Melaka yang dinaiki air melebihi satu meter sejak Khamis lepas.

Anggota Parlimen Langkawi, Datuk Paduka Abu Bakar Taib melahirkan penghargaan kepada jabatan dan agensi kerajaan antaranya Jabatan Bomba, Pertahanan Awam, Polis dan pihak hotel yang menyumbang makanan untuk berbuka puasa dan sahur kepada mangsa-mangsa banjir.

Bangunan latihan Utusan disamun, RM600,000 dilarikan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Beberapa cek bernilai lebih setengah juta ringgit serta wang tunai RM8,000 milik Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dilarikan daripada sebuah peti besi yang ditempatkan di Pusat Latihan dan Pemasaran akhbar itu di Jalan Chan Sow Lin pagi ini.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Ahmad Amir Mohd Hashim berkata kejadian itu disedari kira-kira pukul 7.30 pagi oleh seorang pekerja di bangunan dua tingkat itu setelah melihat peti besi yang menyimpan cek pembayaran sebanyak RM584,000 oleh vendor dan ejen serta wang tunai itu terbuka dan mempunyai kesan digergaji dan diumpil.

"Pekerja tersebut masuk ke pejabatnya pukul 5.45 pagi sebelum menyedari peti besi yang berada di tingkat satu bangunan itu terbuka dua jam kemudian. Adalah dipercayai kejadian samun itu berlaku antara pukul 8 malam dan 4 pagi," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu dilakukan oleh orang yang arif dengan selok belok bangunan berkenaan memandangkan tiada sebarang kesan pecah masuk pada bangunan itu.

"Kita tidak menolak kemungkinan ia didalangi oleh orang dalam kerana kerja mengumpil dan menggergaji peti besi untuk membukanya bukan kerja mudah dan ia mengambil masa sekurang-kurangnya tiga atau empat jam," katanya.

Beliau berkata bangunan itu yang pernah disamun sebelum ini, tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) ditambah dengan kawalan pengawal keselamatan yang longgar.

Katanya ketika kejadian kesemua pintu masuk dikunci dan hanya boleh dibuka setelah diaktifkan menggunakan sejenis kunci.

"Kita akan siasat sistem yang digunakan itu, adakah peluang untuk orang tidak berkenaan masuk sesuka hati dan kita sedang mengesan sekiranya ada cap jari.

"Kita juga akan ambil keterangan semua orang yang berkaitan termasuk pengawal keselamatan dan mereka yang keluar masuk bangunan ini bagi membantu siasatan," katanya.

Polis panjat pokok mangga dapatkan barang bukti

BERNAMA


SEREMBAN: Polis bukan sahaja terpaksa menyelam ke dalam lombong malahan terpaksa memanjat sebatang pokok mangga di sebuah rumah kosong untuk mendapatkan semula alat ganti motosikal curi yang disembunyikan dalam satu kejadian di Taman Seri Pulai, Sikamat hari ini.

Menurut jurucakap polis, setakat ini, dua rangka motosikal jenis Honda dan satu rangka Yamaha RX7 berjaya ditemui dari dasar lombong bersama lapan buah enjin yang sudah dilerai.

"Kita juga melihat ada motosikal yang dilerai disangkut di celah-celah pokok mangga untuk mengabui mata," katanya ketika ditemui Bernama semasa polis sedang menjalankan operasi mencari rangka motosikal di dasar kolam itu.

Kolam itu ditunjukkan oleh tiga suspek berusia 20an selepas mereka ditahan polis pada Jumaat lepas di sini setelah terlibat aktif dalam jenayah ini sejak beberapa bulan lepas.

Beg disangka mengandungi patung emas, rupanya mayat

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tidak menyangka sebuah beg pakaian yang dikatakan mengandungi patung emas yang dibuangnya di kawasan hutan di Lebuhraya Karak Khamis lepas, rupa-rupanya berisikan mayat.

Semuanya terbongkar apabila lelaki yang berumur 30an itu kembali ke lokasi pembuangan beg tersebut pada petang hari yang sama untuk mengambil patung emas itu untuk dibawa pulang ke rumahnya di Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Abdul Jalil Hassan berkata sebaik membuka beg tersebut, lelaki itu menemui mayat seorang lelaki di dalamnya tetapi cuba menyembunyikan perkara tersebut kerana takut.

"Empat hari kemudian setelah dinasihati rakannya, lelaki itu membuat laporan polis tentang penemuan mayat itu di Balai Polis Bentong Sabtu lepas," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati lelaki itu diarahkan seorang kenalan wanitanya yang tinggal di sebuah apartmen di Pandan Mewah, Ampang untuk membuang beg yang dikatakan mengandungi patung emas tersebut.

Lelaki itu yang tinggal di Pulau Pinang sanggup datang ke rumah wanita tersebut untuk membuang beg itu kerana diupah RM100.

"Wanita tersebut turut mengarahkan lelaki itu agar membuang patung emas itu di dalam hutan namun kerana tamak, lelaki itu datang semula ke lokasi tersebut pada pukul 5 petang untuk mengambil patung emas itu," katanya.

Katanya, bertindak atas laporan yang dibuat, polis kemudian menyerbu rumah wanita tersebut namun mendapati rumah itu sudah tidak berpenghuni.

Polis yang menghubungi Jabatan Imigresen Malaysia mendapati wanita itu sudah pulang ke India bersama anak perempuannya berumur lapan tahun sehari selepas mayat tersebut dibuang.

"Siasatan polis mendapati suami wanita itu gagal dikesan dan polis masih menunggu laporan bedah siasat sama ada mayat tersebut adalah mayat suami wanita tersebut," katanya.

Briged Amal Edar 1,500 Paket Bubur Lambuk Sekitar Klang

MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN


Sajian bubur lambuk bukan sahaja mendapat sambutan orang ramai sepanjang bulan Ramadhan, malah pelbagai pihak juga tampil menghulurkan sumbangan bagi menjayakannya.

Tidak ketinggalan Briged Amal Selangor, sebuah pertubuhan sukarelawan di bawah SPIES hari ini mengadakan program memasak dan mengedarkan bubur lambuk di sekitar daerah Klang.

Program ini merupakan kali kedua diadakan di DUN Selat Klang, sejak Ramadan tahun lalu yang melibatkan lebih 700 sukarelawan di setiap daerah di negeri Selangor.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Masak dan Edar Bubur Lambuk di Pejabat Khidmat DUN Selat Klang, petang tadi.

Seawal jam 9 pagi, Briged Amal yang diketuai Pengarahnya, Azri Mohamad Arish sudah memasak dan menyediakan bubur lambuk sebelum diedarkan kepada penduduk setempat Selat Klang sesudah waktu Asar.

Usaha Briged Amal ini tidak terhenti setakat di Selat Klang, malah mereka juga bakal menganjurkan program seumpama ini di daerah-daerah lain seperti di Sabak Bernam yang melibatkan lebih 30 keluarga dan akan dinamakan sebagai “Singgah Iftal”.

Antara kawasan yang diedarkan bubur lambuk petang tadi ialah di Balai Bomba Klang, Ibu Pejabat Polis Klang, Cawangan Trafik IPPD Klang serta pengguna Lebuhraya Persekutuan di Tol Sungai Rasah.

Hampir 200 ditahan dalam operasi ambang merdeka di Lembah Klang

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 orang termasuk 60 remaja wanita ditahan di sekitar Lembah Klang kerana melakukan gejala sosial tidak bermoral dalam "Ops Masih Ada Yang Sayang" yang dijalankan sempena ambang kemerdekaan negara ke-52, awal pagi Ahad.

Operasi selama lima jam bermula kira-kira 1 pagi itu melibatkan beberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (Perkid) Selangor dan turut disertai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan pegawai-pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang.

Pengerusi Perkid Selangor Masridzi Sat berkata kesemua mereka dalam lingkungan usia 20-an itu ditahan kerana melakukan gejala sosial tidak bermoral seperti berpeleseran bersama pasangan masing-masing dan melepak di tempat awam.

"Kita amat prihatin masalah sosial di kalangan masyarakat yang semakin meningkat, sebab itu operasi ini diadakan agar mereka disedarkan ke jalan hidup berlandaskan agama Islam terutama cara menyambut sesuatu perayaan (kemerdekaan negara) bukan untuk keseronokan semata-mata dan tanpa matlamat hidup," katanya kepada Bernama di Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang di sini, Ahad.

Beliau berkata kesemua yang ditahan dibawa ke Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang untuk diberi kaunseling dan ceramah agama berkenaan pegangan agama yang betul seperti cara meraikan kemerdekaan negara mengikut acuan agama Islam.

Masridzi berkata kesemua mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila sesi kaunseling berakhir selepas solat Subuh.

Operasi yang membabitkan 90 anggota itu dijalankan di beberapa lokasi secara serentak termasuk di Bukit Langat, Taman Bukit Permai dan Taman Tasik Pandan bertujuan mencegah kegiatan maksiat dan gejala sosial.

ADUN Terengganu 'bincang ' Tinggalkan Umno

DETIK DAILY


Meneliti beberapa perkembangan mutakahir ini dalam senario politik Terengganu yang tak kesudahan khususnya melibatkan pertembungan kem Menteri Besar dan Bekas Menteri Besar Terengganu.

Pertembungan itu sememangnya 'real', tidak siapa boleh menafikan. Tindakan Najib menghantar sepupunya Hishamuddin untuk menyelesaikan isu tersebut dengan memangku Ketua Perhubungan Umno Terengganu nampaknya bukan bergerak ke arah menyelesaikan tetapi lebih menserabutkan.

Beberapa hari lepas sebuah laman portal berita internet telah menyiarkan kemungkinan ada ADUN Terengganu (kem bekas MB) akan 'bertukar' parti. Serentak dengan itu Hishamuddin sendiri telah menghubungi kesemua ADUN yang disyaki dan setelah memujuk ugut semuanya, wartawan diarahkan menghubungi kesemua mereka untuk penafian.

Sebenarnya usaha rundingan memang wujud, bukan pancing tetapi beberapa ADUN tersebut yang mulakan rundingan kerana katanya apa guna berada dalam Umno yang tidak mahu mendengar 'rintihan orang bawah'. Mereka mendesak tukar MB atau mereka akan keluar parti.

Cuma mereka ADUN - ADUN ini tak berapa berani apabila Menteri Dalam Negeri yang menjadi pemangku Pengerusi Perhubungan Terengganu membuat pujuk ugut ke atas mereka.

Apapun kemelut politik di Terengganu terus memangsakan rakyat.

Perkembangan terbaru dalam sidang DUN Terengganu yang bermula 26 Ogos lepas membuktikan betapa ADUN Bn tidak serius dan kurang keberanian khususnya bila berdepan dengan isu ugut dan wang.

Menteri Besar sedia ada melalui usul oleh ADUN Seberang Takir, Ahmad Razif Abdul Rahman telah 'memberikan' buget tambahan sebanyak RM361, 267, 300.00

Ramai pemerhati politik menyifatkan ini usaha Menteri Besar sedia ada untuk mengikat semua ADUN - ADUN Bn terus setia dibawahnya. Tentunya RM361 juta akan dicairkan melalui projek kroni Bn akan menyebabkan ADUNJ - ADUN Bn terliur.

Dari RM361, 27,300.00 itu, sebanyak RM80, 453, 300.00 adalah tambahan bagi perbelanjaan mengurus dan selebihnya sebanyak RM280, 814,000.00, adalah untuk perbelanjaan pembangunan.

Sokongan penuh dalam meluluskan baget tambahan ini telah digunakan oleh Menteri Besar sedia ada sebagai gambaran semua setia padanya padahal ADUN - ADUN bersetuju meluluskan kerana nilai wang tersebut bukan nilai sokongan.

Melalui buget tambahan ini juga jumlah yang besar turut di perolehi oleh Syarikat yang punya kaitan dengan bekas Ahli Parlimen Marang, Dato’ Abdul Rahman Bakar, sebagai ’upah’ tindakan berdiam diri, apabila tidak dicalonkan untuk bertanding dalam pilihanraya itu.

Tee Keat nafi spekulasi letak jawatan

MALAYSIA KINI


Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat tidak akan melayan sebarang khabar angin atau spekulasi bahawa beliau akan meletak jawatan seperti dilaporkan oleh lamanweb berita dalam talian hari ini.

Katanya MCA mempunyai agenda tersendiri untuk mengatasi masalah yang timbul dalam parti dengan menggunakan kebijaksanaan dan keazaman dan tidak akan respon kepada khabar angin atau pihak yang mencetuskan khabar-khabar angin.

"Jika anda tanya kepada saya mengenai khabar angin...tolong, saya tidak berminat untuk komen," katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan pertubuhan dan persatuan Cina Pulau Pinang, lapor Bernama.

Ong, yang juga Menteri Pengangkutan, mengulas berita "Malaysian Insider" yang melaporkan spekulasi kuat ketika ini yang menyebut beliau bersedia meletak jawatan presiden parti itu.

Lamanweb berita itu juga menyebut akhbar utama berbahasa Cina melaporkan rancangan Ong untuk menyerahkan kuasa kepada naib presiden parti Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Laporan itu menyebut cadangan mengadakan pelan peralihan kuasa dengan Ong meredakan peningkatan sokongan untuk persidangan luar biasa (EGM) untuk menyingkirkannya dan menyokong timbalannya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

"Sejak kamu semua (wartawan) tahu lebih daripada saya, maka tidak guna untuk anda semua bertanyakan saya (mengenai spekulasi). Lebih-lebih lagi, khabar angin menjadi sebahagian daripada hidup kita," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan meletak jawatan parti, Ong menjawab: "Baru tadi saya berkata ianya khabar angin maka anda perlu memahaminya. Di manakah saya menyebut saya melakukan ini atau itu. Adalah saya dipetik sebagai berkata seperti itu," katanya.

Parti itu dilanda masalah dalaman apabila timbalan presiden Dr Chua dipecat Rabu lalu oleh Majlis Presiden MCA kerana cakera padat digital (DVD) skandal seks Dr Chua yang tersebar sebelum ini telah merosakkan imej parti.

Terdahulu itu, sekumpulan lebih 50 ahli parti mengadakan protes di luar hotel di mana majlis dialog itu diadakan dengan mengutuk keputusan pemecatan Dr Chua.

Sementara itu, Liow, yang turut hadir pada majlis itu, berkata beliau tidak mahu mengulas mengenai pelan peralihan kuasa seperti dilaporkan oleh media.

"Presiden telah memperjelaskannya," kata Liow, yang juga Menteri Kesihatan.

Harga siling bawang putih akan ditetap

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan menetapkan harga siling bagi bawang putih sekiranya peniaga dan pemborong masih berdegil menaikkan harga bawang putih sesuka hati.

Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe berkata, tindakan tersebut sebagai jalan mengekang sikap pemborong dan peniaga yang mengambil kesempatan terhadap pengguna menjelang perayaan Hari Raya Aidilifitri tidak lama lagi.

Menurutnya, pegawai kementeriannya akan turun pada bila-bila masa bagi menyiasat sebarang aduan yang dikemukakan pengguna berhubung kenaikan harga bawang putih.

“Memandangkan berlakunya kenaikan harga tanpa timbang rasa, penetapan harga siling tidak dapat dielakkan,” katanya, semalam.

Kenaikan harga bawang putih dikesan beberapa hari lalu sekitar Ipoh, dan juga di Shah Alam, Selangor iaitu dari RM 1.80 kepada RM5.

Lian Hoe berkata, kerjasama semua pihak terutama pengguna dalam membanteras kenaikan harga bawang putih.

“Pengguna yang mempunyai maklumat kedai-kedai yang menaikkan harga, perlu melaporkan segera kepada kami melalui talian bebas tol 1800-886-800 tau pejabat KPDNKK menerusi 03-88825500,” katanya.

Dalam pada itu katanya, peniaga dan pemborong dinasihatkan agar bertimbang rasa terhadap pengguna dengan tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.

Berkenaan harga barang kawalan musim perayaan, beliau berkata, senarai itu akan diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam tempoh seminggu lagi.

“Bila senarai dikeluarkan, maka harganya juga sudah ditetapkan,” katanya.

Jual 2kg gula kepada pengguna: Ismail Sabri

SINAR HARIAN ONLINE


BERA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah meminta pekedai supaya mengehadkan penjualan gula kepada dua kilogram sahaja kepada setiap pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah tersebut adalah bagi mengelak pengguna membeli barang keperluan itu secara panik dan berlebihan sehingga menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran.

Bagaimanapun, katanya, bekalan gula di seluruh negara sebenarnya adalah lebih daripada mencukupi tetapi oleh kerana sikap pengguna maka berlaku kekurangan bekalan di beberapa kawasan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Nur Hidayah dan Tadarus Al-Quran, anjuran Majlis Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Parlimen Bera di sini, semalam.

Ismail Sabri berkata, semua cawangan Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan di negeri dan daerah diarah supaya menyedia senarai pendek simpanan bekalan gula bagi mengatasi masalah kekurangan gula di kawasan masing masing.

Beliau berkata, menerusi cara berkenaan, ianya secara tidak langsung membolehkan bekalan gula dapat dihantar segera kepada pekedai dan peniaga yang menghadapi masalah bekalan gula itu di musim perayaan ini.

Sementara itu Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Putrajaya, Selangor dan Wilayah Persekutuan melakukan pemeriksaan berterusan terhadap bekalan gula di premis perniagaan termasuk kedai runcit dan pasar raya.

Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDNKK Putrajaya, Iskandar Halim Sulaiman berkata, bermula pagi semalam, anggota penguatkuasanya mengedarkan 1,000 kilogram bekalan gula kepada 14 peruncit sekitar Putrajaya sebagai bekalan tambahan.

Pemeriksaan itu dilakukan bagi memastikan bekalan gula mencukupi untuk keperluan orang ramai menjelang Hari Raya Aidilfitri akan datang.

“Kami telah mengedarkan 500 kilogram gula kepada peruncit dan selebihnya kami habiskan pengedarannya menjelang tengah hari,” katanya.

MB Selangor kutuk tindakan hina agama, timbulkan kemarahan kaum lain

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Kerajaan Selangor semalam mengecam dan kesal terhadap tindakan provokatif sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan penganut agama lain yang diapi-apikan oleh segelintir kumpulan pembantah yang berarak membawa kepala lembu sebagai tindakan membantah pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23, di sini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ketika rakyat negeri itu sedang bersiap-sedia untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-52, sikap tidak bertolak ansur terhadap agama orang lain yang masih w:ujud dalam kalangan segelintir warganegara Malaysia itu amat dikesali.

:"Tindakan menghina agama orang lain itu menyebabkan seluruh negara ini dilihat undur ke belakang dalam usaha mewujudkan rasa hormat terhadap kepelbagaian agama dan adat resam dalam kalangan penduduk pelbagai keturunan.

"Walhal usaha tersebut sebenarnya sudah dilakukan sejak kemerdekaan tahun 1957 lagi, demi pembinaan satu negara bangsa yang memperlihatkan persamaan visi dan identiti," katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri berharap semua rakyat supaya bersikap matang dan tidak mudah terpengaruh dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pembantah tersebut kerana ia dikhuatiri boleh mewujudkan ketegangan antara kaum.

"Dalam hal ini, walaupun kita wajar mengecam tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab tersebut, namun kita lebih baik menyerahkan kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan.

"Se:hubungan itu, Kerajaan Negeri meminta supaya pihak polis segera mengambil tindakan secara adil dan melakukan penyiasatan termasuk mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang mengugut pemimpin Kerajaan Negeri," katanya.

:Katanya, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diarahkan supaya mengadakan perbincangan terbuka Sabtu depan bersama penduduk sebenar Seksyen 23, pegawai-pegawai MBSA dan pegawai-pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).:

:Beliau berkata, perbincangan itu nanti bukan sahaja mendengar luahan pendapat masyarakat setempat tetapi juga memberikan peluang kepada Kerajaan Negeri untuk menjelaskan fakta sebenar dan alasan yang menyebabkan keputusan menempatkan semula kuil Hindu di Seksyen 19 ke Seksyen 23.

"Sementara menunggu tarikh perjumpaan tersebut, Kerajaan Negeri menggesa supaya penduduk Seksyen 23 bertenang dan tidak membiarkan diri mereka dipengaruhi fakta-fakta tidak benar yang sengaja diapi-apikan kumpulan berniat jahat terhadap keharmonian rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor.

"Marilah kita memelihara sikap bertimbang rasa, rasional dan hormat-menghormati kerana inilah cara terbaik menyelesaikan hal ini," kata Khalid dalam satu kenyataan semalam.

Tidak mahu terlibat politik bodoh

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Hanya ahli politik yang tidak memahami perjuangan parti sahaja yang akan melompat parti.

Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Abdul Samad menafikan khabar angin terbaru yang menyatakan beberapa Exco dan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Selangor akan menyertai UMNO tidak lama lagi.

Menurut Khalid, beliau melihat berdasarkan keputusan pilihan raya yang terbaru jelas bahawa rakyat bersama Pakatan Rakyat (PR).

“Bagi saya tidak mungkin mereka akan lompat parti, kalau ada orang hendak lompat biar dia tenggelam dengan kapal yang hendak karam itu (UMNO). Saya rasa tidak ada orang yang terlibat di dalam politik sebodoh itu, harapan mereka bahawa lompat itu akan menyebabkan rakyat berpaling dari PR jelas terbukti meleset.

“Sokongan yang dicapai di Permatang Pasir seperti mana di tahun 2008, kita telah mendapat 65 peratus daripada jumlah undi yang dibuang. Walaupun BN turun dengan segala kekuatan mereka, saya rasa jelas terbukti bahawa kerajaan PR ‘in waiting’. Rakyat sedang menunggu untuk hendak bersama kita (PR),” katanya.

Khalid berkata, UMNO perlu faham, rakyat sudah menolak politik UMNO/BN dan sekiranya ada Exco yang hendak lompat mereka hanya akan menjadi ADUN kerana kerajaan PR masih terus memerintah Selangor.

Beliau berkata, kalau ahli politik yang melihat trend dalam masyarakat dia tidak akan lompat masuk BN kerana PR telah mengalahkan BN 7-0 dalam tujuh pilihan raya kecil.

“Kalau ada ahli politik hendak sertai parti yang dapat 0, betul-betul bodoh la. Katakanlah kalau ada sembilan yng lompat, dia boleh tubuh kerajaan sampai bila... pilihan raya umum dua tahun lagi. Dia hendak pegang untuk dua tahun bolehlah tetapi akhirnya pilihan raya umum, kita akan menang lagi.

“Kalau ada pun itu hanyalah propaganda UMNO dari dulu, mereka beri gambaran PR tidak stabil, PR hendak berpecah tetapi rakyat tidak percaya dan terbukti di Permatang Pasir walaupun Radhzi keluar,” katanya.

Beliau turut menasihati BN jika ingin berperanan dalam arena politik pada masa depan, mereka perlu berubah dan tidak menggunakan propaganda politik

Khalid berkata, BN perlu menerima hakikat bahawa UMNO yang menyebabkan Melayu berpecah belah.

Melayu dan Islam hanya akan bersatu sekiranya semua ahli UMNO sertai Pas dan PKR, katanya.

Arak Kepala Lembu; Bukan Ajaran Islam – Dr. Mohamad Nur Manuty

Editor Buletin


Adalah amat pelik dan mendukacitakan apabila melihat tindakan sekumpulan 50 penduduk mengarak kepala seekor lembu, melaungkan kata-kata provokatif dan bertakbir tidak pada tempatnya.


http://www.buletinonline.net/images/stories/berita9/araklembu.jpg











Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat, Dr.Muhammad Nur Manuty berkata tindakan kumpulan tersebut adalah terasing dan bukan mewakili kehendak Islam.

”Agama mengajar kita agar menangani isu-isu seperti yang dihadapi dengan penuh kesabaran, bijaksana dan berhikmah,

”ia dilakukan pada hari (Jumaat) dan di bulan (Ramadan) yang cukup mulia bagi umat Islam. Seharusnya, bulan Ramadan ini dapat melatih kita untuk menundukkan nafsu amarah yang merajalela dalam diri,”ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Menurutnya, kebebasan bersuara dan memberikan pandangan adalah suatu perlu diizinkan, justeru, ia adalah iklim yang kita mahu demi membina masyarakat madani dan masa depan negara yang lebih gemilang.

Namun, katanya, apabila kita lupa kepada adab dan susila yang sewajibnya, ia jadi memalukan diri sendiri, menjatuhkan imej agama dan mencalar maruah umat.

”Malah, lebih parah ia boleh menimbulkan tindakbalas anarki yang mungkin tidak mampu kita kendalikan lagi,

“Garis panduan mengenai hal ini telahpun digariskan Allah di dalam Al Quran yang bermaksud: Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.”(Al-An’am: 108).”jelas Dr. Muhammad Nur.

Beliau berkata, tindakan provokatif ke atas agama lain seperti ini boleh mencetuskan reaksi dan ketegangan yang tidak perlu sama sekali dalam masyarakat Malaysia yang majmuk dan harmoni ini.

”Bukankah Islam itu merupakan agama pelindung dan rahmat untuk sekalian alam?,”soalnya

Katanya beliau syak ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk memenuhi agenda politik tersirat yang telah dirancang lebih awal.

Oleh itu katanya, semua pihak perlu berhati-hati dan berwaspada dengan kejadian seumpama kejadian yang berlaku.

Jumaat lepas, 28 Ogos, kira-kira 50 penduduk yang kononnya membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke Seksyen 23 Shah Alam, telah berarak membawa kepala lembu dari Masjid Shah Alam hingga ke bangunan pejabat kerajaan Selangor.

Perutusan Hari Kemerdekaan Negara Ke-52 Presiden PAS

Perjuangan Menuntut Kemerdekaan Belum Selesai – Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Editor Buletin


Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-52 Kemerdekaan Negara, bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) suka saya mengulangi bahawa pemimpin-pemimpin ulung PAS adalah golongan yang pertama melibatkan diri dengan perjuangan kemerdekaan negara ini.

Mereka menjadi mangsa kezaliman di zaman penjajah. Ketika itu, banyak di kalangan pemimpin negara kita (Umno) bersekongkol dengan penjajah menjadi pegawai-pegawai mereka.

Namun kita tidak menyerah kalah. Kita adalah yang pertama memperjuangkan kemerdekaan (yang) merupakan mata rantai perjuangan sejak kedatangan Islam yang membawa kemerdekaan sebenar.

Kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW ialah pembebasan manusia daripada mengabdikan diri kepada makhluk kepada hanya mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Itulah makna kemerdekaan yang sebenar.

Oleh kerana itu, Nabi kita Muhamad SAW dalam perjuangannya yang pertama menentang jahiliah Arab. Bukan jahiliah bangsa lain sehingga berjihrah ke Madinah mendirikan Negara Islam.

Sebuah Negara yang berlandaskan kepada pengabdian diri kepada Allah Ta’ala yang membawa keadilan mutlak kepada seluruh manusia.

Bukan sahaja kepada penganut Islam bahkan, juga kepada penganut-penganut agama lain yang bernaung di bawah pemerintahan Islam. Selepas itu, Nabi kita Muhamad SAW datang ke Mekah untuk membebaskan Mekah daripada kuasa jahiliah.

Pembebasan Mekah bukan kerana dijajah oleh penjajah asing Rom dan Parsi. Tetapi dijajah oleh jahiliah Arab dari kalangan kaum keluarga Nabi SAW. Sehingga Mekah dibebaskan dan itulah kemerdekaan sebenar.

Dan ‘obor’ kemerdekaan inilah yang dibawa oleh Rubi’e bin Amer kepada Rostum iaitu panglima tentera Parsi dengan kenyataan Rub’ie yang terkenal.

Kata Rubie, ”Kami mengajak sesiapa yang mahu kepada satu gagasan dasar dan konsep daripada mengabdikan diri kepada manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah. Daripada kezaliman ajaran pelbagai-bagai agama, teori dan pendekatan ciptaan manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT”. Daripada dunia yang sempit kepada wawasan dunia sehingga hari akhirat”.

Itulah kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW. Kemerdekaan inilah yang didokong oleh perjuangan Islam termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Kita menentang penjajah asing bukan kerana nama asingnya. Tetapi kerana mereka membawa satu fahaman yang mengabdikan diri kepada makhluk dan bukan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kita halau mereka bukan kerana nama dia asing tetapi kerana mereka membawa suatu ajaran sesat yang menyeleweng dari petunjuk Allah SWT.

Walau pun, negara kita telah dikatakan mencapai kemerdekaan sejak 52 tahun tetapi warisan penjajah masih lagi wujud. Bertapak dan berakal umbi di dalam masyarakat kita.

Oleh kerana itu, kita menganggap isu perjuangan kemerdekaan belum lagi selesai.

PAS akan terus berjuang untuk membawa kemerdekaan yang sebenarnya. Iaitu membebaskan diri manusia dari mengabdikan diri sesama manusia, sama ada berbentuk ideologi, teori dan sebagainya atau pun kepimpinan yang berlagak mengadakan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah SWT.

Untuk mengajak mereka membebaskan diri daripada itu semua kepada Islam yang membawa kepada kemerdekaan yang sebenar dan itulah dasar serta konsep kemerdekaan yang kita bawa selama ini.

Sekian, Wassalam

Peruntukan RM158j tingkat kemudahan, alat di hospital

Oleh Syuhada Choo Abdullah


KUALA LUMPUR: Kabinet meluluskan peruntukan tambahan kecemasan sebanyak RM158 juta bagi meningkatkan kemudahan dan alat perlindungan kesihatan di hospital kerajaan seluruh negara untuk menangani penularan wabak Influenza A (H1N1) di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata langkah meningkatkan kemudahan di semua hospital kerajaan itu, termasuk menambah bilangan katil dan wad unit rawatan rapi (ICU), di samping tumpuan kepada keperluan alat perlindungan kesihatan untuk doktor dan juga jururawat.

“Ketika ini, ada kira-kira 350 katil dalam ICU di semua hospital kerajaan dan bilangan itu akan ditambah 350 katil lagi. Semua usaha ini akan dilaksanakan secepat mungkin,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Laporan akhbar semalam memetik Liow sebagai berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan supaya lebih banyak katil ditempatkan dalam ICU kerana di sesetengah hospital kerajaan wad ICU terlalu sesak.

Akhbar semalam juga melaporkan WHO menerima laporan kemunculan virus H1N1 jenis teruk yang terus menyerang paru-paru menyebabkan penghidapnya sakit tenat dan perlu menjalani rawatan mahal di hospital.

Virus jenis teruk itu turut dilaporkan boleh menyebabkan pesakit muda yang tidak mempunyai masalah kesihatan, jatuh sakit tenat.

Mengulas lanjut, Liow berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan kumpulan pakar utama melakukan kajian serta pemantauan rapi bagi menentukan sama ada genetik virus H1N1 di negara ini sudah bermutasi atau berubah.

“Setakat ini, masih virus H1N1 yang sama dan Kementerian Kesihatan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga supaya virus jenis teruk itu tidak menular ke negara kita,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr David Quek Kwang Leng, berkata hospital swasta juga sedang berusaha meningkatkan bilangan katil dalam ICU masing-masing.

“Penyediaan kemudahan di ICU sebenarnya membabitkan kos yang tinggi. Justeru, ketika ini, rata-rata hospital besar hanya mempunyai antara 10 hingga 20 katil dalam ICU masing-masing,” katanya.

Doktor mangsa terbaru selesema babi

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Seorang doktor wanita yang dimasukkan ke wad Hospital Pakar Seremban (SSH) sejak 21 hari lalu, meninggal dunia awal pagi semalam, dipercayai akibat dijangkiti wabak Influenza A (H1N1).

Dr Noorfiza Isa, 43, yang bertugas di hospital itu sejak lima tahun lalu, sebelum itu dikatakan koma sehingga menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.30 pagi semalam dan dikatakan doktor pertama di negara ini yang meninggal dunia akibat penyakit berkenaan.

Menurut sumber, Allahyarham bertugas di Unit Kecemasan dan mengalami tanda penyakit berbahaya itu pada 6 Ogos lalu dan dimasukkan ke wad tetapi dibenarkan keluar sehari selepas itu.

Bagaimanapun, keadaan mangsa yang tinggal di Taman Tasik Jaya, Senawang, semakin buruk dan dimasukkan semula ke wad hospital berkenaan pada malam 9 Ogos dan koma sehingga meninggal dunia awal pagi semalam.

“Mangsa adalah antara tiga doktor di hospital itu yang dijangkiti H1N1 tetapi keadaan mangsa yang paling teruk dan dirawat selama 21 hari sebelum meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, berkata setakat ini hanya 15 kakitangan yang terbabit dalam perkhidmatan kesihatan di seluruh negara dijangkiti wabak berbahaya itu tetapi tiada kematian dilaporkan setakat ini.

“Bagi kematian membabitkan doktor wanita itu, setakat ini tidak dapat disahkan punca kematiannya sehingga keputusan ujian mengenainya mungkin dikeluarkan esok (hari ini),” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, dalam kenyataannya semalam, menyebut seorang lagi berusia 49 tahun dengan masalah kesihatan hepar (hati) menjadi mangsa korban terbaru jangkitan wabak itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata mangsa ke-72 itu meninggal dunia pada 19 Ogos di Hospital Melaka dan laporan biopsi bedah siasat yang diterima mendapati sampel paru-paru positif H1N1 pada 24 Ogos lalu.

Selain itu, sehingga jam 9 pagi semalam, beliau berkata, 44 pesakit berada di ICU dengan 36 kes atau 82 peratus mempunyai faktor risiko, iaitu penyakit kronik (tiga), obesiti (12), kanak-kanak/bayi (tujuh), lepas bersalin/hamil (dua), penyakit jantung (tiga), kegagalan ginjal (empat), asma (tiga) dan imuniti rendah (dua).

Sementara itu, beliau berkata, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan penularan pandemik H1N1 seluruh dunia masih aktif membabitkan 246,221 kes dengan 2,958 kematian di 182 negara.

Polis siasat perhimpunan penduduk seksyen 23

Oleh Wan Jailani Razak dan Rafidah Mat Ruzki


SHAH ALAM: Polis sehingga kini mengambil keterangan daripada 52 orang mengenai tindakan sekumpulan penduduk membawa lambang berkaitan agama ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Jumaat lalu, sebagai simbolik bantahan pembinaan kuil di Seksyen 23, di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata ketika ini, polis masih dalam proses mengumpulkan laporan membabitkan kejadian yang mencetuskan kemarahan penganut Hindu itu.

"Kami akan menemubual saksi dan mereka yang terbabit dalam kejadian Jumaat lalu akan dikenal pasti tidak lama lagi," katanya ketika dihubungi semalam.

Jumaat lalu, kira-kira 200 penduduk dari Seksyen 23 di sini, berkumpul di pintu masuk ke bangunan yang menempatkan pejabat pentadbiran Kerajaan Selangor dengan membawa lambang berkaitan agama.

Perarakan sejauh kira-kira 500 meter yang bermula selepas solat Jumaat di Masjid Negeri itu turut disertai beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mereka turut membawa sepanduk, antaranya berbunyi `Islam untuk semua, kuil untuk Roziah dan Khalid dan pindahkan kuil ke Seksyen 22'.

Mengulas perkara sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil, berkata isu berkenaan timbul berikutan kegagalan kerajaan negeri Pakatan Rakyat mendapatkan pandangan penduduk setempat.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Belia dan Mesra Rakyat, berkata sebagai kerajaan negeri yang sebelum ini bangga dengan slogan kerajaan berkebajikan, pemimpinnya sepatutnya mengadakan perbincangan terlebih dulu dengan penduduk terbabit.

"Apa yang berlaku sekarang ialah kerajaan negeri membuat keputusan tanpa perbincangan dengan penduduk mengenai pelbagai aspek seperti keselamatan dan kehendak masyarakat.

"Kita hormat agama lain tetapi sensitiviti agama juga perlu diambil kira," katanya sambil menambah Jawatankuasa Khas Rumah Ibadat Selain Islam Negeri Selangor sepatutnya tidak dipengerusikan oleh orang politik bagi mengelak keputusan diambil mengikut selera sendiri.

Beliau berkata, ketika Selangor diperintah Barisan Nasional (BN), jawatankuasa sama dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri dan wakil dari semua kaum.

Katanya, sesuatu perkara hanya akan dibawa ke mesyuarat Exco selepas keputusan dibuat jawatankuasa berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri, Dr A Xavier Jayakumar, sebelum ini berkata, keputusan membina kuil di Seksyen 23 dibuat secara muafakat dalam satu kumpulan pembuat dasar dan bukan seorang individu saja seperti dilaporkan.

Beliau menjelaskan jawatankuasa itu dipengerusikan secara bersama tiga ahli Exco kerajaan negeri dan bukan beliau seorang.

Katanya, jawatankuasa berkenaan juga dianggotai wakil dari Pejabat Tanah dan Daerah, pihak berkuasa tempatan, Pejabat Tanah dan Galian, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) atau pemilik hartanah, NGO serta jawatankuasa kuil atau rumah ibadat berkenaan.

‘Guna saluran betul bantah cadangan bina rumah ibadat’

BERITAHARIAN ONLINE


GEORGETOWN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, menasihati penduduk Seksyen 23, Shah Alam, Selangor, menggunakan saluran yang betul apabila membuat bantahan mengenai cadangan pembinaan Kuil Sri Maha Mariamman di kawasan itu.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak mahu kejadian yang berlaku di Kampung Rawa di sini, pada 1998 berulang kerana walaupun keadaannya berbeza tetapi sikapnya adalah sama.

Semua pihak perlu bersikap 1Malaysia dan kita semua ada masalah, tetapi setiap masalah ada penyelesaiannya, malah ia perlu dilakukan secara rundingan.

"Jangan menolak rundingan dan jangan timbulkan sesuatu isu berkaitan agama kerana ia boleh melukakan perasaan pihak tertentu dan merumitkan keadaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Pulau Pinang di sini, semalam.

Di KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr S Subramaniam, berkata tindakan kumpulan yang mengadakan bantahan dengan mengarak lambang berkaitan agama tindakan luar biasa.

Beliau berkata, sebelum ini sebarang bantahan disalurkan melalui pihak berwajib seperti wakil penduduk, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Ahli Dewan Undangan Negeri.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Selangor dapat menyelesaikan isu berkenaan dengan segera bagi mengelak menjadi lebih teruk.

“Banyak undang-undang yang boleh mengawal ketenteraman awam dan memastikan tiada pihak yang cuba mencetuskan kekacauan dengan sengaja menyentuh sensitiviti agama masyarakat lain,” katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas, berkata tindakan undang-undang termasuk menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) wajar dikenakan terhadap pihak yang sengaja menyentuh sensitiviti agama lain.

“Kalau perlu guna ISA, kalau mereka tidak berhenti melakukan tindakan tidak bertanggungjawab, ia akan menggugat keselamatan negara,” katanya.

Ini bukan budaya kita, ini budaya baru yang amat berbahaya dan amat sensitif kerana negara kita adalah negara berbilang kaum dan agama.

“Kerajaan Selangor mesti menyelesaikan masalah dan jangan menuding jari kepada Kerajaan Pusat kerana mereka sudah menerima mandat daripada pengundi,” katanya.

SPRM Selangor nafi dakwaan dera

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, semalam membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan berlakunya serangan fizikal dan mental terhadap saksi atau suspek yang disiasat olehnya.

Pengarah SPRM negeri, Jaafar Mahad, berkata laporan polis itu dibuat apabila peguam pemerhati keluarga Teoh Beng Hock, Gobind Singh Deo membangkitkan isu berkenaan dalam prosiding inkues kematian Teoh.

“Suspek ataupun saksi, Faizal Rizal dan Rosman mengatakan mereka didera fizikal dan mental seperti yang dibangkitkan oleh Gobind adalah satu fitnah.

“Tuduhan itu dibuat dengan harapan mahkamah menolak pengakuan yang sudah dibuat oleh mereka kepada SPRM Selangor sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Jaafar berkata, tuduhan itu tidak berasas kerana pegawai yang dimaksudkan oleh kedua-dua saksi atau suspek itu tiada di pejabat, selain tidak terbabit dalam siasatan kes berkenaan.

“Pegawai saya juga mengesahkan bahawa beliau hanya berperanan menghantar suspek keluar dan masuk lokap saja.

“Saya percaya fitnah ini untuk menyelamatkan suspek apabila kesnya dibawa ke mahkamah nanti,” katanya.

Pakar dilantik beri ceramah

Oleh NORAINI NORDIN


KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan akan melantik seorang pakar di setiap negeri untuk menjadi penceramah khas wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap bahaya penyakit tersebut.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, pakar yang terdiri daripada kakitangan kementerian itu akan memulakan latihan di Putrajaya, Selasa ini.

"Mereka akan dilatih secukupnya mengenai H1N1 serta cara menyampaikan maklumat tersebut kepada seluruh masyarakat termasuk doktor swasta,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mendedahkan kefahaman dan pengetahuan rakyat Malaysia mengenai wabak H1N1 masih rendah termasuk cara penularannya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam laporan akhbar hari ini berkata, sekumpulan pakar WHO telah datang ke Malaysia baru-baru ini dan dalam laporan mereka yang diperoleh Khamis lalu menunjukkan orang awam masih tidak memandang serius bahaya wabak H1N1.

Mengulas lanjut, Mohd. Ismail berkata, kementerian akan mengadakan kaji selidik mengenai tahap kesedaran rakyat berkaitan H1N1 dan keberkesanan kempen yang telah dijalankan oleh kerajaan selama ini.

"Pendedahan yang menyebut tahap kesedaran rakyat negara ini mengenai H1N1 rendah dibuat oleh WHO setelah mereka melakukan kaji selidik rambang.

"Sebab itu kementerian perlu membuat kaji selidik sendiri. Ia akan dilakukan secepat mungkin,'' katanya.

Ahad, 30 Ogos 2009

Antara konflik MCA, penyelewengan PKFZ

Oleh Jamhariah Jaafar (BH)


KEMELUT melanda MCA meledak semula apabila Majlis Presiden parti itu membuat keputusan memecat Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Pemecatan itu berlaku ketika Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat sendiri menghadapi tuduhan menerima peruntukan RM10 juta daripada syarikat yang menguruskan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang penuh kontroversi.

Alasan Ong ketika mengumumkan pemecatan yang berkuat kuasa serta-merta ialah kerana skandal Dr Chua itu memberi imej buruk kepada parti.

Pemecatan itu hanya berlaku selepas hampir dua tahun skandal itu berlalu selepas Dr Chua sendiri secara sukarela meletakkan semua jawatan dalam parti dan kerajaan pada 2 Januari, 2008. Beliau dipilih semula sebagai Timbalan Presiden parti pada pemilihan lalu. Hanya sekarang pengurusan tertinggi MCA membuat keputusan bahawa perangai Dr Chua itu mengaibkan parti.

“Kami membuat keputusan ini dengan hati yang berat selepas memberi pertimbangan serius terhadap kerosakan yang terpalit kepada imej parti, disebabkan skandal seks yang ada dalam DVD terbabit,” kata Ong ketika mengumumkan keputusan itu. Dr Chua boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari, tetapi perlembagaan MCA tidak membenarkan keputusan terbabit dicabar di mahkamah.

Banyak yang boleh diperkata mengenai Dr Chua, seorang doktor perubatan yang mempunyai klinik di Batu Pahat yang sering tidak menerima bayaran daripada pesakitnya dan disayangi bekas pengundinya di kawasan Parlimen Labis.

Beliau pernah menjadi Exco Kerajaan Johor selama tiga penggal sejak 1990, sebelum ke Kerajaan Pusat dan memegang jawatan sebagai Menteri Kesihatan pada 2004 sehingga secara sukarela meletak jawatan selepas skandal seksnya terbongkar, pada 2 Januari, 2008.

Dr Chua boleh dianggap sebagai satu-satunya tokoh politik negara ini yang mengaku salah serta meletak jawatan secara sukarela selepas terbabit dalam skandal yang mengaibkan kerajaan, parti komponen BN dan parti MCA sendiri.

Beliau meluahkan kekecewaan di blognya, http://drchua9.blogspot.com: “Hari ini (semalam), saya tidak mempunyai parti. Saya berkhidmat sebagai pengerusi bahagian sejak 1985. Pada 2 Januari, 2008, bila saya meletak jawatan daripada semua jawatan parti, saya masih seorang ahli MCA.

“Hari ini, saya langsung tidak mempunyai parti. Jadi, kedudukan saya hari ini lebih buruk daripada bila saya meletak jawatan pada 2 Januari 2008. Saya tidak menyedari lembaga disiplin MCA yang diketuai seorang peguam tua mendapati sesuai untuk mencadangkan supaya saya dipecat, 21 bulan selepas saya meletak semua jawatan parti dan kerajaan bagi alasan yang sama bila saya meletak jawatan pada Januari 2008.

“Sekiranya ada peruntukan untuk mengenakan hukuman mati secara fizikal, saya yakin lembaga disiplin tidak teragak-agak untuk mencadangkan saya supaya dikenakan hukuman mati. Alasan mengapa saya perlu dipecat amat jelas.

“Adakah pemecatan saya akan menaikkan imej MCA? Saya perlu mengandaikan presiden hari ini adalah bersih dan suci seperti kristal. Hanya masa akan menentukan.”

Dr Chua turut mendakwa bukan lagi rahsia Presiden MCA itu akan menganggap musuhnya atau mereka yang mengancamnya sebagai anti-MCA, samseng atau bekerjasama dengan ahli perniagaan dan mengambil duit daripada mereka untuk menumbangkannya.

“Presiden MCA sudah menggariskan tiga agenda utama untuk parti - ekonomi, politik dan keharmonian antara kaum. Tapi realitinya, kelihatan perkara paling penting dalam agenda politiknya ialah menyingkir Chua Soi Lek,” kata Dr Chua.

Pemecatan Dr Chua dengan menggunakan alasan skandal seksnya adalah sebab rasmi, namun ramai sedar ia lebih condong ke arah perselisihan serta perebutan kuasa yang berlaku di antara dua pemimpin tertinggi MCA ini.

Sumber berkata, cadangan awal ialah supaya Dr Chua digantung selama tiga hari bagi membolehkan Ong meredakan pergolakan di dalam partinya tanpa campur tangan kumpulan Dr Chua yang membongkar beberapa kes membabitkan Ong.

Namun, Ong dikatakan menggunakan kuasanya sebagai presiden melobi supaya Dr Chua dipecat, kerana mendakwa Dr Chua adalah antara orang yang bertanggungjawab untuk menjatuhkannya melalui kes sumbangan dana bernilai RM10 juta yang didakwa diberi Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, yang juga Pengarah Eksekutif syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB).

Kes berkenaan membabitkan penyelewengan dalam urus niaga PKFZ, sebuah hab pengangkutan yang dibina di kawasan seluas 405 hektar di Pelabuhan Klang, yang turut menempatkan gudang, blok pejabat dan sebuah hotel empat bintang, tercetus berikutan pendedahan bahawa kos pembangunannya melambung daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

Projek itu awalnya membabit Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang membeli tanah PKFZ seluas 400 hektar di Pulau Indah daripada KDSB pada 2002 dengan harga RM25 sekaki persegi. KDSB kemudian dilantik sebagai pemaju bagi projek siap guna itu. KDSB sudah menerbitkan bon bagi membiayai projek PKFZ.

Ong menyaman Tiong King Sing dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM500 juta kerana mendakwa Tiong mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya.

Ong dikatakan tersepit dan suasana lebih panas apabila ada desakan memintanya mengkaji semula keputusan memecat Dr Chua, yang dilantiknya sebagai penyelaras kepada parti komponen BN.

Ada berpendapat Dr Chua sudah menebus dosanya itu selepas meletak semua jawatan dalam parti dan kerajaan, dan keputusan ahli MCA melantiknya sebagai Timbalan Presiden sudah cukup kuat menghapuskan semua kesilapan lalu.

Antara mereka ialah bekas Naib Presiden MCA, Datuk Fong Chan Onn: “Dia sudah meminta maaf kerana skandal yang berlaku dan meletak jawatan sebagai menteri dan ahli politik untuk memikul tanggungjawab moral.

“Saya fikir kita perlu memberi Dr Chua dan Ong peluang untuk bekerjasama bagi mengukuhkan parti ini untuk masa depan. Ketika ini, kita tidak mampu menghadapi satu lagi perpecahan,” katanya.

UMNO, jangan cetuskan ketengangan antara kaum! - PKR

SABAH DAILY


Parti Keadilan Rakyat dalam satu kenyataannya yang dikeluarkan pada malam ini, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sekumpulan 50 orang yang kononnya mewakili penduduk Seksyen 23 di Shah Alam yang telah mengarak dan bertindak menghina kepala seekor lembu dalam memprotes isu penempatan semula sebuah kuil Hindu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangannya, Sdri Latheefa Koya antata lain juga menyebut bahawa tindakan mereka ini jelas bertujuan untuk mengaibkan dan menimbulkan kemarahan penganut Hindu yang menganggap lembu sebagai binatang yang suci.

“Keadilan menegaskan bahawa tiada anggota dari Parti Keadilan Rakyat yang terlibat mahupun dibenarkan untuk menyertai protes seperti ini.

“Agama Islam tidak pernah mengajar penganut Islam untuk mencemuh mahupun menghina agama atau kepercayaan orang lain malah telah melarang sekali orang-orang Islam berbuat sedemikian.”

Dalam kenyataan itu juga PKR yakin bahawa tindakan mengarak kepala lembu itu adalah satu provakasi dan cubaan menghuru-harakan hubungan umat Islam dan masyarakat Hindu. Suasana huru hara yang terhasil seterusnya akan dimanfaati oleh UMNO untuk merampas balik Selangor.

“Keadilan meminta semua pihak yang berkenaan untuk bertenang dan berwaspada supaya tidak terperangkap dengan reaksi yang boleh diambil kesempatan oleh pihak UMNO yang berusaha untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri Selangor dengan mencetuskan insiden-insiden berunsur perkauman dan agama.”

Pemecatan Chua jana Reformasi masyarakat Cina?

Oleh Lim Hong Siang


Pemecatan orang nombor dua UMNO pada tahun 1998 telah mencetuskan ledakan gerakan Reformasi dalam masyarakat Malaysia secara umumnya, dan masyarakat Melayu secara khususnya. Baru ini, orang nombor dua dalam MCA telah dipecat, atas tuduhan mencalar imej parti kerana terlibat dalam skandal seks, yang didedahkan akhir tahun 2007.

"Memperlekahkan demokrasi! Mencantas akar umbi Chua! Kemusnahan MCA berpunca dari Ong!" Demikianlah antara slogan yang tertulis pada banner, oleh penyokong Chua Soi Lek yang menuntut agar Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diadakan, berusulkan pembuangan undi tidak percaya kepada Presiden Ong Tee Keat, dan mengekalkan keahlian serta jawatan Timbalan Presiden Chua Soi Lek.

Perbalahan antara dua pemimpin tertinggi dari parti komponen Barisan Nasional kedua terbesar ini telah diberi liputan yang luas dalam ruangan media bahasa Cina. Persoalannya, apakah pertembungan antara dua elit politik ini bakal menjana gerakan Reformasi dalam masyarakat Cina?

Tidak menyentuh agenda besar

Pertembungan antara Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim, walaupun cuba digunakan "skandal seks" sebagai isu, berakhir dengan perdebatan agenda besar seperti rasuah, kronisme, nepotisme, hak asasi manusia, keadilan, kepincangan sistem kehakiman dan sebagainya. Malah, masyarakat Melayu digegarkan dengan laungan "Reformasi", menyaksikan puluhan ribu manusia turun ke jalan raya menuntut perubahan.

Sebaliknya, pergelutan antara Ong Tee Keat dengan Chua Soi Lek, langsung tidak kesampaian untuk menyentuh isu-isu sebesar itu. Chua Soi Lek dihukum untuk kali kedua dengan dvd skandal seks yang sama, yang diibaratkan penyokong Chua sebagai "menyebat mayat".

Namun demikian, mengimbas sejarah pergelutan kuasa MCA, hampir tiada pertembungan yang berlandaskan ideologi, bahkan berpaksikan pendirian dalam isu-isu tertentu. Perselisihan antara Ling Liong Sik dengan timbalannya, Lim Ah Lek juga berpunca daripada pembahagian kuasa, di mana masing-masing mahukan anak buah mereka mewarisi tampuk pimpinan MCA.

Perbalahan ini bersinambungan sejak tahun 2000, sehingga isu pembelian Nanyang Holdings tercetus pada tahun 2001, membuka gelanggang agar kedua-dua puak ini bersilat. Isu "kebebasan media" diketengahkan, Team A yang dipimpin Ling Liong Sik menyokong untuk membeli syarikat media tersebut, sementara Team B yang diketuai Lim Ah Lek membantah pembelian tersebut.

Secara ringkasnya, isu "kebebasan media" hanyalah peluru kepada Team B untuk menyerang Team A. Isu ini dilenyapkan begitu sahaja apabila Chan Kong Choy dari Team B memperolehi jawatan Menteri Pengangkutan merangkap Timbalan Presiden MCA, setelah Mahathir Mohamad bercampur tangan mendamaikan kemelut MCA.

Campur tangan UMNO

Maka, isu pemecatan Chua Soi Lek kini diolah dengan hujah "sama ada ahli mahu MCA yang diperkudakan UMNO, atau MCA yang bermaruah untuk menentukan pucuk pimpinan dirinya".

Jelas, Ong Tee Keat memperjudikan nasibnya apabila melepaskan khabar bahawa seluruh pucuk pimpinan akan meletak jawatan, seandainya EGM diadakan untuk membatalkan keputusan Majlis Presiden kelmarin.

Malah, Pengerusi BN Najib Abdul Razak kini berada dalam kedudukan serba salah, sama ada untuk bercampur tangan dalam kemelut MCA atau tidak. Dalam perkiraan Ong, Chua perlu bergantung kepada "kuasa luar", iaitu Najib untuk bertarung dengan dirinya. Tetapi, seandainya tangan Najib dimasukkan ke dalam celah retakan MCA, maka Ong akan menyatukan sokongan akar umbi untuk melawan "musuh" dari luar.

Jauhi pengaruh UMNO?

Penampilan imej Ong sebagai "penentang UMNO" mungkin disambut baik ahli MCA, malah masyarakat Cina secara umumnya. Persoalannya, gerak-geri Ong Tee Keat ini tidak bermakna, sekiranya MCA gagal menjauhkan dirinya dari UMNO ketika penyelewengan, ketidakadilan dan penindasan berlaku.

Tsunami politik 8 Mac 2008 hampir mengaramkan MCA, pada ambang parti itu menyambut ulangtahun ke-60. Pemimpin MCA yang ditampar oleh pengundi, bertekad untuk "berubah sebelum diubah". Tetapi, sejak Ong Tee Keat mengambil alih pucuk pimpinan, apakah perubahan yang terlaksana?

Penganalisa politik, kolumnis di media internet mula mempertikaikan peranan yang dimainkan oleh Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mah Han Soon yang menyumbangkan "warna kulitnya" untuk merampas kuasa kerajaan negeri Perak bersama UMNO.

Pemuda MCA yang diketuai Wee Ka Siong, kononnya akan bersuara lantang untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat, bagaimanapun berpeluk tubuh untuk memberi laluan kepada FRU membelasah peserta perhimpunan Mansuhkan ISA. Malah, kenyataan media daripada Setiausaha Agung Pemuda MCA, Chai Kim Sen yang cuba duduk di atas pagar dan mengkritik kedua-dua pihak polis dan peserta demonstrasi, dibidas sehabis-habisnya.

Masa depan MCA

Kegagalan MCA untuk memenangi sokongan pengundi Cina terbukti dalam semua pilihan raya kecil yang diadakan selepas PRU ke-12. Malah, apabila calon PAS daripada Pakatan Rakyat, Mohd. Nizar Jamaluddin memperolehi hampir 85% undi Cina di Bukit Gantang, mengharungi segala tuduhan "Negara Islam" yang dilemparkan, MCA diaibkan sebogel-bogelnya.

Jelas, MCA semakin hilang relevannya kepada masyarakat Malaysia secara umumnya, dan masyarakat Cina secara khususnya. Slogan "Tiga Lawan" yang dilaungkan Ong, "Lawan untuk ekonomi! Lawan untuk politik! Lawan untuk keharmonian kaum!" tiada kandungan yang konkrit, malah tiada kayu ukur untuk menilai sejauh manakah matlamat ini tercapai.

Berbalik kepada tajuk, apakah pergelutan antara Ong dan Chua bakal menjana gerakan reformasi dalam masyarakat Cina? Jawapannya mungkin. Sekiranya perebutan kuasa Ong dan Chua ini berjaya membawa kepada kemusnahan MCA, maka politik masyarakat Cina akan mengucapkan "selamat tinggal" kepada MCA buat selama-lamanya.

Dengan itu, reformasi mula terjana secara senyap dalam masyarakat Cina, selepas satu dekad "Reformasi" bergema di Dataran Merdeka.

UMNO Perlu Basuh Dinding Yang Diconteng

DETIK DAILY / SINAR HARIAN

SHAH ALAM – “Kalau UMNO tahu malu, basuh sendiri dinding yang diconteng,” demikian kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang mengecam tindakan pihak yang menconteng dinding dan saluran paip dengan perkataan ‘Khalid Rodziah Pengkhianat Bangsa’ di sekitar kawasan pejabat Ahli Dewan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail di Seksyen 23.

Menurut beliau, ini menunjukkan sikap yang tidak menghormati undang-undang, menghormati hak orang lain malah perbuatan tersebut menzahirkan kebodohan serta keburukan keperibadian pemimpin UMNO di bahagian Shah Alam.

Kata Khalid, beliau percaya UMNO adalah dalang utama dalam kegiatan ini walaupun ada juga orang Pas yang terbabit kerana diapi-apikan UMNO.

“Walaupun mereka (UMNO) menafikan tetapi saya tahu ini kerja mereka. Ini semua permainan politik UMNO.

“Kalau mereka memahami soal undang-undang, sistem demokrasi dan sebagainya mereka tidak akan bertindak sedemikian. Saya juga meminta MBSA dan PKNS biarkan sahaja tulisan itu di situ kerana kita tidak ada masa untuk membuang dan membersihkan kerja bodoh yang dilakukan mereka,” katanya.

Difahamkan contengan itu berikutan penduduk yang tidak berpuas hati dengan isu pembinaan kuil di Seksyen 23.

Bagaimanapun katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan penduduk Seksyen 23 untuk membincangkan isu ini yang dijangka diadakan pada 7 September di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Kalau tidak silap saya surat jemputan akan diedarkan oleh pihak MBSA di mana kita akan bertemu dan berbincang bersama. Penduduk tidak akan diketepikan dalam hal ini.

“Kedudukan kuil itu yang dicadangkan bagi pandangan saya cukup munasabah. Kita ingin bertemu dengan penduduk untuk menjelaskan bahawa kita akan berusaha menentukan sekiranya dibina di situ ia tidak akan mengganggu mereka dan tidak akan menimbulkan masalah,” katanya.

Beliau juga memohon dan merayu supaya penduduk bersikap terbuka dan mendengar segala penjelasan sebelum membuat keputusan.

Kata Khalid, kuil yang hendak dibina ini akan memenuhi keperluan penduduk kaum Hindu di Seksyen 19, 20 dan 23 yang dianggarkan melebihi 1,000 orang.

Katanya, isu tersebut telah dipolitikkan UMNO yang bersikap baling batu sembunyi tangan pada hal semua orang sudah tahu siapa yang bertanggungjawab.






Sebatan baik untuk buang ketagihan arak

Oleh Zukri Aksah


Hanya kerana sebuah Mahkamah Tinggi Syariah di negeri ini menjatuhkan hukuman sebatan (ringan) ke atas seorang pesalah wanita yang mengaku meminum arak di tempat awam, maka ia menjadi polemik nasional, padahal perundangan sivil negara kita sudah lama mempunyai peruntukan hukuman yang sama, sebatan dan juga bunuh.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi dalam komentarnya mengulas bahawa tindakan merotan dengan sekuat-kuatnya dengan menggunakan rotan yang besar dan mencederakan dengan satu kecederaan yang parah adalah suatu yang bercanggah dengan kaedah sebatan dalam Islam.

Sedangkan, tambah Nasrudin, hukuman sebatan untuk kesalahan seperti meminum arak bukanlah bertujuan untuk menyiksa, tetapi lebih kepada memberi pengajaran. Bahkan cara-cara menyebat mengikut Islam telah diperincikan dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 Negeri Pahang, Seksyen 125 dan 126.

Menurut beliau, garis panduan perlaksanaan hukuman sebatan mengikut Islam adalah seperti berikut:

1. Mahkamah atau Kerajaan Negeri menentukan dimana hukuman itu hendak dilaksanakan.

2. Pesalah mesti diperiksa oleh Doktor Kerajaan tentang tahap kesihatannya untuk menjalani hukuman sebat itu.

3. Alat untuk digunakan adalah rotan atau ranting kecil pokok yang berukuran panjang tidak lebih dari 1.22 meter (4 kaki) dan tebalnya 1.25cm (1/4 inci).

4. Orang yang akan menyebat itu mestilah seorang yang adil dan matang.

5. Tukang sebat itu mesti gunakan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya lebih dari paras kepala supaya tidak melukakan kulit.

6. Selepas mengenakan satu sebatan dia hendaklah angkat alat sebatan itu keatas dan tidak menariknya.

7. Sebatan boleh dikenakan ke seluruh badan kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.

8. Pesalah yang disebat hendaklah berpakaian mengikut Hukum Syarak.

9. Pesalah lelaki disebat dalam keadaan berdiri dan perempuansecara duduk.

10. Perempuan yang hamil tidak boleh disebat dan mesti tunggu selepas 2 bulan dia melahirkan anaknya.

Nasrudin, dalam kenyataannya turut mendedahkan tentang seorang saintis Rusia, Dr Marina Chuhrova yang mempunyai sepuluh orang pesakit ketagih arak yang menjalani rawatan terapi merotan. Pada asalnya pesakit-pesakit ini tidak menyukai kaedah ini tetapi apabila ia mula memberi kesan positif, mereka bertukar menjadi suka, sehingga mereka sanggup membayar lebih kurang RM400 untuk satu sesi rawatan.

Tambah Nasrudin dalam pendedahannya, ahli biologi, Dr Sergei Speransky yang mengetuai kajian itu, mendakwa hukuman jasmani boleh membantu seseorang menangani masalah ketagihan dan tekanan. Sergei mengesahkan yang beliau bukan sadis walaupun beliau mencadangkan kaedah merotan atau menyebat, dan kaedah itu ternyata berkesan.

Kaedah ini biasanya melibatkan 30 sesi atau paling baik 60 sesi.

Persoalannya, dimanakah tidak moderatnya hukuman sebat untuk peminum arak ini?

Adun Kampung Tunku Buat Laporan Polis

TV SELANGOR


Adun Kampung Tunku, Lau Weng San hari ini membuat satu laporan polis berhubung salah guna peruntukan bekas Adun Barisan Nasional serta penyelewengan kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lau yang juga Setiausaha DAP Selangor berkata, laporan itu dibuat setelah mendapati wujud salah guna peruntukan di kawasan pembangunan DUN Kampung Tunku dan DUN lain, di Selangor.

Katanya, beliau mempunyai bukti untuk mengesahkan laporan yang dibuat.

“Dokumen yang saya perolehi daripada Pejabat Tanah dan Daerah Petaling telah menunjukkan setiap satu butiran kegunaan peruntukan ini dan persoalan-persoalan serius timbul, bagaimana bekas Adun ini dapat membelanjakan wang rakyat ini dengan begitu boros dalam masa kurang daripada tiga bulan, lebih-lebih lagi apabila Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008.

“Dan persoalan timbul sama ada Adun-Adun BN ini sengaja berbuat demikian supaya wang ini dapat dikeluarkan untuk membiayai perbelanjaan kempen pilihanraya BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga mendakwa, Adun BN telah membelanjakan 90.6 peratus atau RM26.6 juta daripada peruntukan kawasan masing-masing dalam tempoh dua bulan pertama, tahun 2008.

“Jumlah keseluruhan peruntukan tersebut ialah RM26,634,844.33 dan baki yang tinggal ialah RM2,907,155.76. Sebahagian besar Adun BN masing-masing membelanjakan RM492,800, mala Speaker DUN yang bukan Adun, turut membelanjakan RM600,000,” katanya.

Lau berkata, beliau juga telah membuat laporan kepada SPRM pada 16 Julai lalu, tetapi tiada sebarang tindakan diambil oleh SPRM untuk menyiasat salah guna peruntukan DUN berkenaan.

“Saya mengesyaki, terdapat unsur-unsur jenayah dalam kes ini. Saya juga meminta PDRM menjalankan siasatan terhadap pegawai-pegawai SPRM yang terlibat dalam kes ini kerana saya mengesyaki mungkin terdapat unsur-unsur jenayah seperti penyelewengan mungkin sengaja ditutup oleh pihak berkuasa yang sepatutnya menjalankan siasatan”, katanya

Tiada Pertambahan Rumah Ibadat Selain Islam Sejak PR Memerintah Negeri Selangor

TV SELANGOR


Tiada kelulusan baru diberikan untuk membina rumah ibadat seperti kuil, tokong atau gereja, sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri Selangor selepas pilihanraya umum 2008 lalu.

Sebaliknya, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, setakat ini kerajaan negeri hanya menyelesaikan hak milik tanah bagi rumah ibadat yang telah didirikan.

Katanya, ia sekaligus menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa banyak rumah ibadat bukan islam diluluskan, sebaik sahaja Pakatan Rakyat memerintah Selangor.

“Dalam isu ini, saya fikir Pakatan Rakyat meluluskan tanah untuk tempat-tempat ibadat ini bukanlah tanah yang baru, tetapi tanah-tanah yang lama, yang mana kuil telahpun didirikan dan sebab backlock permintaan orang adalah ramai.

“Kerajaan yang dulu tidak ambik prihatin, dan mereka gunakan taktik melambat-lambatkan proses untuk memberi hak milik tanah, sekarang kita telah cepatkan proses memberi hak milik tanah itu kepada selain islam,” katanya.

Dr Xavier berkata demikian dalam temuramah ekslusif bersama TvSelangor, di Shah Alam, semalam.

Katanya, ia adalah propaganda Barisan Nasional untuk memburuk-burukkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang berusaha menyelesaikan masalah yang gagal ditangani kerajaan terdahulu.

Dalam pada itu, Dr Xavier berkata, pemindahan tapak kuil yang dilakukan adalah disebabkan tapak sedia ada tidak sesuai dan menerima desakan daripada penduduk setempat untuk dipindahkan.

Bagaimanapun, semua keputusan dicapai selepas kerajaan mengadakan rundingan dengan pihak terbabit, khususnya pihak kuil dan penduduk berhampiran.

“Saya nak ingatkan kepada rakyat Selangor, jangan takut dengan propanganda BN, kata kerajaan Pakatan Rakyat beri banyak tanah kepada tempat ibadat selain islam, itu tak betul sebab kalau kita kira ada lebih masjid dan surau berbanding tempat ibadat lain, org bukan melayu tak bantah dan faham, pada masa sama, kena bagi hak kepada orang-orang tempatan untuk adakan tempat ibadat masing-masing,” katanya.

Di samping itu, kata Dr Xavier, sebarang keputusan berkaitan pemberian hak milik tanah ini akan dibuat berdasarkan keputusan Jawatankuasa Ibadat yang bermesyuarat dua bulan sekali bagi meneliti masalah-masalah berkaitan rumah ibadat selain Islam.

Melalui mesyuarat jawatankuasa ibadat ini, perbincangan akan diadakan bersama NGO, pegawai daerah, pegawai perancang majlis perbandaran dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), sebelum sebarang tindakan dilakukan.

“Jawatankuasa ini kita adakan mesyuarat tiap-tiap dua bulan sekali dalam satu tahun. Kita adakan ini sebab selama ini ada masalah kuil yang belum diselesaikan dalam negeri Selangor dan kita tidak boleh tutup mata atas perkara ini.

“Ini kehendak mereka dan memberi peluang kepada mereka untuk adakan tempat-tempat ibadat masing-masing,” katanya.

Tambah Dr Xavier lagi, masalah rakyat ini tidak boleh dipandang ringan kerana mereka berhak mempunyai tempat ibadat masing-masing, mengikut keperluaan di sesebuah kawasan.

Jika Empangan Milik Malaysia, Mengapa DiKawal Oleh Askar Singapura?

Oleh: amanlegend


"Di bawah ini ialah dua kiriman oleh Rahmat Haron. Saya ambil di blognya sampahseni untuk tatapan kita. Kiriman tersebut berkaitan dengan isu pembekalan air oleh Malaysia kepada Singapura. Sedikit hangat diperkatakan sehingga ke hari ini. Ada diulas oleh Muhyiddin Yassin selaku mantan Menteri Besar Johor dan Tun Dr. Mahathir selaku mantan PM pada ketika itu. Saya ada juga menimbulkan beberapa persoalan dalam kiriman terdahulu. Namun persoalan yang ditimbulkan dalam blog Rahmat Haron ini amat menarik untuk difikirkan:

Satu:"Pemimpin yang dicucuk hidungnya seperti lembu ialah pemimpin yang cakap tak serupa bikin, misalan bila diminta Singapura untuk dibekalkan air dan dibina empangan tadahan air di Sungai Linggi jawapan yang diberi, bukannya tidak boleh, tetapi Malaysia tak ada duit nak buat empangan. Bagi duit, dapat Singapura sebuah empangan air. Jika tanah empangan tersebut milik Malaysia, kenapa pasukan keselamatan Singapura yang berkawal?

Dua: ‘Kawasan takungan rahsia’ punca banjir besar di Kota Tinggi?


K Kabilan & Nash Rahman (Malaysiakini.com)
Mar 1, 07 3:19pm


Penduduk Kota Tinggi tidaklah risau sangat walaupun hujan lebat berterusan pada 18 Disember tahun lalu. Lagipun, hujan lebat dilaporkan berlaku di seluruh negeri Johor. Tidak terlintas langsung di fikiran mereka tentang apa yang bakal berlaku selepas itu.

Pada hari berikutnya, air Sungai Johor melimpahi tebingnya dan menenggelamkan pusat bandar Kota Tinggi. Dan banjir yang melanda pada bulan Disember dan Januari lalu itu, merupakan yang terburuk pernah berlaku di Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman dilaporkan berkata punca Kota Tinggi teruk dilanda banjir bukan disebabkan oleh hujan lebat tetapi juga kerana air yang dilepaskan dari kawasan tadahan di kawasan hutan simpan di sekelilingnya.

Menurutnya, keadaan topografi daerah itu telah menjadikan Kota Tinggi ‘perangkap banjir’, dan sekaligus menenggelamkan keseluruhan bandar tersebut.

Menurut seorang aktivis tempatan, masalah tersebut ada kaitan dengan kewujudan kawasan takungan air di Linggiu, yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Kota Tinggi.

Beliau mendakwa “kawasan takungan rahsia milik kerajaan Singapura” itu turut menjadi penyumbang utama kepada kejadian banjir yang menenggelamkan Kota Tinggi. Bagaimanapun, Singapura menafikannya.

“Pertama-tamanya, lokasi kawasan takungan itu adalah salah. Ia mewujudkan bahaya kepada bandar dan perkampungan di sekitar kawasan tersebut,” kata Zaaba Abdul Samad ketika ditemui malaysiakini baru-baru ini.

Berbekal peta topografi kawasan tersebut, Zaaba menunjukkan paras kawasan takungan itu terletak lebih tinggi daripada kawasan sekitarnya.

“Apa yang saya mahu tahu ialah mengapa kerajaan Johor bersetuju untuk membina kawasan takungan air itu di sini,” katanya.

Kawasan takungan rahsia

Zaaba telah puas berusaha untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perjanjian antara Johor dan Singapura mengenai pembinaan kawasan takungan Linggiu itu tetapi gagal menemuinya di arkib awam. Beliau hanya memperolehi Pelan Warta bagi kawasan takungan tersebut.

“Kita mempunyai dokumen-dokumen awam bagi dua lagi kawasan takungan yang membekalkan air kepada Singapura. Semuanya lengkap. Tetapi bagi kawasan takungan Linggiu, anehnya tidak ada,” katanya.

Bukan setakat dokumen mengenai kawasan takungan itu sukar diperolehi, lokasinya juga tidak diketahui ramai penduduk tempatan.

Papan tanda pertama yang menunjukkan lokasi kawasan takungan itu ditemui selepas kira-kira 40km di jalan utama Kota Tinggi-Kluang. Ia terletak berhampiran pekan kecil Tenggara.

Dari sana, terdapat jalan ke kawasan skim Felda Linggiu dan di situ kelihatan papan tanda kedua.

Kawasan takungan itu terletak 11 kilomter dari jalan masuk ke kawasan Felda tersebut. Jalan menuju ke kawasan takungan itu berlubang-lubang kerana ia digunakan oleh lori mengangkut pasir.

Kemudian, tiba-tiba ia disambung ke sebatang jalan tar yang baik manakala kawasan sekitarnya juga kelihatan diselenggarakan dengan baik. Jalan tersebut membawa ke pintu masuk utama yang berpagar besi ke kawasan takungan itu

Terdapat papan tanda melarang orang luar memasuki kawasan takungan tersebut.

Beberapa penduduk tempatan yang ditemui malaysiakini di situ untuk memancing ikan, berkata kawasan takungan itu dikawal rapi oleh anggota keselamatan yang sering membuat rondaan.

“Anggota keselamatan ini bukan orang tempatan. Jika orang sini kami kenal. Mereka dari sana. Begitu juga dengan orang lain yang bekerja di situ,” kata mereka, merujuk kepada rakyat Singapura.

Malaysiakini cuba mencari jalan masuk ke kawasan tersebut tetapi tidak berjaya kerana pintu pagar utama itu berkunci dan tidak ada anggota keselamatan bertugas di situ.

Kebimbangan keselamatan

Kawasan takungan itu sendiri dikelilingi oleh empat gunung, 55 bukit dan kawasan hutan simpan. Terdapat banyak sungai dan semua sumber air itu mengalir ke sebuah kawasan tasik yang besar. Ia terletak kira-kira 88km dari Singapura.

“Ia merupakan kawasan tadahan air yang cukup ideal. Ia tidak pernah putus bekalan air. Takungan air tersebut disalurkan ke sebuah loji rawatan air di Senai. Dari situ ia disalurkan ke Singapura,” kata Zaaba.

Bagaimanapun, katanya, apa yang menjadi kebimbangan sekarang ialah keselamatan ribuan rakyat Johor yang tinggal di sekitar kawasan takungan itu.

Jika berlaku kemalangan pada takungan air Linggui, katanya, airnya pasti akan mengakibatkan banjir besar dan ramai yang akan terkorban.

Terdapat banyak isu-isu lain yang berkaitan dengan kawasan takungan Linggiu itu. Ramai aktivis tempatan yang ditemui malaysiakini berkata, tidak banyak yang diketahui mengenai pembinaan kawasan takungan itu serta kerja-kerja penyelenggaraannya sekarang.

“Tidak ada rekod awam mengenai selama manakah kawasan takungan itu akan digunakan dan bayaran-bayaran lain yang dibuat oleh republik itu kepada kerajan negeri Johor,” kata seorang aktivis yang tidak mahu namanya disebut.

Beliau menamah, satu-satu bayaran yang dibuat oleh kerajaan Singapura adalah sebanyak RM320 juta sebagai pampasan bagi kerosakan alam sekitar dan kehilangan kegunaan tanah ekoran pembinaan kawasan takungan itu.

“Kita tidak tahu jika terdapat bayaran lain yang dibuat kerana tidak ada sebarang hitam putih mengenainya,” katanya.

“Kita bimbang kawasan takungan Linggiu telah menjadi kawasan autonomi milik Singapura,” tambahnya.

Kebimbangan yang sama turut dibangkitkan sewaktu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tahun lalu, tetapi tiada jawapan memuaskan yang diberi oleh kerajaan negeri.

Rekod sidang dewan itu menunjukkan menteri besar meminta tambahan masa untuk menjawab soalan mengenai kawasan takungan itu kerana beliau perlu mendapatkan maklumat terlebih dahulu daripada agensi kerajaan yang berkaitan.

Usaha Malaysiakini untuk mendapatkan maklumat dari pejabat menteri besar mengenai perkara itu juga tidak berhasil.

Jawapan Singapura

Kerja-kerja pembinaan kawasan takungan Linggiu bermula pada 1988 dan siap sepenuhnya pada 1994. Kerajaan Singapura telah menandatangani perjanjian dengan Johor pada 1990 untuk membekalkan air dari kawasan takungan tersebut.
Pelan bagi kawasan takungan itu diwartakan pada 1990, tetapi tidak terdapat sebarang warta kerajaan negeri mengenainya.

Singapura telah menanggung kos pembinaan kawasan takungan itu. Johor memiliknya, tetapi Singapura menanggung semua kos operasinya. Ini adalah tambahan kepada RM320 juta bayaran pampasan yang dibayar kepada Johor pada 1990.

Singapura juga mendapatkan bekalan air dari dua lagi kawasan takungan di Johor – Gunong Pulai dan Sungai Johor. Bagaimanapun, terdapat dokumen-dokumen awam mengenai perjanjian bekalan air bagi kedua-dua kawasan takungan tersebut.

Ketika dihubungi, Lembaga Utiliti Awam Singapura (PUB) – yang mengurus dan menyelenggara kawasan takungan Linggiu – menolak dakwaan bahawa kawasan takungan itu menyumbang kepada kejadian banjir besar di Kota Tinggi.

“Kawasan takungan Linggiu bukan menjadi punca penyumbang kepada banjir tersebut. Malah, ia membantu menakung air hujan di dalam kawasan tadahan,” kata Pengurus Besar PUB, Fam Sui Ling, yang bertanggungjawab terhadap kawasan takungan itu.

“PUB tidak melepaskan sebarang air dari kawasan takungan Linggiu pada 18 Disember 2006 atau sekitarnya,” katanya dalam jawapan melalui emel.

Beliau juga menafikan kawasan takungan itu sudah menjadi milik Singapura.

“Kawasan takungan Linggiu milik kerajaan negeri Johor. PUB mengendalikan operasi kawasan takungan itu di bawah Perjanjian 1990 antara kerajaan negeri Johor dan PUB,” tambahnya.

(Apa isi perjanjiannya?)

http://duniacacamarba.blogspot.com/2009/08/jika-empangan-milik-malaysia-mengapa.html

Polis berkawal di Seksyen 23

Salhan K Ahmad


Anggota polis ditempatkan mengawal sekitar Seksyen 23, Shah Alam dipercayai berikutan isu pemidahan sebuah kuil Hindu dari Seksyen 19 ke situ, ekoran bantahan penduduknya yang mengadakan demonstrasi Jumaat lalu.

Tinjauan Malaysiakini semalam mendapati, polis mengadakan sekatan jalan di jalan utama ke seksyen tersebut, manakala yang lainnya ditempatkan sementara di sebuah dewan komuniti di situ.

Bagaimanapun, kira-kira 10 anggota polis yang menjaga sekatan jalan itu hanya memerhati kenderaan yang keluar masuk di situ.

Jumaat lalu, sekumpulan 50 orang mengadakan demonstrasi membantah pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23, dengan mengarak kepala lembu ke bangunan kerajaan negeri Selangor di Shah Alam.

Ketua Polis Selangor ketika dihubungi Malaysiakini semalam, mengesahkan penempatan anggota polis di kawasan itu bagi tujuan "kawalan jenayah".

Katanya, kawasan berkenaan dikenalpasti sebagai satu 'titik panas' bagi kawalan jenayah.

Seorang penduduk yang tinggal berhampiran tapak yang dicadangkan bagi pembinaan kuil tersebut berkata, beliau hairan dengan kehadiran ramai polis di situ, tetapi agak lega kerana menurutnya sememangnya banyak kejadian jenayah berlaku di kawasannya.

Munusamy Ellapan, 52, berkata, kira-kira 200 orang anggota polis itu, sebelum ini ditempatkan di sebuah hotel berhampiran, sebelum ditempatkan di Dewan Serbaguna berhampiran rumahnya.

"Sekarang rasa lebih selamatlah kerana terdapat ramai anggota yang meronda dengan kerap. Ini boleh kurangkan kes jenayah.

"Cuma saya kesal sikitlah kerana tak dapat main badminton di dewan. Tapi saya diberitahu mereka akan kosongkan dewan sebelum 2 September sebab ada kenduri kahwin akan diadakan di situ," jelasnya lagi.

Katanya lagi, beliau pada mulanya menganggap kehadiran ramai anggota polis di situ sejak Ahad lalu, untuk menjaga keselamatan beberapa orang 'orang kenamaan' yang dikatakan akan menemui mereka bagi membincangkan isu berkatan pemindahan kuil.

Jelasnya, beliau telah lama mendengar mengenai ura-ura perbincangan itu akan diadakan, tetapi belum melihat apa-apa bentuk pertemuan diadakan dengan penduduk di kawasan tersebut.

Kerajaan Selangor semalam mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengadakan perbincangan terbuka pada 5 September depan antara penduduk sebenar Seksyen 23, Shah Alam, pegawai MBSA dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Perbincangan berkenaan bertujuan mendengar luahan pendapat masyarakat setempat selain memberikan peluang kepada kerajaan negeri menjelaskan rasional di sebalik penempatan semula kuil Hindu di Seksyen 19 ke Seksyen 23

"Saya fikir (dialog) itu akan diadakan Ahad lepas sebab saya nampak ramai polis, rupa-rupanya tidak," katanya lagi.

Katanya lagi, beliau bersedia untuk mengikutinya, tetapi belum menerima apa-apa maklumat berkatian program berkenaan setakat ini

"Belum dengar apa-apa lagi, tapi saya akan pergi dengar," katanya.

Mengulas mengenai demonstrasi yang dikutuk oleh ramai pihak semalam, Ellapan yang juga peniaga kedai makan, sekadar berkata:

"Tidak baiklah macam itu, sepatutnya kita biarkanlah orang-orang di atas (pihak berkepentingan) untuk selesaikan."

Jelasnya lagi, tapak sebenar untuk kuil baru itu hanya seluas setengah ekar, dan bukannya seperti yang didakwa oleh mereka yang menyertai demonstrasi Jumaat lalu.

"Tapak sebenar hanya seluas setengah ekar, berhadapan dengan jalan utama, kawasan berpagar ini milik pemaju," katanya.

Ditemui di rumahnya, yang paling hampir dengan tapak tersebut, beliau berkata kawasan berpagar itu dikhususkan untuk taman rekreasi.

"Saya diberitahu, mereka (pemaju) kata nak buat taman rekreasi, tapi belum mula apa-apa lagi." katanya.

“Baguslah kalau (kuil) dipindahkan ke sini kerana tapaknya lebih sesuai. Orang akan senang datang sebab dekat dengan jalan besar," tambahnya.

Sementara itu seorang penduduk yang tinggal berhampira Kuil Sri Maha Mariamman di Seksyen 19, menyokong cadangan memindahkan kuil itu ke tempat lain, kerana menurutnya, tapak sedia ada tidak lagi sesuai.

Menurutnya, kesesakan yang berlaku di kawasan perumahan berkenaan dapat dielakkan sekiranya kuil itu dipindahkan.

Beliau yang tidak ingin dikenali berkata, kesesakan itu berlaku pada hari-hari kebesaran agama Hindu kerana ia dikunjungi ramai penganut Hindu.

“Ramai yang datang ini dari kawasan luar (Shah Alam). Di kawasan ini pun tidak ramai orang India, dahulu memang ramai," kata wanita berkenaan yang bertugas sebagai guru di salah sebuah sekolah di Klang.

Ekoran itu, beliau bersetuju sekiranya kuil tersebut dipindahkan ke kawasan lain.

Bagaimanapun, beliau tidak yakin perbincangan terbuka pada 5 September depan antara penduduk Seksyen 23, Shah Alam, pegawai MBSA dan PKNS akan membuahkan hasil.

"Sebelum ini pun YB Rodziah pun ada datang jumpa kami. Tapi tidak ada apa-apa tindakan," katanya.

"Kalau jadi pindah, saya memang sokonglah," katanya.

Dakwaan penjenayah kuasai polis: Sikap KPN dipertikai

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR : Sikap Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan yang enggan mengulas tuduhan bahawa beliau mengizinkan penjenayah menguasai pasukan polis menimbulkan persoalan besar terhadap kredibilitinya, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Malah, katanya lagi, ia juga menyebabkan kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein lebih dipertikaikan.

"Mengapa selepas mengambil alih kerajaan April lalu, Najib dan Hishammuddin terus mengekalkan seorang KPN yang telah begitu lama dipertikaikan kredibilitinya?

"Sama seperti kita mahukan seorang Perdana Menteri yang bersih dan dilihat bersih sejak dari mula Najib menyandang jawatan itu, kita juga mahukan seorang KPN yang bukan sahaja bersih tetapi dilihat bersih.

"Amat mengecewakan apabila hendak melantik KPN yang bersih dan dilihat bersih pun tidak mampu dilakukan oleh kerajaan Najib," kata Salahuddin.

Mengulas lanjut keengganan Musa mengulas pelbagai tuduhan terhadapnya itu, beliau berkata, "itu bukan sifat seorang KPN".

Sepatutnya, kata Salahuddin, Musa berdiri tegak untuk menangkis pelbagai tuduhan terhadapnya.

"Umno tidak henti-henti memperlekehkan kenyataan-kenyataan bersumpah yang disiarkan oleh Raja Petra (Kamarudin) sebagai tidak ada nilai, bohong dan sebagainya.

"Kenapa Musa tidak matikan sama sekali pendedahan Raja Petra kalau pendedahannya tidak ada nilai dan bohong?

"Bukankah orang kita terkenal dengan pepatah berani kerana benar?" kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Dalam laman web kelolaannya, Malaysia Today, Raja Petra semalam menyiarkan kenyataan bersumpah yang mengandungi pelbagai tuduhan terhadap Musa.

Malaysiakini melaporkan, Musa enggan mengulas tuduhan-tuduhan itu.

Walaupun dipadamkan identiti dan beberapa maklumat lain dalam kenyataan bersumpah itu, Raja Petra berjanji akan menyiarkan kesemuanya jika perkhidmatan Musa sebagai KPN disambung semula.

Dalam kenyataan bersumpah yang dikatakan dibuat oleh seorang pegawai polis yang pernah menjadi pembantu peribadinya (aide-de-camp atau ADC), Musa dituduh menyebabkan pasukan polis dikuasai penjenayah berikutan hubungannya dengan kumpulan itu.

Pegawai polis itu menuduh Musa membiarkan kepala-kepala penjenayah memanipulasi kenaikan pangkat anggota polis dan penentuan jawatan mereka.

Sebagai ADC kepada Musa, kata pegawai polis itu, beliau diarahkan untuk "menyelaraskan arahan mengenai pangkat dan jawatan para pegawai polis berdasarkan draf dan cadangan yang dibuat oleh BK Tan".

Laporan sebelum ini mendakwa Tan adalah kepala sindiket jenayah terancang yang menguasai dadah, persundalan, ceti haram dan rangkaian perjudian haram di seluruh Malaysia. Beliau juga didakwa menguasai sistem maklumat berkomputer polis.

Pegaawai polis itu juga mendakwa bahawa sesetengah arahan pertukaran dibuat dengan tujuan untuk memerangkap pegawai yang diarahkan berpindah itu.

Sesetengah arahan pertukaran pula dibuat untuk memperlihatkan seolah-olah Musa melakukannya dengan tujuan menghapuskan rasuah.

Musa juga dituduh mengarahkan supaya diwujudkan blog tanpa nama pemiliknya untuk menuduh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum menerima rasuah RM5.5 juta dari tiga kepala penjenayah.

Johari pada masa itu ialah Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan dikatakan tidak mempunyai hubungan baik dengan Musa.

Kenyataan bersumpah pegawai polis yang mendakwa pernah menjadi ADC kepada Musa itu juga mengulangi tuduhan bahawa Musa berada di sebalik pakatan jahat ke atas bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Ramli Yusof dan lain-lain pegawai yang terlibat menyiasat beberapa kepala penjenayah.

Ramli dan pegawai-pegawai tersebut sebelum ini menghadapi tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ketika itu dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Pegawai polis tersebut juga menyatakan beliau pernah memaklum dan mengadukan perkara itu kepada begitu ramai pembesar termasuk Johari sendiri dan bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad.

"Bagaimanapun, tidak banyak yang dapat dilakukan bila perkhidmatan Musa (sebagai KPN) dilanjutkan dua tahun lagi pada Julai 2007 lalu oleh Perdana Menteri sebelum ini, (Tun) Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri ketika itu.

"Ia menjadi pengesahan yang sangat kuat bahawa kerajaan berada di belakang Musa sepenuhnya," kata pegawai polis itu dalam kenyataan bersumpahnya.

Menurut Raja Petra, terdapat tanda-tanda bahawa kerajaan mahu menyambung lagi perkhidmatan Musa untuk kali ketiga apabila tempoh perkhidmatannya kini tamat pada 14 September akan datang.

"Ini bermakna kumpulan kongsi gelap Cina akan terus menguasai pasukan polis dan menentukan siapa yang ditukarkan, dinaikkan pangkat, diturunkan pangkat dan dicampak ke dalam penjara.

"Ya, mereka bertindak sehingga ke peringkat mencampakkan pegawai-pegawai polis yang enggan 'berkerjasama' ke dalam penjara. Dan, hari ini, kami mengemukakan bukti mengenainya," kata Raja Petra._