Rabu, 31 Mac 2021

“Aku melalui apa itu KEMISKINAN dan tahu apa itu MISKIN,” – Kisah kedai runcit dan buku 555


Bukan mudah nak tebalkan muka masuk mengadap tauke kedai runcit tatkala buku 555 sudah penuh dengan senarai hutang yang belum berbayar. Namun atas perintah ibu, terpaksa diturutkan, jika tidak dapur tak berasaplah jawapnya.

Perkongsian kisah hidup Azmi Ibrahim di laman sosial miliknya cukup menjentik hati. Jelasnya masih terbayang gerunnya setiap langkah ke kedai membeli barang secara hutang.

“Perkara aku paling phobia waktu kecik kecik dulu ialah bila Arwah Ibu suruh aku kekedai runcit milik Pakcik Hamid (seorang mamak) tulis dalam buku 555.

Sebabnya.

Mamak ni akan layan aku last sekali sebab hutang dan sambil aku menunggu dia akan tenung muka aku macam nak tersembul biji mata dia.

Dia akan membebel.

“Lu ama hutang lambat bayar..”

“Lain orang hutang cukup masa bayar tapi lu ama tangguh tangguh tangguh..”

Dia akan membebel tak berhenti..tambah lagi bila ada pelanggan lain dalam kedai..sambil cakap kuat kuat.

Patut arwah Ibu asyik suruh aku je kekedai dan adik beradik yang lain juga enggan.

Jadi.

Aku melalui apa itu KEMISKINAN dan tahu apa itu MISKIN..dan bukan buat Phd tentang miskin dari Oxford atau Havard..

Sampai hari ini kemiskinan orang lain jadi kemiskinan  aku dan aku tidak akan pernah rasa kaya…

***Aku kini berusia 61 tahun

***Sebab itu dalam menyampaikan bantuan sumbangan kalian sejak sekian lama aku jarang paparkan wajah2 mereka yang kita bantu..

Sebab aku juga faham apa itu AIB bila hidup miskin.”

Sumber : Azmi Ibrahim

‘Allah’ hanya berkaitan agama Islam: Pengerusi DBP

Siti Hafidah

Fakta ini patut difahami, dihormati oleh penganut agama lain

BANGI – Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan hari ini menjelaskan takrif kalimah Allah bagi mengelakkan kekeliruan berhubung konsep ketuhanan.

Menurut Kamus Dewan Perdana, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2020, istilah ‘Allah’ ialah kata yang merujuk kepada makna ‘Tuhan yang esa dan pencipta seluruh alam, yang mempunyai segala sifat yang sempurna’.

Manakala, kata ‘Tuhan’ dengan huruf besar diberi takrif yang sama dengan istilah ‘Allah’, iaitu sebagai sinonim atau kata seerti dengan kata ‘Allah’.

Bagi agama selain Islam, istilah ‘tuhan’ digunakan sebagai nama am, iaitu ditulis dengan huruf kecil untuk membezakan konsep ketuhanan dalam agama Islam dengan konsep ketuhanan dalam agama-agama lain.

Prof Awang Sariyan yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan, takrif itu telah menjadi pegangan dan pemahaman umat Islam di alam Melayu sejak Islam diperkenalkan di rantau ini seawal abad 8 Masihi dan mencapai tahap agama kerajaan-kerajaan Melayu mulai abad ke-13 Masihi.

“Berdasarkan pandangan sarwa atau pandangan alam umat Islam di rantau alam Melayu ini, istilah ‘Allah’ hanya berkaitan dengan agama Islam dan umat Islam, menurut takrif yang saya petik daripada kamus bahkan takrif itu telah berakar umbi sejak lebih seribu tahun.

“Fakta itu patut difahami dan dihormati oleh penganut agama-agama lain. Ini supaya tidak timbul kekeliruan tentang konsep ketuhanan dalam agama Islam dengan konsep ketuhanan dalam agama-agama lain, sebagaimana penganut Islam tidak menyentuh konsep kepercayaan penganut agama lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Dalam keputusan itu, tiga perkataan Arab yang lain iaitu Baitullah, Kaabah dan solat turut mendapat kebenaran untuk digunakan.

Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia pada 15 Mac lalu mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan melalui notis rayuan yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi.

DISYORKAN UNTUK ANDA

 MEDAN BERITA POLITIK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH '

Pasangan kekasih remaja ditahan buang bayi baru lahir

Siti Hafidah

Suspek ambil semula bayi selepas buang di kawasan semak

MELAKA – Pasangan kekasih berusia 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes buang bayi lelaki mereka yang baru dilahirkan sehingga menyebabkan kematiannya di semak berhampiran kawasan kilang di Telok Mas di sini, kelmarin.

Ketua Polis Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Mohd Sukri Kaman berkata, remaja perempuan ditahan hari ini ketika menerima rawatan di Hospital Melaka kerana pendarahan selepas melahirkan bayi tersebut manakala pasangannya ditahan di pekarangan hospital berkenaan pada jam 11 malam, Isnin.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek wanita tersebut melahirkan bayi berkenaan dalam keadaan masih hidup dan disambut teman lelakinya di rumah lelaki berkenaan di Taman Telok Mas di sini, kira-kira 12 tengah malam Ahad lalu.

“Lelaki berkenaan telah memasukkan bayi berkenaan ke dalam satu kotak plastik sebelum dibungkus dalam plastik hitam sebaik dilahirkan untuk dibuang di kawasan semak.

“Bagaimanapun bayi itu kemudian telah diambil semula oleh suspek lelaki itu dan menyerahkannya kepada pihak hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat bayi malang berkenaan akan dibedah siasat kira-kira jam 9 pagi esok bagi mengesan punca sebenar kematian.

Katanya, pasangan kekasih itu pula direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

“Polis Melaka sentiasa memandang serius kes jenayah terutamanya melibatkan kes buang bayi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah terbabit,” katanya. – Bernama

PEMBELA bertemu Pengerusi DBP bincang isu kalimah Allah

fazleensafina

Turut rancang perjumpaan dengan Jabatan Peguam Negara

BANGI – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) hari ini mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan bagi berbincang mengenai isu Kalimah Allah.

Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, pertemuan itu bagi menyampaikan kegusaran rakyat berkaitan penyalahgunaan kalimah Allah dan beberapa istilah lain seperti Baitullah, Kaabah dan Solat oleh agama lain terutamanya pihak gereja dan Kristian.

“Kita berharap pihak DBP yang merupakan badan berautoriti kerajaan terhadap segala komponen dalam Bahasa Melayu mengambil tindakan sewajarnya dalam isu ini untuk menyelesaikan segala pertikaian yang timbul.

“Ini merupakan pelaksanaan resolusi ke-5 daripada kesemua 6 Resolusi Persidangan Badan Bukan Kerajaan (NGO-NGO) Islam bagi Kes Kalimah Allah 2.0 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Haji Aminuddin berkata, pihaknya ketika ini sedang dalam perancangan melakukan perjumpaan dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi membincangkan isu sama.

Bagaimanapun, katanya, tarikh perjumpaan itu masih belum dimuktamadkan lagi.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Dalam keputusan itu, tiga perkataan Arab yang lain iaitu Baitullah, Kaabah dan solat turut mendapat kebenaran untuk digunakan.

Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia pada 15 Mac lalu mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan melalui notis rayuan yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi.

Matlamat besar di sebalik Undi 18

Asyraf Farique

Parti dipolarisasikan ikut kaum, agama, kini dipisahkan kerana usia

ISU undi 18 tahun harus dilihat lebih daripada sekadar orang muda matang atau tidak. Tetapi siapa yang akan beroleh manfaat dari pengelasan usia seperti ini? Dan apa matlamat besarnya apabila takrif sosial ini (usia) dirombak?

Dunia hari ini menyaksikan beberapa takrif sosial dirombak dalam memberikan iluminasi kesaksamaan. Seperti contoh jantina. Dalam kamus dunia orde baru pada hari ini, pengelasan manusia berdasarkan jantina mahu dirombak dan dihapuskan.

Tiada lagi apa itu dinamakan lelaki, mahupun wanita. Jika kita melihat buku-buku falsafah sosial barat, seperti The Study of Man, Linton mengatakan pada awal bukunya, “Man’s origin is still unknown”. Asal usul manusia itu tidak diketahui. Maka segala perkara selepas itu yang datang untuk mengkategorikan manusia juga dalam ketidakpastian. (Dalam erti kata lain aku berhak mencorakkan ikut apa aku suka).

Oleh kerana itu kita lihat betapa caca-merba hari ini dengan segala macam isu-isu berkait dengan gender. Seawal isu-isu LGBT sehingga perjuangan feminisme. Setiap pihak di seluruh dunia ditekan untuk menerima pengelasan bahawa jantina itu sebenarnya tiada pengelasan. Setiap orang berhak menjadi lelaki atau wanita.

Buku The Study of Man oleh Ralph Linton

Berbalik kepada usia. Kenapa mereka mahu merombak takrif usia itu sendiri? Jika sebelum ini di dalam pasaran kerja manusia dibahagikan mengikut pengelasan usia. Sebagai contoh, pengelasan bersara itu dilakukan untuk mengatakan bahawa orang berusia itu tidak lagi berfungsi dengan baik dalam pasaran kerja dan seharusnya bersara.

Produktiviti mereka rendah, maka keuntungan kepada para pemodal kapitalis akan menjadi rendah. Sedangkan dalam Islam tiada istilah bersara. Setiap manusia mengikut kategori umur memiliki potensi dan peranan tertentu dan seharusnya mereka bekerja dan memberi manfaat sehingga ke akhir usia.

Kini sekali lagi takrif usia itu mahu diubah di dalam bidang politik. Perbahasan di barat jika kita melihat isu ini dinamakan “perang antara generasi, atau intergenerational warfare”. Jika kita melihat dalam contoh kajian kes di barat, sebelum ini kelas digunakan untuk membuat unjuran siapa yang akan mereka undi?

Di Britain pada tahun 1974, jika anda ahli kelas bekerja anda akan tiga kali mengundi Parti Buruh berbanding konservatif. Tiada lagi polarisasi undi berdasarkan usia. Namun kini, ketika undian pada tahun 2017. Umur menjadi faktor terpenting dalam pemilihan undi di Britain.

Pengundi 30-an 2 kali lebih berpotensi untuk mengundi parti Buruh berbanding warga tua 70 tahun ke atas dan begitulah sebaliknya.

Bayangkan apa yang akan berlaku di Malaysia? Sudahlah parti-parti kita dipolarisasikan berdasarkan faktor kaum dan agama. Kini dipisah-pisahkan lagi atas faktor usia. Apabila perkara ini berlaku, struktur sosiopolitik, ekonomi dan sosial masyarakat akan menjadi semakin huru-hara dan caca-merba. Implikasinya bukan sahaja masyarakat akan terus terpisah dalam bidang politik, tetapi juga dalam setiap bidang yang lain seperti ekonomi dan juga sosial.

Apabila generasi tua dan muda tidak lagi bersinergi, hidup di dalam dunia berbeza, berfikir dalam corak yang berbeza, memiliki ideologi yang berbeza, negara akan menjadi semakin huru-hara dan sukar untuk dikawal. Akhirnya dalam keadaan politik seperti ini, siapa yang akan untung? ISMA WEB.

(*)Asyraf Farique, Ketua Editor Fokus/ Pegawai Penyelidik IRIS

Lulus pinjaman ‘projek hantu’, Datuk bekas presiden bank ditahan

Empat suspek termasuk lelaki bergelar Datuk yang juga bekas presiden sebuah bank ditahan reman di mahkamah Putrajaya hari ini./ Gambar media sosial

WOW! RASUAH RM8 juta sebagai komisyen untuk meluluskan pinjaman kewangan RM400 juta untuk projek yang dipercayai tidak wujud.

Modus operandi, memberikan keistimewaan meluluskan pinjaman tersebut tanpa mengikut prosedur dan kajian kebolehlaksanaan (due dilligent) disebabkan rasuah yang diterima.

Dan pastinya ‘keistimewaan’ ini memerlukan penglibatan pengurusan tertinggi bank.

Sehubungan itu, bekas presiden merangkap pengarah urusan sebuah bank yang bergelar Datuk, merupakan antara empat individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berkait siasatan kes tersebut.

SPRM menahan mereka yang berumur antara 49 dan 53 tahun itu, di sekitar Kuala Lumpur semalam.

Memetik laporan BERNAMA, Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini telah mengarahkan kesemua mereka direman selama tiga hari sehingga 2 April.

Menurut sumber SPRM, keempat-empat individu itu dipercayai menerima rasuah kira-kira SGD3,168,366 atau kira-kira RM8 juta, sebagai komisyen untuk meluluskan permohonan pinjaman kewangan sebanyak RM400 juta bagi projek yang dipercayai tidak wujud.

Sumber itu menyatakan, bekas presiden merangkap pengarah urusan bank itu dikatakan telah memberikan keistimewaan meluluskan pinjaman tersebut tanpa mengikut prosedur dan kajian kebolehlaksanaan (due dilligent) disebabkan rasuah yang diterima.

Menurut sumber itu, setelah pinjaman kewangan diluluskan dan wang diperolehi, syarikat yang memohon telah ditutup dan projek tidak dilaksanakan.

“Ini adalah suatu perbuatan licik dengan kerjasama orang dalam iaitu dengan sengaja mewujudkan projek yang tidak sah, dengan tujuan untuk memohon pinjaman kewangan,” kata sumber itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut, dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Ugut kakak sebab tak masak nasi, buruh kena penjara 2 tahun


mahkamah

PUNCA, bangun tidur nasi tak ada.

Akibatnya, kakak dimaki hamun sampai mengugut hendak bunuh mangsa.

Kesudahan, tertuduh dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini.

Ia berhubung kesalahan pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap kakaknya disebabkan tidak memasak nasi dalam kejadian 17 Mac lalu.

Majistret, Majistret Kamarul Hasyme Rosli menjatuhkan hukuman selepas tertuduh, Mohammad Shafiq Romly, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga seorang buruh melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan Mahsuri Romly, 37, untuk membunuh mangsa dan keluarga.

Memetik laporan BH Online, kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kubur Tok Pah, Kampung Jambu pada jam 9 malam, 17 Mac lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengamuk dengan memaki hamun serta mengugut pengadu dengan berkata ingin membunuh pengadu dengan ahli keluarganya kerana berpunca pengadu tidak masak nasi sebaik tertuduh bangun tidur.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd Halim.

Terdahulu, Siti Edabayu memohon hukuman setimpal mengambil kira hubungan tertuduh dengan mangsa pada masa akan datang.

Siti Atikah pula dalam rayuannya memohon hukuman minimum dikenakan kerana percaya tertuduh sudah insaf akan kesalahannya.

“Saya yakin tertuduh sudah insaf dan tidak akanmengulangi kesalahan itu. Saya juga memohon hukuman bermula dari tarikh ditangkap,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman penjara dua tahun bermula dari tarikh ditangkap.

12 VVIP termasuk menteri disiasat langgar SOP, ada yang dikompaun

polis siasat 12 vvip
Suspek hina Islam dan hasut murtadkan wanita ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman hari ini.

KEGAGALAN mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan hanya terjadi dalam kalangan rakyat biasa.

Yang dalam Kabinet dan berstatus kenamaan juga tidak terkecuali ingkar SOP PKP yang dikuatkuasakan kepada semua tanpa mengira gagak atau enggang bagi mengawal penularan COVID-19.

Menurut polis, sebanyak 12 kertas siasatan dibuka membabitkan golongan orang kenamaan yang tidak mematuhi SOP PKP.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis menjalankan siasatan terhadap semua kes membabitkan golongan itu mengikut laporan yang diterima sejak PKP pertama Mac tahun lalu.

Justeru, beliau berkata, dakwaan segelintir pihak bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersikap berdiam diri dan tidak mengambil tindakan terhadap kes membabitkan orang kenamaan adalah tidak benar.

“Daripada jumlah kertas siasatan dibuka, tiga daripadanya tidak diambil tindakan kerana siasatan mendapati individu yang terlibat berada dalam tugasan rasmi serta mengikuti SOP ditetapkan.

“Ada di kalangan golongan terbabit sudah dikompaun dan ada pula yang sudah membayar kompaun dikenakan manakala yang lain-lain masih dalam tindakan kita,” katanya seperti dilapor BH Online.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim serta Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Che Zakaria Othman.

Mengenai kes membabitkan majlis perkahwinan keluarga VIP di Klana Resort Seremban pertengahan dan lawatan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri di Kem Sendayan baru-baru ini, ia masih dalam tindakan polis.

“Untuk kes Ismail Sabri, kita akan merakamkan keterangan penganjur majlis berkenaan walaupun ia majlis rasmi manakala majlis perkahwinan di Klana Resort Seremban sudah diambil keterangan semalam.

“Sekiranya berlaku pelanggaran, pegawai yang membuat siasatan akan membuat laporan dan seterusnya tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang terbabit.

“Kes membabitkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, yang hadir pada satu program di Taman Persekutuan Kiara, Taman Tun Dr Ismail, didapati mematuhi garis panduan dan SOP ditetapkan,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Polis rujuk kes Annuar Musa langgar SOP ke pejabat peguam negara

Terdahulu dalam ucapannya, Huzir berpuas hati dengan pencapaian polis Negeri Sembilan khususnya IPD Nilai apabila indeks jenayah menurun kepada 653 kes tahun lalu, iaitu 275 kes atau 29.6 peratus daripada 928 kes pada tahun sebelumnya.

“Bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, penurunan sebanyak 41 kes atau 37.6 peratus kepada 68 kes daripada 109 kes tahun lalu,” katanya.

Melonjak balik hari ini hampir cecah 1,500 kes

melonjak balik hari

DUA Hari lepas tiga angka, hari ini kes baharu COVID-19 melonjak balik hampir mencecah 1,500 kes.

Malah, kes sembuh yang dilaporkan hari ini lebih rendah daripada kes baharu iaitu sebanyak 1,070.

Ini menyebabkan kes aktif yang sedang dirawat di seluruh negara meningkat kepada 14,604.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 164 memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, sebanyak 81 pesakit COVID-19 pula memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Hari ini juga menyaksikan tujuh lagi kematian dilaporkan melibatkan 5 rakyat Malaysia dan dua bukan warganegaran.

“Angka kumulatif kematian akibat COVID-19 kini berjumlah 1,272 kes,” katanya menerusi media sosial beliau hari ini.

Tambah Noor Hisham, Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 661 kes diikuti Pulau Pinang (200 kes) dan Sarawak, 176 kes.

Baca artikel berkaitan: Sehari saja tiga angka, hari ini naik balik lepasi 1,000

Hari ini juga menyaksikan semua negeri dan wilayah mencatatkan kes baharu dengan terendah Perlis, satu kes diikuti Terengganu, dua kes dan Putrajaya, tiga kes.

Sementara itu, kata Noor Hisham, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 13 lagi kluster baharu COVID-19 hari ini.

Menurut beliau, tujuh daripadanya membabitkan tempat kerja, lima komuniti dan satu kumpulan berisiko tinggi.

Kluster baharu itu dikesan di Kedah, Sarawak,Selangor, Sabah, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur dan Labuan.

Sebanyak 66 kluster mencatatkan pertambahan kes baharu pada hari ini.

Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalahKluster Tapak Bina Persiaran Cybersouth (196 kes), Kluster Jalan Jelawat (88 kes), dan Kluster Subang Dua (46 kes).

Polis syak Sajat berada di luar negara

 Oleh NOR SHAFAWATI YUP

SAJAT gagal dikesan selepas waran tangkap ke atasnya 
dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam Selasa lalu.

SEREMBAN – Usahawan kosmetik kontroversi, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman kemungkinan berada di luar negara selepas dikatakan menghilangkan diri sejak waran tangkap ke atasnya dikeluarkan 23 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, usaha mengesan Nur Sajat sedang diteruskan dengan kerjasama pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Tindakan masih diambil untuk mengesan Sajat, ada berita menyatakan dia berada di luar negara dan kita masih lagi melakukan pemantauan.

“Sajat (kes) kerjasama di antara pihak IPK Selangor dengan JAIS, ia masih dalam tindakan kita,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di sini hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap ke atas usahawan kosmetik tersebut selepas dia gagal hadir prosiding sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina pada 23 Februari lalu.

Sajat menerusi rakaman ‘live’ di akaun Instagram miliknya semalam menafikan bersembunyi daripada pihak berkuasa dan JAIS sebaliknya hanya mendiamkan diri daripada media sosial Instagram malah mengatakan pihak polis tidak mencarinya kerana mempunyai urusan yang lebih penting.

Semalam, Kosmo melaporkan Nur Sajat nerupakan antara tiga individu yang kini menjadi tumpuan pihak berkuasa tempatan kerana mempunyai waran tangkap ekoran gagal hadir ke mahkamah dan terlibat dengan kes jenayah ko­mersial terbesar di negara ini.

Selain Nur Sajat dua lagi individu tersebut ialah pe­ngasas Sugarbook, Chan Eu Boon, 34, dan ketua sindiket pe­ngubahan wang haram terbesar, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, 33.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Huzir memberitahu, kes indeks jenayah di negara ini telah menunjukkan penurunan sehingga 24 peratus pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya disebabkan faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Semasa dalam PKP pergerakan terhad, selain kehadiran begitu ramai anggota penguatkuasa seperti pihak polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan lain-lain agensi yang berada di merata-rata tempat yang merupakan faktor kes jenayah berkurangan.

“Bagaimanapun, dalam tempoh PKP kita tidak henti-henti menjalankan operasi untuk membuat tangkapan ke atas penjenayah yang telah kita kenal pasti,” katanya. -K! ONLINE

Setengah jam pujuk wanita ancam terjun jambatan

 Oleh NOOR HASLIZA NUSI

Anggota bomba sedang memujuk wanita berusia 38 tahun yang nekad terjun dari kilometer 6.5 Jambatan Pulau Pinang di sini tadi.

GEORGE TOWN – Anggota bomba mengambil masa hampir setengah jam bagi membantu menyelamatkan seorang wanita yang dipercayai mahu terjun dari tembok penghadang di kilometer 6.5 Jambatan Pulau Pinang, arah pulau di sini hari ini.

Wanita berusia 38 tahun sebelum itu dilihat duduk dalam keadaan bertinggung di tembok konkrit terbabit dengan posisi badannya menghala ke arah laut pada pukul 1.30 petang.

Bagaimanapun, tindakan wanita yang dipercayai datang dengan menunggang motosikal dari Permatang Janggus, Kepala Batas dekat sini itu disedari dua pengguna jambatan berkenaan.

Orang awam terdiri dua lelaki tempatan itu kemudiannya pantas menyambar wanita tersebut sebelum kehadiran pasukan bomba.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Fakharurazi Md. Rejab berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 1.37 petang tadi dan tiba ke situ kurang 10 minit kemudian.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian mendapati wanita tersebut terlebih dahulu diselamatkan orang awam dan berada dalam keadaan murung.

“Anggota cuba menenangkannya hampir setengah jam dan dia ada mengatakan mahu terjun dari Jambatan Pulau Pinang disebabkan mengalami masalah keluarga.

“Wanita tersebut kemudiannya diserahkan kepada pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini sebentar tadi.

Fakharurazi memberitahu lagi, operasi menyelamat dengan kerjasama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai itu tamat sepenuhnya pada pukul 3.16 petang tadi. K! ONLINE

Pemandu Proton Wira diberkas halang jentera bomba

 Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

Tangkap layar kereta Proton Wira yang menghalang jentera bomba semasa 
menjalankan tugas kecemasan di persimpangan lampu isyarat Jalan Bakar 
Batu, Johor Bahru di sini pada 27 April 2019 tular di media sosial baru-
baru ini.

JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki menghalang laluan jentera bomba dan penyelamat yang sedang menjalankan tugas kecemasan pada 2019 selepas rakaman video perbuatannya itu tular di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan pada pukul 9.30 malam di Taman Munsyi Ibrahim di sini semalam.

“Suspek yang ditahan itu bekerja sebagai operator kilang. Kita juga turut merampas Proton Wira milik suspek seperti yang tular di laman sosial.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 27 April 2019 dan tular di media sosial pada 27 Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rakaman video berdurasi satu minit enam saat yang tular di aplikasi TikTok itu mendapat lebih 6,000 komen warganet.

Mohd. Padzli berkata, berdasarkan rakaman video yang tular itu, kereta dipandu suspek menghalang jentera bomba di persimpangan lampu isyarat Jalan Bakar Batu di sini.

Katanya, suspek mengambil kesempatan dengan memandu di hadapan jentera bomba serta mengeluarkan isyarat tangan terhadap kenderaan lain untuk membuka laluan tanpa kuasa yang sah.

“Dalam video itu, jentera bomba berada di belakang kereta dipandu suspek, ia sekali gus membahayakan dirinya serta pengguna jalan raya yang lain dengan melanggar lampu merah.

“Kami mohon kerjasama pengguna jalan raya untuk sentiasa peka dengan keadaan sekeliling terutama dalam memberi laluan kepada kenderaan bomba dan ambulans yang terbabit dalam hal kecemasan,” katanya.

Katanya, keputusan ujian air kencing suspek adalah negatif dan dia tidak mempunyai sebarang kesalahan jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.-K! ONLINE

DISYORKAN UNTUK ANDA:

 MEDAN BERITA POLITIK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH '

Malaysia terima vaksin AstraZeneca Jun ini

Oleh MOHD HUSNI MOHD NOOR 

KHAIRY JAMALUDDIN

PUTRAJAYA: Malaysia akan menerima penghantaran pertama membabitkan 600,000 dos vaksin jenis AstraZeneca bermula Jun ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 (PICK), Khairy Jamaluddin dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Kolaborasi Korporat PICK, di sini hari ini.

Khairy berkata, beliau mendapat maklumat terkini mengenai jadual penghantaran vaksin itu menerusi AstraZeneca Malaysia.

“Saya baharu sahaja dimaklumkan bahawa penghantaran pertama AstraZeneca akan tiba pada Jun dan penghantaran seterusnya setiap bulan,” katanya.

Berhubung isu penangguhan eksport vaksin AstraZeneca oleh India, Khairy berkata, ia tidak menjejaskan penghantaran ke negara ini memandangkan Malaysia bergantung kepada pengeluar vaksin itu di Korea Selatan.

“Buat masa ini, Malaysia berhubung terus dengan pengilang vaksin AstraZeneca iaitu SK Bioscience di Korea Selatan bukannya Serum Institute of India (SII) di India,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, beliau percaya lebih ramai masyarakat akan mendaftar menerusi PICK sebaik fasa kedua program vaksinasi kebangsaan itu bermula 19 April ini.

beliau mengakui ada segelintir masyarakat khuatir dengan kesan sampingan vaksin namun, percaya ia akan dapat diatasi menerusi pelbagai program bersemuka dan komunikasi.

“Buat masa ini, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang melatih lebih ramai sukarelawan supaya dapat berkongsi maklumat tepat mengenai program vaksinasi.

“Fasa pertama PICK akan berakhir tidak lama lagi dan ia hanya membabitkan barisan hadapan bukannya membabitkan orang awam secara keseluruhannya,” katanya.

Katanya, setiap vaksin ada kesan sampingan seperti demam namun, apabila orang ramai mula sedar tiada kesan serius seperti kecacatan kekal dan kematian maka, lebih ramai akan tampil untuk mendaftar. – UTUSAN ONLINE

Bapa ‘heret’ remaja lembam jadi hamba dadah

Oleh YATIMIN ABDULLAH
 
ROHAYU Ahmad (kanan) memeriksa sebahagian daripada penagih yang dicekup dalam operasi bersepadu bersama polis di seluruh Kelantan, baru-baru ini. - UTSAN/YATIMIN ABDULLAH

PASIR MAS: Perbuatan bapa kandung yang membawanya bersama melepas gian dadah menyebabkan seorang remaja mempunyai masalah lembam turut terjebak menjadi hamba bahan terlarang itu.

Dia yang baru berusia 16 tahun terjerumus dalam aktiviti tidak bermoral itu sejak tahun lalu dan akhirnya ‘bergelar’ penagih dadah, gara-gara terpengaruh dengan si bapa yang tidak segan-silu mengambil pil kuda di hadapannya.

Paling dikesalkan, lelaki berkenaan dikatakan bertindak membawa si anak ke ‘port’ penagihan bersamanya kerana mahu mengaburi mata masyarakat terhadap kegiatannya yang menagih dadah.

Perkara itu bagaimanapun terbongkar juga selepas Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan menahan 149 penagih, termasuk pasangan anak beranak terbabit dalam operasi bersepadu bersama pihak polis baru-baru ini.

Menurut Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Rohayu Ahmad, dua beranak itu dicekup di satu lokasi di Kota Bharu dan hasil ujian air kencing ke atas mereka mendapati kedua-duanya positif dadah jenis pil kuda.

“Hasil siasatan awal kita medapati remaja itu rupa-rupanya Orang Kurang Upaya (OKU) yang mengalami masalah lembam.

“Kita terkejut apabila mendapat tahu dia mula menagih dadah sejak tahun lalu ekoran selalu dibawa bapa untuk melepaskan gian di sarang penagihan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat AADK Pasir Mas di Lubok Jong di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rohayu memberitahu, AADK Kelantan telah berunding dengan keluarga remaja terbabit untuk menempatkannya di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) bagi menjalani proses pemulihan.

“Usia remaja itu terlalu muda, selain dia juga mempunyai masalah lembam. Kita seboleh-bolehnya mahu bantu dia bebas daripada terus menjadi hamba dadah,” ujarnya.

Rohayu berkata, AADK Kelantan akan terus mempergiatkan operasi mengesan penagih dadah di seluruh negeri ini dengan kerjasama polis dan pihak penguat kuasa lain dari semasa ke semasa. – UTUSAN ONLINE

Lima sekeluarga sempat selamatkan diri rumah terbakar

Oleh NUR SHARIEZA ISMAIL
ANGGOTA bomba melakukan kerja-kerja memadam kebakaran rumah di Kampung Ginching Hulu, Jalan Ali Budin dekat Sepang. - GAMBAR IHSAN JBPM

SEPANG: Lima sekeluarga sempat menyelamatkan diri sebelum rumah mereka di Kampung Ginching Hulu, Jalan Ali Budin dekat sini, musnah dalam kebakaran hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia KLIA, Timbalan Penguasa Bomba II, Khairuddin Jamaludin berkata, kejadian pada pukul 12.26 tengah hari itu melibatkan sebuah rumah kampung berkeluasan 464.5 meter persegi.

“Seramai 28 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA dan Cyberjaya bersama tiga jentera dan satu unit EMRS diarah ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan,” katanya di sini hari ini.

Khairuddin berkata, sebaik sahaja tiba di lokasi, api sedang marak di bahagian ruang hadapan rumah.

Katanya, bagi mengelakkan api merebak ke bahagian belakang rumah, kerja-kerja memadam kebakaran terus dilakukan dan api dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 2.45 petang.

“Kebakaran itu memusnahkan 70 peratus bahagian ruang tamu dan berdasarkan maklumat awal, terdapat lima sekeluarga dalam rumah ketika kejadian berlaku.

“Lima sekeluarga itu bagaimanapun dapat menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya.

Katanya, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN ONLINE

SPRM kesan bekas anggota polis trafik

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
LADY JOHARI IDRIS

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur kini sedang mengesan seorang bekas anggota polis trafik berpangkat koperal bagi membantu perbicaraan di mahkamah rayuan melibatkan kes SPRM.

Lelaki tersebut, Lady Johari Idris, 58, mempunyai alamat terakhir di No. 17, Jalan Semarak 5, Taman Semarak Sungai Chua, 43000, Kajang, Selangor.

Menurut kenyataan SPRM, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat, Penolong Penguasa Wan Siti Zaharah Wan Jaafar di talian 018-663 5354 / 03-9206 1209 atau emel ke alamat wszaharah@sprm.gov.my.UTUSAN

Lebih 1,000 dikompaun RM10,000 belum tampil kemuka rayuan

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
ADHAM Baba bercakap dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan Kementerian Kesihatan di Kementerian Kesihatan, Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA: Lebih 1,000 individu yang dikenakan kompaun RM10,000 sejak Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit) (Pindaan) 2021 dikuatkuasakan pada 11 Mac lalu, belum mengemukakan rayuan pengurangan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, mereka boleh tampil berbuat demikian dengan membuat rayuan mengikut jenis kesalahan dilakukan kepada pengarah dan timbalan pengarah kesihatan negeri.

“Setakat ini tiada individu yang dikenakan kompaun RM10,000 membuat rayuan. Apabila rayuan dibuat, kompaun (baharu) dikeluarkan berdasarkan jenis serta tarikh bila kesalahan itu dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani Nota Kerjasama antara Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Kesihatan bagi pelaksanaan program di bawah inisiatif Gaya Hidup Sihat Komuniti Perpaduan-Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bagi tempoh 2021-2025, di sini hari ini.

Yang turut sama menyaksikan majlis menandatangani nota kerjasama itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Nota Kerjasama itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, YBhg. Datuk Wan Suraya binti Wan Md Radzi manakala Kementerian Kesihatan Malaysia diwakili oleh Ketua Setiausaha Kementerian, YBhg. Dato’ Mohd Shafiq bin Abdullah.

Adham berkata, kertas siasatan akan dibuka bagi membuat proses rayuan kompaun itu oleh inspektor kesihatan untuk menilai apakah jenis kesalahan yang dilakukan dan jumlah kompauan yang akan dikenakan semula.

Katanya, kertas siasatandibuka kepada empat kategori iaitu orang kurang upaya, kumpulan B40, pelajar serta mereka yang merasakan tidak mampu untuk membayar kompaun.

“Orang yang dari kumpulan B40 perlu kemukakan bukti-bukti bagi membolehkan mereka membuat rayuan terhadap kompaun yang dikeluarkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Adham berkata, penguatkuasaan undang-undang dan kenaikan kadar kompaun sejak 11 Mac lalu bukan bertujuan untuk mengenakan hukuman, sebaliknya sebagai langkah untuk mendidik bagi memutuskan penularan Covid-19.

“Ini adalah untuk menggalakkan masyarakat agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Kementerian Kesihatan juga ingin menegaskan bahawa individu yang telah ditawarkan kompaun oleh pegawai diberi kuasa, untuk segera membayar kompaun tersebut bagi mendapatkan pengurangan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Prebet Adam meninggal dunia hari ini

F3D68DFF-E7CA-46A8-86CE-2D0026FDC94A
Adam Jaafar atau lebih dikenali sebagai Prebet Adam.

KUALA LUMPUR –  Prebet Adam yang pernah menggegarkan negara dengan insiden mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada tahun 1987 dilaporkan meninggal dunia hari ini.

Prebet Adam atau nama sebenarnya Adam Jaafar, 57, dikatakan meninggal dunia tengahari tadi di Hospital Besar, Pulau Pinang.

Adam yang berasal dari Sungai Pinang, Geoge Town dikebumikan di Dato Keramat.

Bagaimanapun ahli keluarga Allahyarham enggan memberi sebarang komen ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Kejadian amuk membabitkan Adam di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada Oktober 1987 mengakibatkan seorang lelaki terbunuh akibat terkena tembakan rambang.

Adam yang berumur 26 tahun ketika kejadian, terlepas daripada hukuman mati dan dihantar ke Hospital Tanjung Rambutan selama 10 tahun kerana disahkan tidak siuman ketika melakukan kesalahan berkenaan.MalaysiaGazette

Ibarat berada di Jepun...

SITI Hasmah tidak melepaskan peluang melihat bunga tekoma atau dikenali dengan nama saintifiknya ‘Tecoma Stans’ di Bandar Spring Hill. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
SITI Hasmah tidak melepaskan peluang melihat bunga tekoma atau dikenali dengan nama saintifiknya ‘Tecoma Stans’ di Bandar Spring Hill. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Port Dickson: Panorama indah sepanjang jalan di Bandar Springhill, di sini, yang dihiasi bunga tekoma memberikan satu suasana baru seolah-olah di negara empat musim khususnya di Jepun.

Menurut seorang penduduk, Siti Hasmah Mat Rawi, 24, kawasan taman itu meriah dengan bunga tekoma sejak seminggu lalu.

Menurutnya, suasana waktu pagi sangat mendamaikan apabila bunga luruh dan memenuhi jalan raya umpama hamparan permaidani berwarna-warni.

"Hari ini saya ambil kesempatan untuk merakam gambar kenangan sebab saya difahamkan musim bunga tekoma ini tidak lama dan tidak mahu melepaskan peluang yang terhidang depan mata.

"Mungkin musim bunga ini hanya bertahan sekitar dua minggu sahaja sebelum layu dan luruh," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, kawasan ini mula meriah dengan bunga tekoma berwarna merah jambu dan putih, sekali gus menjadikan kawasan keseluruhan taman nampak meriah.

"Fenomena musim bunga itu lazimnya di laporkan berada di Alor Setar, Kedah jadi bila nampak depan mata saya teruja untuk menikmatinya malah saya tengok ramai pemandu kereta berhenti untuk bergambar.

"Musim bunga ini juga secara tidak langsung menceriakan kawasan ini ibarat berada di Jepun," katanya.

Nak pinjam RM40,000, tapi diperdaya RM29,721.60

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Port Dickson: Seorang penjawat awam lelaki kerugian RM29,721.60 apabila menjadi mangsa kes penipuan pinjaman tidak wujud melalui laman sosial Facebook (FB).

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima satu laporan mengenai penipuan pinjaman tidak wujud melalui FB pada 28 Mac lalu.

"Mangsa berusia 33 tahun berurusan dengan seorang lelaki untuk membuat pinjaman sebanyak RM40,000 untuk tujuan peribadi.

"Difahamkan, suspek meminta mangsa membuat bayaran secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM29,721.60 ke dalam tiga buah akaun berbeza yang dikatakan untuk tujuan proses pinjaman, wang insurans, yuran guaman dan pelbagai alasan lagi.

"Selepas semua wang dimasukkan, mangsa masih diminta membuat bayaran RM25,000 yang dikatakan proses terakhir sebelum pinjaman diluluskan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa diberitahu bahawa namanya akan disenarai hitam jika pembayaran itu tidak dibuat.

Menurutnya, mangsa tidak membuat pembayaran RM25,000 seperti diminta kerana rasa diperdaya.

"Siasatan masih dijalankan dan usaha memburu suspek dan sindiket terbabit masih diteruskan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik bermula 1 Januari lalu sehingga hari ini, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Port Dickson sudah membuka 10 kertas siasatan berhubung penipuan pinjaman tidak wujud dengan jumlah kerugian keseluruhan RM63,250.

Sehubungan itu, menurutnya, polis mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan membuat pinjaman dengan institusi kewangan atau agensi pemberi pinjaman wang berlesen.

Pada masa sama, katanya, mereka dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan iklan pinjaman wang di laman sosial Facebook, WhatsApp dan poster berkenaan pinjaman wang agar tidak terpedaya.

Bas mesra alam di Iskandar Puteri

BAS mesra alam diuji di laluan sekitar Iskandar Puteri. FOTO ihsan pembaca.
BAS mesra alam diuji di laluan sekitar Iskandar Puteri. FOTO ihsan pembaca.

Iskandar Puteri: Kemunculan bas hibrid di laluan di Iskandar Puteri menarik perhatian ramai pengguna jalan raya di kawasan berkenaan pada Ahad lalu.

Kenderaan itu antara bas mesra alam yang terbabit dalam program ujian rintis Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim berkata, Projek Bas Alihan Cepat Iskandar Malaysia (IMBRT) yang akan mencapai fasa seterusnya membabitkan program ujian rintis selama tiga bulan.

Beliau berkata, ujian rintis itu turut membabitkan penyertaan sembilan pembekal bas bagi pelaksanaan demonstrasi teknologi bas hijau terkini meliputi elektrik dan bio diesel.

Menurutnya, ia akan dijalankan IRDA di sepanjang laluan Lebuhraya Sultan Iskandar di antara Horizon Hill dengan Anjung di Medini.

"Pembekal berkenaan akan mengetengahkan bas bersaiz enam meter, 12 meter dan 32 meter.

"Suatu kajian akan dilaksanakan Institut Pengangkutan Malaysia untuk menilai prestasi sistem alihan cepat automatik, terutama membabitkan keupayaan belok, mudah dikendalikan dan pertukaran laluan.

"Bas bersaiz enam meter akan melalui penilaian kebolehlaksanaan laluan penghantar selain tempoh hayat bateri (bagi setiap perjalanan) untuk bas elektrik.

"Program itu akan menjadi satu pencapaian penting bagi IMBRT memandangkan projek tersebut dilaksanakan pada tahap maksimum," katanya.

IMBRT yang ditetapkan sebagai tulang belakang pengangkutan awam di Iskandar Malaysia, bermatlamat untuk memperluas liputan pengangkutan awam di wilayah itu daripada 39 peratus kepada 90 peratus selain meningkatkan bahagian mod pengangkutan awam daripada 15 peratus kepada 40 peratus pada 2025.

IMBRT akan menyediakan 55 perkhidmatan penghantar dan 44 perkhidmatan terus, menjadikan liputan rangkaian keseluruhan seluas 2,051 kilometer atau hampir 90 peratus daripada kawasan berpenduduk di Iskandar Malaysia.

Laluan utama bagi IMBRT sepanjang 54.92 kilometer menerusi Skudai, Tebrau dan Iskandar Puteri.

Projek itu merangkumi 33 stesen dengan satu hab di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Laluan Skudai.

Laluan utama akan mempunyai dua stesen akhir iaitu di Desa Jaya melalui Laluan Tebrau dan di Anjung menerusi Laluan Iskandar Puteri.

Sistem kenderaan hibrid bakal menawarkan penjimatan bahan api lebih baik serta mengurangkan pencemaran Co2 berbanding bas bandar berkuasa diesel konvensional.

Hibrid mempunyai kelebihan dalam menyediakan kenderaan dengan kecekapan bahan api lebih baik serta sifar karbon.

RM200 juta untuk latih kontraktor kecil

 Ilah Hafiz Aziz 

  Fadillah pada pelancaran Program Pembangunan Kontraktor Kecil Penyenggaraan (PPKP). - Foto NSTP/ Mohd Yusni  Ariffin Fadillah pada pelancaran Program Pembangunan Kontraktor Kecil Penyenggaraan (PPKP). - Foto NSTP/ Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya memperuntukkan RM200 juta untuk Program Pembangunan Kontraktor Penyenggaraan (PPKP) 2021 bagi membantu kontraktor kecil menjana pendapatan serta dilatih sebagai pemain industri yang 'genuine'.

Menerusi fasa pertama program itu, sejumlah 563 kontraktor G1 hingga G4 akan terbabit dalam projek penyenggaraan syarikat konsesi, yang juga bertujuan bagi mendepani cabaran pandemik COVID-19.

PPKP bukan sahaja sekadar membantu kontraktor dalam perolehan projek malah ia dibangunkan khas untuk memastikan tiada syarikat yang dilantik 'menjual projek' kepada pihak ketiga.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kementerian mendapat peruntukan belanja tambahan sebanyak RM200 juta dalam Belanjawan 2021 untuk membangunkan program ini.

"Sebanyak RM100 juta peruntukan adalah bagi 336 kontraktor kecil di Semenanjung manakala RM100 juta lagi bagi 227 kontraktor kecil di Sarawak, Sabah dan Labuan," katanya pada Majlis Pelancaran PPKP 2021, hari ini.

Fadillah pada pelancaran Program Pembangunan Kontraktor Kecil Penyenggaraan (PPKP). - Foto NSTP / Mohd Yusni  Ariffin
Fadillah pada pelancaran Program Pembangunan Kontraktor 
Kecil Penyenggaraan (PPKP). - Foto NSTP / Mohd Yusni Ariffin

Program itu juga menjadi intervensi strategik antara kerajaan dan syarikat konsesi penyenggaraan bagi memberi peluang kepada kontraktor kecil bergiat aktif dalam penyenggaraan Jalan Persekutuan.

Mengulas mengenai pemilihan kontraktor, beliau berkata, setiap peserta akan dinilai bagi menepati syarat dan kriteria yang ditetapkan oleh jawatankuasa bebas dilantik.

"Jawatankuasa ini dianggotai Jabatan Kerja Raya, wakil kerajaan dan wakil konsesi untuk menilai kontraktor kecil di seluruh negara termasuklah di peringkat daerah.

"Ia berdasarkan pendaftaran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan ( CIDB), keupayaan, kerja sedia ada, lokaliti dan skor bintang CIDB. Kontraktor akan diberi pemarkahan berdasar kriteria dan syarat yang ditetapkan," katanya.

Tambah beliau, setiap kontraktor juga akan dipantau dengan lebih dekat bagi mengelakkan masalah lain timbul seperti isu 'menjual projek'.

"Setiap kontraktor akan mempunyai rating sama ada sangat baik, sederhana atau sangat tidak memuaskan. Syarikat konsesi serta JKR bertanggungjawab memastikan kerja-kerja dilaksanakan dengan teratur dan menepati spesifikasi.

"Jika didapati tidak menepati spesifikasi, saya sendiribakan memastikan mereka ini diambil tindakan termasuklah 'blacklist' dan tiada lagi peluang di masa hadapan," katanya.

Elak kongsi hidangan terbuka - Pakar

Mahani Ishak
   
- Foto hiasan- Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Masyarakat disaran tidak berkongsi makanan, minuman atau barangan kegunaan peribadi, dalam usaha mengekang penularan virus COVID-19.

Kajian mendapati, sajian atau hidangan terbuka boleh menjadi punca penularan virus berkenaan.

Ini bermakna, budaya makan berkongsi dulang, berbuka puasa beramai-ramai atau mengunjungi premis yang menyediakan bufet tidak wajar diteruskan dalam usaha semua pihak mahu menghindari jangkitan.

Pakar virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata kelaziman biasa dalam beribadat juga sudah berbeza sebelum kemunculan COVID-19.

"Peraturan sama ketika solat fardu dan Jumaat perlu dipraktikkan untuk menghadapi Ramadan, seperti memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri.

"Tuntutan kehidupan dalam norma baharu perlu diteruskan jika masyarakat dan negara mahu terus memastikan angka yang menurun dengan baik seperti sekarang berlanjutan," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sazaly berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti penjarakan fizikal, tidak bersalaman dan memakai pelitup muka perlu dipraktikkan dalam surau dan masjid.

Katanya, pihak pengurusan juga perlu memastikan pengaliran udara keluar masuk yang baik untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan.

"Mereka yang sudah menerima pelalian masih perlu mematuhi SOP kerana negara belum mencapai imuniti kelompok.

"Pendekkan tempoh majlis, elakkan moreh atau takzirah panjang," katanya.

Pakar Kesihatan Awam Epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmad Zaid Fattah Azman, berkata setiap ejen penyakit seperti sesetengah virus mempunyai kecenderungan merebak menerusi saluran tertentu.

"COVID-19 merebak menerusi salur pernafasan, dari hidung hingga paru-paru tetapi apabila berkongsi makanan, kita mungkin berada dalam jarak dekat.

"Justeru, jangkitan boleh berlaku secara transmisi tidak langsung dan keadaan menjadi teruk jika mereka yang berkongsi tidak mengamalkan amalan kebersihan yang baik," katanya.

'Neelofa ke Langkawi atas urusan kerja'

Safeek Affendy Razali
Antara gambar yang tular memaparkan Neelofa dan suaminya berada di Langkawi.
Antara gambar yang tular memaparkan Neelofa dan suaminya berada di Langkawi.

KUALA LUMPUR: Polis Daerah Brickfields mengesahkan memberi kebenaran kepada selebriti Neelofa dan tiga yang lain untuk bergerak ke Pulau Langkawi atas urusan kerja dan bukan untuk berbulan madu.

Berdasarkan permohonan wakil sebuah syarikat produk minuman di Balai Polis Sri Hartamas di sini, tujuan utama Neelofa dan wakil syarikat terbabit bersama dua yang lain adalah atas urusan kerja bersama pihak Chatime Malaysia.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni, berkata mengikut permohonan itu, mereka dibenar bergerak ke lokasi tujuan bermula 27 Mac hingga 4 April ini.

"Hasil semakan pada borang Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditandatangani oleh Ketua Polis Balai, Balai Polis Sri Hartamas, sebab pergerakan keluar empat individu ini adalah untuk urusan kerja.

"Syarikat terbabit turut mengeluarkan surat memaklumkan nama Neelofa dan tiga yang lain berserta nombor kad pengenalan sebagai mewakili mereka untuk melawat kawasan Chatime yang akan dibuka," katanya kepada BH, hari ini.

Basri berkata, berdasarkan jadual pergerakan. lokasi yang akan dituju empat penama terbabit termasuk Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, adalah Langkawi, Sungai Petani, dan Kangar, Perlis.

"Mereka dijadual tiba di Langkawi pada 29 Mac dan akan berada di sana sehingga 2 April sebelum melawat cawangan Chatime di Sungai Petani dan Kangar pada 3 April.

"Justeru, saya tegaskan kebenaran permohonan yang dikeluarkan oleh Balai Polis Sri Hartamas adalah atas urusan kerja dan bukan untuk tujuan berbulan madu," katanya.

Beliau berkata, sekiranya terbukti kehadiran Neelofa ke Langkawi untuk tujuan berbulan madu, pihak polis di sana boleh mengambil tindakan kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sejak semalam, beberapa gambar memaparkan Neelofa dan suaminya, Haris Ismail, berada di Langkawi tular di media sosial hingga menimbulkan beberapa persepsi, termasuk dakwaan merentas negeri untuk berbulan madu.

Pasangan itu melangsungkan pernikahan pada Sabtu lalu.

'Ada orang suruh saya tumbuk Zulfarhan'

BH ONLINE
- Foto fail NSTP
- Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, ada seseorang menyuruhnya menumbuk pegawai kadet laut Zulfarhan Osman Zulkarnain ketika mangsa berada di biliknya di blok penginapan Asrama Jebat, universiti berkenaan.

Saksi pembelaan ke-20, Muhammad Alif Farhan Aerosni, 25, bagaimanapun berkata dia tidak pasti siapa individu yang menyuruhnya bertindak sedemikian dalam kejadian pada jam 2.05 pagi, 22 Mei 2017.

"Saya sampai di bilik (saya) 04-10 masa itu bilik gelap, semua orang tengah duduk di tempat duduk mereka. Mereka tanya saya nak buat apa, saya jawab nak ambil telefon bimbit di atas katil, kemudian ada seseorang menyuruh saya menumbuk arwah (Zulfarhan) dahulu, saya kemudian tepuk bahu dia (Zulfarhan).

"Selepas mengambil telefon bimbit dan menepuk bahu arwah, saya kemudian keluar dari bilik itu dan seterusnya ke bilik 04-11," katanya.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam Datuk Ranjit Singh Dhillon yang mewakili tertuduh ketiga, Muhammad Najib Mohd Razi pada prosiding bela diri 18 pelajar UPNM terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Bilik 04-10 adalah bilik Zulfarhan Osman didakwa dipukul dan ditekap seterika wap.

Ditanya Ranjit Singh apa yang Muhammad Najib lakukan ketika saksi pergi ke bilik 04-10, Muhammad Alif Farhan memberitahu Muhammad Najib yang juga rakan sebiliknya sedang tidur.

Ranjit Singh: Adakah Muhammad Najib bersama dengan awak ketika awak pergi ke bilik 04-11?

"Muhammad Najib tidak bersama saya, namun dia (Muhammad Najib) datang ke bilik 04-11 beberapa minit kemudian. Kami terpaksa pergi ke bilik 04-11 untuk mengulang kaji (pelajaran) kerana ada ujian Sains Sukan," jawab Muhammad Alif Farhan yang turut memaklumkan dia mengenali arwah (Zulfarhan).

Disoal peguam mengenai keadaan di bilik 04-10, saksi itu berkata, ketika berada di bilik itu, keadaan bilik suram, kurang cahaya dan ada ramai kadet yang lain namun pada masa yang sama dia tidak mendengar atau melihat kadet terbabit menyoal arwah (Zulfarhan).

Ditanya peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh pertama, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, sama ada saksi nampak anak guamnya melakukan sesuatu di bilik 04-10, saksi itu menjawab dia tidak nampak Muhammad Akmal Zuhairi berbuat apa-apa.

Sementara itu, dalam pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, N Joy Jothi, sama ada saksi bersetuju individu yang menyuruhnya menumbuk Zulfarhan adalah tertuduh keenam, Abdoul Hakeem Mohd Ali, saksi menjawab: "Tidak setuju."

Joy Jothi: "Awak pasti bukan dia (Abdoul Hakeem)?"

Muhammad Alif Farhan: "Bukan, sebab lepas 'training' (latihan), suara masing-masing serak."

Muhammad Alif Farhan juga tidak bersetuju dengan cadangan Joy Jothi bahawa keterangannya tidak sepenuhnya benar dan hanya untuk menyelamatkan rakan-rakannya yang dituduh.

Mengenai cadangan Joy Jothi, adakah ketika kejadian keadaan Zulfarhan berikat (tangan), tidak berbaju dan memakai seluar pendek, saksi menjawab:

"Saya tidak bersetuju kerana ketika kejadian Zulfarhan tengah berdiri, tidak memakai baju, tangan tidak berikat, namun yang memakai seluar pendek saya tidak ingat."

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 penuntut UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mod Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

Mereka yang dituduh melakukan perbuatan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan, juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Mereka yang dituduh melakukan perbuatan itu di bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi 21 Mei 2017, didakwa mengikut Seksyen 330 KK dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung Khamis ini. – BERNAMA

Selasa, 30 Mac 2021

Perhimpunan haram tuntut Undi18, 7 pemimpin politik beri keterangan pada polis

Beberapa pemimpin politik dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis 
Daerah Dang Wangi hari ini kerana mengadakan perhimpunan haram tuntut Undi18.

KUALA LUMPUR: Tujuh aktivis termasuk Naib Presiden PKR Tian Chua, Ketua Dapsy Howard Lee dan Setiausaha Agong Parti Muda Amir Abdul Hadi, memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini bagi membantu siasatan kes perhimpunan haram menuntut pelaksanaan Undi18 di ibu negara, Sabtu lalu.

Turut memberikan keterangan, ADUN Ketari Young Syefura Othman; Ketua Pemuda PH Shazni Munir Mohd Ithnin; Ketua Pemuda PSM Sharan Raj dan bekas menteri wilayah persekutuan Khalid Samad.

Kesemua mereka diiringi sepasukan lima peguam diketuai oleh Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

Amir ketika ditemui pemberita selepas memberikan keterangan berkata, beliau dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa siasatan ke atas aktivis Undi18 dibuat mengikut Akta Perhimpunan Aman kerana tidak memaklumkan perhimpunan itu lebih awal kepada polis.

Katanya, polis memaklumkan mereka turut disiasat kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan mereka memberi kerjasama penuh sepanjang proses rakaman percakapan dilakukan.

“Saya berharap polis tidak menggunakan ini sebagai alat untuk mengganggu aktivis yang turun ke jalanan menuntut supaya Undi18 dilaksanakan oleh kerajaan seperti dijanjikan Julai tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas memberikan keterangan selama kira-kira sejam.

Dua lagi ahli politik dijangka memberi keterangan kepada polis dalam masa terdekat ialah Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

Media sebelum ini melaporkan, polis akan memanggil penganjur dan peserta perhimpunan membantah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan isu had umur kelayakan mengundi 18 tahun di Jalan Parlimen, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah, dipetik berkata pihaknya juga menjalankan siasatan berhubung perhimpunan yang diadakan itu.

Sementara itu Howard berkata, meskipun dipanggil memberikan keterangan ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus memperjuangkan hak anak muda berdasarkan Pindaan Perlembagaan yang dibuat tahun lalu.

Katanya, pelbagai alasan diberikan kerajaan Perikatan Nasional dan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menangguhkan pelaksanaan Undi18 pada pilihan raya umum akan datang tidak dapat diterima.

Kerajaan setuju benar pekerja kembali ke pejabat mulai Khamis ini

 Faiz Zainudin

Kebenaran ini akan bermula pada 1 April ini bagi kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Dasar bekerja dari rumah bagi kakitangan awam dan swasta untuk negeri dan kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan kehadiran 30% kakitangan akan ditarik balik bermula Khamis ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata dengan penarikan semula itu syarikat swasta dan kerajaan boleh kembali beroperasi penuhnya.

“Kebenaran ini akan bermula 1 April ini,” katanya ketika sidang media.

BERITA LANJUT MENYUSUL

DISYORKAN UNTUK ANDA:

MEDAN BERITA POLITIK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH '

Kadar takungan air empangan Selangor lebih 90%

Bernama

Hanya dua empangan berada di bawah kadar itu, Sungai Tinggi dan Sungai Langat masing-masing mancatat kadar takungan sebanyak 88.72% dan 87.96%.

Menteri agama akan ke Arab Saudi untuk perincian SOP ibadah haji

BERNAMA

Menteri Kesihatan Arab Saudi Dr Tawfiq al-Rabiah dilaporkan berkata antara syarat utama kemasukan jemaah haji pada Julai nanti ialah wajib mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan ke Arab Saudi dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan perincian berhubung prosedur operasi standard (SOP) ibadah haji musim ini.

Katanya kerajaan dijangka membuat ketetapan berhubung penghantaran jemaah haji negara ke tanah suci selepas perincian SOP tersebut diselesaikan.

“Kita nak tengok (apa lagi) SOP (Arab Saudi),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dana Wajar Yayasan Islam Negeri Kedah, di Alor Setar hari ini.

Tahun lepas, kerajaan Arab Saudi mengumumkan pelbagai syarat ketat untuk menunaikan haji, termasuk bilangan jemaah tidak melebihi 10,000 orang, selain semua jemaah perlu disaring sebelum tiba di Mekah dan Madinah.

Pada tahun ini pula, Menteri Kesihatan Arab Saudi Dr Tawfiq al-Rabiah dilaporkan berkata antara syarat utama kemasukan jemaah haji pada Julai nanti ialah wajib mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Mengulas pengambilan vaksin Covid-19 oleh bakal jemaah, Zulkifli berkata pihaknya akan bekerjasama dengan kementerian sains, teknologi dan inovasi serta kementerian kesihatan bagi tujuan itu.

Melaka galak guna “Warong Rider” atasi kesesakan bazar Ramadan

 

MELAKA: Perkhidmatan penghantaran barang “Warong Rider” yang dijadualkan bermula di Melaka awal bulan puasa ini, akan memberikan banyak keselesaan kepada orang ramai yang ingin mendapatkan juadah bazar Ramadan.

Ketua Menteri Sulaiman Md Ali berkata platform yang melibatkan urus niaga secara e-dagang dengan pembayaran secara dalam talian itu juga sedikit sebanyak dapat memastikan penjarakan sosial, di samping menggalakkan orang ramai kekal selamat di kediaman masing-masing semasa berurus niaga.

Beliau berkata bagi 2021, program yang diselaraskan menerusi Melaka ICT Holdings (MICTH) dengan kerjasama Idea Kreatif Technology Sdn Bhd itu mensasarkan seramai 500 penghantar, dan 2,000 penghantar bagi seluruh negara.

“Jadi saya menyeru semua belia di negeri ini mendaftar dalam program ini di laman sesawang rasmi MICTH. Peluang ini wajar direbut memandangkan terdapat pelbagai insentif akan diperolehi penghantar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Warong Rider di bawah program Warongku.

Antara insentif disediakan meliputi perlindungan penjana GIG, penyelenggaraan motosikal, insentif 

rider cemerlang, bonus bulanan dan tahunan, termasuk cabutan umrah.

Sulaiman berkata ejen juga boleh mendaftar secara percuma tanpa yuran bulanan atau tahunan, serta bayaran penuh kepada peniaga dengan komisen sehingga 20%.

Beliau berkata konsep Warong Rider ini bukan sekadar menghantar pesanan makanan halal, malah diperluaskan kepada satu sistem penghantaran berpusat.

“Ini termasuklah penghantaran ubat-ubatan dari farmasi, penghantaran dokumen dari pejabat atau barangan dari rumah ke rumah, serta penghantaran dari kedai runcit atau pasar raya terus ke lokasi pelanggan,” katanya.

Terlanjur kongsi denda palsu di Facebook, ‘Uncle Kentang’ mohon maaf

Bernama 

Kuan Chee Heng mohon maaf kepada polis melalui sepucuk surat pada 22 Mac lepas.

Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng yang sebelum ini bertindak memuat naik status di laman Facebooknya mengenai kompaun RM10,000 yang diterima pihak ketiga, walhal perkara itu tidak berlaku telah memohon maaf kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh A. Asmadi Abdul Aziz berkata pihaknya menerima permohonan maaf Chee Heng yang lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’, melalui sepucuk surat pada 22 Mac lepas.

“Beliau (uncle kentang) menjelaskan menerima maklumat daripada ibu kepada individu yang mendakwa dirinya dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 dan berharap pihaknya dapat membantu namun hasil siasatan mendapati ia tidak benar.

“Individu berkenaan hanya cuba menipu ibunya dengan mengatakan dikenakan kompaun sebagai alasan untuk tidak mengirim wang,” katanya ketika ditemui pemberita pada Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-214 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh hari ini.

Status yang dimuat naik Uncle Kentang menerusi Facebook ‘Kuan Chee Heng’ pada 14 Mac lepas itu turut dikongsikan laman sosial Facebook bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan mendapat perhatian ramai.

Dalam status tersebut, Chee Heng memuat naik kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dikeluarkan di Kampung Rapat pada 14 Mac lepas.

Maklumat dalam status itu mendakwa seorang pembantu tukang masak dikenakan kompaun RM10,000 semasa keluar menerusi pintu belakang restoran berkenaan untuk menghisap rokok, dan dia tidak dapat mengirimkan wang kepada ibunya berikutan terpaksa berhutang dengan pihak restoran bagi membayar kompaun berkenaan selain gajinya turut dipotong untuk membayar hutang.

A. Asmadi menjelaskan siasatan oleh pihaknya juga mendapati tiada kompaun seperti didakwa telah dikeluarkan oleh pasukan pemeriksa SOP PKPB dalam kalangan polis daerah Ipoh.

Justeru, katanya orang ramai diminta supaya tidak terus menularkan isu berkenaan kerana ia akan menjejaskan imej dan iltizam pasukan polis untuk memberi perkhidmatan terbaik.

Doktor guna TikTok dalam misi lawan maklumat palsu

Farhira Farudin

Walaupun sibuk dengan tugasan harian sebagai petugas kesihatan, pencipta kandungan dalam kalangan doktor berazam untuk melawan maklumat palsu di talian.

Dr Samhan Awang menjalani jadual yang sibuk setiap hari.

Dari saat menjejakkan kaki di Klinik Perubatan Hijraa Chendering, Kuala Terengganu, sehingga pulang ke rumah, dia melayani pesakit dengan pelbagai masalah kesihatan.

Samhan komited dalam usahanya merawat pesakit yang menghidap penyakit kronik, dan bahkan, jika perlu dia sendiri akan ke rumah pesakit jika mereka tidak dapat datang ke kliniknya.

Pada usia 34 tahun, Samhan sudah biasa dengan tekanan dan kesibukan sebagai seorang doktor perubatan.

Namun, walaupun sibuk, lelaki ini juga memainkan peranan lain.

Samhan juga turut dikenali sebagai pencipta kandungan di platform perkongsian video di TikTok, satu peranan yang dimulakannya sejak Disember tahun lalu.

Sekurang-kurangnya, doktor kelahiran Terengganu itu akan menyiarkan dua video setiap hari.

Topik-topik video TikTok Samhan merangkumi pelbagai topik berkisar kesihatan, dari menangani kekejangan haid sehinggalah bagaimana cara mengatasi kemurungan selepas bersalin.

Klip-klip video Samhan mendapat sambutan ramai dan menarik jutaan penonton.

Setakat ini, dia memiliki sekitar 544,700 pengikut di TikTok.

Videonya yang paling popular hingga kini adalah panduan langkah demi langkah bagaimana mengurangkan sakit belakang.

Video pendek itu dilihat lebih dari 8.7 juta kali.

Samhan, yang sebelum ini berkongsi nasihat perubatan di Twitter dan Facebook berkata membuat video TikTok memerlukan lebih banyak kerja.

Antara sebabnya termasuk platform itu mengenakan had masa 60 saat bagi setiap klip video.

Ini bermakna Samhan terpaksa mengerah kreativitinya untuk memasukkan sebanyak mungkin maklumat dalam masa satu minit.

Sudah tentu apa yang dilakukan Samhan adalah satu perkara yang rumit apatah lagi kandungan-kandungannya adalah nasihat perubatan yang biasanya kompleks untuk dijelaskan.

“Pada masa ini, saya buat video kepada beberapa bahagian (untuk satu topik) bagi memastikan tidak ada butiran penting yang tercicir.

“Namun bagi penonton, saya nasihatkan baca juga tentang perkara itu,” kata Samhan kepada MalaysiaNow.

Dalam meningkatkan kualiti klip-klip videonya, Samhan sedar beberapa penjelasan yang dilakukan beliau boleh disampaikan dengan lebih baik.

Sebagai pencipta kandungan TikTok, Samhan berusaha untuk cuba menyiarkan dua hingga tiga video setiap hari, namun hal ini bergantung kepada jadualnya di klinik.

Ketika ditanya mengapa dia komited dalam usahanya membina kandungan di TikTok walaupun beban kerja hariannya sudah cukup berat, Samhan yakin penting untuk mendidik masyarakat mengenai masalah kesihatan, terutama ketika terlalu banyak maklumat palsu dalam talian.

“Tujuan utama saya adalah untuk mendidik dan memperbaiki maklumat yang salah ini dan bantu orang ramai memahami alasan dalam nasihat perubatan, dan menasihati mereka untuk lebih patuh dengan rawatan.”

Setakat ini, usaha Samhan itu menampakkan kejayaan. Rata-rata setiap video yang beliau usahakan memiliki tontonan lebih dari 200,000.

Bagaimanapun, usahanya membanteras maklumat perubatan yang salah dalam talian tidak berseorangan.

Dr Tai Weng Yew dari Poliklinik Tan di Baling, Kedah, juga turut melakukan perkara yang sama.

Klipnya yang paling popular menyentuh tajuk tanda-tanda kolesterol tinggi.

Ia baru sahaja disiarkan bulan ini, namun videonya ditonton hampir 600,000 kali.

Bercakap dengan MalaysiaNow, Tai berkata sangat penting pakar perubatan turut serta dalam platform itu bagi mendedahkan kebenaran berhubung pelbagai berita palsu yang tular di media sosial.

“Apabila ada doktor di media sosial untuk membicarakan kesihatan, ia dapat tingkatkan keyakinan orang mengenai topik tersebut,” katanya.

Tai mempunyai 20,370 pengikut di TikTok.

Seperti Samhan, dia berkata sukar untuk menjelaskan masalah perubatan yang rumit.

Maka, doktor itu berkata sangat penting menumpukan perhatian pada butiran penting maklumat bagi mengelakkan maklumat yang salah.

“Sangat sukar untuk masukkan semua maklumat dalam satu video,” katanya.

“Orang ramai harus faham, ada seribu cara untuk berikan maklumat kepada orang tentang topik tertentu. Bahkan doktor pun boleh memberikan maklumat yang salah.”

Nasihatnya adalah berpegang pada penjelasan termudah.

“Perkara yang paling penting adalah sentiasa memastikan fakta anda tepat.”

Seorang pakar estetik, Dr Nadzirah Abdullah pula berkata, banyak maklumat salah mengenai produk kecantikan.

Keprihatinannya berhubung produk pemutihan kulit yang berbahaya menjadi tular dalam talian.

Hal ini mendorong wanita ini untuk turut menggunakan platform TikTok.

“Produk kecantikan yang berbahaya ini murah tetapi boleh menyebabkan lebih banyak bahaya dan tidak selamat,” katanya.

“Memang semua orang ingin kelihatan cantik, tetapi bagi saya, memiliki kulit yang sihat adalah lebih baik.”

Setakat ini, Nadzirah mempunyai lebih dari 48,700 pengikut.

Dia berkata setiap video yang disiarkan melalui akaun TikToknya memerlukan perancangan dengan pasukannya demi memastikan maklumat palsu tidak tersebar.

“Biasanya saya menghabiskan dua hari seminggu bagi merancang dan merakam video dengan pasukan saya,” katanya.

“Saya hanya meletakkan perkara yang penting supaya klipnya pendek, namun bermaklumat.”

Nadzirah menggesa pengguna media sosial untuk sentiasa memeriksa sumber maklumat mereka, terutama perkara yang berhubung dengan kesihatan diri mereka.