Isnin, 29 Februari 2016

Pelawa Muhyiddin masuk Pas

Pas


KOTA BHARU - Pemuda Pas Kelantan mempelawa bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang baharu sahaja digantung daripada jawatan Timbalan Presiden Umno untuk menyertai parti itu.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, situasi semasa kini jelas menggambarkan Umno sudah tidak berupaya membela umat Islam dan bangsa Melayu sebagaimana dilaung-laungkan selama ini.

“Meskipun Muhyiddin pernah mengeluarkan beberapa kenyataan kontroversi terhadap Pas sebelum ini, namun Pemuda Pas Kelantan sedia mencadangkan kepada ahli dan penyokong agar melupakan segala sengketa yang pernah berlaku demi perjuangan memartabatkan Islam di negara ini.

“Kita yakin dengan penyertaan Muhyiddin (dalam Pas), ia bakal menarik ramai penyokong setianya yang masih berada dalam Umno,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, Muhyiddin dan pengikutnya perlu disedarkan bahawa tidak ada lagi ruang untuk melakukan transformasi ke arah lebih baik sekiranya mereka kekal di dalam Umno.

“Sekarang masa untuk bekerja bagi memastikan Malaysia lebih selamat untuk didiami selepas PRU14 nanti,” katanya.

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno tiga hari lalu memutuskan Muhyiddin digantung jawatan Timbalan Presiden Umno serta-merta sehingga pemilihan parti akan datang.

Penggantungan tersebut dikaitkan dengan tugas beliau sebagai orang nombor dua dalam Umno dilihat agak goyak selepas sering mengkritik secara terbuka kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Tiada ulasan: