Rabu, 24 Februari 2016

‘Ajak Muhyiddin bertumbuk tapi kamu ikat tangan dia’


UMNO digesa supaya mengubah keputusan dengan mengadakan pemilihan parti pada tahun ini untuk membolehkan Muhyiddin mencabar Najib bagi jawatan Presiden.


rushdan,azalina,najib,muhyiddin


PETALING JAYA: Gabungan Ketua Cawangan UMNO Malaysia (GKCM) mencabar kepimpinan tertinggi UMNO menukar keputusan dengan mengadakan pemilihan parti tahun ini.

Naib Presiden GKCM, Rushdan Mohamed tampil membuat desakan itu bagi membolehkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Datuk Seri Najib Tun Razak bagi merebut jawatan Presiden parti.

Ia sekaligus menjawab cabaran Ahli Majlis Tertinggi UMNO,Datuk Seri Azalina Othman Said yang meminta Timbalan Presiden berundur atau menunggu pemilihan parti akan datang untuk mencabar Najib daripada terus membuat serangan kepada Najib secara terbuka.

Pemilihan UMNO yang sepatutnya diadakan tahun ini ditangguhkan sehingga 2018 untuk menguatkan parti bagi berhadapan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Jangan tangguhkan lagi pemilihan dan jangan cuba nak pecat Tan Sri Muhyiddin Yassin. Buka gelanggang sekarang buatlah pemilihan tahun ini jangan tunggu 2018.

“Azalina, suruh bos (Najib) kau buka gelanggang. Nak ajak ‘bertumbuk’ tapi tangan diikat ke belakang sediakan gelanggang pasti ada pencabar,” katanya kepada FMT.

Rushdan yang juga Ketua UMNO Cawangan Rista Villa Perdana berkata,  Muhyiddin dihalang dari pelbagai sudut untuk bersuara sehingga memaksa beliau membuat kritikan secara terbuka terhadap Perdana Menteri untuk menegakkan kebenaran.

Beberapa Ahli Majlis Tertinggi UMNO, termasuk Azalina senada supaya Muhyiddin melepaskan jawatan Timbalan Presiden kerana tidak lagi sehaluan dengan Presiden parti.

Tiada ulasan: