SHAH ALAM: Rungutan demi rungutan terhadap kepimpinan Datuk Seri Azmin
Ali membayangkan tahap keresahan ahli PKR terhadap timbalan presidennya
itu, ujar Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail.
Enggan mengulas kebolehan Azmin menjawat jawatan Menteri Besar
Selangor, Azan berkata beliau hanya fokus kepada kepimpinan yang
ditonjolkan ADUN Bukit Antarabangsa itu terhadap parti.
"Yang merungut sekarang adalah ahli parti kan? Maksudnya (rungutan)
kegagalan itu datangnya ahli parti dan parti. Saya tidak mahu dan tidak
berminat untuk ambil tahu kegagalan beliau sebagai MB. Saya hanya
berminat untuk ambil tahu sekiranya beliau gagal menjalankan tugas
mewakili PKR.
"Sepatutnya sebagai MB yang mewakili PKR, selain daripada menguruskan
negeri, Azmin tidak boleh melupakan tanggungjawabnya mewakili PKR untuk
membantu PKR," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
Azan berkata demikian mengulas beberapa aduan akar umbi beberapa Cabang
PKR di Selangor berhubung ketelusannya dalam isu pelantikan ahli majlis
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga pendedahan penipuan tender balak
yang dilakukan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul
Hisham Shaharin atau Chegubard, baru-baru ini.
Azan kemudiannya membidas sikap Azmin yang sentiasa mengelak daripada menjawab dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.
"Asas kepada mana-mana pengurusan parti adalah pendekatan konsultatif
sebelum pergi ke peringkat seterusnya. Pada saya, langkah konsultatif
tidak berlaku sehingga kini.
"Untuk mengelakkan tanggapan peribadi dalam menguruskan masalah, maka
kena panggil Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk bincang dan cari cadangan
penyelesaian dalam satu forum yang betul," tegasnya.
Azan, tidak menolak Azmin bakal kehilangan sokongan daripada ahli-ahli
parti, yang sekaligus akan melemahkan kedudukannya di dalam PKR.
"Jika tidak ada tindakan segera maka saya bimbang perkara itu berlaku.
Bukan beri kesan kepada beliau sahaja, malah parti secara keseluruhan.
"Pemimpin boleh datang dan pergi. Parti tetap akan kekal. Yang kita
kena pertahankan secara bersungguh-sungguh adalah parti, bukannya
individu," ujar Azan.
Sebelum ini Antarapos menyiarkan pendedahan daripada salah seorang
pemimpin PKR yang menuduh Azmin kini semakin angkuh dan enggan menerima
teguran sehingga menyebabkan ramai pemimpin parti itu mula menjauhkan
diri.
Pemimpin yang sinonim dengan 'kem' Azmin itu mendakwa Azmin kini
semakin hilang sokongan kerana ramai di kalangan akar umbi dan pimpinan
tidak selesa dengan tindak-tanduknya sejak kebelakangan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan