Khamis, 31 Mac 2011

MoCS gerak 'kuasa rakyat' jika Taib tak berundur


Salhan K Ahmad

Sebuah NGO Sarawak - Movement for Change Sarawak (MoCS) - hari ini memberi tempoh sehingga 13 Ogos kepada Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk meletak jawatan sebagai Ketua menteri Sarawak.

NONEPengerusinya, Francis Paul Siah berkata, MoCS ia akan menggerakkan "kuasa rakyat" jika Abdul Taib gagal berbuat demikian.

"Sekiranya beliau gagal berbuat demikian, kita akan lakukan (sendiri) melalui kuasa rakyat," kata pemimpin MoCS, Francis Paul Siah kepada pemberita hari ini.

Sebelum itu, beliau menyerahkan satu notis tuntutan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pagi ini supaya menyiasat dakwaan rasuah dan salahguna kuasa terhadap ketua menteri Sarawak itu.

Turut diserahkan ialah salinan satu laporan kepada SPRM Kuching yang dibuat sebelum ini berhubung dakwaan berkenaan.

Ketika diminta untuk menjelaskan mengenai "kuasa rakyat" yang dimaksudkannya itu, Francis berkata: "Anda fikir sendirilah, anda tahulah kan?"

"Tapi kita masih ada masa. MoCs (meminta Abdul Taib) untuk letak jawatan pada 16 September lalu.

"Jadi kita beri dia 11 bulan untuk mempertimbangkannya.

"Kita orang baik. Orang Mesir beri (tempoh kepada bekas presiden) Mubarak cuma 18 hari," kata Francis lagi.


Dalam pada itu beliau turut mengingatkan ketua pesuruhjaya SPRM Datuk Abu Kassim Mohamed mengenai satu kenyataan yang dibuat pada 31 Julai lalu.

"(Abu Kassim) berkata beliau akan meletak jawatan sekiranya terdapat tuduhan ke atas mana-mana menteri kerajaan yang tidak disiasat.

"(Oleh itu) kami menuntut supaya ketua pesuruhjaya menjalankan siasatan segera ke atas semua tuduhan terhadap (Abdul) Taib Mahmud," kata Francis lagi.

Turut mengiringi beliau ke SPRM hari ini ialah ADUN Subang Jaya Hannah Yeoh.

Interlok semakin kusut, NGO Melayu campur tangan


MALAYSIA KINI

Kemelut penggunaan novel Interlok di sekolah semakin kusut apabila beberapa NGO Melayu bangkit membidas sekumpulan NGO Cina dan India yang mendesak kerajaan menggugurkan buku tersebut sebagai teks sastera.

NONEIni membuktikan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga adalah menteri pelajaran bahawa isu Interlok telah selesai jauh daripada meleset.

NGO berkenaan - Majlis Penasihat Ayahanda Wilayah Persekutuan (MANTAP) dan Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) dalam satu kenyataan akhbar, mengingatkan semua pihak supaya menghentikan menjadikan Interlok sebagai mauduk perjuangan mereka.

Ini, kata mereka terutama menjelangnya musim pilihan raya supaya "luka orang Melayu tidak menjadi parah".

NONE“Walaupun di peringkat kerajaan telah menyatakan ketegasan dan pendirian berkaitan novel ini, tetapi sikap mereka yang mempunyai kepentingan politik masih lagi mempermainkan isu yang sensitif ini dan cuba menangguk di air keruh, amat tidak kami senangi.

“Malahan sikap sebahagian daripada ahli parti komponen BN yang bersekongkol dalam mensensasikan isu ini juga amat biadap dan terpesong dari semangat keharmonian yang dilaungkan oleh kerajaan,” petik kenyataan itu.

Sehubungan itu, NGO Melayu berkenaan mendesak kerajaan agar bertegas dan tidak memperdulikan tuntutan tersebut.

“Ingat! Pihak kami tidak sekali-kali akan membiarkan cacing naik ke mata dan keharmonian yang terbina sekian lama terkubur disebabkan kerakusan oportunis sebegini.

“Tekad kami, maruah bangsa perlu dipertahankan. Walau bergolok bergadai akan tetap kami harungi. Maruah pribumi wajib didaulatkan dan keharmonian negara mesti dikekalkan,” kata kedua-dua NGO itu lagi.

NONESemalam, Naib Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) Cheng Su Chean mendakwa novel itu hampir sama dengan program Biro Tata Negara yang didakwa sebagai "pembasuhan minda" dan mempromosi perkauman dan perpecahan.

"Interlok sepenuhnya menyeru kepada fahaman ketuanan Melayu. Pada pandangan kami, novel ini bukan sahaja tidak sihat (untuk bacaan pelajar) tetapi juga beracun," katanya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif KLSCAH Tang Ah Chai, Presiden Yayasan Tamil K Uthayasoorian, Presiden Persatuan Progresif India Malaysia AP Raja Retinam dan Presiden Persatuan Pelajar India Malaysia Kishur Goonasaran yang juga anggota Pasukan Bertindak Interlok Nasional (NIAT).

"Interlok menyampaikan mesej utama bahawa Cina, India dan kumpulan minoriti sebagai rakyat kelas kedua sebagai tambahan kepada idea pengasingan antara masyarakat asal (Melayu) dan bangsa asing (Cina dan India)," kata Cheng lagi.

Shuib akui terima ancaman bunuh

Regina Lee

Anggota ketiga kumpulan yang menamakan diri mereka 'Datuk T' - Datuk Shuib Lazim mengaku bertanggungjawab di sebalik tayangan video seks baru-baru ini yang menujukkan aksi seorang pemimpin kanan pembangkang mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur.

NONE"Saya bertanggungjawab sepenuhnya berhubung video ini,” katanya kepada Malaysiakini, ketika dihubungi.

Sebelum ini, ahli parlimen PKR Sungai Petani, Datuk Johari Abdul (kanan) mendakwa Shuib yang juga bendahari PERKASA dan bapa saudaranya, tidak terlibat dengan video itu.

"Masa kami turun dalam lif. Dia (Shuib) kata, Pak Njang juga tidak percaya," dakwa Johari, Khamis lalu.

Namun, Shuib yang dihubungi semalam berkata segala-galanya yang didedahkan sebelum ini adalah betul.

"Saya tahu ia (video itu) adalah kebenaran. Saya tahu semua ini adalah betul dan sebab itu saya sertai kumpulan Datuk T. Jika tak betul, saya tak akan setuju,” katanya.Lindung boss

Ditanya mengenai dakwaan Johari yang menafikan peranannya, Shuib berkata ahli parlimen itu mungkin membuat kenyataan tersebut kerana ingin “melindungi bossnya”.

NONERakaman video 22 minit itu ditayangkan kepada beberapa wartawan terpilih pada 21 Mac lalu oleh seorang lelaki misteri yang menamakan dirinya 'DatukT'. Selang beberapa hari, Datuk T diperkenalkan sebagai kumpulan tiga anggota yang terdiri daripada ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Shuib (kiri).

Bagaimanapun Shuib tidak hadir pada sidang akhbar Rabu lalu dan ini menimbulkan spekulasi bahawa mungkin beliau menyertai secara tidak rela.

Shuib, yang suaranya menunjukkan keletihan ketika perbualan telefon juga berkata beliau ada menerima ancaman bunuh.

Namun, beliau menolak laporan New Straits Times, semalam yang mendakwa beliau secara sukarela mengenakan tahanan rumah ke atas dirinya. Katanya, beliau masih keluar dari rumah.

NONE"Polis hanya beritahu saya supaya berhati-hati,” katanya sambil menafikan juga beliau diberi perlindungan polis.

Shuib juga berkata polis telah mengambil keterangannya sebanyak dua kali, yang terbaru adalah dua hari lalu.

Beliau berkata masih menghuni di rumahnya di Kuala Lumpur tetapi bergurau bahawa beliau akan 'bersembunyi' di kampung halamannya di Sungai Petani, tidak lama lagi.

"I nak sembunyi dah. I dah nak lari,” katanya sambil bergelak.

Zunar: Kemunculan 'kartunis pelacur' jatuhkan martabat seni budaya

MERDEKA REVIEW

Saya kesal kerana sejak akhir-akhir ini semakin ramai muncul kartunis-kartunis yang sanggup melukis kartun yang membawa unsur fitnah. Kartun-kartun seperti ini banyak muncul menjelang pilihan raya kecil.

Terbaru, ahli parlimen Pembah Pantai, Nurul Izzah Anwar (gambar kanan) membuat laporan polis mengenai pengedaran kartun lucah yang disebar di kawasan Parlimen Lembah Pantai. Kartunis-kartunis yang menghasilkan kartun ini tidak mempunyai tanggungjawab moral kerana tidak berani untuk meletakkan nama sendiri atau nama pena di dalam lukisan mereka. Saya mendapat maklumat mereka dibayar sejumlah wang yang banyak untuk menghasilkan lukisan mengikut arahan pihak yang membayar.

Mereka melukis apa saja yang disuruh termasuk kandungan yang mempunyai fitnah dan pembohongan. Bagi saya, kartunis-kartunis seperti ini tidak ada bezanya dengan pelacur. Saya ingin mengingatkan para kartunis bahawa selagi karya-karya mereka disebar dan dibaca, selagi itu mereka tidak terlepas dari tanggungjawab.

Saya berpendapat tidak menjadi kesalahan bagi kartunis untuk menyokong agenda mana-mana parti politik dalam kartun mereka, asalkan mereka bertanggungjawab terhadap kandungannya. Sesuatu karya yang bertanggungjawab mesti mempunyai tanda tangan pelukis. Nama pena sekiranya hendak digunakan mestilah mempunyai hubung-kait dengan kartunis dan bukan bertujuan mengelirukan identiti pelukis.

Kartunis mesti memahami sesuatu isu dari berbagai perspekstif sebelum mengambil pendirian mereka sendiri dan bukannya mengikut arahan orang lain. Kemunculan kartunis-kartunis pelacur ini telah menjatuhkan martabat seni budaya dan merendahkan kemampuan berfikir orang Malaysia.

*Kenyataan media oleh Zunar (gambar kiri), kartunis politik di Malaysia.

Sedutan ucapan Azmin Ali dalam Mesyuarat DUN Selangor

MERDEKA REVIEW

Hak Orang Asal

47. Kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor memelihara hak Orang Asal adalah bukti jelas bahawa Kerajaan Negeri berpegang teguh kepada prinsip keadilan untuk rakyat. Langkah Kerajaan Negeri menubuhkan Badan Bertindak Tanah Orang Asal (BBTOA) bertujuan untuk menyelesaikan masalah tanah yang menghambat Orang Asal merupakan satu tindakan pro-aktif. Kerajaan Negeri telah melaksanakan program pemetaan tanah Orang Asal, kempen kesedaran Akta 134 berhubung Dasar Pemberimilikan Tanah Orang Asal serta Program Perumahan Rakyat Termiskin untuk Orang Asal.

48. Saya ingin membawa perhatian Dewan kepada masalah orang-orang Asal di Bukit Kala, Batu 12 Gombak. Menurut sejarah, pada awal tahun 1956, seramai 350 orang remaja Orang Asli dari Semenanjung Malaysia telah ditempatkan di Pusat Kesihatan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli di Gombak. Belia-belia ini diberikan latihan dan kursus untuk meningkatkan kefahaman di kalangan masyarakat Orang Asli.

49. Kini, kampung ini yang diterokai pada tahun 1956 telah berkembang pesat dengan kepadatan penduduk meningkat kepada lebih 3,500 orang. Masalah yang kritikal sekarang ialah tanah penempatan bagi lebih 550 keluarga ini yang semakin sesak dan tidak dibangunkan dengan kemudahan yang baik. Saya ingin mencadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya dapat diberikan perhatian segera kepada masalah yang sudah berlarutan terlalu lama.

Inflasi dan Harga Barang Naik

50. Ekoran tindakan Kerajaan Pusat menaikkan harga petrol melalui program rasionalisasi subsidi, harga barang telah melonjak naik dan memberi kesan yang amat membebankan rakyat khususnya kepada yang berpendapatan rendah. Tindakan kerajaan menarik balik atau mengurangkan subsidi terbukti menyumbang kepada kenaikan kadar inflasi di negara ini.

51. Kadar inflasi yang meningkat kepada 2.2% pada Disember 2010, merupakan kadar tertinggi dalam tempoh 19 bulan. Kajian Bank Negara Malaysia menjangkakan kadar inflasi dijangka berada di antara 2.5 hingga 3% pada tahun 2011 dan 2012. Kadar inflasi ini dijangka akan terus meningkat ke 4%.

52. Indeks Harga Pengguna (IHP) terus meningkat tahun demi tahun dengan kadar 0.6% (Januari 2008 - Januari 2009), 1.7% (Januari 2009 - Januari 2010) dan 2.4% (Januari 2010 - Januari 2011).

53. Antara kumpulan barangan yang naik mendadak adalah makanan dan pengangkutan. Harga barangan makanan dan minuman bukan alkohol pada bulan Januari 2011 telah naik sebanyak 3.6% jika dibandingkan setahun yang lepas. Pada tempoh masa yang sama, indeks harga pengguna dalam kumpulan pengangkutan telah naik sebanyak 4.6%. Kenaikan harga barangan asas inilah yang menekan kehidupan rakyat terbanyak termasuk di Negeri Selangor.

54. Sebagai contoh, harga bawang kecil dilaporkan meningkat lebih dua kali ganda berbanding harga asal iaitu RM4 sekilogram kepada RM11 sekilogram. Harga ikan kembung di Pasar Selayang melonjak naik hampir 50% daripada RM8.00 sekilogram ke RM14.00 sekilogram dalam masa sebulan sahaja daripada 21 Februari 2011 dibandingkan pada 25 Mac 2011.

55. Walaupun penetapan harga barangan asas ini di bawah kawalan Kerajaan Pusat, namun saya merasakan Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk mengambil beberapa inisiatif bagi mengurangkan beban pada rakyat khususnya di luar bandar.

56. Tema "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" adalah retorik politik. Kerajaan Pusat tidak berganjak daripada dasar membela kroni yang menjadi tuan di negara ini.

57. Subsidi untuk Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) yang berjumlah RM15.1 bilion setahun tidak disentuh tetapi subsidi barangan asas seperti tepung, gula, minyak masak, gas memasak serta petrol ditarik balik. Bertambah parah, Kerajaan Pusat tidak mampu menghalang ketirisan yang dilaporkan oleh Laporan Audit Negara Tahun 2008 yang berjumlah RM28 bilion.

58. Bank Negara Malaysia juga melaporkan bahawa sehingga bulan November 2010, hutang isi rumah telah mencatatkan RM577 bilion ataupun 74% daripada KDNK. Daripada jumlah itu, RM118 bilion adalah pinjaman kereta, RM22 bilion adalah pinjaman peribadi dan RM225 bilion adalah pinjaman perumahan. Hutang kad kredit mencecah hampir RM200 bilion. Masalah ini berpunca dari kegagalan Kerajaan Pusat untuk melihat kenaikan gaji dalam konteks menjana disposable income atau pendapatan boleh belanja.

59. Masalah ini bertambah rumit apabila kenaikan gaji di Malaysia pada kadar yang terendah di rantau ini iaitu hanya sekitar 2.6% di antara tahun 1994 sehingga 2007 berbanding dengan Thailand dan Indonesia yang mencatatkan kadar kenaikan sebanyak 10 % dalam tempoh 8 tahun.

60. Lebih membimbangkan lagi hutang Kerajaan Malaysia bagi tahun 2009 meningkat kepada RM362.39 billion atau 53.7% dari KDNK. Dalam tahun 2010, Kerajaan melancarkan 19 program menjual bon yang membabitkan hutang tambahan bernilai RM58.1 bilion. Pada 14 Disember 2010, Bank Negara Malaysia mengumumkan kerajaan akan menjual 29 bon tambahan dalam tahun 2011. Menurut anggaran Institut Penyelidikan RHB, penjualan 29 bon ini akan membabitkan hutang baru Kerajaan Pusat berjumlah RM83 bilion kepada RM445.39 bilion.

61. Justeru, Pakatan Rakyat melancarkan Buku Jingga, garapan kebijakan khusus membahaskan isu ekonomi makro dan juga langkah-langkah berani untuk menjamin ekonomi yang mampan dan kesejahteraan rakyat. Buku Jingga telah mengupas perkara ini dengan panjang lebar dengan mengkritik program-program yang bersandarkan kepada keborosan membelanjakan wang rakyat untuk membina projek-projek mega tanpa ada usaha untuk melaksanakan reformasi ekonomi yang diperlukan negara. Perubahan yang agresif mesti dilaksanakan demi merungkai beberapa mitos ekonomi yang dicipta UMNO: antaranya, hanya merekalah yang berjuang demi kepentingan Orang Melayu. Sedangkan hakikatnya 40% dari rakyat Malaysia yang berada dalam lingkungan pendapatan isi rumah kurang dari RM1,500 sebulan, menjadikan mereka golongan paling miskin di Malaysia. Lebih mengejutkan dan menyedihkan tiga daripada empat keluarga yang berada dalam kategori ini (golongan paling miskin) adalah keluarga Melayu atau Bumiputera.

62. Maka, apakah peranan Kerajaan Negeri untuk membantu meringankan bebanan rakyat untuk mendapatkan barang-barang asas bagi keperluan keluarga mereka khususnya yang berpendapatan rendah?

63. Kerajaan Negeri perlu meneroka beberapa langkah untuk mencapai matlamat di atas. Saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan Negeri dapat melantik beberapa anak syarikat Kerajaan Negeri untuk membeli bahan makanan secara pukal dan menyimpan stok makanan asas dan kemudiannya menjual kepada rakyat pada harga yang lebih rendah melalui setor bergerak ke setiap daerah dalam Negeri Selangor.

Sistem pengangkutan awam yang bersepadu

64. Kementerian Pengangkutan berhasrat untuk mengurangkan kebergantungan pengguna terhadap kenderaan persendirian dan meningkatkan jumlah pengguna sistem pengangkutan awam daripada 240,000 ke 600,000 pada tahun 2012.

65. Untuk mencapai matlamat ini, Kerajaan Negeri perlu menjalin kerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk mewujudkan pelan induk sistem pengangkutan awam yang bersepadu, efisien dan menyeluruh.

66. Pembangunan Greater Kuala Lumpur yang diumumkan oleh Kerajaan Pusat tidak boleh mengenepikan peranan Selangor kerana sebahagian besar daripada Greater KL berada di dalam wilayah Lembah Klang dan Selangor. Greater Kuala Lumpur melibatkan 10 PBT di mana 8 daripadanya di dalam Negeri Selangor iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Selayang. Kerajaan Pusat perlu memberikan peranan yang lebih besar kepada Negeri Selangor dan mengambil kira pandangan pentadbiran Negeri Selangor dalam perancangan ini supaya tidak wujud pertindihan jajaran dan juga boleh menjimatkan kos prasarana bagi kepentingan rakyat.

67. Projek MRT dijangka akan membabitkan perbelanjaan mencecah RM55 billion menjelang ia beroperasi dalam tahun 2016/2017. Ia akan dibiayai melalui penerbitan bon. Sebahagian besar dari laluan projek MRT tersebut adalah merentasi Selangor, maka kesan yang paling besar adalah ke atas rakyat Selangor.

68. Selain dari kesan fizikal seperti pengambilan tanah, impak ke atas trafik di Lembah Kelang sepanjang pembinaan berlaku dan tiada jaminan ia akan berjaya menyelesaikan masalah kekusutan trafik di; persoalan yang lebih besar adalah bebanan hutang yang akan ditanggung oleh rakyat untuk berpuluh tahun yang akan datang.

69. Najib mengumumkan bahawa projek MRT akan dikendalikan sepenuhnya secara telus dan kontrak akan dibuka untuk bidaan. Najib juga mengumumkan perlantikan konsortium Gamuda-MMC sebagai “Project Delivery Partner” (PDP). Sebagai PDP, Gamuda-MMC bertanggungjawab menguruskan keseluruhan projek termasuklah :

  • Menentukan spesifikasi projek dan menetapkan aspek teknikal – maka kos keseluruhan projek MRT ini sebenarnya ditentukan oleh Gamuda-MMC.
  • Menyediakan dokumen tender bagi setiap pakej untuk dibuka bagi bidaan kepada sub-kontraktor
  • Menjalankan proses tender untuk memilih sub-kontraktor bagi setiap pakej
  • Mengawalselia pelaksanaan projek sebagai pengurus projek

70. Fakta yang disembunyikan dari rakyat adalah hakikat bahawa keseluruhan kertas cadangan mengenai MRT disediakan oleh Gamuda-MMC. Konsortium inilah yang mencadangkan bentuk pembinaan, laluan jajaran, konsep pembangunan dan lain-lain.

71. Oleh itu, maka Gamuda-MMC mempunyai sepenuh kebebasan untuk menentukan berapakah kos keseluruhan projek kerana spesifikasi teknikal projek juga ditentukan oleh mereka. Selain itu, Gamuda-MMC juga telah diberi kebenaran untuk turut serta sebagai sub-kontraktor bagi pakej bawah tanah yang dijangkakan sebanyak 7 pakej. Pakej ini adalah pakej yang terbesar dan termahal kerana melibatkan kerja-kerja mengorek terowong.

72. Oleh itu, konsep PDP yang dibawa ini tidak lebih dari nama baru yang diperkenalkan untuk meneruskan amalan lama direct negotiation dan menganugerahkan projek mega kepada syarikat kroni. Namanya berbeza, tetapi amalan dan risiko yang ditanggung oleh rakyat adalah sama.

73. Berdasarkan latar belakang ini, maka risiko-risiko yang ditanggung rakyat akibat konsep PDP adalah seperti berikut :

  • Konsep, pelan dan laluan MRT yang dicadangkan oleh Gamuda-MMC mungkin tidak bersandarkan kepada keperluan sebenar rakyat kerana motif Gamuda-MMC adalah untuk memaksimakan keuntungan.
  • Oleh itu, spesifikasi teknikal yang dicadangkan oleh Gamuda-MMC mungkin lebih mahal dan tidak diperlukan, tetapi dimasukkan untuk membolehkan kos yang ditanggung rakyat melonjak.
  • Maka, kos yang dijangka RM55 billion (awalnya RM36.6 billion tidak termasuk kos pengambilan tanah dan rolling stock, akhir-akhir ini mengambil kira pakej bawah tanah dan rolling stock dijangkakan mencecah RM55 billion) disebabkan banyaknya spesifikasi yang tidak diperlukan.
  • Perlantikan Gamuda-MMC juga menimbulkan conflict of interest yang besar apabila mereka jugalah yang bertanggungjawab mengawalselia proses pembidaan pakej-pakej bawah tanah, sedangkan mereka dijangka menjadi pembida utama.
  • Ini merupakan satu amalan yang bertentangan dengan prinsip tatakelola yang baik dan terdedah kepada amalan rasuah yang kronik.

74. Jangkaan ramai pihak adalah pengenalan konsep PDP ini adalah satu cara untuk menghalalkan projek MRT yang akan digunakan untuk mengayakan ahli politik UMNO dan Barisan Nasional di samping mengumpul dana bagi Pilihan Raya yang akan datang.

75. Bebanan kewangan kepada rakyat boleh dirujuk dengan mengambil contoh pelaksanaan projek-projek LRT (Putra dan Star) yang akhirnya terpaksa diambil alih oleh kerajaan. Semasa mula-mula dilaksanakan, kos projek LRT keseluruhannya adalah RM4 billion dan diswastakan kepada Renong dan syarikat yang dimiliki oleh Vincent Tan. Walau bagaimana pun, akibat krisis kewangan 1997, kedua-dua projek mengalami masalah.

76. Pada tahun 2001, kerajaan menubuhkan sebuah syarikat milik kerajaan iaitu Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) yang mengambil alih kedua-dua aset. SPNB terpaksa membayar pampasan dan menanggung hutang yang diambil alih dari Renong dan Vincent Tan. Kos keseluruhan pengambilalihan LRT berjumlah RM7 billion yang masih lagi belum berbayar hingga tahun ini.

77. Ini gambaran kos dan bebanan hutang yang akan dihadapi oleh rakyat – sedangkan kos LRT yang hanya berjumlah RM7 billion masih belum berbayar selepas 10 tahun, apakah nasib generasi akan datang yang berdepan dengan hutang RM55 billion untuk projek MRT ini?

78. Kerajaan Negeri Selangor adalah satu-satunya pihak yang mempunyai kuasa dan suara untuk memastikan projek MRT menjamin kepentingan rakyat. Oleh itu, saya mencadangkan Kerajaan Negeri untuk melantik sebuah badan perunding yang dianggotai pakar-pakar dari NGO, Kerajaan Negeri dan firma kejuruteraan dan juruukur bahan untuk menyemak kos sebenar keseluruhan projek dan dibayar oleh Kerajaan Selangor. Ini adalah untuk memastikan tidak ada unsur-unsur pertambahan kos yang tidak perlu akibat tiadanya ketelusan dan amalan kronisme dalam penganugerahan projek kepada Gamuda-MMC.

79. Kerajaan Negeri harus meletakkan syarat bahawa kerjasama dalam pengambil alihan tanah termaktub kepada persetujuan Kerajaan Pusat untuk membentangkan dan menerimapakai maklumbalas yang diberikan oleh Kerajaan Negeri mengenai perlaksanaan projek dan pelan keseluruhan pengangkutan awam bagi Lembah Klang.

*Sedutan ucapan Mohamed Azmin Ali (gambar kiri) selaku ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa dalam Mesyuarat Pertama (Pembukaan) penggal keempat, DUN Selangor ke-12.

PR Pulau Pinang untuk Semua Guan Eng: Wifi juga untuk Semua

MERDEKA REVIEW

"Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang untuk semua, Wifi untuk semua" dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri wifi pertama di Malaysia yang berani dan inovatif dalam inisiatif memperluaskan kepintaran digital untuk seluruh rakyat Pulau Pinang. Sebagai negeri yang pertama di Malaysia menyediakan wifi percuma di tempat tumpuan umum, beberapa keperluan dan penjelasan diperlukan dalam usaha untuk melaksanakan konsep baru ini.

Kerajaan negeri Pulau Pinang ingin menekankan di sini bahawa kita bersedia untuk mempertimbangkan mana-mana syarikat yang tersenarai dalam Bursa Saham Malaysia yang mempunyai lesen perkhidmatan ICT, sepertimana syarat yang telah ditawarkan kepada Redtone International Bhd. Dalam erti kata lain, syarikat-syarikat ini mesti bersedia untuk memasang dan menyenggarakan 1,500 kawasan hotspot wifi percuma untuk dibekalkan kepada seluruh rakyat Pulau Pinang selama lima tahun dengan kos RM8.5 juta yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri.

Sebagai bukit komitmen terhadap inisiatif wifi percuma, mana-mana syarikat itu hendaklah mengikut jejak langkah Redtone, iaitu dalam memasang dan menyenggarakan sebanyak 750 kawasan hotspot yang pertama atas kos pembiayaan sendiri. Ini bermakna Kerajaan Negeri tidak akan mengeluarkan walau satu sen perbelanjaan untuk fasa pertama ini.

Sekiranya syarat diatas dipenuhi, barulah syarikat tersebut layak untuk ditawarkan fasa kedua iaitu pemasangan tambahan 750 lagi kawasan hotspot yang akan ditanggung sebahagiannya oleh Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab Barisan Nasional yang telah mengelirukan dasar yang diamalkan dengan menuduh kerajaan negeri PR Pulau Pinang mengenepikan dasar tender terbuka kerajaan negeri. Jelas, BN hipokrit dengan mengkritik Pakatan Rakyat tidak mengamalkan tender terbuka sedangkan BN sendiri gagal melaksanakannya.

Saya ingin menegaskan di sini bahawa dasar tender terbuka merupakan keutamaan urustadbir CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) yang diamalkan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang. Atas urustadbir CAT dan dasar tender terbuka yang senantiasa diamalkan ini, Pulau Pinang telah pun menjadi negeri pertama yang dipuji oleh Transparency International.

Urustadbir CAT sememangnya berdasarkan sistem tender terbuka tetapi mustahil Pakatan Rakyat untuk melaksanakan sistem tender terbuka sekiranya hanya satu syarikat tersenarai yang sudi memenuhi syarat yang ditetapkan.

Syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia akan ditawarkan dengan syarat yang sama sepertimana yang dikenakan kepada Redtone International Bhd untuk memasang dan menyenggarakan 1,500 hotspot wifi percuma untuk seluruh rakyat Pulau Pinang selama lima tahun dengan kos RM8.5 juta.

Inisiatif wifi percuma di Pulau Pinang ini melibatkan dua fasa. Fasa pertama melibatkan pemasangan 750 hotspot wifi percuma di tempat tumpuan umum oleh syarikat tersenarai dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh pihak syarikat tanpa mengenakan satu sen pun kepada Kerajaan Negeri. Pelaburan syarikat tersebut akan ditebus balik melalui pulangan pengiklanan.

Pada fasa pertama, kerajaan negeri hanya membantu menyediakan kemudahan dalam proses pemasangan. Hanya satu syarikat (Redtone) yang menyatakan kesudian dalam menyediakan 750 hotspot wifi percuma di tempat tumpuan umum dengan kos pembiayaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak syarikat. Tiada syarikat lain yang berminat untuk tampil menyediakan perkhidmatan 750 wifi percuma dengan kos pembiayaan sendiri.

Oleh kerana tahap pertama adalah tawaran pemasangan secara percuma, Kerajaan Negeri tidak dapat memaksa Redtone untuk meliputi seluruh kawasan di Pulau Pinang. Inilah sebabnya beberapa kawasan terpaksa diketepikan termasuk kawasan Parlimen Bukit Gelugor, Pengerusi DAP Karpal Singh.

Untuk memastikan liputan wifi percuma merangkumi semua kawasan, Kerajaan Negeri harus membiayai fasa kedua, iaitu pemasangan dan penyenggaraan 750 hotspot wifi tambahan untuk ditempatkan di tempat tumpuan umum dengan bayaran RM8.5 juta untuk tempoh lima tahun. Fasa kedua ini bukan sahaja meningkatkan jumlah hotspot wifi percuma kepada 1,500 malah akan memastikan bahawa semua kawasan di Pulau Pinang mempunyai liputan wifi percuma ini. Fasa kedua ini jugalah yang menyebabkan BN terus mengkritik kerajaan negeri kononnya kerajaan negeri tidak mengamalkan dasar tender terbuka.

BN seperti hilang arah untuk terus mengkritik tanpa asas. Tanpa mengambil keseluruhan fasa 1 dan fasa 2, BN mengabaikan terus fasa 1 dan hanya mengambil kira fasa kedua. Ini salah. Untuk layak ke tahap 2, syarikat tersenarai harus memenuhi syarat menyediakan 750 hotspot wifi percuma di peringkat fasa pertama dengan kos ditanggung sepenuhnya tanpa bayaran walau satu sen pun oleh kerajaan negeri. Maka hanya itu dapat memenuhi syarat bagi membolehkan Kerajaan Negeri meluluskannya untuk ke fasa kedua.

Pada permulaan, ketika mencari syarikat-syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan ini, tidak ada syarikat yang berminat kecuali Redtone. Oleh itu, disebabkan hanya Redtone yang layak dan sudi memenuhi syarat yang dikenakan, mustahil kerajaan negeri melakukan tender terbuka dalam inisiatif ini.

Kerajaan negeri Pulau Pinang masih bersedia untuk mempertimbangkan syarikat-syarikat tersenarai yang lain, selagi mereka sudi memenuhi syarat menyediakan 750 hotspot wifi percuma dengan kos ditanggung sendiri. Syarat untuk fasa kedua adalah seperti berikut:

Nota Penting Perjanjian Kerjasama untuk Perkembangan Intenet Mudah Alih antara PDC Telecommunication Serviced Sdn Bhd (PDCT) dan Redtone International Berhad (Redtone)

Pakatan Rakyat Pulau Pinang untuk semua, Wifi juga untuk Semua

Syarat Umum
- Perjanjian adalah untuk pemasangan 750 hotspot wifi percuma di tempat tumpuan umum dibiayai oleh kerajaan negeri melalui PDCT.
- Sebanyak 750 hotspot wifi telah dipasang oleh Redtone Internatiomal Bhd (Redtone) di tempat tumpuan umum. Dengan tambahan 750 hotspot wifi percuma yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, keseluruhannya 1500 hotspot wifi percuma akan dipasang di kawasan-kawasan tumpuan umum meliputi seluruh negeri Pulau Pinang.
- Redtone juga akan menyediakan 50 hotspot tambahan di atas 750 yang sudah tertera dalam kontrak fasa kedua, di mana PDCT tidak akan dikenakan bayaran lebih lanjut bagi sebarang pemasangan atau penyelenggaran.
- Pemasangan 750 hotspot yang dicadangkan dan tambahan 50 kawasan baru harus diselesaikan dalam masa 12 bulan dari tarikh perjanjian.
- Redtone perlu menyediakan 50 Mbps sebagai "backhaul" untuk perkhidmatan internet di 750 kawasan pertama dan 750 kawasan baru.

Syarat Bayaran
- Perjanjian ini mengambil tempoh lima tahun dengan jumlah RM8.490.000. Selepas lima tahun, baik PDCT mahupun Kerajaan Negeri mempunyai pilihan untuk meneruskan perkhidmatan ini untuk tahun-tahun berikutnya dengan bayaran RM900, 000/- per tahun.
- Penyenggaraan ke atas 750 kawasan hotspot yang siap dipasang oleh Redtone harus dilakukan secara percuma tanpa membabitkan kos kepada PDCT. Sekiranya Redtone gagal untuk menjaga kawasan liputan, Redtone telah dianggap melanggar perjanjian.
- Dalam hal pelanggaran perjanjian, PDCT mempunyai hak mutlak untuk menuntut pemilikan penuh ke atas 750 kawasan hotspot yang sedia ada, 750 kawasan hotspot baru dan 50 kawasan tambahan selain pampasan/ kerosakan dari Redtone.

Lokasi
- Semua 40 daerah di Pulau Pinang harus diliputi sekurang- kurangnya 10 wifi.

Pembahagian Pendapatan
- Pendapatan bersih yang diperolehi dari perkhidmatan pengiklanan harus dibahagikan antara PDCT dan Redtone.

Naik taraf Teknologi
-Setiap pengguna wifi percuma Pulau Pinang diberikan sambungan intenet 1 mbps dan apabila perlu, pengguna boleh meningkatkan sambungan sehingga 5 mbps, 10 mbps atau sehingga 54 mbps oleh Redtone International tanpa kos tambahan.

*Kenyataan media oleh Lim Guan Eng (gambar kiri) selaku Ketua Menteri Pulau Pinang.

Konspirasi politik keji wajar dihukum

Lim Yew Chien

Seandainya negara ini adalah "waras", sudah tentunya isu klip video seks yang dibikin Datuk T tidak akan berlaku. Ini kerana bukan sahaja penayangan klip video seks kepada media gagal mencapai tujuannya untuk menfitnah, malah bakal mencungkil kemarahan umum sebaliknya. Lebih-lebih lagi, perbuatan sedemikian akan berdepan dengan tanggungjawab jenayah. Mustahil konspirator bodoh sehingga terlibat dalam kelakuan yang merugikan dirinya. Namun demikian, nampaknya Malaysia bukanlah sebuah negara yang "waras".

Sememangnya, hipotesis di atas didasari dengan pra-syarat bahawa klip video tersebut bukan sesuatu yang benar, iaitu pelakunya adalah Anwar Ibrahim sebagaimana yang disasarkan. Kesahihan video tersebut boleh dikenalpasti kemudiannya. Namun, melihat kepada pendekatan Datuk T mengumumkan video tersebut, agak jelas bahawa kesahihan video tersebut adalah rendah.

Mengapa simpati terhadap Anwar?

Identiti Datuk T sudah terdedah - sama ada orang yang berdendam, atau bertentangan pendirian dengan Anwar dari politik. Apa yang diwar-warkan dalam kenyataan bahawa "mahu membongkar kemunafikan politikus" sebelum itu kini menjadi sesuatu yang tidak masuk akal. Seandainya "kelemahan" musuh atau seteru dikuasai, maka ia akan dipergunakan sebaiknya untuk menghasilkan sabotaj yang maksima - tanpa belas kasihan dan rasa simpati.

Jikalau itulah keadaannya, maka apa yang harus dilakukan Datuk T adalah menyebarkan klip video ini seluas yang mungkin. Jikalau klip video tersebut dikesahkan benar, maka penontonnya semestinya akan mendesak agar Anwar berundur selepas menyaksinya. Maka berjayalah usaha untuk memusnahkan Anwar.

Tetapi Datuk T tidak berbuat demikian, sebaliknya menyiarkan video tersebut sekali sahaja. Kemudian mereka mengugut agar Anwar meletakkan jawatan dengan sendiri, atau mereka akan mengedarkan kepada umum klip video tersebut. Apa perlunya Datuk T untuk bermurah hati, tidak memusnahkan Anwar sekaligus, sebaliknya memberi peluang agar Anwar berundur sambil menjaga kehormatan dirinya? Mungkin inilah jawapan yang rasional - Datuk T telah sedar sebermulanya, bahawa lelaki dalam klip video tersebut bukan Anwar. Ia terlalu senang untuk dibongkarkan. Maka pendekatan untuk memusnahkan Anwar sekaligus gagal mencapai tujuannya.

Sememangnya, klip video seks ini telah memberi impak berikutan "kerjasama" yang sungguh-sungguh dari media. Semestinya Datuk T mahu memaksimakan kesan sabotajnya. Jadi, dalam keadaan di mana mereka mahu memaksimakan impak tanpa bukti yang sah, maka nampaknya Datuk T hanya boleh menggunakan pendekatan yang sedia ada - biar media bertanggungjawab menyebarkan khabar, tetapi tidak memberi peluang kepada orang lain untuk mendapatkan klip tersebut supaya segala penjelasan mahupun pembelaan diri boleh dilakukan dengan jelas dengan merujuk kepada bahan yang ada.

Media menjadi perkakas BN

Media yang asalnya menjadi perkakas Barisan Nasional semestinya tidak kisah untuk diperalatkan sepenuhnya. Malah media ini tetap menghebohkannya walaupun konspirasi di sebalik klip video tersebut dibongkarkan secara beransur-ansur. Fitnah yang berniat jahat ini tidak diambil tindakan - inilah yang membezakan antara Malaysia dengan negara lain yang "waras".

Media arus perdana yang lain, mungkin kurang "niat jahat"-nya berbanding perkakas BN, dan telah berhenti untuk memainkan isu ini. Namun, ia tidak mengubah hakikat bahawa mereka telah dipergunakan orang lain. Anwar dan Pakatan Rakyat membalas serangan dengan menyasarkan teras tampuk kuasa negara, namun media arus perdana ini hanya mencuit pada kulit. Ini adalah perbezaan terbesar antara media arus perdana dengan media internet. Walaupun media internet juga melaporkan berita klip video ini, tetapi pada masa yang sama mengetengahkan kesangsian dalam video tersebut. Reaksi Pakatan Rakyat kemudiannya, teori konspirasi yang diketengahkan turut diberi liputan yang luas.

Media arus perdana mungkin menganggap "konspirasi politik" adalah spekulasi yang belum dikenalpasti, maka ia tidak wajar dihebohkan. Persoalannya, bukankah ia juga tuduhan yang sarat dengan kesangsian untuk mengatakan lelaki dalam video tersebut adalah Anwar? Mengapa pula diheboh-hebohkan hal ini? Bukankah ini ibarat peribahasa Cina, "Menteri dibenarkan untuk membakar dengan api, tapi rakyat jelata dilarang untuk menyalakan api sebagai lampu?"

Secara keseluruhannya, media arus perdana telah menjadi perkakas politik, malah adalah perkakas kepada politik yang keji dan jijik. Media mungkin dipergunakan kerana kecuaian, maklumlah dalam masa yang suntuk, ditambah pula dengan percaturan Datuk T, maka ia bolehlah dimaafkan. Tetapi seandainya tiada muhasabah kemudiannya, tidak memberi ruang kepada mangsa untuk menjawab, maka persoalannya - di manakah profesional dan etika wartawan dan editor?

PR mempersoalkan, mengapa Datuk T tidak diambil tindakan undang-undang selepas mengakui bahawa dirinya menayangkan video lucah? Tiada pendakwaan setakat ini selepas polis menyoal siasat Datuk T. Setelah suspek secara terbuka mengakui dirinya melakukan jenayah, apa lagi yang sukar untuk polis? Tiada pendakwaan sehingga hari ini - bukankah ia sudah memadai untuk mengesyaki kewujudan konspirasi politik?

Siapa dalang di sebalik tabir?

Ada yang mendakwa cara pengendalian isu video seks ini adalah kasar, maka kemungkinan ia bukan didalangi pemerintah. Namun, seandainya sasarannya dituju kepada komuniti konservatif yang hanya terdedah kepada media arus perdana, maka ia tetap memberi kesan - sama ada pendekatan ini kasar mahupun halus. Lebih-lebih lagi, pelaksanaan konspirasi boleh di-"outsource"-kan. Mana-mana politik yang berdarjat rendah boleh ditanggung pihak yang berkenaan. Ia seolah-olah politik yang tidak memerlukan modal.

Politik jijik menyelubungi negara kita sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dari rampasan kuasa di negeri Perak, hinggalah sebaran gambar peribadi Elizabeth Wong. Dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyasarkan kerajaan PR, sehingga tragedi kematian Teoh Beng Hock, hinggalah kes liwat Anwar Ibrahim. Jelas, BN mahu meyakini rakyat bahawa PR gagal menjalankan amanah rakyat sebab gagal menguruskan hal-ehwal dirinya. Tetapi rakyat seharusnya berfikir, siapakah yang paling mungkin untuk menjadi dalang di sebalik tabir?

Kebetulan klip video seks ini muncul menjelang PRU ke-13. Ia memperingatkan rakyat bahawa pilihan raya adalah penghakiman terhadap politik yang jijik. Jadi, pengundi bertanggungjawab untuk menghukum politik jijik ini dengan undinya dalam pilihan raya kali ini.

*Lim Yew Chien pernah menjadi pengacara rancangan forum isu semasa, juga kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 30 Mac 2011.

Nik Sapeia tak faham agama

PASPB

http://buletinonline.net/images/stories/berita45/nikzawilatest.JPG


KUALA TERENGGANU – Ketua Penerangan Pas Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh menyelar kenyataan Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Nik Sapeia Nik Yusof supaya Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat menyediakan wakil untuk meneliti kesahihan video seks yang dikatakan melibatkan pemimpin kanan pembangkang dengan pelacur warga asing.

Menurutnya, kenyataan Nik Sapeia adalah berat sebelah dan tidak berpandukan kepada hukum agama serta perundangan negara.

Beliau berkata, Nik Aziz atau sesiapa sahaja tidak boleh menonton video seks tersebut dan perkara itu perlu dibawa ke mahkamah untuk diteliti sejauh mana ketulenan dan kebenarannya.

“Ia tidak boleh berdasarkan kepada saksi sendiri dan perlu kepada proses mahkamah dengan penilaian yang sebenar. Tok Guru (Nik Aziz) pun tidak boleh tengok, hanya mahkamah sahaja yang boleh.

“Dia (Nik Sapeia) ajak Tok Guru, ini menggambarkan dia tidak faham agama dan kenyataannya bercanggah dengan perundangan negara,” katanya, semalam.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dinasihatkan supaya menyediakan seorang wakil dalam kalangan parti itu untuk meneliti kesahihan kandungan video seks dikatakan melibatkan seorang pemimpin pembangkang bersama pelacur warga China.

Naib Presiden PPP, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof berkata, Menteri Besar Kelantan itu tidak boleh mengeluarkan kenyataan menafikan pembabitan pemimpin berkenaan tanpa memeriksa atau meneliti kandungannya.

Nik Zawawi bagaimanapun menegaskan, mereka yang menyebarkan video tersebut patut diambil tindakan terlebih dahulu.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat turut mempersoalkan sikap mufti yang mengambil sikap mendiamkan diri dalam isu itu.

“Mereka perlu mengeluarkan kenyataan kerana ia melibatkan hukum agama dan membabitkan qazaf,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu mengambil tindakan kerana menganggap ia membabitkan maruah negara dan rakyat, selain tidak sesekali menjadikan isu tersebut sebagai kesempatan untuk meraih undi rakyat.- SH
Sekali lagi anak muda tolak politik lucah

Posted on Tuesday, March 29 @ 19:03:54 PDT by tokdalang
Oleh Mohd Aizat Mohd Salleh

Setelah politik Ketuanan Melayu, sekali lagi Umno dan BN menghidangkan politik kotor. Politik yang tiada nilai, tiada pendidikan, tiada intelek, tidak membangunkan idea dan tidak mencambah wacana sihat.

Yang dihidangkan, video seks yang bagi anggapan seorang warganegara dan anak muda, sangat jauh daripada moral dan nilai murni.

Sisi anak muda

Hari ini, jika anak muda ingin menonton apa sahaja video seks atau lucah, mereka boleh sahaja ke laman You Tube, Metacafe dan sama waktu dengannya. Mudah sahaja, taip apa sahaja video yang diinginkan.

Tidak perlu tunggu media mengkhabarkan apakah laman web cadangan untuk video itu. Tak perlu. Apatah lagi, membuat tayangan percuma di hotel seumpama Seri Carcosa.

Atau menunggu siapa-siapa yang ternama seumpama Datuk T atau yang sama dengannya menganjurkan tayangan video seks.

Anak muda hari ini bingung, apakah yang cuba diajar dan dididik dalam pembelajaran politik di negara ini oleh ahli-ahli politik, terutama Umno dan BN.

Di mana Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang telah menulis buku berkenaan ‘Politik Baru’, yang mengenengahkan politik nilai, berbanding politik kotor. Di mana? Tidak dibentangkan kah buku ini kepada pemimpin dan ahli Umno?

Di saat, anak muda hari ini ingin membuat perbandingan secara ilmiah dan intelek terhadap pemimpin dan dasar-dasar parti politik untuk dibuat pertimbangan di dalam pilihan raya akan datang, dibawanya video seks lucah.

Di saat anak muda menunggu ‘Buku Biru’ hasil idea dan perbincangan Umno dan BN untuk dibandingkan bersama ‘Buku Jingga’ Pakatan Rakyat, dihidangkan ‘Tayangan Blue’. Apa ini?

Pak pensyarah, tok mufti

Mana pak-pak pensyarah yang dulu begitu lantang bersuara menganalisis serta mengutuk pemimpin Pakatan Rakyat dalam berpolitik? Apa tunggu lagi, buatlah artikel, kertas kerja, nyatakan pendirian politik kotor ini.

Mana tok-tok mufti yang dulu seronok berfatwa mengharamkan itu dan ini? Keluarlah fatwa, nyatakan pandang sisi agama kepada politik kotor ini. Kenapa senyap?

Anak muda nak juga tahu.

Kepada Umno-BN, anda telah mendidik generasi akan datang dengan pendidikan sosial dan politik yang sangat buruk dan kotor. Generasi muda akan mengingatinya dan sejarahnya akan diceritakan kepada generasi seterusnya betapa tidak bertamadunnya politik dan parti itu.

Kepada Pakatan Rakyat, teruskan berwacana, mendidik, dan mengintelekkan pemikiran rakyat dengan idea-idea baru yang realistik. Anak muda terima ini semua. Kita perlukan perdebatan dan wacana ilmiah untuk menghidupkan budaya ilmu bukan video seks!

Oleh Yow Hong Chieh

KUALA LUMPUR, — Tun Daim Zainuddin berkata Barisan Nasional (BN) dijangka akan kehilangan lebih banyak kerusi di Sarawak kali ini tetapi boleh kekalkan majoriti “selesa.”

“Saya fikir Barisan Nasional akan menang tetapi lebih banyak kerusi akan pergi kepada pembangkang,” kata beliau pada syarahan awam di Universiti Tun Abdul Razak hari ini hari ini.

Pada akhir 2007, bekas menteri kewangan dan bekas bendahari agung Umno itu telah meramalkan Pulau Pinang, Selangor dan Kedah akan menerima nasib seperti Kelantan yang dikuasai PAS pada 1990.

Ramalan itu menjadi kenyataan dengan lima negeri dikuasai pembangkang termasuk Perak dan BN kehilangan majoriti tradisi dalam pilihan raya umum 2008 yang disifatkan sebagai tsunami politik.

Pilihan raya negeri Sarawak yang ke-10 akan diadakan bulan depan dengan hari pengundian jatuh pada 16 April manakala penamaan calon 6 April.M/I

Mayat Pesara Polis Tepi Sampah

KELAB GREENBOC

Port Dickson: “Saya terkejut apabila nampak tubuh seorang lelaki di tempat pembuangan sampah,” kata seorang warga emas yang menemui mayat pesara polis di tempat pembuangan sampah di Kampung Teduk, Pasir Panjang, dekat sini, kelmarin. Gambar Fail

Zainuddin Abd Hamid, 63, berkata, sebaik menghampiri mayat berkenaan, dia mendapati mayat lelaki berkenaan Murad Yusof, 83, yang tinggal sekampung dengannya.

“Saya membuat laporan di Balai Polis Pasir Panjang bagi memaklumkan kejadian itu dan polis tiba di lokasi tidak lama selepas itu.

“Apa yang mengejutkan, saya baru saja menemuinya di pekan pagi tadi (kelmarin) dan tak sangka pada sebelah petang menemui mayatnya pula,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam kira-kira jam 6.45 petang itu, mayat Murad yang dipercayai mati dalam tempoh 12 jam ditemui berada dalam gaung di tempat pembuangan sampah di kawasan itu.

Menurutnya, dia terkejut dengan penemuan mayat berkenaan kerana itulah pengalaman pertama sepanjang hidupnya. “Nasib baik saya tergerak hati untuk membuang sampah di situ kalau tidak mungkin sampai sekarang mayat mangsa tidak ditemui.

“Saya mendapat tahu arwah ada menghidap penyakit angin pasang selain demam panas sejak beberapa hari lalu dan kemungkinan mangsa tergelincir ketika hendak membuang sampah,” katanya.

Sementara itu, adik mangsa yang berlainan bapa, Napsiah Saat, 72, berkata, Murad ada datang ke rumahnya tidak jauh dari situ dan memberitahu tidak berselera makan kerana tekaknya sakit.

Menurutnya, ketika kejadian isteri arwah, Fatimah Mahmud, 79, tiada di rumah kerana menemani anak bongsunya yang menjalani pembedahan kanser tulang di Kuala Lumpur.

“Arwah abang yang bersara daripada pasukan polis beberapa tahun lalu mempunyai lima anak dan menetap di kampung ini sejak 50 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh berkata, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan kejadian itu.

Menurutnya, berdasarkan siasatan polis, lelaki itu dipercayai mati 12 jam lalu sebelum mayatnya ditemui orang awam yang kebetulan membuang sampah di situ.

“Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan menolak kemungkinan kematian lelaki itu membabitkan unsur jenayah.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya,” katanya. -hm

Selangor Laksana Program Kekang Aktiviti Pembalakan Haram

Oleh Suara Keadilan

EWBilangan kes pembalakan tanpa kebenaran yang direkodkan dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal dalam tahun 2010 ialah sebanyak 38 kes dan
semuanya berlaku di kawasan Hutan Simpan berjenis paya laut (Hutan Bakau).

Pada tahun 2010, 5 tangkapan hukuman penjara selama 10 bulan dikenakan, dan 3 tangkapan yang dijatuhkan hukuman penjara 11 bulan dikenakan.

Usaha kerajaan dalam pencegahan pembalakan tanpa kebenaran ialah memperuntukkan sebanyak RM150,000-RM200,000 setiap tahun melalui Projek Pembalakan Haram Sifar kepada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor bagi tempoh RMK 10 (2011-2015) khususnya bagi pemantauan melalui udara menggunakan helikopter.

Kerajaan Negeri dalam proses untuk membuat pengisian kekosongan 8 jawatan baru bagi menjalankan aktiviti penguatkuasaan yang telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA).

Sistem Pengurusan Memilih atau Selective Management System (SMS) ialah sistem pengurusan hutan yang telah diamalkan di Selangor sejak tahun 1980an.

SMS diamalkan dalam kawasan hutan asli yang diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal(HSK) bagi menjamin pengeluaran hasil hutan, khususnya kayu balak secara berkekalan/mampan iaitu setelah mencapai tempoh matang antara 25 hingga 55 tahun.

Sistem ini melibatkan bancian(inventori) bagi menentukan had tebangan bagi pokok yang matang dalam kawasan HSK yang telah dikenalpasti mengikut kup (had) keluasan tebangan tahunan yang telah ditetapkan oleh Majlis Perhutanan Negara (kini diserapkan ke dalam Majlis Tanah Negara) dan diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Had tebangan ditentukan berasaskan dua(2) jenis utama kayu balak iaitu Damar atau Dipterokarpa (spesis termasuk pokok seperti Chengal, Meranti dan Keruing) dan Bukan Damar atau Bukan Dipterokarp (spesis seperti Merbau, Kempas dan Nyatoh) bertujuan untuk memastikan bahawa sekurang-kurangnya 25% daripada hutan yang ditinggalkan setelah pembalakan terdiri dari pokok-pokok dari jenis Damar yang menjadi identiti hutan hujan negara ini. Pokok-pokok berdasarkan saiz had tebangan ini akan ditanda di lapangan.

Pembalakan yang dijalankan perlu mematuhi garispanduan ketat dinamakan Reduced Impact Logging (RIL) bagi memberikan kesan minima ke atas dirian hutan yang tinggal.

Bancian anak pokok yang tinggal akan dilaksanakan selepas pembalakan bagi menentukan rawatan sesuai bagi membantu pertumbuhan anak pokok ini bagi pusingan tebangan yang akan datang. Sejak tahun 2008, SMS tidak dilaksanakan kerana dasar moritorium pembekuan pembalakan oleh Kerajaan Negeri.

Elizabeth Wong

Exco Kerajaan Negeri Selangor

Hubungan Gani, Musa, Rahim Tidak Akan Mampu Selesai Kes Video Seks

Oleh Suara Keadilan

eskay1Berikut disiarkan surat bekas pegawai tinggi polis, SAC Datuk Mat Zain Ibrahim kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Mat Zain bin Ibrahim,
SAC II G/5776(Retired),
Email: matzainibrahim@gmail.comAlamat emel ini dilindungi dari Spambot. Perlukan JavaScript untuk melihatnya

Kepada,

YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar,IGP,
Ketua Polis Negara,
Polis Di-Raja Malaysia,
Bukit Aman,
50560 Kuala Lumpur.
Email: iho@rmp.gov.comAlamat emel ini dilindungi dari Spambot. Perlukan JavaScript untuk melihatnya

YDH Tan Sri,
PENYIASATAN KES VIDEO LUCAH DAN KESUDAHANNYA :-
MAKLUMAT HUBUNGAN LAMPAU DI ANTARA TIGA TAN SRI IAITU, GHANI PATAIL , MUSA HASSAN DAN RAHIM THAMBI CHIK.

Semoga Tan Sri tenang dan tabah menangani cabaran mendatang.

2. Saya percaya Tan Sri sedar video lucah mana yang saya maksudkan.Saya yakin sepenuhnya bahawa PDRM mampu menjalankan tanggung jawabnya menjalankan siasatan tersebut secara professional dan berkecuali dan tidak terpengaruh dengan tekanan mana-mana pihak sekalipun, lebih-lebih lagi dibawah pimpinan Tan Sri ketika ini.

2.1. Namun begitu kertas siasatan ini kelak akan diteliti dan diputuskan olih Gani Patail,Peguam Negara.Diperingkat inilah dijangka akan berlaku,putar belit,manipulasi,penipuan dan pemalsuan apabila sedar akan caramana Gani Patail dan Musa Hassan menangani penyiasatan kes-kes jenayah apabila melibatkan Anwar Ibrahim(Anwar) dan Rahim Thambi Chik (Rahim) dimasa lampau.

2.2. Tidak syak lagi isu video ini adalah satu lagi “pertembungan” diantara Anwar dan Rahim.Adalah dipercayai juga motif pendedahannya,tidak kira samada video tersebut adalah tulen atau direkacipta,adalah terbit daripada dendam lama Rahim terhadap Anwar atas isu peribadi atau politik diantara mereka berdua.

LAPORAN POLIS ANWAR YANG MEMBABITKAN RAHIM.

3. Diantara 9 July 1999 hingga 20 Ogos 1999,Anwar telah membuat sejumlah empat(4) laporan Polis, mendedahkan perbuatan rasuah pemimpin-pemimpin Politik dan Kerajaan.Dalam laporan-laporan berkenaan Anwar turut mendakwa dan menamakan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir,Peguam Negara Allahyarham Mohtar Abdullah dan Gani Patail,ketika itu DPP Kanan,sebagai orang-orang yang telah menyalahgunakan kuasa dan menutup kes-kes rasuah tersebut.

3.1. Pertembungan lampau antara Rahim dan Anwar adalah apabila salah satu diantara laporan tersebut iaitu Tun H.S.Lee report 22517/99 bertarikh 20.8.1999 yang dibuat olih Anwar melibatkan Rahim.Dalam laporan ini Anwar juga mendakwa Tun Mahathir,Allahyarham Mohtar dan Gani Patail sebagai telah menyalahgunakan kuasa mereka melindungi perbuatan rasuah Rahim serta menutup siasatan dan tidak mengenakan sebarang pendakwaan terhadap beliau.

3.2. Bersekali dengan report tersebut, Anwar telah menyertakan satu set salinan laporan siasatan Badan Pencegah Rasuah(BPR)terhadap Rahim yang disahkan oleh Bahagian Pendakwaan,Jabatan Peguam Negara dan ditanda tangani oleh Gani Patail yang mengkelaskan dokumen tersebut sebagai RAHSIA.

Dokumen-dokumen ini dikatakan diberi kepada Anwar oleh Peguam Negara dan/atau Gani Patail ketika Anwar masih Timbalan Perdana Menteri.

4. Untuk makluman Tan Sri,secara kebetulan, saya yang menangani keempat-empat laporan yang Anwar buat itu termasuk laporan melibatkan Rahim atas sifat saya sebagai Ketua Jabatan Sisasatan Jenayah(KJSJ) Kuala Lumpur ketika itu.Saya perhatikan juga amaun rasuah melibatkan Rahim adalah antara yang paling sedikit jika dibandingkan dengan laporan-laporan lain.Jumlah terlibat lebih kurang RM40 juta(Empat puloh juta Ringgit sahaja) atau angka yang lebih tepat ialah RM 39,782,772.60 sen. Amaun ini dikatakan diperolehi olih Rahim menerusi salahguna kuasa dan kegiatan rasuah setakat yang dapat dikesan menerusi siasatan terperinci BPR dan disahkan olih Gani Patail.

4.1. Sebagai rekod Tan Sri,amaun terbesar yang disebutkan dalam salah satu laporan Anwar itu, melibatkan seorang pemimpin yang dikatakan telah memperolehi harta berjumlah dalam lingkungan RM 370 juta.(tiga ratus tujoh puloh juta Ringgit) dalam bentuk RM 220 juta tunai dan RM150 juta dalam bentuk saham,menerusi jalan rasuah.

5. Wajar saya jelaskan disini bahawa terdapat perbezaan pendapat antara KJSJ Kuala Lumpur dengan Jabatan Peguam Negara mengenai cara pendekatan menangani laporan-laporan Anwar tersebut.Jabatan Peguam Negara menasihatkan supaya laporan-laporan tersebut diklasifikasikan di-bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 sahaja.Manakala KJSJ berpendapat klasifikasi ini tidak sepadan dengan laporan dan keterangan yang pengadu kemukakan serta mencadangkan kesemua laporan berkenaan diklasifikasikan dibawah Seksyen 2(1)Emergency(Essential Powers)Ordinance 2,1970 berkaitan kesalahan salahguna kuasa. Cadangan bertulis KJSJ terdapat dalam fail rujukkan (PR)35/26 bertarikh 25.8.1999.Siasatan dibawah Seksyen ini dijangka akan membabitkan rakaman keterangan daripada Tun Mahathir,Allahyarham Mohtar dan Gani Patail sendiri serta lain-lain kenamaan.

5.1. Bagaimanapun pada 28.8.1999 saya telah menerima satu surat daripada Jabatan Peguam Negara Rujukan PRM(WP)5/99 SULIT(5) yang dialamatkan kepada saya persendirian,memaklumkan secara spesifik bahawa laporan yang Anwar buat melibatkan Rahim, akan disiasat oleh Musa Hassan setelah kononya Gani Patail membuat laporan terhadap Anwar pula kerana kesalahan di-bawah Akta Rahsia Rasmi.

5.1.2. Apa yang berlaku ialah, Gani Patail dengan kemudahan yang diberi oleh Musa Hassan telah menterbalikkan kedudukkan laporan Anwar yang melibatkan Rahim untuk menyebabkan Anwar pula disiasat dibawah Akta Rahsia Rasmi.Lebih mudah untuk saya menyatakan laporan melibatkan Rahim itu telah di”hijacked” oleh Musa Hassan daripada tangan KJSJ Kuala Lumpur.

5.1.3. Saya tidak pernah melihat laporan Polis yang kononya dibuat oleh Gani Patail itu ataupun kertas siasatan yang kononnya dibuat oleh Musa Hassan.Belum pernah juga berlaku Jabatan Peguam Negara pula yang memilih Pagawai Penyiasat yang mereka berkenan menyiasat sesuatu laporan polis.

5.2. Bagi mengelakkan sebarang keraguan berkaitan peristiwa diatas,saya sertakan buat pertama kalinya salinan surat Jabatan Peguam Negara bertarikh 28.8.1999 yang saya maksudkan.Walaupun ringkas, surat ini dengan jelas menunjukkan posisi Gani Patail,Musa Hassan dan saya berkaitan siasatan laporan Anwar yang melibatkan Rahim.

5.3. Secara kebetulan saya telah melaporkan perkara ini ketika Tan Sri masih Timbalan Ketua Polis Negara lagi, menerusi surat saya bertarikh 6.5.2010 dengan salinannya kepada YB Menteri Dalam Negeri.

6. Perbandingan yang boleh dibuat disini ialah apabila menangani siasatan terhadap Anwar, Gani Patail dan Musa Hassan sanggup melakukan apa sahaja antaranya memaksa pakar Kerajaan membuat beberapa laporan palsu, mengujudkan keterangan DNA palsu,menipu dan melakukan tindakan-tindakan melampaui batasan undang-undang dan lojik untuk mensabitkan kesalahan terhadap Anwar.

6.1. Sebaliknya apabila menangani siasatan berkaitan Rahim pula, Gani Patail dan Musa Hassan, sanggup melakukan apa sahaja antaranya, menterbalikkan fakta dan memutarbelitkan keterangan untuk membersihkan Rahim daripada sebarang salah laku jenayah sambil meletakkan kesalahan terhadap pengadunya pula.

6.2. Walaupun Musa Hassan telah bersara namun Gani Patail masih berkuasa sebagai Peguam Negara.Apabila siasatan mengenai video lucah ini sampai ketangan Jabatan Peguam Negara kelak,kita boleh menjangka pendirian Gani Patail, lebih-lebih lagi apabila mengambil kira isu video lucah ini juga adalah pertembungan antara Rahim dan Anwar.

6.3. Sekadar makluman Tan Sri juga,Dr.Abdul Rahman Yusof,Pakar Forensic HKL,yang telah digunakan oleh Gani Patail untuk menyediakan 3 laporan palsu dalam siasatan kes Mata-Lebam, adalah juga Pakar Forensic yang sama terlibat dalam membuat pemeriksaan fisikal Rahim, dalam kes seksual dengan gadis bawah umor berkaitan.Kebetulan juga saya pernah menjadi KJSJ Melaka sebelum Kuala Lumpur dan tidak munasabah jika saya tidak meneliti kertas siasatan kes Rahim itu, walaupun saya bukan Pegawai Penyiasatnya.Mungkin ini semua adalah “the long arm of coincidences” sahaja.

7. Mengenai kes rasuah terhadap Rahim pula,BPR dan Jabatan Peguam Negara mengesahkan dalam laporan mereka bahawa terdapat keterangan yang mencukupi untuk membuktikan kes “prima facie” terhadap beliau.Malahan Jabatan Peguam Negara telah menyediakan empat (4)pertuduhan kesemuanya. Iaitu;3(tiga) pertuduhan dibawah Emergency(Essential Powers)Ordinance No:22 of 1970 dan satu pertuduhan kerana membuat Statutory Declaration (SD) palsu dibawah Sek.199 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan.

7.1. Bagaimanapun Rahim tidak dituduh langsung,setelah Peguam Negara “indemnify” segala kesalahan jenayahnya setelah Rahim dipercayai bersetuju untuk melepaskan jawatan dalam Kerajaan,Badan-Badan Berkanun dan Parti Politik.Ini adalah apa yang terdapat didalam laporan yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara sendiri.

7.2. Tidak ada sebutan mengenai cara pelupusan harta berjumlah hampir RM40 juta yang Rahim perolehi secara rasuah itu..Tiada maklumat mengenai persetujuan yang dicapai oleh Rahim dan Peguam Negara berkaitan harta yang diperolehi sedemikian itu dalam bentuk:RM 5,439,796.40 sen dalam kawalan peribadi Rahim sendiri,RM14,487,420.50 sen simpanan tunai dalam beberapa buah bank dan RM19,855,555.70 sen harta Syarikat-Syarikat.

7.3. Persoalan yang tidak kurang pentingnya ialah adakah Peguam Negara mempunyai kuasa untuk “indemnify” kesalahan jenayah mana-mana orang berdasarkan pertimbangan Politik?. Adakah Peguam Negara berhak melepaskan wang Rakyat RM 40 juta sebegitu mudah untuk Rahim menikmatinya tanpa sebarang tindakan.Adakah ini sesuatu yang adil kepada Rakyat sedangkan Peguam Negara yang telah mengesahkan bahawa Rahim memperolehi harta sedemikian banyak menerusi salahguna kuasa dan rasuah.Apa yang jelas dalam kes Rahim ini,,Peguam Negara juga telah menyalahgunakan kuasanya.

8. Saya ingin Tan Sri maklum,bahawa secara peribadi saya tidak mempunyai sebarang isu dengan Rahim.Malahan saya tidak pernah mengenali beliau,sekalipun untuk berjabat salam dengannya seumor hidup.Saya sendiri tidak sangka yang beliau akan muncul sebagai salah seorang dibelakang tayangan video lucah berkenaan.Keterangan-keterangan yang dikemukakan dalam laporan ini adalah berdasarkan pengalaman,pengetahuan peribadi serta dokumen-dokumen berkaitan, ketika saya menangani kes membabitkan beliau.

8.1. Isu yang sering saya bawa sehingga keperingkat YAB Perdana Menteri secara persendirian, ialah bekenaan dengan salahlaku jenayah Gani Patail dan Musa Hassan yang bukan sahaja telah menjejaskan maruah PDRM dan saya secara peribadi malahan mereka mengkucar-kacirkan Sistem Keadilan Jenayah kita.Saya tidak ralat mendedahkannya memandangkan saya telah menasihatkan mereka berdua tahun 1998 bahawa sebarang pemalsuan dan penganiayaan akan terbongkar suatu hari nanti.Salahlaku jenayah mereka bukan setakat dalam siasatan kes mata-lebam sahaja.Saya yakin Tan Sri dan Timbalan Ketua Polis Negara maklum akan pendirian saya berkaitan perkara ini.

9. Walaubagaimanapun isu video lucah ini sedang dalam siasatan dan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenainya.Diharap maklumat yang saya sampaikan ini berfaedah untuk membantu Tan Sri memberikan pendengaran yang adil kepada semua pihak terlibat.Apapun saya berharap Tan Sri tidak akan merelakan PDRM diperlakukan sesuka hati Peguam Negara seperti yang berlaku selama beberapa tahun sebelum Tan Sri.

Selamat sejahtera dan selamat maju jaya.

Yang ikhlas,

Mat Zain Ibrahim

Hilangkan Rasa Takut Kepada Perasuah BN Seru Anwar

Oleh Dzulkarnain Taib

IMG_8086KUCHING - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan siri jelajah menemui rakyat Sarawak semalam dengan menyeru penduduk Bumi Kenyalang supaya mengatasi perasaan takut kepada golongan pemimpin rasuah dan pencuri hak rakyat dari Barisan Nasional.

Bercakap kepada hampir 500 ratus masyarakat Cina di sebuah kedai kopi di Padungan semalam, Ketua Pembangkang itu berkata perubahan di negeri yang kaya dengan sumber minyak dan gas itu tidak akan berjaya dilakukan sekiranya rakyat masih berasa takut terhadap penguasa yang rakus pada hal mereka pada hakikatnya berada di pihak yang benar dan teraniaya.

"Orang jahat tak ramai, tapi ramai orang takut pada orang jahat. Orang rasuah tak ramai, tetapi mereka lakukan macam-macam. Bukan semua dalam kerajaan negeri melakukan rasuah. Tetapi kita kena tukar pemimpin-pemimpin rasuah, tukar kerajaan dan barulah negeri ini akan selamat,” kata Anwar.

Anwar menambah rakyat Sarawak tidak perlu takut kepada pemimpin BN yang rasuah dan menyeleweng tetapi sebaliknya menggunakan hak mereka untuk membuat perubahan pada pilihan raya negeri Sarawak yang bakal diadakan pada 16 April akan datang.

"Rakyat tidak perlu takut, Bukan kita curi duit orang. Kita tak perlu takut kepada mana-mana pihak. Orang yang mencuri balak beribu-ribu ekar tidak takut, kenapa harus kita yang takut,” tegas beliau lagi.

Beliau menegaskan keputusan pada pilihan raya negeri kali ini tidak boleh dipengaruhi oleh janji-janji manis pemimpin BN tetapi terletak di tangan pengundi Sarawak sendiri yang dahagakan perubahan.

"Percayalah, menang dan kalah bukan televisyen cakap. Bukan Menteri cakap. Bukan Perdana Menteri Najib cakap gua tolong lu, lu tolong gua, Nak menang atau kalah, rakyat putuskan." ujar Anwar kepada tepukan hadirin.

Zuraida Beri Muhyiddin 48 Jam Debat Mengenai Buku Jingga

Oleh Suara Keadilan

ZK20Respon kepada kedatangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Parlimen Ampang semalam, saya mengucapkan terima kasih atas kedatangan beliau ke Ampang untuk memberi agihan hak rakyat bagi pihak saya.

Namun, saya melihat kedatangan Muhyiddin ini tidak lebih sebagai gimik karut apabila menunjukkan bahawa BN kini benar-benar sudah gentar untuk menghadapi Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13), terutama di Selangor.

Ini juga bukti bahawa Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN-Umno Selangor seolah sudah gagal dan 'kontang idea dan strategi' untuk menguruskan perpecahan BN Selangor, apabila terpaksa menghantar Timbalannya untuk turun padang. Ini juga signal bahawa siri-siri ceramah penerangan yang kami (Keadilan Cabang Ampang) anjurkan sejak 4 bulan lepas telah mengugat BN Ampang terutamanya.

Saya juga menyelar tindakan Tan Sri Muhyiddin yang telah memperkudakan jentera kerajaan untuk kepentingan kempen politik. Maka, saya mencabar Muhyiddin Yassin untuk turun ke Ampang lagi, dan bersedia untuk berdebat tentang Buku Jingga di Ampang andai Muhyiddin benar-benar ikhlas mahu membantu rakyat seperti kenyataan dalam ceramahnya malam tadi.

Saya memberi masa 48 jam buat Muhyiddin untuk respon kepada cabaran ini, bagi membuktikan beliau benar-benar layak untuk menduduki tampuk No.2 kerajaan kini.


ZURAIDA KAMARUDDIN
TIMBALAN PENGERUSI KEADILAN SELANGOR
MERANGKAP AHLI PARLIMEN AMPANG

Kerusi Bukit Kota, Batu Danau Bakal Saksikan Pertembungan Lebih Dua Calon

BERNAMA

LIMBANG: Bukit Kota dan Batu Danau, dua kerusi majoriti bumiputera di Limbang berkemungkinan menyaksikan pertandingan lebih daripada dua calon.

Dengan hari penamaan calon hanya tinggal seminggu sahaja lagi, bakal calon bagaimanapun perlu menunggu lama sedikit memandangkan borang pencalonan bagi kerusi Bukit Kota telah pun habis dijual.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) Bukit Kota, Anyi Ngau berkata kesemua enam borang pencalonan yang disediakan bagi kerusi itu telah pun habis, dan ketika ini beliau masih menunggu ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Kuching untuk menghantar borang itu melalui pos.

Bagi kerusi Batu Danau yang terletak di luar bandar, RO Stephen Kalong Nanggang berkata empat borang pencalonan telah pun dijual.

Khabar angin bertiup kencang bahawa kerusi Batu Danau mungkin menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).

Dalam pilihan raya negeri 2006, kawasan pilihan raya baru itu yang merupakan majoriti Dayak dimenangi calon BN.

JPN Tiada Kuasa Tukar Status Jantina Pemegang MyKad

KUALA LUMPUR: Ketika ini tidak ada sebarang peruntukan dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang membolehkan seseorang individu yang telah melakukan pembedahan menukar jantina dibenarkan menukar status jantina mereka di dalam MyKad.

Sebaliknya, kata Ketua Pengarah JPN, Datuk Alwi Ibrahim, pihaknya hanya menguruskan proses pertukaran nama sahaja, tertakluk kepada sebab dan syarat-syarattertentu.

Oleh yang demikian, katanya, isu berhubung soal tersebut tidak berbangkit kerana ia tidak tertakluk di dalam peraturan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24 semalam.

Mengulas isu keengganan sebilangan agensi kerajaan menerima MyKid dalam urusan rasmi pula, Datuk Alwi memberitahu, JPN telah memaklumkan kepada pihak berkenaan seperti Jabatan Pelajaran, Jabatan Imigresen dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri untuk menerima MyKid sebagai dokumen rasmi.

"Ini kerana segala maklumat asas yang dikehendaki ada di dalam kad berkenaan,'' ujar beliau.

Dalam pada itu, JPN juga katanya boleh mengurangkan bayaran denda sehingga 50% kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang kehilangan MyKad.

Bagaimanapun pengurangan bayaran denda itu bergantung kepada keadaan kes yang dilaporkan dan budi bicara pihak JPN.

"Sementara kita mahu membantu golongan OKU, kita juga mahu memastikan agar orang ramai tidak datang membuat tuntutan sembarangan. JPN perlu memastikan golongan yang datang membuat tuntutan itu tidak hilang MyKad mereka secara sewenang-wenangnya,'' kata Alwi.

DAP Umum Senarai Calon Pilihan Raya Negeri Hujung Minggu Ini

BERNAMA

SIBU: DAP akan mengumumkan senarai 15 calonnya bagi pilihan raya negeri Sarawak ke-10 pada hujung minggu ini.

Pengerusi DAP negeri Wong Ho Leng berkata Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng akan memulakan pengumuman itu dengan menamakan lima calon bagi zon selatan negeri ini di ibu pejabat parti di Kuching pada Sabtu ini.

"Baki calon bagi wilayah tengah dan utara akan diumumkan di sini pada 3 petang hari berikutnya di venue yang akan ditentukan kemudian," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Wong, yang juga penyandang kerusi DUN Bukit Assek, sebelum itu mengetuai tiga bakal calon parti itu mendapatkan borang pencalonan di Pejabat Daerah di sini.

Ketika-tiga mereka ialah David Wong bagi DUN Pelawan dan dua pendatang baru, Alice Lau, seorang ahli farmasi, yang dijangka bertanding di DUN Bawang Assan dan peguam Yap Hoi Liong bagi DUN Dudong.

Ketika ditanya sama ada beliau akan beralih ke kerusi DUN Pelawan, Wong enggan mengulas, sekadar menyatakan bahawa perkara itu akan diketahui apabila barisan calon diumumkan.

"Kami berada di sini untuk mendapatkan lima borang yang sememangnya diketahui boleh digunakan di seluruh negeri ini," katanya.

Sementara itu, Wong berkata DAP telah pun menyelesaikan isu pembahagian kerusi sama ada dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau PAS.

Parti itu berdepan masalah tuntutan bertindih dengan PKR berhubung kerusi DUN Dudong yang kini diperuntukkan kepada DAP.

Mengenai perbincangan pakatan pembangkang negeri dengan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), sebuah parti politik yang berpusat di negeri ini, Wong berkata perbincangan masih berjalan.

"Sangat penting untuk mereka berbincang, membuat keputusan dan mencapai persetujuan, tambahan pula kami menentang lawan yang sama, Barisan Nasional.

"Malah tarikh akhir untuk perbincangan itu ialah pada hari penamaan calon sendiri (6 April)," katanya.

Pengundian ditetapkan pada 16 April.

650 Borang Penamaan Calon Pilihan Raya Sarawak Dijual Setakat Ini

BERNAMA

KUCHING: Sebanyak 650 borang pencalonan bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 telah dijual sejak 25 Mac lepas sehingga 12 tengah hari, Khamis.

Seorang pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak berkata borang-borang yang dibeli oleh bakal calon atau wakil bakal calon itu melibatkan kesemua 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi pilihan raya itu yang akan diadakan pada 16 April.

"Satu set borang berharga RM20. Saya menjangkakan pembelian borang ini akan semakin rancak sehari sebelum penamaan calon pada 6 April nanti," katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Khamis.

Sementara itu, Pengarah SPR Sarawak Datu Takun Sunggah ketika dihubungi berkata masalah borang yang tidak cukup di beberapa kawasan berlaku kerana penghantaran awal tidak melibatkan bilangan yang banyak.

"Mula-mula dulu RO (Pegawai Pengurus Pilihan Raya) nak cepat, kita beri dulu lima set (bagi setiap kawasan DUN). Tak ada masalah borang tak cukup... borang tu cukup," katanya.

Katanya SPR telah bersedia termasuk menyediakan borang yang mencukupi untuk menghadapi kemungkinan calon pilihan raya yang ramai.

"Kalau kawasan itu tak cukup borang, kita akan hantar segera. Banyak bakal calon dapatkan borang dengan RO. Kalau mereka datang ke SPR, masalah (borang tak cukup) takkan berlaku," katanya.

Pembunuhan Banting: Peguam Dibicara Julai

SHAH ALAM: Seorang peguam, N. Pathmanabhan akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini pada Julai ini atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu yang dilaporkan hilang bersamanya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir menetapkan perbicaraan berjalan selama tiga bulan bermula 4 Julai hingga 30 September.

Pathmanabhan, 42, akan dibicarakan bersama tiga pekerja ladangnya, iaitu T. Thilaiyagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Khatavarayan, 31, yang turut didakwa melakukan kesalahan itu.

Terdahulu, semua mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 Ogos 2010 di Lot 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, dekat sini. Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 yang memperuntukkam hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Hishamuddin Kena Lawan Tikus Dulu..

MSO

KHABARNYA Menteri Dalam Negeri (KDN) Hishamuddin Hussein akan menyaman Anwar Ibrahim. Kesalahannya kerana Anwar dakwa beliau dan abang sepupunya Najib Razak terlibat dalam pembikinaan video lucah yang mengaitkan dirinya.

Saman menyaman itu hak Hishamuddin dan sesiapa saja. Kalau kita merasakan dianiaya maka mahkamahlah tempat mengadu. Adulah kepada mahkamah dan mahkamah akan menentukan apakah yang didakwa itu benar atau tidak.

Tindakan Hishamuddin itu satu keberanian untuk menafikan dia terlibat dengan pendedahan video itu. Tindakan Hishamuddin itu boleh dianggap berani kerana untuk berlawan dengan Anwar bukan calang-calang orang. Tenguklah hari ini dalam semua orang menghala muncung senjata, bedil, keris dan segala macam ke arahnysa, dia masih mendapat sokongan. Hanya orang yang memiliki kuasa ajaib sahaja boleh surivive bila diserang begitu rupa.

Pun begitu di sini saya nak sebut sikit kepada cucu Onn Jaafar itu, daripada dia sibuk hendak menyaman Anwar elok kalau dia jenguk ke Pulapol di Jalan Gurney melihat apa yang berlaku di situ sebaik mungkin. Kejadian di pusat latihan polis itu cukup membimbangkan dan sewajarnya diberikan perhatian serius.

Menurut laporan berita tv sekejap tadi setakat ini sudah tiga orang pelatih meninggal dunia di Pulapo kerana terkena air kencing tikus. Manakala empat orang lagi sedang dirawat di hospital dan sebanyak 59 orang pelatih pula diasingkan.

Ini kes berat ini. Seingat saya inilah pertama kali pelatih mati 'percuma' di dalam pusat latihan. Memalukan lagi bila mana kematian itu disebabkan air kencing tikus.

Jadi adalah baik Hishamuddin selesaikan dulu masalah virus berkenaan daripada bercakap soal-soal politik yang lebih untuk menyembunyikan fakta. Rasanya tindakan menghalau tikus lebih afdal daripada menyaman Anwar.

Masalah yang berlaku itu melibatkan nyawa manusia dan maruah pasukan polis dan negara ini.

Kalau dunia dengar nanti macam mana nak jawab pelatih yang dalam kewalan begitu eksklusif pun boleh diserang tikus. Macam mana pula dengan rakyat yang berada di luar, lebih-lebih lagi terdedah dengan bahaya itu.

Kita tidak mahu dengar selepas ini kerana kelalaian dan pengabaian keselamatan dan kebersihan akan ada pula anggota polis atau bekas KPN yang mati kerana terpijak ekor tikus. He he he.

Banjir di Perlis bertambah buruk


KOSMO


KENDERAAN menggunakan laluan yang dinaiki air di persimpangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau semalam.


KANGAR - Keadaan banjir di Perlis bertambah buruk dengan 2,386 mangsa daripada 593 keluarga dipindahkan ke 25 buah pusat pemindahan yang dibuka kerajaan negeri sejak kelmarin.

Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Azizan Hamid berkata, mangsa di daerah Kangar merupakan paling ramai dipindahkan ekoran banyak penempatan penduduk dinaiki air sehingga paras pinggang.

Bagaimanapun, pihaknya menyifatkan banjir kali ini bukan bencana alam sebaliknya merupakan banjir kilat ekoran hanya di kawasan bandar paling teruk terjejas.

"Taburan hujan sejak 29 Mac lalu mencatatkan taburan tertinggi sekitar 130 milimeter menyebabkan sungai Perlis melimpah di sekitar di bandar Kangar.

"Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) masih melepaskan air daripada enam Empangan Timah Tasoh ekoran paras air di empangan itu melebihi paras normal," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Malaysia 'mangsa' gempa jiran


PETA menunjukkan kedudukan Malaysia yang terletak berhampiran Lingkaran Api Pasifik menyebabkan ada kemungkinan turut menerima kesan jika berlaku gempa bumi kuat di negara-negara jiran.

KUALA LUMPUR – Kajian mendapati Malaysia akan turut berisiko menerima tempias gegaran dari semasa ke semasa sekiranya bencana alam yang teruk berlaku di Sumatera, Pulau Jawa dan Filipina.

Walaupun negara ini tidak termasuk dalam Lingkaran Api Pasifik namun fenomena itu diakui oleh Jabatan Mineral dan Geosains sendiri melalui kajian yang dilakukan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Yunus Abdul Razak berkata, jika gempa bumi melanda Sumatera, sebahagian kawasan di Semenanjung Malaysia akan terasa gegaran manakala Sabah dan Sarawak pula menerima kesan sama jika bencana itu berlaku di Filipina.

“Kepingan tektonik bumi dan titik gempa di negara ini dalam keadaan solid (kukuh) berbanding negara lain yang sentiasa aktif.

“Namun negara ini tidak akan terlepas merasai gegaran sama ada kuat atau sedikit akibat tempias daripada kedua-kedua negara itu dan ia bergantung kepada skala di mana titik gempa di dua negara itu sama ada cetek atau dalam,” ujarnya kepada Kosmo! di sini semalam.

Polis Keningau akan sita kenderaan individu diguna sebagai kereta sapu

KENINGAU KINI

KENINGAU: Mulai awal bulan depan polis Keningau akan menyita kereta individu yang didapati digunakan untuk perniagaan kereta sapu.

“Ini adalah undang-undang,” jelas Ketua Polis Keningau DSP Zahari Mohamad, ketika mempertontonkan sejumlah 18 kenderaan persendirian yang ditahan kerana didapati digunakan sebagai pengangkutan awam haram.

Zahari berkata, tindakan menyita itu diputuskan bagi mengambil kira pelbagai aspek, termasuk keselamatan serta penyalahgunaan.

Katanya, sepanjang dua bulan pertama pada tahun 2011 mendapati kebanyakan kemalangan melibatkan kereta sapu, dan pemandunya tidak mempunyai lessen.

Kemalangan yang direkodkan melibatkan kehilangan nyawa orang awam, di samping kenderaan yang digunakan tidak mempunyai cukai jalan serta perlindungan insurans.

“Polis mengambil langkah menyita kenderaan berkenaan atas faktor ini,” jelasnya.

Sehubungan itu Zahari menasihatkan orang ramai supaya berhenti daripada menjalankan perniagaan kereta sapu, selain memberi amaran keras kepada individu yang menyewakan kenderaan mereka untuk tujuan itu.

“Anda juga tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang,” tambahnya.

Lewat petang pada Rabu, polis Keningau menahan sebanyak 18 kenderaan persendirian yang digunakan untuk perniagaan pengangkutan awam secara haram.

Daripada jumlah itu 9 didapati tidak memiliki lesen memandu, 7 kenderaan didapati permit LKM tamat tempoh sah dan 2 kenderaan tidak mempunyai cukai jalan.

Ketua polis itu memberitahu, usaha memerangi kegiatan kereta sapu di daerah ini akan dijalankan secara berterusan.

S'jaya diberitahu, Ronnie Liu tendang pintu pejabat SPRM

BERNAMA

Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Beng Hock hari ini diberitahu exco Selangor Ronnie Liu bertindak menendang pintu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum meloloskan diri masuk ke situ pada hari mangsa ditemui mati.


Bekas Timbalan Pengarah SPRM Selangor Hishamuddin Hassim berkata pada awalnya, Liu dan beberapa ahli politik berkumpul di depan pejabat suruhanjaya itu sebelum kekecohan berlaku.

Beliau berkata selepas berjaya masuk ke pejabat SPRM, Liu bergegas ke bilik seorang pegawai yang menyoal siasat Teoh dan menyatakan mahu berjumpa Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Abu Kasim Mohamed.

"Liu masuk untuk berjumpa Abu Kasim dan dia dibawa ke bilik Pengarah. Saya nampak dia marah dan Abu Kasim menenangkan keadaan. Abu Kasim kata biarlah pihak polis yang membuat siasatan, dan jika pegawai SPRM yang lakukan (sebabkan kematian Teoh), biar tindakan diambil," katanya yang kini Pengarah SPRM Negeri Sembilan.

Hishamuddin berkata setelah mendapat penjelasan itu, Liu keluar dari pejabat SPRM secara sukarela.

Teoh, 30, setiausaha politik exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Hishamuddin berkata berikutan kematian Teoh, semua pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan berkenaan dipanggil memberi keterangan kepada polis dan beliau dimaklumkan tidak ada sesiapapun tahu apa yang berlaku ke atas Teoh atau melihat mangsa keluar dari pejabat SPRM pada 16 Julai 2009.

Sebagai pegawai yang mengetuai siasatan kes berkenaan, Hishamuddin berkata beliau terkejut dengan kejadian itu dan berasa kesal kerana Teoh adalah saksi penting.

Pada malam 16 Julai 2009, beliau berada di pejabat untuk mengkaji kertas siasatan hingga tertidur, dan terbangun pada 5.45 pagi untuk menghantar anaknya ke sekolah.

Mengenai dakwaan pegawai SPRM menggunakan kekerasan ketika siasatan, Hishamuddin berkata di Selangor beliau tidak pernah aduan berhubung perkara itu namun suruhanjaya mempunyai mekanisme iaitu bahagian tatatertib, sekiranya ada laporan sedemikian.

"Saksi dibawa balik ke pejabat SPRM secara sukarela dan bukannya dipaksa. Jika buat begitu, ia akan memalukan kita. Kitapun tahu kemanusiaan. Saksi memang kita jaga, nak cakap kasarpun takut, mereka penting," katanya yang menambah bahawa aduan terhadap pegawai SPRM hanya timbul selepas kematian Teoh.

Suruhanjaya ini dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh serta Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.

Prosiding bersambung esok.

Sementara itu, Setiausaha Suruhanjaya Siasatan Datuk Saripuddin Kasim dalam satu kenyataan hari ini berkata permohonan kerajaan negeri Selangor untuk bertindak sebagai pemerhati ketika Pakar Patologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand memberi keterangan pada Sabtu dan Ahad ini, dibenarkan.

Bagaimanapun, katanya, jika Selangor berhasrat diwakili peguam, mereka perlu mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).


Hakim tarik diri dengar saman SYABAS

BERNAMA

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Anantham Kasinather hari ini menarik diri daripada mendengar kes saman RM471.64 juta yang difailkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) terhadap kerajaan negeri Selangor berhubung kadar tarif air.

Sehubungan itu, kes tersebut akan didengar oleh Hakim Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 April untuk pengurusan kes.

Peguam Fahda Nur, yang mewakili Selangor, memberitahu pemberita perkara itu dimaklumkan Hakim Anantham kepada pihak terbabit selepas menjelaskan sebab beliau menarik diri daripada mendengar kes tersebut.

Bagaimanapun, Fahda dan peguam Datuk Harpal Singh yang mewakili SYABAS, enggan mengulas lanjut berhubung sebab hakim berkenaan menarik diri.

Pada 10 November lepas, SYABAS memfailkan saman pemula menuntut satu deklarasi bahawa berdasarkan perjanjian konsesi bertarikh 15 Disember 2004, Selangor telah berhutang dengannya sebanyak RM471,642,916 bagi tempoh 1 Januari 2009 hingga 31 Disember 2009.

SYABAS mendakwa menerusi perjanjian itu, yang ditandatangani antara kerajaan Malaysia, Selangor dan syarikat tersebut, ia telah diberikan konsesi selama 30 tahun untuk membeli air terawat daripada operator rawatan air dan membekalkannya ke kawasan pengagihan menurut terma yang tertera dalam perjanjian berkenaan.

Katanya, melalui surat bertarikh 31 Mac 2008, SYABAS telah menghantar dokumen penyemakan kepada defendan bagi menyokong permohonan syarikat itu untuk menaikkan tarif diwartakan yang sedia ada, iaitu RM1.39/m3 kepada tarif dipersetujui iaitu RM1.89/m3, bagi tempoh operasi ketiga mulai 1 Januari 2009 hingga 31 Disember 2011.

Syarikat itu mendakwa defendan telah gagal untuk memaklumkan kepadanya sama ada ia bersetuju menaikkan tarif diwartakan yang sedia ada kepada tarif dipersetujui.

Kerajaan negeri Selangor juga didakwa gagal memberikan maklum balas yang memuaskan berhubung tuntutan pampasan oleh Syabas selaras dengan perjanjian konsesi tersebut.

Sehubungan itu, SYABAS menuntut kerajaan negeri Selangor membayar jumlah itu serta-merta.

Sementara itu, afidavit balasan kerajaan negeri Selangor yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu, Datuk Ramli Mahmud, pula mendakwa permohonan SYABAS merupakan penyalahgunaan proses mahkamah, kerana industri air sedang melalui satu proses penstrukturan semula menurut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Ramli mendakwa perjanjian konsesi tidak memberikan hak automatik kepada SYABAS untuk mendapatkan pengubahsuaian kepada tarif yang diwartakan pada setiap tarikh semakan seperti didakwa plaintif.

Katanya, semakan tarif perlu dibuat selaras dengan terma dan syarat di dalam perjanjian, antaranya, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor perlu bersetuju dengan semakan itu.

Ramli turut mendakwa dokumen semakan yang diserahkan oleh SYABAS tidak memenuhi keperluan perjanjian konsesi dan tidak ada tarif yang telah dipersetujui.

Oleh itu, katanya, tidak timbul isu bahawa kerajaan negeri Selangor bercadang mengenakan tarif lebih rendah daripada tarif dipersetujui seperti yang termaktub dalam perjanjian.