Sabtu, 29 Februari 2020

‘Daripada Hidup Bercerminkan Bangkai, Lebih Baik Mati Berkalang Tanah’ – Nasihat Dr Asyraf Kepada Syed Saddiq

Zylan Moha





KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Ketua Armada Syed Saddiq Abdul Rahman bertanyakan kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi kerajaan mengapa rakyat resah dan gelisah akibat krisis politik yang menyebabkan negara tidak stabil dan ekonomi tergugat.

“Saudara patut tanya kenapa ini berlaku kepada pemimpin-pemimpin PH terdahulu.

“Semuanya angkara kerakusan dan ketamakan untuk berkuasa, berebut takhta Perdana Menteri sejak awal berkuasa sehinggalah runtuhnya kerajaan PH secara rasmi yang memangsakan rakyat,” katanya dalam satu video yang disiarkan di Facebook.

Dr Asyraf berkata demikian membidas pendirian Ahli Parlimen Muar itu di dalam Twitternya yang menolak kerjasama partinya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama parti yang dituduhnya sebagai parti yang menyalahguna kuasa dan tidak berintegriti bagi menentukan Perdana Menteri Kelapan.

Seterusnya, Dr Asyraf turut bersetuju dengan Syed Saddiq bahawa rakyat berhak mendapat negara yang lebih baik dan itulah pendirian tegas Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional.

“Benar saudara kata, rakyat berhak negara yang lebih baik. Sebab itulah kami pemimpin-pemimpin UMNO, Muafakat Nasional, PAS dan BN bersetuju untuk menyerahkan kembali mandat ini kepada rakyat dengan pembubaran Parlimen.

“Namun kami menjunjung hormat titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar kami dapat berbincang supaya dapat dielakkan (pembubaran Parlimen) kerana maslahah yang lebih besar.

“Sebab itulah kami berjiwa besar sanggup menyokong cadangan Tan Sri Muhyiddin (Presiden Bersatu) sebagai Perdana Menteri. Tetapi kami tidak akan sesekali bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin bak kata pepatah ‘ayam berkokok berderai-derai, namun ekor bergelumang tahi’,” tegasnya lagi.

Justeru itu, Dr Asyraf juga mengalu-alukan Syed Saddiq kembali kepada PH yang kini terkenal sebagai sebuah parti yang penuh hipokrasi.

“Saudara, kalau saudara ingin kembali kepada mereka, yang kononnya pejuang rakyat tetapi menipu rakyat, kononnya bersih tetapi hakikatnya penuh dengan rasuah di mana kes rasuah terowong, kes rasuah banglo boleh ditarik begitu sahaja oleh bekas Peguam Negara.

“Justeru, kalau saudara ingin kembali kepada mereka silakan, tetapi nasihat saya daripada ‘hidup bercerminkan bangkai, lebih baik mati berkalang tanah’,” tambahnya. – UMNO ONLINE

LIHAT VIDEO DI SINI


‘Harap PM baru dakwa semula kes rasuah Guan Eng’

siti hafidah

 

Tangkap juga Ramasamy, Kulasegaran bersama penyokong LTTE


BANGI – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mengharapkan Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin – akan meneruskan pendakwaan terhadap pihak tertentu yang didakwa atas kesalahan merasuah serta pecah amanah.

Beliau yang juga Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) menuntut supaya kes yang digugurkan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum ini seperti rasuah membabitkan Setiausaha Agung parti tamak haloba DAP, Lim Guan Eng didakwa semula.

Bahkan Firdaus turut menggesa tangkapan semula serta dakwaan dilakukan terhadap tertuduh yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Harap tidak memilih bulu ditangkap sekali dengan Ramasamy dan Kulasegaran yang telah memadamkan bukti bergambar dan video mereka bersama penyokong atau ahli LTTE.

“Semoga Allah menjauhkan mereka yang terlibat dalam rasuah, berfahaman liberal serta menggadaikan agama dari memegang sebarang jawatan dalam kerajaan baharu nanti. Allahuma Ameen,” kata beliau menerusi akaun Facebook.

Sebelum ini dilaporkan, Tan Sri Tommy Thomas meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara.

Beliau menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.

Tommy dilantik menyandang jawatan itu pada 4 Jun 2018 bagi tempoh dua tahun dan sepatutnya berakhir Jun depan.

Minggu lalu, Tommy memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas LTTE.

Menegaskan keputusan itu, Tommy berkata, ia dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang dihadapi mereka.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskan Guan Eng, daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo, serta ahli perniagaan, Phang Li Koon daripada dakwaan bersubahat.

Difahamkan keputusan menarik balik kes berkenaan diputuskan Pejabat Peguam Negara.


Muhyiddin diingatkan laksana tanggungjawab ikut syariat

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Kembalikan perpaduan, junjung tinggi Perlembagaan, patuh 'rule of law'


BANGI- – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) merakamkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri kelapan.

Sebagai pemimpin negara yang baharu, Amir ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman mengingatkan Muhyiddin untuk menunaikan tanggungjawab mengikut syariat Allah serta menjunjung tinggi Perlembagaan di samping patuh kepada prinsip ‘rule of law’.

Pemimpin gerakan Islam itu berkata, rakyat tidak akan melepaskan perdana menteri baharu itu sekiranya beliau gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah.

“Selain itu, kembalikan maruah kerajaan dengan melaksanakan dasar-dasar yang betul. Perdana Menteri kelapan juga perlu mengembalikan perpaduan rakyat atas kitab Allah dan sunnah Rasulullah ﷺ,” kata beliau.

Teka-teki siapa perdana menteri kelapan terjawab hari ini apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan melantik Muhyiddin menggalas jawatan itu.

Menerusi kenyataan media Istana Negara yang dikeluarkan jam 4.29 petang tadi, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri akan diadakan 10.30 pagi esok di Istana Negara.

“Hari ini, Istana Negara menerima senarai pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada ketua-ketua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas.

“Proses ini lanjutan titah Yang di-Pertuan Agong, di mana ketua parti politik dan ahli Dewan Rakyat yang bebas mengemukakan pencalonan nama ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.

“Selepas mendapat representasi semua, pada hemat Seri Paduka, Ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ialah Tan Sri Mahiaddin (Muhyiddin) Md Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, perlantikan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai Perdana Menteri itu, dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.


Taati perkenan dan titah Yang di-Pertuan Agong

Shamrahayu A. Aziz
MGF07012019_ISTANA-NEGARA_25-1
Istana Negara

Petang ini, setelah koflik berkaitan pelantikan Perdana Menteri berlarutan selama lebih kurang seminggu, perkenan KBDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri telah menghentikan spekulasi dan perang saraf politik.

Semua pihak hendaklah mentaati perkenan dan titah Yang di-Pertuan Agong. Setelah pelbagai tindakan yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong, termasuk memberikan peluang kedua kepada parti politik untuk menamakan calon mereka.

Yang di-Pertuan Agong juga telah mengambil pendekatan berbincang dan mengambil pandangan serta perhatian kepada semua pihak. Kelihatan beberapa kali Yang di-Pertuan Agong berbincang dengan beberapa orang pemimpin utama parti politik. Tindakan bijaksana baginda tidak boleh dipersoalkan lagi.

Oleh yang demikian, Yang di-Pertuan Agong juga menentukan calon yang pada hemat baginda telah memperoleh kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Hanya Yang di-Pertuan Agong yang menentukannya dan sebarang kenyataan, spekulasi atau anggapan yang dibuat oleh mana-mana pihak di luar istana adalah tidak boleh mempengaruhi keputusan baginda.

Atas prinsip keluhuran Perlembagaan maka peruntukan Perlembagaan Persekutuan tentang hal ini hendaklah ditaati oleh semua pihak.

 — Dr Shamrahayu A. Aziz adalah pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

LANGSUNG: PH akan kemuka bukti sokongan diterima kepada Agong - Salahuddin

WARTAWAN MAMALYSIA KINI




LANGSUNG | Malaysiakini melaporkan perkembangan terkini keadaan politik semasa berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berusia 20 bulan.

Jika anda suka laporan kami, sokong media bebas dengan melanggan Malaysiakini dengan harga serendah RM0.55 sehari. Maklumat lanjut di sini.

LANGSUNG
 
 
5.30 petang: Eastin Hotel, Petaling Jaya - Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata PH akan mengemukakan perakuan bersumpah (SD) anggota parlimen yang menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, surat daripada Istana Negara semalam tidak menyatakan secara khusus tempoh masa untuk kedua-dua pihak mendapatkan sokongan melalui SD.

"Kita yakin ada angka (sokongan MP) yang cukup, sebab itu kita usaha sampai saat ini.

"Tiba-tiba kita dengar pengumuman rasmi istana, sebab itu kita akan cari jalan...InsyaAllah kita akan buktikan (ada sokongan). Kita ada hujah yang cukup," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sama ada SD yang dihantar oleh ketua-ketua parti kepada Istana tengah hari tadi cukup untuk membolehkan PH menubuhkan kerajaan.

Beliau juga berkata PH akan meneliti aspek undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan sebelum menentukan langkah seterusnya.


5.15 petang: Ahli majlis tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan berharap pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri menandakan berakhirnya krisis politik dan pembinaan semula negara.

"Para pemimpin yang menerima mandat baru ini harus memastikan jasa baik para pemimpin masa lalu akan terus dihargai," tambahnya.

Beliau juga meminta Bersatu untuk kembali bersama-sama dengan disiplin yang lebih baik.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang ditemui di rumah Muhyiddin menyatakan rasa] syukur atas keputusan itu.

“Alhamdulillah. Kerja keras kita selama seminggu berjaya angkat Muhyiddin sebagai PM,” katanya.



4.55 petang: Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menyambut pengumuman istana tentang lantikannya sebagai perdana menteri dengan sujud syukur.

Dalam satu video berdurasi 51 saat yang dikongsikan di laman Facebook Rita Sarbanon Ismail, Muhyiddin dilihat sedang mengerjakan sujud syukur, sebelum kemudiannya menadah tangan dipercayai berdoa selama beberapa puluh saat.

Sebelum itu, pada jam 4.30 petang, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan menggantikan Dr Mahathir Mohamad yang kini berkhidmat sebagai perdana menteri interim.

Ketika ditemui media di kediamannya di Bukit Damansara, Muhyiddin mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya dan berharap semua rakyat Malaysia menerima keputusan Istana.

"Saya bersyukur kepada Allah dianugerahkan jawatan perdana menteri kelapan. Dengan izin dan perkenan Agong.

"Saya menjunjung kasih di atas perkenan Agong dan sebab itu saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan moral kepada saya.

"Dan kita telah pun beristiqamah untuk menyatakan syukur atas anugerah diberikan Allah kpd saya.

"Saya hanya menohon untuk seluruh rakyat Malaysia menerima baik keputusan diumumkan Istana Negara hari ini," katanya.

Muhyiddin juga menambah bahawa beliau dimaklumkan bahawa upacara angkat sumpah akan diadakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada pukul 10.30 pagi esok.



4.30 petang: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa dilaporkan berkenan melantik Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan.


4.24 petang: Anggota Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik menyatakan sokongannya buat Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.

Katanya, meskipun dia tidak boleh berkompromi dengan sebarang usaha untuk menjejaskan kepentingan agenda Melayu, Islam dan Bumiputera, dia juga sukar untuk bersekongkol dengan individu-individu yang terlibat rasuah dan korupsi dan sedang diadili di mahkamah.
“Kemelut ini perlu diselesaikan segera.

“Dengan ini, saya menyatakan sokongan saya kepada YAB Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri Malaysia.

“Saya juga ingin menyeru kepada semua Ahli Parlimen Bersatu untuk kembali bersatu dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik,” katanya dalam satu kenyataan.



Warisan kata kedudukan tak berubah, masih sokong Dr M

4.10 petang: Parti Warisan Sabah berkata ia kekal konsisten dalam sokongannya terhadap Anggota Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

"Selepas mengadakan mesyuarat dengan pimpinan tertinggi parti, Warisan tetap dengan pendirian sebelum ini iaitu menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri," kata Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua.
Keputusan itu disahkan semula berikutan mesyuarat kepimpinan.


Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata Anggota Parlimen Keningau, Jeffrey Kittingan, yang pagi ini dilihat di kediaman Presiden Bersatu Muhyidddin Yassin di Kuala Lumpur, tidak akan menyokong Mahathir.

Mahathir dan Muhyiddin, walaupun dari parti yang sama, kini berbalah dan bersaing untuk membentuk kerajaan baru.



Istana Negara keluar kenyataan rasmi jam 5 petang ini

4.09 petang: Bernama melaporkan Istana Negara akan keluarkan kenyataan rasmi pada jam 5 petang ini.



Anwar dakwa tiga MP sertai PH

3.40 petang - Hotel Eastin, Petaling Jaya: Presiden PKR,  Anwar Ibrahim mendakwa tiga anggota parlimen menyertai Pakatan Harapan (PH) termasuk Anggota Parlimen Serian, Richard Riot dari GPS.

Ini menjadikan jumlah sokongan anggota parlimen kepada Dr Mahathir Mohamad adalah seramai 95 orang berbanding 92 sebelum ini.

Anwar, bagaimanapun tidak menamakan dua anggota parlimen lain yang beralih arah kepada PH.
"(Angka) jauh lebih tinggi sebab 95 itu (dari) PH, Tun M tentulah bawa beberapa (MP) lagi," katanya.

Tanpa memberitahu angka yang tepat, beliau berkata PH kini sudah mempunyai jumlah anggota parlimen yang mencukupi di pihak mereka.

Ketika diminta mengesahkan Riot menyertai PKR, Anwar berkata, pemimpin berkenaan akan menyertai parti itu.

"Tadi dia call, dia mohon lama dah, tadi dia call , dia confirm he is on the way," katanya.



Pagi Jeffrey sokong Muhyiddin, petang didakwa sokong Mahathir

3.31 petang: Jika di sebelah pagi Jeffrey Kitingan menyatakan sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri, di sebelah petangnya anggota parlimen Keningau itu dikatakan mengubah pendirian.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil menerusi Twitternya mendakwa Jefrrey kini beralih sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad.

"PKR dan PH mengucapkan terima kasih kepada YB Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Ahli Parlimen Keningau (P.180) yang telah menyatakan sokongan terbuka buat @chedetofficial sebagai calon Perdana Menteri," katanya.
KEADILAN & amp; Pakatan Harapan mengucapkan terima kasih Kepada YB Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Ahli Parlimen Keningau (P.180) Yang Telah menyatakan Sokongan Terbuka buat @chedetofficial . SEBAGAI calon Perdana Menteri & mdash; Fahmi Fadzil (@fahmi_fadzil) 29 Feb 2020
Awal pagi tadi Jeffery dari parti Star, merupakan salah seorang anggota parlimen yang berkumpul di kediaman Muhyiddin dalam rancangan untuk memaklumkan kepada istana bahawa mereka mempunyai majoriti membentuk kerajaan baru.

Setelah kira-kira 40 minit pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Muhyiddin dilihat meninggalkan istana, sementara Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, yang mengiringi beliau hanya berkata "Kami akan kembali esok".

SAMBUNGAN BERITA SILA LIHAT DI SINI

Muhyiddin mohon rakyat terima keputusan Agong

MALAYSIAKINI




Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memanjatkan rasa syukur atas perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk melantiknya sebagai perdana menteri yang baru.

“Saya menjunjung kasih di atas perkenan YDPA dan sebab itu saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan moral kepada saya.

“Dan kita telah pun berisitiqamah untuk menyatakan syukur atas anugerah diberikan Allah kepada saya.

“Saya hanya memohon untuk seluruh rakyat Malaysia menerima baik keputusan diumumkan Istana Negara hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Kira-kira jam 4.30 petang tadi, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenaan melantik Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri yang baru.

Ia selepas istana menerima senarai calon daripada ketua-ketua parti politik hari ini.

"Setelah mendapat representasi daripada semua ketua parti politik yang mewakili parti masing-masing, serta ahli Dewan Rakyat yang bebas, pada hemat Seri Paduka Baginda, ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat ialah Tan Sri Mahiaddin Bin Md Yasin (Muhyiddin), Ahli Parlimen Pagoh," katanya dalam kenyataan itu.

Majlis angkat sumpah akan diadakan di Istana Negara pada pukul 10.30 pagi esok (1 Mac).
"InsyaAllah saya akan berada di Istana Negara esok," kata Muhyiddin lagi.


Muhyiddin kini bawa suara Perikatan Nasional

Muhammad Azizul Osman
MGF29022020_KEDIAMAN-MUHYIDDIN-YASSIN_04
Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tiga kiri), Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (tiga kanan), bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali (dua kiri) serta yang lain sebelum menuju ke istana negara bagi membuat perjumpaan bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL
 

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin kini mewakili suara gabungan baru yang dibentuk bersama UMNO, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Muhyiddin yang dicalonkan sebagai calon Perdana kelapan berkata dia yang kini mengetuai Perikatan Nasional ke Istana Negara untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan h Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah.

“Kami semua dari Perikatan Nasional, semua orang yang anda lihat di sini, akan pergi ke Istana Negara dengan dokumen ini yang kami bawa, untuk mencari perkenan Agong.

“Hasrat kami adalah untuk melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan negara daripada apa yang sedang berlaku sekarang.

“Kami mempunyai matlamat yang ikhlas dan kami meminta semua rakyat Malaysia untuk mendirikan solat dan menunjukkan sokongan untuk usaha kami untuk memastikan kejayaan kami.

“Saya menyeru semua orang untuk berdoa dan semoga kami akan menerima berkat dari Allah,” katanya sebelum berangkat ke Istana Negara pada pukul 10 pagi.

Muhyiddin Yassin kini sudah menghadap YDPA bagi mempersembahkan nama beliau sebagai calon Perdana Menteri kelapan.

Turut mengiringi Muhyiddin, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Ahli Parlimen Pagoh itu menerima sokongan Barisan Nasional dan Pas sebagai perdana menteri bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette

Pilih Tun M, itu keputusan PH – Anwar

Shawaliah Hadir
MGF24022020_ANWAR-KELUAR-RUMAH05-2
Datuk Seri Anwar Ibrahim. foto AFFAN FAUZI
 

KUALA LUMPUR – “Itu keputusan Pakatan Harapan,” kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya mengenai keputusan Pakatan Harapan (PH) yang menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Anwar meninggalkan kediamannya di Segambut pada jam 11.40 pagi bersama isteri beliau yang juga Presiden PH dan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Beberapa pemimpin gabungan tersebut termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution,  Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertemu Tun Dr. mahathir Mohamad awal pagi tadi.

Pakatan Harapan hari ini membuat keputusan mengejutkan apabila menyatakan sokongan penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri.

Dalam kenyataannya, gabungan parti itu memaklumkan, ia berpegang teguh kepada prinsip dan akan terus memperjuangkan Pakatan Harapan dalam kerajaan. – MalaysiaGazette

[VIDEO] Muhyiddin syukur kemelut PM8 berakhir

Muhammad Azizul Osman
KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa syukur berakhirnya kemelut perlantikan Perdana Menteri kelapan setelah pihak Istana Negara mengesahkan beliau dipilih ke jawatan itu.

Beliau turut menjunjung rasa terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu.

“Saya menjunjung kasih di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan sebab itu saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan moral kepada saya.

“Kita telah pun berisitiqamah untuk menyatakan syukur atas anugerah diberikan Allah kepada saya,” katanya dalam sidang media di kediamannya, hari ini ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berharap agar rakyat Malaysia dapat menerima keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Saya hanya menohon untuk seluruh rakyat Malaysia menerima baik keputusan diumumkan Istana Negara hari ini.

“Saya dimaklumkan bahwa majlis mengangkat sumpah, ikut makluman diberitahu akan diadakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada pagi esok jam 10.30,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

Saksi SPRM sahkan derma RM2.6 bilion keluarga Raja Arab kepada Najib

Kasthuri Jeevendran
MGF06012020_MAHKAMAH-NAJIB07
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak


KUALA LUMPUR – Saksi pembelaan kesembilan kes perbicaraan SRC International Sdn Bhd melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberitahu mahkamah sememangnya ada derma dari Raja Arab bernilai RM2.6 bilion.

Saksinya yang juga Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Asisten Komisioner Mohd Nasharuddin mengakui sememangnya ada wakil perundangan kepada Putera Arab dikenali sebagai Abdullah al-Koman membuat pengesahan ke atas empat surat tentang derma RM2.6 bilion kepada bekas perdana menteri berkenaan.

Kata Mohd Nasharudin yang terlibat dalam penyiasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) beliau ada bertemu dengan Putera Saudi, Saud Abdul Aziz di Riyadh pada November 2011.

Saud Abdul Aziz merupakan individu yang didakwa menandatangani empat surat yang dikaitkan dengan derma berjumlah RM2.6 bilion daripada keluarga diraja Saudi kepada Najib.

Pegawai SPRM itu berkata, pihak SPRM telah pergi ke Riyadh, Arab Saudi pada 27 November 2015 bagi memastikan ketulenan empat surat yang dikaitkan dengan derma yang didakwa diberikan oleh keluarga diraja Saudi kepada bekas perdana menteri itu.

“Saya telah diarahkan oleh bekas Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP), Fikri Ab Rahim untuk bersama-sama dengan beliau ke Arab Saudi untuk tujuan Itu pada 27 November 2015.

“Ketika itu bersama bersama kami adalah bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki dan pegawai kanan SPRM, Mohd Hafaz Nazar,” katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguambela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Muhammad Shafee: Boleh beritahu mahkamah ini, siapakah Saud Abdul Aziz ini?

Nasharudin: Jika mengikut nama tertera itu, beliau orang besar dari keturunan diraja.
Muhammad Shafee: Bagaimana pula kamu tahu keturunan beliau itu?


Nasharudin: Saya tidak pasti siapa itu sebenarnya.

Muhammad Shafee: Tetapi kamu ada waktu itu dan kamu bertemu dengan beliau?

Nasharudin: Ada. Pada 29 November di sebuah rumah besar seperti istana di Riyadh. Rumah besar macam istana di situ.

Dalam pada itu, Mohd Nasharuddin Mohamad memberitahu mahkamah sebenarnya Putera Saud diwakili Abdullah kerana beliau tidak boleh berbahasa Inggeris.

Dalam pada itu, ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram, Nasharudin bersetuju tidak wajar sekiranya individu selain Putera Saud mengesahkan bahawa derma ada dibuat kepada bekas perdana menteri itu.

Sementara itu, Muhammad Shafee berkata, pihak pembelaan akan cuba untuk memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya untuk memberikan keterangan Isnin depan.

“Bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali telah bersedia untuk memberi keterangan tetapi buat masa ini beliau mempunyai hal peribadi untuk diselesaikan terlebih dahulu,” ujarnya.

Prosiding kemudian ditangguh dan akan bersambung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali minggu hadapan.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan membela diri terhadap tujuh tuduhan menyalahgunakan dana SRC International yang terdiri daripada tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan berhubung dengan dana SRC. – MalaysiaGazette

Tommy Thomas letak jawatan Peguam Negara

Wartawan MalaysiaGazette
MGF22102019_NAJIB-HUJAH-SRC10
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Tan Sri Tommy Thomas meletakkan jawatan sebagai peguam negara.

Perkembangan mengejutkan itu dilaporkan media yang memetik sumber sebagai mengesahkan bahawa Tommy telah menghantar surat peletakan jawatan.

Bagaimanapun, Malaysiakini melaporkan Tommy menjawab ‘ya’ ketika ditanya oleh portal berita itu mengenai peletakan jawatan tersebut.

Theedgemarket.com turut menyiarkan berita tersebut.

Tempoh perkidmatan Tommy sepatutnya berakhir Jun ini.

Sepanjang lantikannnya beliau membawa pertuduhan ke mahkamah antaranya kes skandal kewangan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Yang terbaharu beliau memutuskan untuk menggugurkan semua pertuduhan ke atas 12 tertuduh yang didakwa berkaitan sokongan terhadap kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Kesemua 12 suspek telah dibebaskan secara berperingkat mulai Isnin lalu. -MalaysiaGazette

Muhyiddin calon PM ke-8: Berakhirkah kemelut perebutan kuasa?

DR MUHAMAD NADZRI MOHAMED NOOR




ULASAN | Saat ini, khabar angin bertiup kencang bahawa Muhyiddin Yassin akan dilantik sebagai perdana menteri ke-8. Dr Mahathir pula dikhabarkan akan dikekalkan di dalam kabinet baru sebagai menteri kanan.

Senarionya bermula apabila Muhyiddin dicalonkan oleh Bersatu sebagai PM ke-8 pada 28 Februari 2020. Sebelum itu wujud pakatan antara Bersatu dan BN di Johor yang menyebabkan penubuhan kerajaan baharu dengan Menteri Besar baharu.

Selepas itu 10 ahli parlimen (MP) dari kem Azmin dilaporkan menyertai Bersatu secara rasmi, menjadikan jumlah MP parti itu menjadi 36. Dan yang terbaharu BN dan PAS mengumumkan bahawa mereka menyokong Muhyiddin sebagai PM ke-8.

Warisan dan GPS memang agak konsisten dengan pendirian mereka untuk menyokong Mahathir, justeru khabar ini nampak masuk akal.

Apakah ini pengakhiran perebutan kerusi PM dan kerajaan sejak 23 Februari 2020 yang lalu?

Mungkin ya, dan mungkin juga tidak. Jika khabar ini menjadi realiti, saya percaya Pakatan Harapan (PH) akan bertindak balas. Pusingan kedua akan dimulakan.

Tetapi PH mungkin tidak mempunyai kedudukan yang baik untuk menterbalikkan situasi ke arah kepentingannya, kerana kesukaran untuk mendapat majoriti di parlimen.

Namun antara tindakan yang mungkin akan dilakukan oleh PH adalah dengan mengusulkan undi tidak percaya di parlimen, dan jika itu sukar atau gagal, PH dipercayai akan mendesak untuk diadakan pilihan raya yang baru.

Untungkan Bersatu?
 
Tindakan pendisiplinan juga mungkin diambil oleh PH, khasnya dengan menarik sokongan terhadap kepimpinan Bersatu di Perak dan di Kedah. Jika itu berlaku, kepimpinan Bersatu akan terkesan di sana.

Bersatu pula mungkin berbuat demikian di Melaka. PKR pula mungkin melakukan pembersihan dalam parti itu jika kompromi tidak dapat dilakukan dengan bekas pemimpin dalam kem Azmin.

Apakah hal ini menguntungkan Bersatu dengan berjaya mempertahankan kedudukan sebagai PM?

Ya, untuk jangka masa pendek dan berisiko untuk jangka masa panjang.

Hari ini Bersatu kehilangan kedudukan utama di Johor, dan Umno muncul sebagai parti dominan.

Begitulah juga dengan keadaan di Perak. Kedah pula mungkin diterajui oleh PAS dengan jumlah Adun tertinggi.

Bersatu juga adalah jenama baru bagi orang Melayu, berbanding Umno dan PAS. Malah prestasi Bersatu di peringkat parlimen dalam PRU 2018 adalah yang terburuk di kalangan PH.

Hanya memenangi 11 kerusi di kawasan parlimen campuran - melibatkan sokongan bukan Melayu yang besar, atas tiket PH.

Jumlah MP Bersatu pada hari ini seramai 36 orang, melibatkan 15 kemasukan pembangkang ke dalam parti itu, dan 10 MP dari kem Azmin.

Ini berbeza dengan BN yang bertanding dengan jenama sendiri dan merupakan parti berasaskan Melayu yang popular, mempengaruhi lebih 50 peratus undi orang Melayu.

Justeru kita akan menyaksikan persaingan sengit antara Bersatu dan Umno tidak berapa lama nanti.

Pelantikan jawatan utama

Untuk mengelakkan Bersatu ditenggelamkan oleh Umno sebagaimana yang berlaku di Johor, dan mungkin juga Perak dan Melaka, Bersatu dipercayai akan mengambil langkah strategik dalam mengekang pengaruh Umno, atau mungkin juga melakukan gabungan secara pragmatik.

Apakah implikasinya kepada negara? Merubah mandat pilihan raya dalam sains politik dianggap sebagai satu kebalikan demokrasi dan penafian hasrat umum. Keputusan PRU 2018 menjadi tidak bermakna dan begitu juga dengan perubahan rejim.

Usaha untuk transformasi dan reformasi bukan sahaja akan tersekat, malah akan mengundur kebelakang.

Pelantikan jawatan utama sektor awam termasuk Jabatan Peguam Negara, SPR dan SPRM barangkali akan terus dipolitikkan dan dilemahkan sebagai alat berbanding matlamat pemerintahan.

Kes-kes profil tinggi mungkin ditarik balik untuk menghormati kompromi elit ini, atau mungkin juga diteruskan bagi melemahkan kekuatan lawan.

Tapi hal ini bukanlah pengakhiran untuk PH, yang masih lagi berpeluang untuk menyaingi rejim baharu dengan sengit, sekiranya terbentuk nanti, dalam PRU-15.


*DR MUHAMAD NADZRI MOHAMED NOOR ialah penganalisis politik.

Dr M umum ada sokongan majoriti lepas PH kembali sokong

MALAYSIAKINI




Perdana Menteri Interim, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa beliau kini mempunyai angka mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Ini selepas beliau bertemu dengan pemimpin Pakatan Harapan pagi ini.

"Saya yakin bahawa saya mempunyai bilangan yang diperlukan untuk mendapatkan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

"Oleh itu, saya bersedia untuk menjadi calon perdana menteri.

"Keputusan ini akan disampaikan kepada Yang Di-Pertuan Agong," katanya dalam satu kenyataan.
Pakatan Harapan, dalam kenyataan yang berasingan, mengesahkan bahawa gabungan itu akan menyokong Mahathir.

Perjanjian antara Mahathir dan PH masih tidak jelas memandangkan tidak dapat dipastikan sama ada perdana menteri interim itu bersetuju menubuhkan kembali kerajaan PH yang lama, atau PH akhirnya akan akur dengan rancangan Mahathir untuk menubuhkan kerajaan perpaduan tanpa berasaskan parti.

Bagaimanapun, PH dalam satu kenyataan hari menegaskan yang ia akan terus mengotakan janji dalam manifestonya pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

“PH berpegang teguh kepada prinsip dan akan terus memperjuangkan manifesto PH dalam kerajaan,” katanya.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, ketika ditanya apakah Mahathir akan mengembalikan kerajaan PH, hanya menjawab “Ya”, tanpa mengulas lanjut.

Sementara itu, Mahathir dalam kenyataannya pula, berkata beliau tidak pernah mengisytiharkan sokongannya kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

“Seperti yang saya nyatakan berulang kali, saya menentang apa jua bentuk kerjasama dengan individu yang dikenali sebagai perasuah, dan merupakan sebahagian daripada pentadbiran kleptokrasi yang kerajaan PH telah singkirkan dengan begitu susah payahnya.

“Atas dasar prinsip, saya telah sampaikan (pendirian) ini kepada anggota Parlimen Bersatu dalam mesyuarat semalam.

“Saya tidak menandatangani apa-apa akuan bersumpah (SD) bagi menyokong mana-mana individu,” katanya.

Jelasnya lagi, beliau keluar awal daripada mesyuarat itu bagi memberi ruang anggota parlimen Bersatu berdebat secara bebas bagi memilih siapakah yang dirasakan sesuai untuk jawatan perdana menteri.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, meskipun saya tak bersedia untuk bekerja dengan mereka yang korup dari Umno, saya boleh menerima mereka secara individu, asalkan mereka terbukti bersih (dari rasuah).

“Mungkin Muhyiddin lebih bersikap tidak kisah dalam pendekatan ini,” katanya.

Sokongan PH kepada Mahathir berlaku di tengah-tengah cubaan Muhyiddin untuk kembali merealisasikan Perikatan Nasional yang pada asalnya digagaskan untuk mengganti kerajaan PH pada Ahad lalu.

Gerakan itu mahu Mahathir menjadi perdana menteri di bawah gabungan baru yang terdiri daripada Bersatu, bekas PKR yang diketuai anggota Parlimen Gombak Azmin Ali, BN, PAS, GPS, dan Warisan.

Gerakan itu terbantut apabila Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Tindakan Mahathir itu turut meruntuhkan kerajaan PH. Pemimpin PH melobi Mahathir untuk mengembalikan kerajaan PH tetapi mereka kemudiannya menamakan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri setelah mendapat tahu niat Mahathir yang mahu menubuhkan kerajaan perpaduan yang tidak berasaskan parti.

BN dan PAS, yang sebelum ini menyokong Mahathir dan percaya beliau akan mengetuai Perikatan Nasional, kemudiannya menuntut agar Parlimen dibubarkan setelah mendapat tahu rancangan Mahathir itu.

Semalam pula, mereka memutuskan untuk menyokong Muhyiddin selepas kelihatan ada harapan untuk Perikatan Nasional kembali direalisasikan.

Semalam, Anwar dan Muhyiddin dilihat seperti pesaing utama untuk jawatan perdana menteri. Hari ini, nampaknya, Mahathir kembali mendahului.


LANGSUNG: Muhyiddin dan kumpulannya tiba di Istana Negara

MALAYSIAKINI




LANGSUNG | Malaysiakini melaporkan perkembangan terkini keadaan politik semasa berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berusia 20 bulan.

Jika anda suka laporan kami, sokong media bebas dengan melanggan Malaysiakini dengan harga serendah RM0.55 sehari. Maklumat lanjut di sini.

LANGSUNG

10.45 pagi: Sekumpulan pemimpin masyarakat sivil mencadangkan pemimpin dari Malaysia Timur diberi peluang untuk mengetuai kerajaan baru.

Mereka berkata ini kerana pemimpin politik dari Semenanjung berterusan bertelagah demi kepentingan mereka sendiri.

"Sudah sampai masanya kita rakyat Malaysia memberi peluang kepada pemimpin di Malaysia Timur yang telah menunjukkan toleransi agama dan kaum sejak pembentukan Malaysia, dan yang telah menunjukkan contoh perpaduan dalam kepelbagaian untuk memimpin negara keluar dari kebuntuan semasa.

"Jika Malaysia mahu kerajaan perpaduan, mari kita mulakan dari Malaysia Timur. Apabila kita menandatangani perjanjian Malaysia, kami berharap untuk masyarakat yang adil dan saksama dan pemimpin yang prihatin yang meletakkan negara berbanding diri sendiri.

"Ia kini mengesahkan bahawa pemimpin parti semenanjung hanya berfikir tentang diri mereka.

"Sudah sampai masanya pemimpin Malaysia Timur diberi peluang untuk menerajui negara sebagai perdana menteri," kata mereka.

Antara yang menandatangani kenyataan itu termasuk Lim Teck Ghee, Tajuddin Rasdi, Peter John Jaban dan Faridah Mohd Fuad Stephens.



DAP sedia berbincang dengan GPS

10.15 pagi: DAP Sarawak bersedia berbincang dengan GPS berhubung pilihan raya negeri yang akan datang, atas nama kepentingan negara.

"Atas nama kepentingan negara, apa pun boleh," kata ketua DAP Sarawak Chong Chien Jen kepada Malaysiakini.

Ditanya sama ada mereka bersedia bekerjasama dengan GPS, beliau menjawab mereka terbuka untuk bekerja dengan pihak lain selain daripada Umno dan PAS.

Chong berkata negara ini berada di persimpangan jalan sekarang dan GPS harus memilih antara bekerja dengan "perkauman" dan "pelampau agama" dalam Umno dan PAS, atau dengan Pakatan Harapan.



Muhyiddin dan kumpulannya mula tiba di Istana Negara

10:10: Istana Negara - Pemimpin politik mula tiba di Istana Negara untuk mengadap Yang di-Pertuan  Agong.

Antara mereka ialah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali, Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, dan pemimpin GPS, Fadilah Yusoff.



Dr M umum ada majoriti lepas disokong PH

9.30 pagi: Perdana Menteri Interim, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa beliau kini mempunyai angka mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Ini selepas beliau bertemu dengan pemimpin Pakatan Harapan pagi ini.

"Saya yakin bahawa saya mempunyai bilangan yang diperlukan untuk mendapatkan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

"Oleh itu, saya bersedia untuk menjadi calon perdana menteri," katanya.

Pakatan Harapan, dalam kenyataan yang berasingan, mengesahkan bahawa gabungan itu akan menyokong Mahathir.



Syed Saddiq nafi sokong Muhyiddin jadi PM

9.12 pagi: Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan pernah menandatangani apa-apa sokongan terhadap presiden parti, Muhyiddin Yassin untuk menjadi perdana menteri.

“Saya tak pernah tandatangan,” katanya apabila ditanya tentang sokongan Bersatu terhadap Muhyiddin sebagai calon perdana menteri kelapan.

Ini ekoran kenyataan Setiausaha Agung Bersatu semalam, Marzuki Yahya yang menyatakan Mesyuarat Ahli-ahli Dewan Rakyat Bersatu (termasuk sekumpulan blok Azmin dari PKR) memutuskan untuk mencalonkan Muhyiddin.

Katanya, “mesyuarat itu dihadiri oleh seramai 36 ahli Dewan Rakyat Bersatu”.



MP luah perasaan melalui puisi

8.30 pagi: Bekas timbalan menteri Belia dan Sukan, Steven Sim menghantar puisinya kepada Malaysiakini untuk mengingatkan tentang perpaduan dan kepelbagaian kaum di negara ini. Demikian puisi itu berbunyi:

Watan ini ada warisan,
Dari azali tersohor namanya,
Angin yang merentas lautan,
Membawa siasah dan budaya.
Dari kerajaan purba Tanah Merah,
Sang pelayar Buddhagupta
Menjelajah dunia Nusantara,
Dibawa angin yang sama.
Dari Gunung Valavati sana,
Dinaung Raja Dewa Cudamani,
Dharmakirti mengarang kitabnya,
Mencerah minda menyuluh rohani.
Dari Rom, angin membahtera,
Merong Mahawangsa dilanggar Garuda,
Lalu mendiri tahkta Langkasuka,
Kerajaan adil kebaikan bertambah-tambah.
Angin yang sama membawa,
Dari benua jauh Sang Pencerah,
Agama Dewata Mulia Raya,
Memahat syariah mentadbir ummah.
Dari Seguntang Mahameru,
Termaktub bai'ah pusaka,
Menjunjung daulat ke anak cucu,
Zuriat Yamtuan Tiga Dunia.
Watan ini hebat
Bukan sebab kudrat semata,
Hebat kita kerana muafakat
Kerana angin takdir mengikat kita.
Bagai ditempa kursani dan baja
Dibakar bahang api bara
Disepuh air tiga kuala
Menjadi keris Laksamana.
Ku sambut tangan-mu sahabatku,
Oleh takdir dikimpal kita,
Oleh angin ketemu kita,
Sejak bahari kita bersama,
Dalam Bahasa, Budaya, Cara dan Warna
Sebenarnya, kita berjumpa. 

Menurut Steven, puisi itu ditulis untuk mengingatkan rakyat Rakyat Malaysia asal usul, sejarah yang panjang dan silaturahim yang bagaikan "besi pelbagai ditempa menjadi keris sakti".

"Kita kuat bukan sebab kebolehan sesorang atau sesuatu kaum tapi kerana perpaduan pemimpin dan rakyat pelbagai kaum negara ini," katanya.



Agong panggil pemimpin parti politik

8 pagi: Istana Negara - Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka memanggil semua pemimpin parti politik ke Istana Negara pada jam 10.30 pagi.

Agong pada Selasa dan Rabu lalu mewawancarai semua anggota parlimen bagi mengetahui calon perdana menteri pilihan mereka, namun mendapati tiada mana-mana pihak memiliki majoriti yang jelas.
Anggota Parlimen BN dan PAS memaklumkan kepada Yang Di-Pertuan Agong bahawa mereka mahukan Dewan Rakyat dibubarkan manakala pemimpin Pakatan Harapan memutuskan untuk mencalonkan Anggota Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri selepas bekas pemimpin mereka, Dr Mahathir Mohamad enggan memulihkan kerajaan PH.

GPS, Warisan dan Bersatu dipercayai menamakan Mahathir, yang merupakan pengerusi Bersatu, sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, pendirian parti-parti politik ini berubah lagi dalam masa beberapa hari.

Sehingga malam tadi, BN, PAS dan Bersatu kini menyokong Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri. Pendirian PH tetap tidak berubah buat masa sekarang dan siapa yang akan disokong GPS dan Warisan masih samar.

Peralihan sokongan kepada Muhyiddin adalah kerana Mahathir berkeras untuk tidak akan bekerjasama dengan Umno.

Ini bermakna Muhyiddin mendapat sokongan daripada 96 anggota Parlimen sementara Presiden PKR Anwar Ibrahim memperoleh 93 sokongan.

Tidak jelas sama ada Agong boleh menentukan siapa yang paling mendapat sokongan dengan menemui ketua-ketua parti hari ini kerana tidak semua anggota parlimen menyokong keputusan parti masing-masing.

Sebagai contoh, sokongan anggota parlimen Bersatu kelihatan terpecah dua antara Muhyiddin dan Mahathir.

Anwar menyatakan bahawa beliau berharap anggota parlimen menyebelahi PH, dengan mendakwa gabungan itu mempunyai bilangan mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Ini merupakan usaha berterusan untuk membuktikan sokongan majoriti bagi menentukan perdana menteri selepas beberapa siri temuduga dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong terhadap anggota parlimen.

Jumaat, 28 Februari 2020

Agong belum yakin ada majoriti, akan berhubung dengan ketua parti

MALAYSIAKINI



Yang di-Pertuan Agong masih belum memperoleh keyakinan mengenai seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti dalam Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu.

“Pihak Istana Negara akan berhubung dengan ketua-ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat, bagi memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan pencalonan nama ahli Dewan Rakyat sebagai bakal perdana menteri,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin.

Perdana Menteri Sementara Dr Mahathir Mohamad semalam mengumumkan mahu membentuk pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti.

Pakatan Harapan mencalonkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Bersatu, yang tidak lagi bersama gabungan itu, mencalonkan presidennya Muhyiddin Yassin manakala Muafakat Nasional mahu parlimen dibubarkan.

Anwar kini dikatakan mempunyai pencalonan terbanyak dengan kira-kira 90 anggota parlimen.

Bagaimanapun, dengan sokongan itu, beliau hanya berpeluang membentuk kerajaan minoriti.

Sementara itu, Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan dengan keputusan speaker Dewan Rakyat untuk tidak memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin depan.

Speaker Mohamad Ariff Md Yusof tengah hari tadi menolak mesyuarat khas Dewan Rakyat pada Isnin depan, yang dipanggil oleh Mahathir.

Katanya, surat pemakluman memanggil mesyuarat itu tidak mengikut peraturan kerana tidak disusuli dengan pemberitahuan usul yang lengkap.

Parlimen pada asalnya dijadualkan bersidang semula pada 9 Mac.

Dalam kenyataan sebentar tadi, Ahmad Fadil juga berkata Seri Paduka Baginda akan terus berusaha mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Raja-raja pagi tadi.


Azmin dan sembilan MP lain sertai Bersatu - sumber

HASPAIZI ZAIN




Sumber yang dekat dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa Mohamed Azmin Ali dan sembilan anggota parlimen lain telah menyertai parti itu.

Ini selepas Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya dalam satu kenyataan hari ini berkata bahawa "36 ahli parlimen Bersatu" menghadiri mesyuarat sebelumnya.

Bersatu sebelum ini hanya mempunyai 26 ahli parlimen termasuk Dr Mahathir Mohamd. Tambahan 10 adalah dari kem Azmin. Ini menjadikan Ahli Parlimen Segamat Edmund Santhara sebagai ahli parlimen bukan-bumiputera pertama menyertai Bersatu.

Malaysiakini difahamkan bahawa Ahli Parlimen Ranau Jonathan Yasin tidak menyertai Bersatu. Ini selepas Jonathan menafikan bersekutu dengan kem Azmin semalam, dan mengatakan bahawa dia tidak pernah keluar dari PKR.

Ahli parlimen Bersatu telah bertemu Mahathir yang kini kembali menjadi pengerusi mereka, di Yayasan al-Bukhary.

Marzuki berkata mesyuarat itu memutuskan untuk mencalonkan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Marzuki tidak mengatakan sama ada keputusan itu dibuat sebulat suara. Mahathir, yang merupakan perdana menteri sementara, berhasrat untuk membentuk kerajaan perpaduan yang "tidak berpihak pada mana-mana parti", selain enggan bekerjasama dengan Umno.

Bagaimanapun, Mahathir kemudian berkata Muhyiddin mempunyai sikap yang lebih santai dan sanggup bekerjasama dengan Umno sebagai sebuah parti.

Sekiranya keputusan untuk mencalonkan Muhyiddin sebagai perdana menteri dibuat sebulat suara, maka Bersatu bersama BN dan PAS akan mempunyai 97 Ahli Parlimen. PH ketika ini mendapat sokongan 92 ahli parlimen dari PKR, DAP, dan Amanah.


Di sebalik Mahathir ‘ok’ pilih Muhyiddin jadi PM ke-8

Muhyiddin Yassin dan Ahmad Zahid Hamidi pernah dilantik 
sebagai timbalan perdana menteri di bawah pentadbiran Najib Razak.
 
KUALA LUMPUR: Kenyataan Dr Mahathir Mohamad “okey” jika Muhyiddin Yassin mendapat sokongan untuk menubuhkan kerajaan baru dibuat di sebalik bantahan kuat menerima pemimpin veteran itu terhadap usaha membawa pemimpin utama Umno yang berdepan pertuduhan rasuah.

Seorang sumber yang mempunyai hubungan rapat dengan puak lawan dalam PPBM berkata, Mahathir “sangat tidak gembira” dengan spekulasi Muhyiddin mahu menjadikan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri.

“Ini sebab kenapa Mahathir membuat sindiran biasanya semalam yang Muhyiddin baik dengan semua orang,” sumber itu memberitahu FMT.

Semalam, Mahathir mengesahkan Muhyiddin yang juga presiden PPBM, dicalonkan parti itu sebagai perdana menteri ketika bekas sekutu Pakatan Harapan itu mencari sekutu baru untuk kembali berkuasa.

“Pendirian saya adalah saya tidak akan menerima Umno, tetapi saya akan menerima mereka yang meninggalkan Umno.

“Tetapi Muhyiddin bersedia menerima mereka. Sesiapa yang menang saya akan menerima dia menjadi perdana menteri,” katanya.

Muhyiddin dan Zahid pernah menganggotai Kabinet pimpinan Najib Razak.

Susulan perselisihan Muhyiddin dengan Najib pada kemuncak isu 1MDB pada 2015, Zahid dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Zahid antara pengkritik paling lantang Mahathir menjelang pilihan raya umum ke-14 lalu yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional.

Pada Jun 2017, Zahid membangkitkan keturunan India Mahathir dengan menuduh pemimpin veteran itu berpura-pura memperjuangkan agenda Melayu menggunakan orang Melayu dan Umno.

Susulan kekalahan mengejut Umno pada PRU14, Zahid dilantik sebagai presiden parti itu.

Beliau kini berdepan berpuluh dakwaan rasuah membabitkan berjuta ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Tetapi, adakah Mahathir pada usia 94 tahun mempunyai tenaga dan keazaman untuk menghalang cubaan pemimpin Umno seperti Zahid menyertai kerajaan baru?

“Keazaman ya, tetapi bukannya tenaga. Beliau mungkin perlu bergantung kepada pengikut setia lama dan individu berpengaruh yang sependapat dengannya,” kata sumber.

Itu mungkin menjelaskan kenapa 3 bekas penjawat awam tertinggi berada di luar Istana Negara pagi tadi ketika Majlis Raja-raja Melayu mengadakan mesyuarat untuk mencari penyelesaian bagi menamatkan kemelut politik sekarang.

Bekas ketua polis negara, Hanif Omar dan Musa Hassan, serta bekas yang dipertua Dewan Negara, Abu Zahar Ujang – dibenarkan memasuki istana untuk menyerahkan memorandum yang kandungannya tidak didedahkan kepada media.

Tetapi, seorang sumber boleh dipercayai berkata, mereka sudah menyenaraikan “kriteria khusus” yang mereka harap sultan akan tuntut daripada perdana menteri baru.

Antaranya ialah sesiapa yang mempunyai rekod rasuah dalam 3 dekad lalu akan dikecualikan menganggotai Kabinet baru.

“Frasa yang digunakan, walaupun saya tidak pasti jika ini terkandung dalam memorandum itu ialah ‘semua ahli Parlimen yang terpalit kontroversi dan amalan rasuah’ dikeluarkan daripada Kabinet baru,” kata sumber itu kepada FMT.

“Kumpulan itu turut menggesa menteri dilantik daripada kalangan mereka dengan rekod pengalaman kementerian yang baik, khasnya di Kementerian Kewangan.”

Terdahulu, dilaporkan Mahathir tidak bersetuju dengan Muhyiddin untuk memasukkan beberapa ahli Parlimen Umno berdepan dakwaan rasuah dalam kerajaan baru yang dicadangkan.

Percanggahan itu menyebabkan beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi PPBM, langkah yang dipuji Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Lim berkata, Mahathir bertindak berdasarkan prinsip menghalang “cubaan jahat untuk mengubah dan merosakkan mandat rakyat”.

Rabu lalu, Mahathir mengesahkan spekulasi di sebalik peletakan jawatannya dengan berkata, beliau tidak mahu Umno menganggotai kerajaan.

Katanya, beliau bimbang Umno akan menguasai gabungan baru dengan PPBM dan PAS.

“Kerajaan ini akan didominasi oleh Umno sebagai parti yang terbesar.

“Saya sanggup terima ahli Umno yang keluar Umno dan menyertai parti lain. Tetapi Umno akan sertai kerajaan campuran ini sebagai Parti Umno. Ini tidak dapat diterima oleh saya. Maka terpaksalah saya letak jawatan,” kata Mahathir dalam ucapan khas yang disiarkan RTM.

Penyiasat mulakan siasatan helikopter polis terhempas di Tawau

Pekerja menyelamat di lokasi nahas helikopter polis yang terhempas 
di Tawau, malam tadi.
 
KOTA KINABALU: Penyiasat dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan tiba di Tawau hari ini untuk memulakan siasatan berhubung nahas helikopter milik polis yang berlaku di daerah itu malam tadi.

Panglima Pasukan Gerakan Udara Polis Sabah Ahmad Lokman Abdul Hadi berkata pegawai dari bahagian siasatan kemalangan udara, dilantik Kementerian Pengangkutan untuk menjalankan siasatan.

Beliau berkata mereka akan memeriksa bangkai, tapak kemalangan serta merekod keterangan daripada krew dan saksi untuk menentukan punca kemalangan itu.

“Ini akan mengambil masa 1 hingga 2 hari, bergantung kepada berapa ramai yang mereka perlu temubual,” katanya ketika dihubungi.

Seorang jurutera mengalami kecederaan parah manakala 5 yang lain, termasuk juruterbang cedera ringan selepas helikopter AgustaWestland AW139 yang mereka naiki terhempas pada pukul 7.30 malam.

Helikopter itu berlepas dari Lapangan Terbang Tawau dan terhempas ketika cuba mendarat di Kem Batalion 14 Pasukan Gerakan Am.

Lokman berkata juruterbang itu berkata dia hilang kawalan ketika cuba mendarat. Yang lain dalam penerbangan itu ialah pembantu juruterbang dan 3 pemerhati udara.

“Pasukan itu baru saja selesai membuat rondaan rutin di laut. Mereka pergi ke Lahad Datu dan kemudian singgah di lapangan terbang Tawau sebelum penerbangan pulang ke pangkalan GOF,” katanya.

Beliau berkata 2 daripada mereka yang cedera, Wedrich Sindih dan Mohamad Radzie Radaie, dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan selepas mendapat kebenaran dari hospital Tawau.

Ketua Polis Tawau Peter Umbuas, sebelum ini berkata kepada media bahawa pusat pengawasan didirikan dengan segera di lokasi kemalangan, yang kini telah ditutup.

Penduduk berhampiran lokasi kemalangan mendakwa melihat helikopter itu bergoyang dan berpusing beberapa kali sebelum terhempas.

PKR Selangau gesa Baru Bian letak jawatan ahli Parlimen

Baru Bian bersama 8 ahli Parlimen PKR yang lain meninggalkan 
parti itu pada Isnin lalu.
 
KUCHING: PKR Bahagian Selangau menggesa Baru Bian yang meninggalkan parti itu bersama 8 wakil rakyat lain minggu ini, supaya turut meletak jawatan sebagai ahli Parlimen.

Ketua bahagian itu, Joshua Jabeng berkata Baru tidak berunding dengan jawatankuasa mengenai keputusannya mahu keluar parti.

“Rakyat mengundinya pada pilihan raya umum lalu dengan harapan beliau boleh membawa pembangunan di kawasan itu sebagai menteri penuh dalam gabungan Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menambah Selangau ketinggalan jauh dari segi pembangunan.

Lapan ahli Parlimen PKR yang meninggalkan parti itu ialah Willie Mongin (Puncak Borneo), Ali Biju (Saratok), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Santhara Kumar (Segamat) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Mereka dilihat bersekutu dengan bekas timbalan presiden PKR, Mohamaed Azmin Ali dan bekas naib presiden, Zuraida Kamaruddin, yang dipecat daripada parti itu Isnin lalu.

Ketua PH Sarawak, Chong Chieng Jen turut dilaporkan kecewa dengan tindakan Baru keluar parti dan mendakwa bekas ketua PKR negeri itu berniat membentuk kerajaan baru dengan Umno dan PAS.

Baru kemudiannya berjanji akan terus memperjuangkan hak Sarawak supaya ia tidak dinafikan pembangunan dan kemakmuran yang sepatutnya.

PH percaya Anwar dapat pencalonan terbesar, mohon dibenar hadap Agong





PETALING JAYA: Pakatan Harapan percaya Anwar Ibrahim mendapat jumlah pencalonan terbesar dalam kalangan ahli Parlimen berdasarkan proses yang ditentukan Agong tempoh hari, dan memohon presiden PKR itu diberi peluang untuk menghadap Sultan Abdullah.

Ia “untuk membuktikan keyakinan majoriti ahli Parlimen terhadap beliau,” kata majlis presiden PH dalam kenyataan hari ini.

Please Tun, tujuh ciapan Khalid Samad kepada Dr. M pagi ini

SEBANYAK tujuh ciapan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negar (Amanah) 
Khalid Abdul Samad ditujukan kepada Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Lima daripada ciapan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu dimulakan dengan ayat ‘please Tun’ (tolonglah Tun).

Antara ciapan itu, Khalid berkata, beliau mula belajar untuk menghormati Dr. Mahathir dengan bekerja bersamanya sebagai menteri Kabinet.

Sebagai menteri, beliau selalu melihat Dr. Mahathir bekerja keras dan percaya komitment Dr. Mahathir adalah untuk menyelamatkan Malaysia daripada dan BN.

Khalid berkata, beliau tidak dapat bersetuju dengan Dr. Mahathir apabila Pengerusi Bersatu itu mahu melaksanakan mandat baru untuk diri sendiri. Sedangkan Khalid tetap tenguh dengan PH dan mandat 2018.

Dalam ciapannya, Khalid meminta agar Dr. Mahathir kekal dalam bentuk yang beliau impikan iaitu pemusnah kleptokrat dan penyelamat Malaysia.

Khalid juga mengingatkan kepada Dr. Mahathir agar jangan mengkhianati PH dan negara.

















Muhyiddin angkat sumpah sebagai Perdana Menteri hari ini?

ALHAMDULILLAH akhirnya Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat sokongan untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Begitulah mesej yang diterima sebentar tadi dari sumber.

Jika maklumat itu benar, bermakna kerajaan Perikatan Nasional membabitkan Bersatu, serpihan PKR, GPS, Warisan, Pas dan Barisan Nasional akan mengambil-alih pemerintahan negara.

Bagaimanapun sumber dalam Pakatan Harapan pula memaklumkan Muhyiddin belum mendapat cukup sokongan untuk membentuk kerajaan iaitu 112 sokongan Parlimen.

Kerajaan Pakatan Harapan runtuh Ahad lalu apabila Dr. Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri.

Berikutan itu Muhyiddin telah membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan dengan diikuti oleh Datuk Seri Azmin Ali bersama 10 ahli parlimen PKR.

Bagaimanapun DAP, Amanah dan PKR mendakwa telah mendapat cukup sokongan dan mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Hari ini Majlis Raja-Raja bermesyuarat bagi membincangkan perkembangan semasa politik negara dan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan selepas mendapat nasihat dari Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri Interim.

Dr. Mahathir juga telah memanggil untuk dipercepatkan sidang Dewan Rakyat yang sepatutnya bersidang pada 9 Mac kepada 2 Mac ini atau Isnin ini.

Kerajaan PH yang memerintah selama 22 bulan setakat ini gagal menangani pelbagai isu dan yang paling utama adalah isu ekonomi dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Sejak memenangi pilihan raya lalu situasi tegang dan tidak terurus negara membimbangkan para pelabur asing.

Situasi itu menyebabkan Dr. Mahathir mengambil langkah drastik bagi memperbetulkan keadaan dan memulihkan negara.

Dibayar Untuk Dapatkan Sokongan? Tidak Benar, Bidas Zahid


LIHAT FB DI SINI


KUALA LUMPUR– Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menempelak segelintir pihak mengaitkan dirinya semata-mata untuk mencapai cita-cita peribadi.

“Walaupun terlalu yakin tidak perlulah menggunakan pihak lain untuk mencapai cita-cita. Tuduhan ini TIDAK BENAR,” bidasnya dalam satu lontaran di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk memberi reaksi demikian ketika tular artikel di laman Facebook dan blog The Malaysia Online yang yang mendakwa terdapat kerjasama dan penawaran ganjaran antara Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid bagi menyelesaikan kemelut jawatan Perdana Menteri Kelapan.

Ulas lanjut, Ahmad Zahid berkata Muafakat Nasional tetap dengan pendirian tidak akan bekerjasama dengan Dap.

“Pendirian kami tetap tidak berubah demi kebaikan agama, bangsa dan negara,” tegasnya.

Untuk rekod, negara sekarang berhadapan dengan kemelut politik yang diciptakan oleh Pakatan Harapan (PH) sendiri, bermula daripada perebutan jawatan kerusi Perdana Menteri hinggalah selepas runtuhnya kerajaan PH selepas 22 bulan memerintah negara. – UMNO ONLINE

Semua punca ultra kiasu

Oleh Siti Fatimah Ishak

 

Cabar kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera, ekonomi merudum


BANGI – “Terus terang saya katakan, semua pergolakan ini berpunca daripada ultra kiasu.

“Jika ultra kiasu mentadbir negara mengikut acuan Perlembagaan, menjaga hak Islam, Melayu dan Bumiputera, tanpa mengungkit perkara sensitif, menguruskan ekonomi dengan baik, sudah tentu negara ini aman.”

Demikian kata pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah mengulas krisis politik negara yang belum berkesudahan, apabila kerajaan Pakatan Harapan tumbang selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Beliau percaya PAS dan UMNO tidak akan banyak bising, jika kerajaan Malaysia diuruskan dengan baik seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Ini tidak, ultra kiasu dengan kuasa yang ada, dengan sengaja, mencabar kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera, ekonomi terus merudum, hati rakyat mana yang tidak sakit.

“Lepas Tun M umumkan peletakan jawatan, PH mahukan Tun semula menjadi PM. Lepas Tun M dilantik menjadi Perdana Menteri interim, mereka mahukan Anwar Ibrahim pula menjadi PM. Penuh dengan wayang hipokrasi. Hipokrit betul.

“Sebab itulah, saya katakan, kerajaan Malaysia, tanpa menteri-menteri ultra kiasu pun masih boleh berfungsi,” katanya.

Mengulas lanjut, Ridhuan Tee menyindir ketika negara mempunyai menteri, kadangkala mereka menyusahkan, ada yang bukan pakar dalam sesuatu bidang.

Katanya, ada yang apabila keluarkan kenyaatan, sangat lucu dan kelakar, langsung tidak mencerminkan daya intelektual mereka.

“Mana tidaknya apabila ada menteri berkata, negara ini tidak selamat, sebab kapal perang kita tidak boleh mengejar kapal perang negara China. Kelakar tak?

“Ada menteri yang mencadangkan, bagi menambahkan pendapatan petani, maka marilah menoreh di musim hujan atau tanam buluh sementara menunggu sawit berbuah.

“Tidak kurang ada mencadangkan kereta terbang bagi mengelakkan kesesakan, dan macam-macam lagi kata-kata lucu dan meloyakan. Inikah menteri. Lebih baik lantik pengurus, pentadbir dan professional jadi menteri,” katanya sinis.


PEMBELA lancar petisyen desak bubar Parlimen, adakan PRU

Aqila

 

Sokong kebijaksanaan Baginda Tuanku selesai kemelut politik negara


BANGI – Melihat kemelut politik yang belum ada titik noktah, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) melancarkan petisyen mendesak pembubaran Parlimen sekali gus mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU), bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya dalam kenyataan berkata, pihaknya memberi sokongan penuh kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam menyelesaikan kemelut politik yang sedang melanda negara.

“PEMBELA berdiri teguh untuk mendukung ikhtiar Seri Paduka Baginda Tuanku dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab besar menguruskan situasi negara.

“Sebagaimana termaktub kemas dalam Perlembagaan Persekutuan, PEMBELA percaya bahawa segala keputusan yang dibuat oleh DYMM Tuanku adalah untuk memastikan kepentingan Islam sebagai Agama Negara, kedudukan orang Melayu dan Bumiputra serta hak warganegara Malaysia yang lainnya tidak terjejas,” katanya.

Selain itu, PEMBELA penuh rendah hati dan takzim tanpa had waktu bersedia untuk menyembahkan suara rakyat agar Seri Paduka Baginda Tuanku mendapat perspektif sebenar di lapangan.

“Sekiranya keadaan tergantung tanpa sebarang sokongan majoriti bagi calon PM maka, PEMBELA dengan penuh tawaduk berpandangan bahawa pembubaran Parlimen adalah jalan terbaik supaya jemaah menteri baharu dengan mandat yang lebih kukuh dan stabil dapat dilantik,” kata Haji Aminuddin.

Petisyen yang dilancarkan pada Khamis sudah memperoleh hampir 1,000 tandatangan. Orang ramai boleh menandatangani petisyen itu dengan melayari platform change.org. (https://www.change.org/p/yang-di-pertuan-agong-ydpa-bubar-parlimen-untuk-selesaikan-kemelut-politik-malaysia-dan-adakan-pilihanraya-umum).

Semalam, Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan, Dewan Rakyat pada 2 Mac (Isnin) akan memilih Perdana Menteri yang baharu.

Perkara itu diputuskan selepas Yang di-Pertuan Agong tidak menemui mana-mana individu memperoleh majoriti yang jelas untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu.

“Dan kerana tiada yang ada majoriti jelas, (Tuanku) kata ruang yang sesuai adalah Dewan Rakyat. Maka Parlimen akan bersidang pada 2 Mac… siapa yang ada sokongan majoriti di Parlimen akan menjadi Perdana Menteri.

“Bagaimanapun jika Dewan Rakyat gagal mendapat seorang yang ada majoriti, kita perlu lalui pilihan raya,” katanya

Kenyataan Tun M Amat Tidak Wajar, Dahului Majlis Raja-Raja Melayu

Farhana Malek




KUALA LUMPUR – Pengamal Undang-undang, Adnan Seman melahirkan rasa terkejut dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri (PM) Interim ekoran mengeluarkan kenyataan yang dianggap tidak wajar sama sekali.

Dilaporkan, Dr Mahathir membuat kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) tidak menemui mana-mana ahli Parlimen yang mempunyai majoriti mudah untuk dilantik sebagai PM maka satu sidang khas pada 2 Mac 2020, Isnin depan akan diadakan bagi memilih PM sedangkan Majlis Raja-Raja Melayu hanya akan bersidang di Istana Negara hari ini berkaitan kemelut politik negara.
“Majlis Raja-Raja belum lagi bersidang maka tindakan mengeluarkan kenyataan sebegini adalah tidak wajar sama sekali,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya, malam tadi.


Tegasnya, Kenyataan Tun M ini sebenarnya bercanggah dengan Perkara 43(2)(a), (4) dan Perkara 55 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes DS Ir Hj Mohammad Nizar Jamaluddin v DS Zambry Abdul Kadir; Peguam Negara (Pencelah) [2012] 6 MLRA 259.

“Peruntukan-peruntukan Perlembagaan di atas memberikan kuasa kepada YDPA untuk terus membubarkan Parlimen apabila tiada mana-mana ahli Parlimen yang mempunyai majoriti mudah untuk dilantik sebagai PM. Ini sangat jelas.”

Malah jelasnya, Mahkamah Persekutuan di dalam kes yang dinyatakan di atas telah memutuskan:

Persoalan sokongan majoriti mudah ke atas mana-mana ahli Dewan Undangan Negeri (di dalam kes ini Ahli Parlimen) boleh ditentukan di Istana dan tidak semestinya di Dewan Undangan Negeri (di dalam kes ini Dewan Rakyat).

“Maka setelah YDPA menentukan tiada mana-mana ahli Parlimen mempunyai sokongan majoriti mudah di Istana Negara dengan menemui seorang demi seorang ahli Parlimen tiada lagi keperluan di sisi undang-undang untuk satu persidangan khas Dewan Rakyat bagi tujuan itu,” katanya lagi.

Dilaporkan, hari ini Majlis Raja-Raja dijadual mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara, sebelum solat Jumaat.

Keputusan daripada mesyuarat antaranya difahamkan berhubung situasi politik terkini negara, termasuk kemungkinan yang sedang dalam pertimbangan raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong, antaranya meneruskan kerajaan baharu, serta pembubaran Dewan Rakyat.

Sementara itu, semalam Dr Mahathir mengesahkan persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 2 Mac bagi menentukan calon yang mendapat majoriti untuk menjadi perdana menteri baharu.

Dr Mahathir selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Putrajaya memaklumkan Yang di-Pertuan Agong menitahkan forum yang tepat untuk memilih Perdana Menteri adalah di Parlimen selepas Seri Paduka mendapati tiada calon yang mempunyai majoriti ketara.

Beliau berkata sekiranya persidangan khas itu gagal mencapai keputusan, pilihan raya mengejut akan diadakan. – UMNO Online