Rabu, 31 Mac 2010

Berita Palsu 700 Ahli AMK Ipoh Barat Keluar Parti

Oleh Faizal Ezzany


IPOH - Kenyataan media arus perdana yang mengatakan seramai 700 ahli Angkatan Muda KEADILAN Ipoh Barat keluar parti hanya propoganda Umno yang sudah kehabisan modal politik.

Setiausaha Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Perak, Anwar Zakaria menegaskan kenyataan tersebut adalah pembohongan dan hanya mainan Umno ketika pilihan raya diadakan.

"Saya ingin menyatakan pada hari ini, apa yang telah dikeluarkan oleh media sebelum ini berkenaan dakwaan 700 ahli Ipoh Barat keluar parti adalah tidak benar sama sekali. Saya sebelum ini adalah bekas Ketua AMK Perak dan saya tahu aktiviti AMK kawasan di situ tidak begitu aktif. Macam mana pula keahlian AMK Ipoh Barat boleh mencecah sebegitu ramai?

"Saya ingin mencabar Subramaniam (Ketua AMK Ipoh Barat) memberikan kepada saya senarai nama mereka yang keluar parti itu kerana kita nak kepastian tentang dakwaan tersebut, selain mempermudahkan kita mengemaskini nama ahli.

"Ini adalah kerja agen Umno yang diketuai oleh Ezam Mohd Nor dan beberapa pengikutnya. Kenyataan yang dikeluarkan itu dilakukan sewaktu program yang diadakan di Ipoh. Dari gambar yang kita ada hanya beberapa sahaja ahli yang keluar tetapi kerana ingin menampakkan ramai, mereka telah meletakkan warga negara Nepal yang bekerja di situ.

"Saya berpesan kepada Ezam jika ingin menjadi pencacai Umno jangan sampai menggunakan warga asing, ini nampak sangat taktik kotor mereka," jelas Zainal dalam satu sidang media.

Beliau menjelaskan tujuan sebenar Subramaniam ingin keluar parti adalah kerana masalah peribadinya.

"Semalam saya telah menelefon Subramanian dan beliau juga merupakan Ketua AMK Ipoh Barat, tindakan beliau keluar parti kerana tidak puashati dengan Ketua Cabang di sana bukan pasal kepimpinan KEADILAN sekarang," kata beliau lagi.

Sebelum ini AMK Muar juga menafikan laporan media arus perdana berhubung tindakan keluar parti oleh 50 anggota AMK cbang itu.

Pemangku Ketua AMK Muar, Ahmad Anwar Asyraf Ismail berkata hanya tiga ahli yang melompat dan bukannya 50 seperti yang digembar-gemburkan sambil menyifatkan laporan tersebut sebagai tindakan terdesak Umno-Barisan Nasional.

"Perkara ini merupakan satu bentuk fitnah jahat yang bertujuan untuk menjatuhkan kredibiliti dan kekuatan AMK Muar yang semakin hari semakin mantap dan dipercayai oleh rakyat Muar untuk memimpin harapan mereka.

"Ini merupakan usaha terdesak Umno-Barisan Nasional Muar yang semakin hari semakin ditolak rakyat," kata Asyraf.

Beliau mencabar supaya pihak membuat dakwaan tersebut tampil menunjukkan bukti bahawa 50 yang melompat tersebut adalah anggota berdaftar AMK Muar.

KEADILAN Akan Bertanding Di Hulu Selangor

Oleh Fazli Othman


KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat bersetuju KEADILAN bertanding di pilihan raya kecil kawasan Parlimen Hulu Selangor setelah rundingan bersama PAS dan DAP di pejabat Ketua Pembangkang hari ini di Parlimen.

"Mengenai calon KEADILAN yang akan bertanding, kita masih ada waktu bagi calon yang ingin memohon dan saya akan berunding dengan Tuan Guru Haji Hadi dan YB Kit Siang sebelum kita namakan calon atas Parti Keadilan Rakyat," kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang akhbar tengahari tadi.

Menyentuh jumlah calon apabila ditanya oleh media, Anwar menjawab dalam nada bergurau, "Pencalonan masih terbuka dan kita telah terima sampai 100.

"Tetapi itu proses biasa kerana kita mesti dengar dari peringkat cabang, peringkat negeri malahan daripada masyarakat tempatan dan kita juga akan rujuk kepada pimpinan PAS dan DAP kerana kita bertanding itu atas nama Pakatan Rakyat," ujar beliau lagi.

Kemungkinan calon bebas bertanding, Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail berkata memang ada desas-desus itu akan berlaku kerana Umno juga menuntut kerusi tersebut.

"Kawasan Hulu Selangor itu secara tradisi ditandingi oleh MIC dan jika tuntutan yang kuat itu tidak dipenuhi akan mendorong mereka ini untuk membuat tajaan terhadap calon tertentu bagi kerusi Bebas.

"Saya percaya jika perkara ini berlaku, ini tentunya datang dari parti tertentu di dalam BN dan tidak dalam Pakatan Rakyat kerana seperti yang diputuskan dalam konsensus di peringkat Pakatan Rakyat ialah KEADILAN diminta mengemukakan calon dan itulah keputusannya setelah dibincangkan bersama dua lagi komponen parti," kata Saifuddin.

Pilihan raya kecil Hulu Selangor bakal diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad Khamis lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan bermesyuarat pada Jumaat ini bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.

Pemuda PR Pulau Pinang Desak Nyahkan APCO

SUARA KEADILAN

PULAI PINANG - Sekretariat Muafakat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang (SMPPRPP) membuat laporan polis untuk menggesa siasatan menyeluruh dan terperinci berhubung pendedahan mengenai kaitan rapat firma pro Zionis-Israel dengan kerajaan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam.

Dalam kenyataan yang dekuarkan hari ini, SMPPRPP berkata pendedahan yang cukup teliti dengan fakta dan amat bertanggungjawab itu jelas membangkitkan kerisauan seluruh rakyat Malaysia terhadap tahap keselamatan di negara ini di bawah pentadbiran Umno-Barisan Nasional.

SMPPRPP juga menolak penafian yang dibuat oleh APCO Worlwide bahawa ia tidak terlibat langsung dalam penubuhan gagasan 1 Malaysia.

"SMPPRPP mewakili seluruh rakyat Malaysia yang bimbang akan keselamatan negara, menolak sekeras-kerasnya penjajahan jenis baru ini serta turut menyeru agar semua rakyat bangkit menentang ‘Neo-Colonialism’ tajaan Zionis-Israel ini.

"Kami juga tidak rela memperjudikan nasib dan keselamatan rakyat dengan sewenang-wenangnya membiarkan Umno-Barisan Nasional melantik firma pro rejim Zionis-Israel yang terkenal dengan kezaliman dan kebinatangan mereka terhadap rakyat Palestin," tegas kenyataan itu.

SMPPRPP juga menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghentikan sandiwara bermuka-muka yang pada satu pihak berlagak hero menghentam dasar dan tindakan terkutuk Israel tetapi pada masa yang sama sanggup menggadaikan keselamatan negara dengan mengangkat firma pro-Zionis sebagai penasihat negara dalam hal bersangkutan dasar.


Zahid Terima Surat Letak Jawatan AJK Umno Bukit Bendera

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang hari ini menerima surat peletakan jawatan 36 anggota jawatankuasa (AJK) Umno bahagian Bukit Bendera bagi memberi laluan pemilihan baru bahagian itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan dibawa kepada mesyuarat badan perhubungan Umno negeri sebelum dibawa kepada jawatankuasa pengurusan Umno dan Majlis Tertinggi (MT) Umno.

"Majlis Tertinggi Umno akan memutuskan perkara itu dalam masa terdekat," kata Zahid yang juga Menteri Pertahanan di lobi Parlimen di sini.

Isnin lepas kesemua AJK Umno Bukit Bendera melepaskan jawatan masing-masing bagi membolehkan satu mesyuarat perwakilan khas bahagian itu diadakan bagi melantik semula Datuk Ahmad Ismail sebagai ketua bahagian itu.

Ahmad digantung daripada parti selama tiga tahun dari September 2008 berikutan kritikan orang ramai selepas beliau mengeluarkan kenyataan sensitif semasa berkempen dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Namun MT Umno pada Disember lepas memutuskan menarik balik penggantungan Ahmad.

Ditanya adakah tindakan AJK Umno Bukit Bendera melepaskan jawatan mereka kerana desakan pihak luar, Zahid berkata, tiada desakan daripada mana-mana pihak termasuk pihak atasan.

Fasal 15.8 Perlembagaan Umno menyebut jika AJK Umno Bahagian berhenti serentak, Majlis Tertinggi Umno akan mengarahkan mesyuarat perwakilan khas bahagian diadakan untuk menubuhkan semula jawatankuasa bahagian itu dan menentukan tempoh perkhidmatannya.

Pada sidang media sama, Zahid turut menafikan laporan stesen radio 98.8FM semalam bahawa Ahmad meminta Gerakan Pulau Pinang supaya meminta maaf kepada pemimpin Umno bahagian itu dan Umno Bahagian Bukit Bendera.

Laporan stesen radio itu juga mengaitkan Zahid setuju dengan perkara itu.

"Tidak pernah keluar kenyataan Ahmad Ismail yang minta Gerakan Pulau Pinang atau Gerakan Malaysia minta maaf pada beliau (Ahmad) atau Umno Bukit Bendera... Ini anggapan sahaja," katanya.

Zahid juga meminta pihak media terutama media berbahasa Mandarin supaya tidak memanipulasi isu itu kerana ia adalah kehendak perwakilan bertujuan mengukuhkan parti.

"Jangan buat spekulasi yang boleh timbulkan kegelisahan sosial," katanya.

Cekup di restoran

Oleh Hadzlihady Hassan


AMPANG: Selepas bersembunyi dan menjadi buruan polis sejak seminggu lalu, pelakon kacak Badrul Muhayat, 41, akhirnya berjaya diberkas ketika berada di sebuah restoran di Taman Nirwana, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan berkata, polis menahan pelakon terbabit kira-kira jam 11 malam ketika dia berseorangan di restoran berkenaan.

“Kita menerima panggilan daripada orang awam yang ternampak pelakon itu dalam restoran berkenaan.

“Berikutan itu, sepasukan polis bergegas ke restoran berkenaan dan pelakon terbabit yang ditahan ketika itu memberikan kerjasama baik,” katanya kepada Harian Metro di sini, tengah malam tadi.

Abd Jalil berkata, Badrul Muhayat atau nama penuhnya, Badrul Muhayat Ahmad Jailani, kemudian dibawa ke balai dan polis akan mendapatkan perintah tahanan reman hari ini bagi membantu siasatan dalam dua kes iaitu ugutan dan memukul isterinya.


Harian Metro Isnin lalu melaporkan pelakon lelaki terbabit dikehendaki polis bagi membantu siasatan empat kes masing-masing dua jenayah ugutan dan dua kes pukul yang dilakukan terhadap isterinya, sekali gus memungkinkan dia bakal ditahan di mana-mana tempat.

Malah, Badrul Muhayat boleh dianggap licik kerana setiap kali polis ke rumah untuk menahannya, pelakon terbabit seolah-olah dapat 'menghidu' kehadiran pihak berkuasa sebelum menghilangkan diri.

Bagaimanapun, selepas berita dia menjadi buruan polis tersebar, pelakon lelaki terbabit semakin susah untuk menyembunyikan diri dan akhirnya dia berjaya ditahan, malam tadi. Akhbar ini kelmarin turut melaporkan yang isteri pelakon itu, Julia Daud, 28, mengaku masih menyayangi Badrul walaupun dia dikatakan sering menjadi mangsa belasahan suaminya.

Julia berkata, dia tetap mengharapkan yang suaminya berubah menjadi seorang bapa yang baik demi masa depan dua anak mereka.

Namun, wanita itu mendakwa dia terpaksa membuat laporan untuk menyedarkan suaminya mengenai sikap buruk yang perlu diubah selain lebih bertanggungjawab terhadap kedua-dua anaknya, Siti Norbatrisyia, 2, dan Rohidayat, berusia dua bulan.

Julia berkata, dia tidak pernah berniat mengaibkan suaminya dengan mendedahkan perkara itu, namun tidak mampu menanggung derita sendirian apabila dibelasah lelaki terbabit, baru-baru ini. Badrul sebelum ini dikatakan memukul isterinya yang masih dalam pantang selepas wanita terbabit bertanya mengenai hubungannya dengan seorang wanita.

Isterinya kemudian dibantu beberapa jiran yang membawanya ke hospital dan juga balai polis untuk membuat laporan. Selain kes terbaru itu, Harian Metro turut pernah melaporkan kes membabitkan pelakon terbabit yang berlaku dua tahun lalu apabila dia didakwa pernah mengugut membunuh dan mencederakan isterinya.

Speaker Bodoh Punca ADUN Pakatan Keluar

PAHANG DAILY

Speaker haram DUN Perak, R.Ganesan (foto) ternyata tidak memahami Aturan Mesyuarat sidang Dewan Negeri. Selain tidak mengindahkan Peraturan Tetap yang memberi kebenaran 'point of order' oleh YB Pantai Remis, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dibaca dan dihujjahkan, beliau telah membelakangi aturan biasa mesyuarat.

Selepas sesi soaL jawab lisan berakhir, sepatutnya agenda yang diutamakan ialah Perbahasan Ucapan Junjung Kasih Titah Ucapan Tuanku, sebaliknya Ganesan teruskan agenda untuk pembentangan Rang Undang-undang dan Enakmen.

Adun-adun PR membantah sekeras-kerasnya kerana ia sama sekali bercanggah dengan aturan mesyuarat sebagaimana yang terkandung dalam Perintah Tetap 13 (1).

Ganesan dengan bodoh dan sombong menolak teguran tersebut yang dikemukakan oleh para Adun PR. Ganesan digesa ikut peraturan, kesombongan dan kebodohan mengatasi segala-galanya.

Adun PR mengambil tindakan keluar dewan apabila berlaku perlanggaran aturan mesyuarat. Sudahlah pembesar suara dimatikan sewaktu Adun PR berucap, aturan mesyuarat yang begitu asas sekalipun tidak dipatuhi.

Apa yang dikesalkan, selepas Adun PR keluar beramai-ramai sebagai bantahan dan protes terhadap pencabulan dan pelanggaran ini, barulah kedengaran suara dari luar dewan yang Menteri Besar membetulkan kesilapan tersebut lalu mengusulkan supaya perbahasan titah ucapan didahulukan sebelum pembentangan Rang-rang undang.

Nampak sangat puak-puak ADUN BN dan Ganesan sendiri memang jahil tentang sidang DUN.

Peluang Terbuka Kepada Ahli PKR Jadi Calon Hulu Selangor

TV SELANGOR

KUALA LUMPUR- Mana-mana ahli dari Parti Keadilan Rakyat yang masih mahu mengemukakan nama calon untuk penamaan calon bagi pilihan raya kecil Hulu Selangor, boleh berbuat demikian dengan segera.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan membuat penilaian terlebih dahulu bersama Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dan Ketua DAP, Lim Kit Siang sebelum membuat keputusan menetapkan pengganti kepada penyandangnya Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Parlimen sebentar tadi.

UMNO Silam Bergolak?

Oleh: SURIATI MAHMUD (sabahkini)



UMNO Silam membadai lagi berikutan perletakan jawatan lebih dua pertiga Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Silam menjadikan UMNO Silam bagaikan burung kepatahan sayap yang kini hanya bertongkat dagu dengan sayap Pergerakan Wanita setelah paruhnya hampir patah akibat ‘Drama Silap Mata UMNO Silam’ yang ditayangkan di Youtube sebelum ini.



Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Silam, Abd Halim Sidek Gulam Hassan yang gagal membawa sebarang perubahan terhadap Sayap Kanan Bahagian UMNO itu telah gagal mendapat kepercayaan Ahli Jawatankuasanya apabila 17 daripada 23 AJKnya meletakkan jawatan secara mendadak sebagai tindakan protes terhadap kepimpinan Halim dan Ketua UMNO Bahagian Silam, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur.

Kesemua 17 AJK berkenaan meletakkan jawatan mereka serta merta pada 28 Februari lalu dan telah menemui Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin pada 2 Mac lalu yang merestui perletakan jawatan mereka dan mengarahkan Pergerakan Pemuda UMNO Sabah dan UMNO Silam untuk menguruskan pemilihan semula menurut lunas perlembagaan.

Bagaimanapun perletakan jawatan mereka tidak direstui Nasrun dan setelah sampai kepada pengetahuan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Aman, beliau lantas menghantar isterinya, Datin Faridah Tussin untuk memujuk mereka menarik balik perletakan jawatan, namun gagal.

Kesemua mereka yang meletakkan jawatan termasuk Naib Ketua Pemuda, Hazlan Bin Hamid; Penolong Setiausaha Fridnah Bin Kaning; Penolong Bendahari, Mohd Hisam Bin Mohd Hasim; Muhamad Gadzali @ Mohd Gazali Bin Said; Ahli Jawatankuasa, Nordin Bin Dalsan, Mohammad Rahmat Bin Mohamad, Hasbi Bin Sariat, Nasir Bin Tunggara, Lasani Bin Lajamani, Awang Damit Bin P Ramlee, Azman Bin Abdul Gani, Mohd Jaafar Bin Julpaid, Mohd Hamzah Bin Mohamad, Alsid Bin Hj Albanya, Mohd Salleh Bin Asah, Mohd Jefferi Bin Mad Baral dan Salakai Bin Tawid.

Manakala mereka yang masih kekal setia bersama Halim Sidek ialah Abd Rahman Bin Amat, Mohamad Jais Bin Maarof, Yabanni @ Yabani Bin Sudirman, Jamil Bin Jamal, Mohd Norazli Bin Hassan.

Tindakan protes terhadap Halim dan Nasrun dipercayai dimangkin lagi oleh sikap Nasrun yang gagal melibatkan Pergerakan Pemuda dalam Program Juara Rakyat kerana Nasrun lebih berminat dengan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) sehingga turut mencetuskan rasa tidak puas hati dua parti komponen, UPKO dan PBRS.

Ketika mesyuarat Juara Rakyat, Halim hadir mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Silam sedangkan ketika itu beliau telah hilang kelayakan sebagai Ketua Pemuda berikutan perletakan jawatan lebih dua pertiga AJKnya.

Menurut Fasal 12.11 Peraturan Pergerakan Pemuda UMNO, “Jika dua pertiga atau lebih bilangan ahli-ahli jawatankuasa meletakkan jawatan mereka, maka jawatankuasa UMNO Bahagian bolehlah mengadakan Mesyuarat Perwakilan Khas Pemuda UMNO Bahagian untuk memulih Jawatankuasa Pemuda yang baru dan Jawatankuasa UMNO Bahagian bolehlah menentukan tempoh perkhidmatannya.”

Bagaimanapun, Nasrun masih teragak-agak untuk mengadakan Mesyuarat Perwakilan Khas Pemuda UMNO kerana ianya memberi impak ketara dalam karier politiknya setelah melengkapkan penguasaannya bagi kesemua jawatan penting iaitu Pembantu Menteri, Adun Lahad Datu, Ketua UMNO Bahagian Silam dan Pengerusi Barisan Nasional Silam.

Mengikut maklumat rasmi, Pengerusi Tetap Persidangan Pemuda UMNO Silam, Ibrahim Kaning telah menulis surat makluman kepada Ketua UMNO Bahagian Silam dan Pejabat Perhubungan UMNO Sabah dan Setiausaha Agung UMNO bagi mengesahkan perletakan jawatan 17 AJK Pemuda UMNO Silam Bahagian, namun sehingga kini belum ada sebarang keputusan dibuat.

Nurul Izzah lancar komik terbaru Zunar Jumaat ini

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar akan melancarkan majalah terbaru Zunar berjudul Isu Dalam Katak. Majlis tersebut akan diadakan pada hari Jumaat 2 April, jam 11 pagi di restoran Pak Amjal, Pantai Baru, Kuala Lumpur.

Isu Dalam Katak adalah sebuah majalah kartun isu semasa yang dihasilkan oleh Zunar serta kartunis-kartunis seperti Jonos, Ronasina, Art, Lan dan Naza.

"Tempat tersebut dipilih kerana kami mahu venue pelancaran kali inilebih dekat kepada rakyat, iaitu di sebuah restoran tepi jalan berbanding hotel atau dewan," kata Zunar dalam satu kenyataan medianya.

Restoran Pak Amjal terletak di tengah laluan ke Kuala Lumpur, dengan itu memudahkan orang ramai untuk hadir dan bertemu dengan mereka. Selain itu ia terletak berhadapan pintu masuk Universiti Malaya, dengan itu memberi kemudahahan kepada mahasiswa untuk hadir bersama.

Selain majlis pelancaran dan ramah mesra, juga diadakan sesi bertemu kartunis, karikatur dan bacaan puisi. Majlis akan bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.

Antara yang menarik dalam Isu Dalam Katak ialah seksyen "wilayah katak"yang dipenuhi dengan karya-karya menyindir ahli politik yang melompat seperti ruangan "Wikipakdia" yang mengupas spesis-spesis katak di Malaysia.

Selain itu, ada kartun khas tentang kes fitnah kedua terhadap Anwar Ibrahim, dengan tajuk "6 Jahanam", kisah dimulakan dengan membongkar kepincangan yang berlaku dalam konspirasi pertama pada 1998 membawa kepada kepincangan konspirasi kedua.

Juga komik "Dari Kerana Mata" yang menghimbau kembali tragedi 20 September 1998 di lokap Bukit Aman.

Kartunis penyumbang ialah Enot, Haili, Enot, Nur, Abdullah Jones, Roy, Rockafalas, Madsein, Kidol dan Ubilepih. Manakala penulis ialah Hishamuddin Rais, Pyanhabib, Pusparos, Benludin, Aki Lanang dan Tok Wan.

Buku setebal 84 muka surat dan dijual dengan harga RM10 setiap naskhah.

"Pada 20 Mac lepas, sepasukan polis dari IPD Jasin Melaka merampas majalah-majalah kartun kami -- Gedung Kartun, Perak Darul Kartun, Isu Dalam Kartun dan 1Funny Malaysia," kata Zunar.

Februari lepas, majalah sama juga dirampas di Seberang Jaya, Butterworth, Permatang Pauh serta beberapa kawasan lagi di Pulau Pinang.

"Ogos tahun lepas, pegawai-pegawai KDN merampas 408 naskah sulung majalah Gedung Kartun di pejabat saya di Brickfields, Kuala Lumpur. Juga dirampas ialah plat dari kilang percetakan.

Semua majalah ini boleh dibeli secara online di website www.cartoonkafe.com atau email kepada cartoonkafe@gmail.com This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it atau hubungi pejabat Sepakat di 03 22744931 untuk keterangan lanjut.

Rakyat perlu berani tamatkan amalan korup Umno/BN

Hashim Abdullah


TEMERLOH: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, rakyat perlu berani bertindak menamatkan amalan korupsi yang dilakukan pemimpin Umno/BN sehingga menyebabkan negara berada dalam kehancuran.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menyeru ahli PAS berusaha memberikan kefahaman kepada rakyat terhadap isu yang berlaku dan mendidik rakyat agar berani membuat perubahan pada pilihan raya umum yang akan datang bagi menamatkan amalan korupsi itu dan menyelamatkan negara daripada terus berada dalam kehancuran.

Ingatan itu terkandung dalam perutusannya yang ditujukan kepada seluruh ahli PAS bagi menghadapi mesyuarat agung di peringkat kawasan seluruh negeri khasnya dan negara amnya.

Katanya, adalah perkara yang amat malang bagi rakyat di negara ini jika pemimpin Umno yang terkenal dengan amalan korup terus dibiarkan menguasai pemerintahan negara.

Justeru, katanya perubahan rakyat adalah suatu tuntutan.

“Mesyuarat agung tahunan pada tahun ini perlu dijadikan medan untuk menilai pencapaian gerak kerja parti untuk memperkukuhkan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).

“Justeru, kepimpinan dan semua petugas parti wajar memastikan agenda menambah ahli dan pengundi baru, penubuhan cawangan di seberapa banyak lokaliti, persediaan kewangan yang mapan, penebaran mesej parti kepada segenap segmen masyarakat dan pengukuhan tarbiah terus menerus menjadi keutamaan,” katanya.

Tambahnya, adalah terlalu penting bagi ahli PAS menumpukan usaha bagaimana untuk menguasai suasana politik melalui berbagai agenda yang dirancang bertujuan menarik penyertaan rakyat untuk menyertai PAS dan menyokong Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya umum akan datang.

“PRU 13 dipercayai medan terbaik bagi PAS bersama PR untuk mengajak rakyat melakukan perubahan demi menyelamatkan negara ini daripada kehancuran akibat pemerintahan korup BN. Kefahaman dan keberanian rakyat untuk berubah mesti digembleng mulai sekarang sehingga ke saat hari mengundi akan datang,” katanya

Sementara itu, pada persidangan Dewan Rakyat yang sedang berjalan sekarang terus dikejutkan dengan berberapa isu besar yang melanda negara termasuklah kehilangan RM52 bilion ekuiti saham Bumiputera sebagaimana dibangkitkan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan kerugian RM546 juta dalam pelaburan Pos Malaysia yang ditimbulkan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong.

Salahuddin bertegas mahu Najib jelaskan `wang ehsan’

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub (gambar) bertegas mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat penjelasan berhubung penggunaan istilah 'wang ehsan' yang didakwa mengelirukan dewan.

Beliau sebelum ini mendedahkan dokumen dan fakta berkaitan pembayaran royalti kepada Dewan Rakyat dan mendakwa perdana menteri itu telah mengelirukan Dewan Rakyat dalam jawapannya 4 November tahun lalu.

Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS sebelum ini memberikan tempoh tujuh hari kepada Najib dan kedudukan itu dijelaskan oleh Timbalan Speaker, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Rakyat hari ini.

Wan Junaidi dalam penjelasannya memberitahu, Najib mempunyai pilihan sama ada untuk memberi penjelasan atau tidak berhubung perkara yang dibangkitkan Salahuddin itu.

Menurutnya, Salahuddin sewaktu membangkitkan perkara itu sebelum ini tidak meminta Najib untuk datang memberi penjelasan.

Bangun selepas itu, Salahuddin berkata rekod hansard parlimen menunjukkan beliau menyatakan memberi peluang kepada Najib untuk membuat penjelasan dalam masa tujuh hari.

"Datuk (Yang Dipertua), dalam hansard saya, saya ada menyebut saya memberikan peluang kepada Perdana Menteri selama 7 hari untuk membuat penjelasan di dewan yang mulia ini, itu ada dalam hansard saya," tegasnya.

Beliau juga mengambil contoh penjelasan tentang APCO yang dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah diberi tempoh seminggu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Nazri Aziz.

"Kalau saya berikan tempoh seminggu, apa salahnya Perdana Menteri datang ke parlimen menjelaskan apa maksud wang ehsan, apa maksud wang royalti supaya diberikan keadilan dan ruang yang sama (seperti Anwar) untuk memberikan penjelasan," katanya.

Terdahulu dewan dihangatkan dengan pertikaian isu Datuk Abd Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) pada 24 Mac lalu yang dibenar bangun di bawah peraturan mesyuarat 37(1)(a) yang kemudiannya pula dicelah Menteri di JPM.

Menteri ketika itu mencelah dengan memberi tempoh seminggu kepada Anwar membuat penjelasan isu APCO, dan jika gagal, Anwar dicadang dihadapkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.

Anwar ketika membangkitkan perkara itu hari ini berkata, tindakan tersebut telah melanggari peraturan mesyuarat kerana menteri telah membuat cadangan berdasarkan peraturan yang salah.

Timbalan Speaker bagaimanapun menjelaskan pelanggaran peraturan mesyuarat yang berlaku adalah tidak begitu serius.

Dan jika ahli-ahli parlimen masih tidak berpuas hati, jelasnya, mereka boleh mengemukakan usul di bawah perkara 43 peraturan mesyuarat.

Berjuta ringgit habis, masalah banjir tidak selesai

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) meminta Kerajaan Persekutuan berkerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengadakan kajian secara menyeluruh bagi menyelesaikan masalah banjir di Rantau Panjang yang berlanjutan sejak sekian lama.

Siti Zailah (gambar) berkata, tiada gunanya jika kerajaan menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk proses penstabilan Sungai Golok namun tidak dapat menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat kawasan berkenaan.

"Program penstabilan itu tidak memberi kesan kepada masalah banjir sebaliknya kesan banjir semakin bertambah sebab benteng di sebelah Thailand lebih tinggi berbanding di Sungai Golok. Air dari Sungai Thailand mengalir ke sebelah Rantau Panjang.

"Saya tidak mahu jumlah wang sahaja banyak tetapi apa yang dibuat tidak memberi penyelesaian kepada rakyat. Sebab itu saya meminta pihak kementerian bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan supaya perkara ini dibuat kajian secara menyeluruh dan mengenal pasti punca sebenar berlakunya banjir," katanya ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

Sebelum itu, Siti Zailah meminta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menyatakan status projek tebatan banjir di Rantau Panjang, berapa jumlah peruntukan diluluskan, bila dijangka siap dan bagaimana ia boleh mengatasi bencana banjir di Rantau Panjang.

Timbalan menteri berkenaan, Tan Sri Joseph Kurup dalam jawapannya memberitahu, sebagai langkah jangka masa pendek untuk mengurangkan kesan masalah banjir di Lembangan Sungai Golok, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan sejumlah lima projek untuk menstabilkan tebing Sungai Golok di Rantau Panjang melibatkan kos berjumlah RM28.2 juta.

Tiga daripada projek tersebut telah siap manakala dua lagi masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada bulan September 2010.

Bagi menangani masalah banjir dalam jangka panjang, pihak JPS sedang menjalankan penyediaan reka bentuk terperinci bagi Proposed Sungai Golok (KESBAN) Protection Scheme.

Sejumlah RM12.63 juta telah diperuntukkan untuk kerja-kerja reka bentuk ini. Kemajuan terkini kerja-kerja ini adalah 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2010.

Menurutnya, dalam reka bentuk terperinci ini, komponen-komponen kerja yang dicadangkan di Rantau Panjang ialah pembinaan floodwall, floodway dan menaik taraf sistem saliran dalaman di Pekan Rantau Panjang. Kerja-kerja ini akan dilaksanakan dalam tiga fasa.

Siti Zailah yang tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut berkata, kerajaan harus mengambil iktibar daripada isu banjir di Kempas, Johor apabila masalah berkenaan belum menemui penyelesian meskipun tembatan telah dibina.

"Saya tidak puas hati apabila kerajaan mengatakan sudah beratus juta peruntukan diberi untuk menyelesaikan masalah ini sebab saya melihat kesan banjir ini terus berlaku.

"Sebab itulah saya mengatakan tadi, saya tidak mahu kerajaan menghabiskan berjuta ringgit sebagaimana yang berlaku di Kempas, Johor Bharu di mana setelah tembatan banjir dibuat, masalah penduduk semakin kronik. Kontraktor tidak mengambil kira soal saliran air. Isu yang sama berlaku di Rantau Panjang. Kita tidak mahu kerajaan hanya melepaskan batuk di tangga," katanya.

Rantau Panjang merupakan salah satu kawasan rendah yang sering menghadapi masalah banjir yang teruk pada musim tengkujuh setiap tahun.

Bermandi lumpur selama 35 tahun

Oleh Masdar Wahid


TIADA PILIHAN: Jimba (paling kiri) bersama rakan-rakannya  yang merupakan murid SK Rancangan Sepupok sedang mandi di kolam  berhampiran sekolah.

KUALA LUMPUR : Sarawak yang diperintah BN sejak puluhan tahun lalu terbukti gagal menyediakan prasarana mencukupi untuk rakyatnya.

Ini terbukti apabila murid yang tinggal di asarama Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Sepupok, Miri bermandi lumpur sejak 35 tahun lalu.

Sekolah yang jaraknya hanya kira-kira 100 kilometer dari Bandaraya Miri itu menempatkan hampir 100 murid miskin berasrama penuh.

Sejak sekolah itu dibina 35 tahun lalu, kerajaan negeri dan pusat hanya mengumumkan pelbagai rancangan namun sehingga kini gagal melaksanakannya.

Ini termasuklah surat dari Setiausaha Tetap Kementerian Kemudahan Awam bertarikh 28 Disember 2007 dan peruntukan RM5 juta dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang antaranya untuk membangunkan sekolah itu tetapi gagal dilaksanakan sehingga ke hari ini.

Jimba Bungat, 9 tahun, salah seorang murid sekolah itu yang kini berada di darjah tiga dan tinggal diasrama sekolah itu misalnya, terpaksa membuang rumput rumpai yang tumbuh di kolam berhampiran sekolah berasramanya itu sebelum mandi.

Rutin itu dilakukannya hampir setiap hari demi untuk membersihkan diri, mandi, memberus gigi serta membasuh pakaian.

Selain ditumbuhi rumput alga, air kolam yang berwarna kehijauan dan berbau hanyir itu juga turut menyebabkan Jimba mengalami gatal-gatal kulit kerana menggunakan air yang tercemar dan kotor.

Namun kolam tersebut terpaksa dihadkan penggunaannya kerana ibu bapa mendakwa pernah melihat beberapa ekor buaya di dalam kolam, menyebabkan murid sekolah terpaksa mandi di tebing kolam yang airnya keruh dan hitam.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Napi Madang, 48, berkata, walaupun negara sudah lama merdeka namun murid-murid dan guru-guru di sekolah itu masih belum lagi merasai buah kemerdekaan itu.

“Mereka masih bergantung kepada air kolam yang berwarna hijau dan air hujan untuk mandi, memberus gigi, mencuci pakaian dan pinggan mangkuk,” katanya.

Menurutnya, rumput alga yang tumbuh di dalam kolam itu sukar untuk dihapuskan dan ada di antara murid mengalami gatal-gatal kulit kerana rumput dan air kolam yang kotor.

Napi amat berharap agar kerajaan dapat menyediakan bekalan air paip terawat memandangkan jaraknya dari pekan Batu Niah hanya 3.5 kilometer.

Menurut Napi, permohonan bekalan air paip terawat pernah dikemukakan kepada Kementerian Kemudahan Awam Sarawak pada 16 Oktober 2007 dan sehingga kini tiada hasil memuaskan.

Sementara itu, seorang penjaga murid itu, Kalong Arin, 50, berkata mereka benar-benar berharap agar kerajaan dapat menyediakan bekalan air terawat ini untuk keselesaan murid-murid dan kakitangan sekolah.

“Kami begitu sedih melihat anak-anak yang terpaksa ‘bersaing’ setiap hari dengan rumput untuk menggunakan air kolam tersebut,” katanya.

Kalong memberitahu, keadaan itu berlarutan lebih tiga abad yang lalu.

Enju Nyaling, 52, pula berpendapat, sekolah itu sudah lama beroperasi dan sepatutnya sudah mempunyai bekalan air bersih namun sebaliknya air kolam yang digunakan cetek dan berlumpur, tidak ubah seperti tempat kerbau berkubang.

Difahamkan, sekolah berkenaan mempunyai 170 murid termasuk prasekolah daripada lapan rumah panjang di Skim Rancangan Sepupok Niah, dengan sebahagian besar daripada mereka tinggal di asrama sekolah.

Sementara itu, Pegawai dari Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pendidikan Malayasia (KPM), Emerly Clarice Joannes dilaporkan berkata, projek bekalan air bersih ke SK Rancangan Sepupok hanya akan dilaksanakan pada pada tahun 2011.

Kekuatan MCA bergantung kepada sejauh mana ia menolak UMNO

Wong Chin Huat



Ringkasnya, kemelut dalaman dan luaran MCA sebenarnya saling berkaitan, begitu juga dengan puncanya. Kebergantungan kepada sumber kerajaan mengakibatkan MCA tidak berani untuk mencabar kuasa UMNO, termasuk peraturan pengagihan sumber. Pemimpin MCA bukannya tidak menyedari masalah ini, cuma tidak terdaya untuk berbuat apa-apa.

Ong Ka Ting (bekas Presiden, gambar kiri) ketika menerajui tampuk pimpinan MCA telah mengehadkan tempoh untuk menyandang jawatan dalam parti. Langkah ini bertujuan untuk memecahkan jawatan, sumber yang ada kepada unit yang lebih kecil, untuk mengatasi masalah keperluan melebihi sumber yang sedia ada.

Oleh yang demikian, Kempen Pembelajaran Sepanjang Hayat, program kebajikan, yang melimpah semasa zaman Ong Ka Ting tidak terlari daripada logik pengagihan sumber ini. Oleh kerana Ong Ka Ting hanya menumpu kepada "pengurusan sumber", dan tidak berani untuk respond kepada kuasa UMNO, maka retorik politiknya untuk menutup kelemahan diri telah ditolak oleh pengundi. Lantaran itu, jawatan MCA berkurangan, mencetus perang perebutan sumber yang berlanjutan selama 18 bulan.

Ong Tee Keat telah menemui pasaran keperluannya, iaitu mencabar UMNO. Maka beliau menggunakan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) untuk menonjolkan diri sebagai wira. Namun, cara pengagihan sumbernya terlalu lemah. Ia berakhir sebagai pemancung Chua Soi Lek dalam EGM, dan dirinya nyaris-nyaris dipancung. Kegagalan Ong Tee Keat mententeramkan parti menjurus kepada kesudahan dirinya tersungkur dalam pemilihan semula parti. Sama ada beliau mampu bertahan pada jawatan menterinya untuk memainkan peranan "menangkis serangan luar", sebenarnya terpulang kepada perancangan Chua Soi Lek selanjutnya.

Cara pentadbiran Ong Tee Keat sungguhpun tidak cukup halus, tetapi imejnya yang lantang bersuara tetap mendahului pemimpin MCA lain, sama ada persepsi di kalangan Melayu atau bukan Melayu.

Chua Soi Lek pula terbeban dengan skandal seksnya. Seandainya beliau gagal mempamerkan kemampuan yang setanding ketika pemilihan parti dalam hal pengendalian hubungan antara MCA dengan UMNO, proses pendemokrasian negara dan sebagainya, maka pesaingnya akan menuduh bahawa beliau tunduk kepada UMNO kerana DVD seksnya. Undi 39% yang diperolehinya akan menjadikannya Presiden yang tempang, dan pergelutan kuasa parti akan kembali setahun kemudian.

Sesetengah media menggelar Chua Soi Lek (gambar kiri) sebagai "come-back kid", tetapi mungkinkah MCA menjadi "come-back kid" selepas tsunami politik PRU ke-12? Ia bergantung sama ada MCA yang dipimpin Chua Soi Lek mampu menggarap imaginasi orang ramai, misalnya mengambil pendirian yang tegas dalam Model Ekonomi Baru, atau menjadi parti komponen BN pertama yang menyokong pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan.

Seandainya Chua Soi Lek sekadar versi "Ling Liong Sik yang lebih bijak" dalam persepsi ramai, dan jikalau pemilihan ditundakan sehingga selepas pilihan raya umum yang lain, maka kemungkinan besar perebutan kuasa kali ini bakal menjadi pergelutan parti yang terakhir. Ini kerana tiada makna lagi untuk bertelagah di dalam MCA yang sudah terkubur dalam PRU ke-13.

*Artikel ini ditulis dalam bahasa Cina oleh penganalisa politik, Wong Chin Huat. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

Khir Toyo: BN harus kekalkan wakil MIC di Hulu Selangor

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata Barisan Nasional (BN) harus meletakkan calon dari komponen MIC untuk bertanding semula dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Bagaimanapun menurut beliau, calon dipilih bukan sahaja harus popular di kalangan pengundi India tetapi harus berupaya meyakinkan pengundi Melayu dan Cina bahawa mereka juga akan mendapat perkhidmatan terbaik daripadanya.

Kata beliau, meletak calon Umno dalam kawasan yang sememangnya kerusi MIC sangat tidak molek jika berpegang kepada konsep penyatuan 1 Malaysia.

“Pertahankan konsep permuafakatan BN demi kesejahteraan negara,” kata Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor ini dalam blognya.

“Sungguhpun ada permintaan Umno untuk meletakkan calon, namun saya fikir ia tidak wajar dipertimbangkan.

“Ini memandangkan kawasan tersebut diberi kepada MIC dalam konsep persefahaman dan perkongsian kuasa antara kaum,” katanya.

Sambil menegaskan tiada siapa pun mahu kalah, kata beliau “apa erti kemenangan jika prinsip ikatan persefahaman antara kaum yang dibina sejak 1957 dimusnahkan begitu sahaja hanya kerana mahu menang satu kerusi.”

“Saya percaya jika kita berpegang kepada prinsip ikatan antara kaum ini, pengundi akan memberi kemenangan seperti mana dalam pilihan raya kecil Ijok tahun 2007.

“Sungguhpun menentang calon ‘heavyweight’ seperti Tan Sri Khalid Ibrahim, Cikgu Parthiban wakil BN dari MIC tetap menang di kawasan majoriti Melayu,” katanya.

Khir memberitahu, masalah kepada sebahagian wakil rakyat bukan Melayu BN di kawasan majoriti Melayu ialah mereka membiarkan hanya Umno kehadapan dalam kawasan pengundi Melayu.

“Ini menyebabkan pengundi Melayu rasa kecil hati dan berpendapat wakil rakyat bukan Melayu daripada BN tidak mempedulikan mereka.

“Di sinilah timbul suara-suara mahukan wakil rakyat Melayu.

“Saya percaya jika wakil rakyat bukan Umno dari komponen BN lain memberi perkhidmatan kepada semua kaum dengan baik, orang Melayu tiada masalah memberi undi mereka kepada sesiapa calon BN,” katanya.

Semalam Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di sebalik gesaan supaya Umno diberikan peluang bertanding di Hulu Selangor.

Bagaimanapun Najib dilaporkan sudah membayangkan akan kekalkan kerusi itu kepada MIC.

Tee Hock Seng Letak Jawatan Bendahari Agung MCA

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bendahari Agung MCA dan Pengerusi Perhubungan Wilayah Persekutuan, Tan Sri Tee Hock Seng telah meletakkan kedua-dua jawatan parti semalam.

Tee menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Setiausaha Agung Parti, Datuk Wong Foon Meng dan juga Presiden yang baru dipilih Datuk Seri Dr Chua Soi Lek di ibu pejabat parti tengah hari semalam.

"Saya memutuskan meletak jawatan sebab saya berkhidmat bersama Datuk Seri Ong (Tee Keat). Oleh kerana beliau tidak lagi menjadi presiden parti, saya memutuskan meletak jawatan dalam parti," katanya ketika dihubungi malam semalam.

Tee dilantik ke kedua-dua jawatan itu selepas Tee Keat dipilih sebagai presiden parti pada Oktober 2008.

Tee berkata, beliau kesal kerana jawatankuasa pusat di bawah penggal Ong tidak dapat menghabiskan penggalnya, namun berharap pucuk pimpinan baru di bawah Dr Chua akan dapat menyatukan parti.

"Saya akan terus menjadi anggota MCA tetapi tidak akan menerima sebarang tawaran balas bagi saya memegang apa-apa jawatan dalam parti. Sebaliknya saya akan beri lebih perhatian kepada kerja-kerja kemasyarakatan dan persatuan puak," ujarnya.

Wong ketika dihubungi mengesahkan Tee telah meletak jawatan tetapi enggan mengulas lanjut.

Tee Keat kalah pada pemilihan baru parti Ahad lepas dalam pertandingan tiga penjuru menentang Dr Chua dan bekas presiden parti Tan Sri Ong Ka Ting.

APCO Nafi Dakwaan Anwar Ia Bekerja Dengan Kerajaan Israel

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Firma perunding komunikasi antarabangsa APCO Worldwide hari ini mengulangi kenyataan awalnya bahawa ia tidak bekerja dengan kerajaan Israel atau membantu mencipta konsep 1Malaysia sebagaimana didakwa oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Dakwaan yang diulangi terhadap APCO Worldwide pagi ini di Parlimen Malaysia adalah tidak benar. APCO Worldwide tidak bekerja untuk kerajaan Israel. Kami tidak mereka konsep 1Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pada 18 Mac lepas, APCO Worldwide menafikan dakwaan sama Anwar itu.

Semalam, Anwar pada sidang Dewan Rakyat menggesa kerajaan menarik balik kontraknya dengan APCO Worldwide dan menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja untuk menyiasat firma itu, dengan mendakwa ia membawa risiko terhadap keselamatan nasional.

Anwar menimbulkan isu APCO itu ketika memberi penerangan di Dewan Rakyat berikutan usul Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) supaya beliau dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mendakwa bahawa konsep 1Malaysia ditiru dari slogan "Satu Israel" yang beliau kaitkan dengan APCO Worldwide.

APCO berkata: "Dalam tugas kami selaku perunding komunikasi, kami tidak terlibat dalam penggubalan dasar tetapi dalam penyediaan maklumat yang kerajaan ingin perkongsikan dengan orang awam".

"Kami bekerja dengan kerajaan-kerajaan yang sedia mendapatkan nasihat kami mengenai ketelusan, demokrasi dan kedaulatan undang-undang. Kami rasa terhormat dapat terus bekerja dengan kerajaan Malaysia," katanya.

Kit Siang Saran Muhyiddin Letak Jawatan

TV SELANGOR


KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Ipoh Timor, Lim Kit Siang menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri jika beliau tidak dapat menjelaskan konsep 1 Malaysia sepenuhnya.

Beliau mendakwa konsep 1 Malaysia itu seolah-olah masih tidak mempunyai keseramataan dalam pemberian hak sama rata terhadap semua kaum.

Penasihat DAP itu turut mencabar Muhyiddin supaya menjawab persoalan mengenai perbezaan hak istimewa orang Melayu dan bangsa lain.

Lim berkata, Muhyiddin dilihat sebagai ahli politik yang terdesak hingga memaksa beliau membuat satu gadaian yang tidak berasas dan menentang Perlembagaan negara.

Kerajaan Selangor Anjur FESSTIS di Unisel

TV SELANGOR


SHAH ALAM : Kerajaan Selangor meneruskan Festival Sains Teknologi & Inovasi Selangor (FesSTIS’10) dengan tema “Rakyat Kreatif Selangor Inovatif” bermula semalam manakala acara kemuncak berlangung pada 11, 12 dan 13 Jun ini.

Program ini imulakan dengan Roadshow yang akan diadakan di beberapa pusat membeli belah di sekitar Klang dan Subang Jaya dalam masa terdekat.

Festival anjuran kerajaan negeri ini dimulakan pada tahun lalu dengan tema
“Transformasi Inovasi Generasi Bestari” untuk merakyatkan sains dan teknologi dan inovasi ini kepada rakyat Selangor.

Sepanjang tempoh ini, Kursus Asas dan latihan ICT dijalankan di seluruh daerah di Selangor khususnya kepada penduduk lura bandar.

Program bertempat di Kompleks PKNS Shah Alam ini merangkumi seminar, pertandingan siber kafe terbaik, pertandingan blog desa terbaik dan Pertandingan Portal e-Marketing Wanita.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berharap rakyat Selangor dapat memanfaatkan peluang terbuka ini bagi mengurangkan jurang sosio-ekonomi dan jurang digital IT di kalangan rakyat.

Ujar beliau, program ini dapat meningkatkan kemahiran informasi dalam bidang sains, teknologi dan inovasi antara pencipta, pengeluar dan pengguna dapat dikongsi bersama.

RM52 Bilion Saham Bumiputera Hilang: Umno/BN Pengkhianat?

Idris Ahmad


Parti Islam Semalaysia (PAS) kesal di atas pengkhianatan kerajaan umno/bn yang dengan kehilangan RM52 bilion saham bumiputera. Siasatan menyeluruh mesti dibuat ke mana lesapnya nilai saham yang begitu banyak yang diperuntukan kepada bumiputera. Siapakah dalang yang mengkhianat hak bumiputera perlu disisasat. Menteri yang bertanggungjawab mesti disiasat dan meletak jawatan.

Pas yakin dengan peruntukan wang sebanyak itu, pemilikan ekuiti bumiputera akan mencapai melebih daripada 30%. Tetapi akibat pengkhianatan amanah dan kejahilan pemimpin umno/bn maka ekuiti bumiputera hanya mendapat 19.4% sahaja.

Mereka juga menjadikan modal supaya rakyat yang miskin akan menjadi abdi moden dan takut untuk menyokong Pas dan Pakatan Rakyat. Kerajaan umno/bn memahami bahawa rakyat yang ,miskin adalah stok penimbal setiap kali pilihanraya. Memang kajian menunjukan rakyat yang miskin dan kurang pengetahuan begitu kuat bergantung dengan kerajaan melalui projek mee segera yang diberikan setiap kali pilihanraya

Pas menyedari bahawa kemiskinan yang dirancang supaya ia menjadikan modal dan halwa manisan untuk orang-orang Melayu/bumiputera akan terus menyokong umno/bn dalam setiap kali pilihanraya. Kerajaan umno/bn memahami bahawa rakyat miskin adalah stok penimbal setiap kali pilihanraya. Memang kajian, menunjukkan rakyat yang miskin dan kurang pengetahuan begitu kuat bergantung dengan kerajaan terutama janji yang ditaburkan setiap kali pilihanraya.

Umno/bn akan mencanang bahawa melayu mundur kerana ia adalah akibat ancaman daripada orang bukan melayu. Mereka mendakwa kalau orang melayu mahu selamat maka teruslah bersama dengan umno/bn kerana umno sahaja parti yang menjaga ketuanan melayu di negara ini. Sebenarnya atas nama ketuanan melayu menjadi tiket kepada mereka untuk menggadai hak orang melayu di negara ini.

Pas berpendapat buatlah apa dasar sekalipun jika tidak membuang sifat pembaziran, rasuah dan ketirisan dan salah urus, maka dasar Model Ekonomi Baru (MEB) juga akan mengulangi kegagalan DEB sebelumnya kerana pelakun yang sama dan membawa watak yang sama.

Apco: PAS cadang Majlis Raja-Raja campur tangan

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfiz Omar (gambar) mencadangkan Majlis Raja-Raja Melayu campur tangan dalam inisiatif kerajaan melantik Majlis Penasihat Antarabangsa Apco Worldwide (IAC) sebagai syarikat perundingan total kepada komunikasi negara.

Cadangan sedemikian penting kerana dengan partisipasi syarikat yang dikaitkan dengan jaringan Zionis-Israel, meletakkan tahap keselamatan negara dalam bahaya.

"Selain mengusahakan tubuh Suruhanjaya Diraja, Majlis-Majlis Raja Melayu juga perlu campur tangan kerana isu ini secara tak langsung membabitkan kepentingan negara, kepentingan Islam.

"Isu ini adalah isu yang serius kerana berkiatan keselamatan negara dan boleh menjadi ancaman pada keamanan negara," ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan mustahil membekalkan maklumat biasa berkaitan tanah air kerana fungsi sebenar Apco adalah menguruskan komunikasi strategik ke atas rakyat.

Ujarnya lagi, seperti suatu syarikat komunikasi antarabangsa yang pernah menjual maklumat strategik kepada Amerika ketika meletusnya Perak Teluk di Asia Barat, tidak mustahil perkara demikian berulang di Malaysia.

Sebelum pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir kerajaan kerana melantik Apco sebagai firma perunding imej kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan serta gagasan 1Malaysia.

"Tentang 1Israel' (dan) 1Malaysia', ia tidak boleh semuanya dianggap sebagai kebetulan," ujarnya.

Tambahnya lagi, dengan penyertaan beberapa bekas perisik Agensi Keselamatan Israel (ISA) dalam firma perundingan itu seharusnya memerlukan penjelasan jujur daripada Najib sendiri, mewakili Presiden Umno/BN.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, sekurang-kurangnya Najib wajar menafikan segala dakwaannya di Dewan Rakyat pada sesi penghujahan semula, tengah hari tadi.

Turut menyertai Mahfuz dan Anwar di lobi Parlimen adalah Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Dakwaan Apco seolah-olah mempunyai hubungan langsung dengan jaringan Zionis-Israel sekaligus mencemarkan wawasan 1Malaysia yang cuba diperkenalkan Najib.

PIBG: Muhyiddin buktikan kerajaan pekak, angkuh

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyelar keangkuhan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghalang persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) membincangkan soal dasar atau polisi sistem pendidikan negara.

Ini ekoran di Parlimen semalam, Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri memperingatkan bahawa tugas PIBG hanyalah berkaitan soal bagaimana untuk menambah baik pelajaran di sekolah yang mereka menjadi ahli sahaja.

Katanya, pandangan itu jelas menunjukkan kerajaan BN tidak terbuka menerima teguran rakyat dan masih mengamalkan dasar pekak telinga dan bersikap angkuh.

“PAS kesal dengan dasar dan pemikiran kecil beliau yang juga Timbalan Presiden Umno. PAS berpandangan bahawa PIBG juga adalah medium terbaik untuk para ibu bapa dan guru menyampaikan pandangan mereka khususnya yang melibatkan soal-soal pendidikan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Malah, katanya PIBG berhak untuk membincangkan atau memberikan pandangan terhadap dasar dan polisi pendidikan negara kerana itu semua akan memberikan kesan kepada anak-anak mereka.

Sepatutnya, kata beliau pihak Kementerian Pelajaran menjadikan PIBG rujukan utama sebelum sesuatu dasar itu diperkenalkan kerana mereka berhak dan lebih memahami keperluan pelajar dan anak-anak mereka.

Menurutnya, mesyuarat dan konvensyen PIBG akan menjadi lebih matang dan dilihat berwibawa jika mampu membincangkan soal-soal dasar dan polisi negara di samping tidak mengabaikan isu-isu dalaman sekolah.

“Jika mereka tidak diberikan ruang untuk bersuara, di manakah mereka ingin membawa pandangan mereka kerana tidak semua ahli PIBG terlibat dengan NGO atau parti politik. Jadi, apa salahnya mereka menggunakan medium yang ada untuk menyampaikan pandangan,” katanya lagi.

Secara sinis, katanya PAS mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin kerana membuktikan kebebalan dan keangkuhan kerajaan BN kepada rakyat.

Tambahnya, BN hanya melayan aduan atau pandangan yang selari dengan kehendak mereka, sedangkan pandangan yang tidak mengikut kehendak mereka diketepikan dan dianggap sebagai pandangan politik walhal isu yang disentuh jelas melibatkan isu pendidikan, bukannya politik.

“Kalau orang politik sekalipun, apabila berbicara isu pendidikan, ia tetap isu pendidikan, bukan isu politik dan tidak perlu dipolitikkan ternyata beliaulah yang cuba mempolitikan isu ini, bukan PIBG,” ujarnya.

Justeru, ujarnya PAS menawarkan kepada semua PIBG di negara ini untuk menyampaikan pandangan mereka melalui wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat jika BN sendiri sudah tidak mahu menerima pandangan mereka.

Beliau menambah, PAS akan memastikan wakil-wakil rakyat Pakatan akan membawa isu mereka ke Parlimen dan sidang-sidang Dun.

“Pakatan tidak sesekali membiarkan rakyat terus menerus dinafikan hak dalam memberikan pandangan, dan perjuangan kita adalah suara rakyat.

“PAS yakin rakyat akan memilih kerajaan yang lebih baik dan lebih terbuka dalam pilihan raya akan datang dan Pakatan Rakyat bersedia memberikan yang terbaik buat rakyat,” ujarnya.

Azhar boleh isi borang, jangan pertikai RM100

Mohd Sabri Said


SEBERANG JAYA: Ketua Pembangkang Dun Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim boleh mengisi borang untuk mendapatkan sagu hati RM100 pemberian Kerajaan Pakatan Rakyat negeri daripada mempertikaikan usaha membantu golongan warga emas.

Ketua Angkatan Muda Keadilan negeri, Amir Ghazali dalam nada sinis berkata, Azhar yang juga setiausaha Umno negeri sememangnya berkelayakan untuk mendapatkan bantuan tersebut.

"Walaupun hanya RM100 setahun iaitu 27 sen sehari, Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang menunjukkan keprihatinan yang tinggi, tidak sebagaimana Umno langsung tidak menghargai jasa warga emas," ujar beliau.

Katanya, Azhar dan Ketua Umno Permatang Pauh, Datuk Jalil Abdul Majid wajar sedar apa yang telah dibuat oleh Umno untuk rakyat termasuk warga emas selama memerintah negeri sebaliknya lebih berusaha untuk mengenyangkan perut kroni sahaja.

Tambahnya lagi, jika warga emas di kubu kuat Umno tidak mengambil pemberian wang kerajaan negeri yang berjumlah keseluruhan RM20 juta itu, mereka juga yang rugi bukannya kepimpinan Umno yang sering masuk kampung mempertikaikan usaha tersebut.

“Inilah caranya Umno memperjuangkan nasib bangsa Melayu, mereka sanggup menabur fitnah semata-mata tidak mahu warga emas di kampung-kampung termakan pemberian RM100 setahun.

"Umno sanggup memperkudakan warga emas untuk kepentingan politik sempit mereka. Kedatangan Pemuda Pakatan Rakyat ke beberapa lokasi yang dikuasai oleh Adun Umno akan menyelesaikan masalah berkenaan tidak lama lagi," tambahnya yang juga Ketua AMK Cabang Permatang Pauh.

Beliau memberitahu, Sektetariat Pemuda Pakatan Rakyat negeri terpaksa melakukan 'road show' ke serata kubu kuat Umno untuk mendaftarkan 50,000 lagi warga emas yang masih tidak berbuat demikian akibat terlalu mendengar tohmanah kepimpinan Umno/BN.

Katanya, tindakan itu akan dimulakan pada penghujung bulan April ini iaitu setelah pemberian RM100 kepada semua warga emas yang mendaftar selesai.

Jelas beliau, sepatutnya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Umno bekerjasama dalam hal ini bukanya bertindak menghalang warga emas daripada memperolehi saguhati RM100 setahun semata-mata mengenang jasa mereka berkorban untuk pembangunan negeri.

"Masih ada 50,000 lagi warga emas yang belum didaftarkan daripada jumlah 82,938 orang yang telah mula menerima sumbangan tersebut daripada Ketua Menteri, Lim Guan Eng sendiri pada dua majlis penyerahan simbolik di Dewan Serbaguna Seberang Jaya dan Masyarakat Penyayang, Pulau Pinang. Boleh dikatakan 50,000 lagi di Dun yang dikuasai Umno," tegasnya.

Katanya, Umno bukan sahaja tidak bekerjasama untuk menjayakan hasrat murni kerajaan berhati rakyat itu bahkan memperkecilkan sumbangan yang diberikan kononnya terlalu kecil buat seorang warga emas.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda Sosialis DAP negeri, Ng Wei Aik mencabar Azhar dan Jalil melaporkan pemberian RM100 setahun itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) jika mendapati ianya berbaur politik.

Menurutnya, Ketua Menteri sendiri sanggup dipanggil untuk disiasat jika langkah tersebut merupakan satu kesalahan yang terdapat pada undang-undang pilihan raya.

"Pemberian itu bukan salah dari segi undang-undang sebab ia dibolehkan kerana itulah pengorbanan kerajaan yang dilantik rakyat, bukan mencuri wang rakyat," tegas beliau.

MEB: Matlamat ekonomi sejahtera sekadar retorik

Harakahdaily


KUALA LUMPUR,: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, objektif kesejahteraan ekonomi yang ingin dicapai akan hanya menjadi retorik jika kerajaan Persekutuan tidak menghormati konsep federalisma dan demokrasi.

Tambahnya, penerusan sikap kerajaan Persekutuan yang tidak menghormati konsep federalisma dan demokrasi juga akan menjadi bom jangka yang menggagalkan kesejahteraan ekonomi rakyat.

“Apa yang berlaku ialah kerajaan negeri yang mungkin diperintah oleh parti yang berbeza dari parti di peringkat persekutuan akan menerima penindasan ekonomi dan dikekang pelaburan luar dengan semahunya oleh kerajaan Persekutuan.

“Akibatnya objektif kesejahteraan yang ingin dicapai akan hanya menjadi retorik yang sedap didengar sahaja,” ujarnya sebagai mengulas Model Ekonomi Baru (MEB) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata MEB masih lagi tidak mempunyai roh dan tidak menekankan kepentingan akhlak yang merupakan satu asas terpenting dalam memastikan transparensi dan ketelusan pelaksanaan sesuatu dasar ekonomi.

Katanya, sesebuatu negara boleh sahaja mempunyai dasar yang melangit hala tujunya, tetapi tanpa akhlak yang dihayati oleh pembuat dan pelaksana dasar, maka negara masih akan dibelenggu dengan sistem liberal kapitalis, akhirnya ianya hanya bersifat membuat perubahan terhadap kulit dan bukannya bersifat holistik yang merangkumi perkaitan antara dosa-pahala dan keadilan menyeluruh.

“MEB juga menyebut bahawa objektif yang ingin dicapai ialah supaya rakyat dalam negara kita mampu mempunyai kuasa membeli yang tinggi, hidup lebih aman, pengurusan yang baik dan pemuliharaan sumber alam.

“Objektif ini sangat murni tetapi penekanan terhadap peranan syarikat swasta dalam memacu ekonomi liberal kapitalis ini secara drastik akan meninggalkan kesan ekonomi terhadap penduduk luar bandar dan memungkinkan jurang antara bandar dan luar bandar terus melebar,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

MEB itu juga, katanya merupakan imbasan kembali kepada konsep pensyarikatan dan penswastaan Malaysia yang dilaksanakan oleh Tun Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri di mana pihak kerajaan akan melepaskan kepentingannya sedikit demi sedikit dalam sektor perkhidmatan rakyat kepada pihak swasta.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, walaupun pihak kerajaan memberikan jaminannya, akan tetapi rekod menunjukkan bahawa berlakunya pelepasan tangggungjawab kerajaan itu telah melahirkan satu monopoli baru sektor perkhidmatan yang akhirnya menekan ekonomi rakyat.

Tambahnya, apa yang diinginkan oleh rakyat bukannya peningkatan angka atau nilai peratusan pendapatan semata-mata, contohnya sasaran bagi meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia daripada AS$7,000 kepada AS$15,000 dalam tempoh 10 tahun; tetapi yang diinginkan ialah kesan sebenar dari perubahan suasana masyarakat yang lebih kondusif dan selamat dari jenayah, sifar rasuah, akauntabiliti yang nyata serta struktur ekonomi yang lebih adil dan jauh dari tekanan politik sempit.

BN memerintah, Rakyat bergelap

Oleh Masdar Wahid


KUALA LUMPUR : Sejak Tsunami Politik pada 8 Mac 2008 melanda seluruh negara, kerajaan pusat menyalurkan berbilion ringgit ke Sarawak kononnya untuk memajukan rakyat negeri itu.

Persoalannya ke mana wang itu dibelanjakan atau ia hanya berlegar di sekitar kepimpinan BN dan kroni mereka.

Terbaru, gerak kerja turun padang yang dilakukan oleh kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mendapati berlaku penindasan dan pengabaian berterusan oleh kerajaan BN terhadap rakyat miskin di negeri itu termasuklah ratusan keluarga miskin dalam kawasan Bandaraya Kuching.

Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR Sarawak, Ahmad Nazib Johari dalam gerak kerja turun padang itu misalnya menemui keluarga miskin yang dikenali sebagai Keluarga Kasmi yang menetap di Kampung Kudai, dalam kawasan Bandaraya Kuching lebih 30 tahun dan sehingga kini gagal mendapat bekalan elektrik.

“Kasmi sekeluarga seramai lapan orang masih menggunakan generator yang sama sejak lebih 30 tahun lalu.

Setiapkali generator itu rosak (gambar), kehidupan keluarga itu akan bergelap.

Mereka terpaksa menggunakan generator yang usang itu kerana keluarga Kasmi tidak mampu untuk membeli yang baru,” katanya.

Nazib yang juga seorang peguam menjelaskan bahawa Kasmi kini ibarat ketua keluarga sebenar kerana suaminya mengalami masalaha kesihatan dan situasi itu sudah pasti merupakan beban baginya lebih-lebih lagi kehidupan mereka yang serba dhaif.

“Di zaman moden ini masih ada lagi orang Malaysia yang tinggal di bandaraya Kuching hidup dalam keadaan tanpa bekalan elektrik dan ini sesuatu yang sukar diterima.

Sesuatu yang amat mendukacitakan juga ialah Kasmi pernah memohon bekalan elektrik melalui SESCO tetapi syarikat berkenaan mengenakan caj RM 14,000 untuk yuran pemasangan.

Keluarga miskin seperti Kasmi memang tidak mampu untuk membayar,” tambahnya.

Sehubungan itu katanya, AMK Sarawak menuntut agar kerajaan BN yang memerintah Sarawak sejak puluhan tahun lalu segera menyalurkan bekalan elektrik ke kampung itu yang merupakan hak penduduk berkenaan.

Sementara itu, dalam gerak kerja berasingan, AMK Sarawak dalam lawatan itu turut bergotong-royong membaiki rumah seorang lagi keluarga miskin yang dikenali sebagai Fatilah yang terletak di Jalan Patingan.

“AMK Sarawak akan pergi ke Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk menolong Fatilah memohon skim PPT (Projek Perumahan Termiskin) dan rumah kos rendah dalam masa terdekat supaya dapat menyelesaikan masalah Fatilah,” jelas Nazib

Diakhir gerak kerja itu, AMK Sarawak menyalurkan pelbagai bantuan kepada kedua-dua keluarga miskin tersebut termasuklah, mi, telur, minyak masak dan pakaian kepada keluarga tersebut.

Turut serta dalam gerak kerja turun padang AMK Sarawak itu ialah Penasihat PKR Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padungan, Dominuque Ng Kim Hoe, Timbalan Ketua AMK Sarawak, Mark Murau, Naib Ketua AMK Sarawak, Wong Liong Hing dan puluhan kepimpinan PKR negeri Sarawak.

Hulu Selangor : Pakar Neorologi VS Pakar Pikul Duit ?

Oleh Angkasanuri

Bahang pilihanraya kecil Hulu Selangor makin kuat dirasai. Ketika muafakat jelas terbentuk dalam Pakatan Rakyat bahawa kerusi parlimen berkenaan milik PKR sebaliknya berlaku dalam BN yang masih bermain tarik tali calon parti mana yang bakal bertanding.

Bagi MIC itu adalah kuota atau kerusi mereka dulu kini dan selamanya. Ini ditegaskan oleh oleh Datuk Seri Samy Vellu dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Bahagian MIC Hulu Selangor kelmarin. Tanpa berahsia, Samy Vellu menyebut kerusi itu akan ditandingi oleh G.Palanivel yang juga timbalan presiden MIC. Kenyataan Samy Vellu juga disokong oleh Dato Seri Muhd. Khir Toyo

Walau bagaimanapun wujud desakan kuat agar kerusi itu ditandingi oleh calon Umno. Pengaruh MIC yang makin terhakis dan semangat Melayu yang sedang meluap-luap sekarang dalam Umno menjadi hujah agar Umno diberikan kerusi berkenaan.

Parti mana pun yang bertanding mewakili BN dijangka akan mencetuskan konflik terbaru di dalam BN setelah pergolakan hebat dalam MCA.

PKR kelihatan tidak ketandusan tokoh untuk mempertahankan kerusi berkenaan. Antara nama yang menjadi pilihan ialah Datuk Dr Halili Rahmat pakar neurologi/bedah saraf anak tempatan yang juga Bendahari PKR bahagian.

Jika Umno bertanding maka calon pilihan mereka pula ialah Tan Sri Muhd. Taib. Siapa yang tak kenal Md. Taib? Beliau merupakan bekas Menteri Besar Selangor dan tidak dilupakan jasanya melarikan anakanda Almarhum Sultan Selangor satu ketika dulu. Tak kurang masyurnya, kehebatan Md. Taib memikul duit bernilai jutaan ringgit yang dianggarkan berat melebihi 10 kilogram sewaktu cuba meninggalkan Australia. Sehingga hari ini belum ada mana-mana individu dalam negara yang berjaya memecahkan rekod berkenaan.

Jika spekulasi ini menjadi kenyataan maka pertarungan di Hulu Selangor bakal menyaksikan pertarungan di antara pakar Neurologi dan pakar pikul duit. Sudah tentu banyak yang menarik jika telahan ini menjadi kenyataan.

Petikan Dari http://angkasanuri.blogspot.com/

Sidang DUN Perak: Pembangkang cetus kekecohan ketika sesi soal jawab

BERITA HARIAN ONLINE


IPOH: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pagi ini kecoh apabila wakil rakyat pembangkang membuat bising hampir sepanjang sesi soalan lisan yang bermula jam 10 pagi tadi.

Wakil pembangkang enggan mengemukakan soalan dan hanya wakil rakyat Barisan Nasional (BN) berbuat demikian sepanjang sesi yang berakhir jam 10.45 pagi tadi.

Mesyuarat pertama penggal ketiga Sidang DUN Perak ke-12 semalam dirasmikan Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Bagaimanapun, semalam ia berjalan lancar walaupun beberapa wakil rakyat pembangkang cuba menganggu persidangan itu.


BERITA BERKAITAN

DUN Perak: Wakil pembangkang keluar dewan


IPOH: Semua 28 wakil pembangkang bertindak keluar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, sebentar tadi selepas dikatakan tidak berpuas hati dengan perjalanan persidangan itu sejak pagi ini.

Sidang yang bermula jam 10 pagi tadi kecoh selepas mereka membuat bising ketika sesi lisan apabila wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mengemukakan soalan.

DUN Perak: Syor undi lucutkan gelaran Datuk Seri, Datuk terhadap Nizar dan Ngeh

BERITA HARIAN ONLINE


IPOH: Seorang wakil wakyat Barisan Nasional (BN) mencadangkan supaya gelaran Datuk Seri dan Datuk yang masing-masing dikurniakan kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jalamaluddin dan Datuk Ngeh Koo Kam dilucutkan oleh Istana Perak.

Cadangan usul itu dikemukakan oleh Datuk Shaahrani Mohamad (BN-Rungkup) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, sebentar tadi.

Beliau mencadangkan agar Dewan mengumpulkan undi menyokong perkara itu sebelum dipersembahkan kepada Sultan Perak.

Mohammad Nizar adalah wakil rakyat Pas bagi Pasir Panjang, manakala Ngeh (DAP-Setiawan) yang juga Pengerusi DAP Perak.

Anak Kelantan Di Perantauan Mahu Pemangku Raja Kelantan Ambil Tindakan Sewajarnya

BERNAMA

KUALA LUMPUR -- Persatuan Anak-Anak Kelantan Darul Naim Malaysia (Pakatan), yang mewakili anak-anak Kelantan di perantauan, hari ini berharap agar Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra mengambil tindakan-tindakan sewajarnya berdasarkan hak dan kuasa baginda berhubung kemelut yang berlaku di negeri itu.

"Kami memohon ampuni perkenan YMM Pemangku Raja Kelantan yang mempunyai kuasa seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Perlembagan negeri Kelantan supaya memastikan negeri Kelantan berada dalam keadaan harmoni," kata Presidennya Datuk Dr Noordin Ab Razak dalam satu kenyataan.

Katanya Pakatan melahirkan kebimbangan berhubung keadaan kesihatan Sultan Kelantan dan keutuhan institusi Kesultanan Kelantan berikutan penyiaran kenyataan-kenyataan yang mengelirukan di media dan internet.

Sehubungan itu, Dr Noordin berharap agar Pemangku Raja Kelantan mengambil tindakan sewajarnya termasuklah memastikan kesihatan Sultan Kelantan terjaga dan diberi rawatan sewajarnya oleh doktor-doktor pakar.

"Melantik panel doktor pakar supaya membuat pemeriksaan lanjut ke atas KDYMM Al-Sultan dan membuat laporan tepat mengenai status keadaan KDYMM Al-Sultan supaya kami tidak tertanya-tanya akan keadaan sebenar tahap kesihatan KDYMM Al-Sultan," katanya.

Sambil melahirkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Sultan Kelantan dan Pemangku Raja Kelantan, Dr Noordin berkata tindakan tegas oleh Pemangku Raja adalah perlu untuk menegakkan perlembagaan dan undang-undang bagi menghentikan kemelut yang berlaku supaya perlembagaan dan undang-undang Tubuh Negeri Kelantan terus dihormati.

Perkasa nafi semangat 1Malaysia? - Idris Ahmad

Oleh Mohd Ali Bakri

KUALA LUMPUR: Kelahiran Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) seperti menafikan semangat 1Malaysia apabila NGO itu yang disifatkan oleh ramai orang sebagai pengganti Umno itu berterusan membawa tema perkauman Melayu yang sempit.

Ketua Penerangan Pas Idris Ahmad berkata, penyertaan ahli-ahli Umno dan sokongan mereka ke atas kumpulan Perkasa itu adalah bukti jelas bahawa Umno tidak serius dalam gagasan 1Malaysia tajaan Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak.

"1Malaysia cuma gimik bagi menarik kembali sokongan kaum-kaum bukan Melayu kepada BN, sedangkan dalam masa yang sama mereka menyertai Perkasa yang menghina kaum-kaum lain atas nama Melayu.

"Sebelum ini, kerajaan BN dan Umno berpakat mengharamkan pertubuhan Su Qiu dan Hindraf yang dikatakan pelampau Cina dan India yang menyemarakkan perkauman. Tapi, bila Perkasa wujud, mereka membelanya atas nama kebebasan bersuara," kata beliau.

Dalam hal ini, tambahnya, jelas membuktikan ketidakadilan Umno dalam memberikan hak kepada semua kaum bagi mewujudkan pertubuhan.

Perkasa mudah dapat permit akhbar, kerajaan berat sebelah


Malah, kata Idris, Perkasa dapat keistimewaan khas untuk terbitkan akhbar sendiri walhal Harakah dan Suara Keadilan sukar mendapat permit.

"Pas tidak menafikan hak Perkasa berpersatuan, tapi kerajaan perlu adil dan Umno seharusnya menyatakan pendirian sebenar mereka dalam gagasan 1Malaysia.

"Pengakuan Ketua Pemuda Umno sebelum ini bahawa memang ada ahli Umno menyertai Perkasa membuktikan bahawa Umno sendiri adalah parti perkauman yang ekstrim dan melampau," tambah beliau lagi.

Katanya, kehadiran Mukhriz dan Awang Adek di dalam mesyuarat agung tahunan Perkasa mutakhir ini adalah contoh bahawa pemimpin Umno tidak ikhlas dalam gagasan 1Malaysia, lalu Perkasa mula menyemarakkan kebencian kepada kaum-kaum lain.

"Rakyat makin sangsi dengan kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak yang dilihat gagal memberi kefahaman kepada ahli Umno terhadap gagasan 1Malaysia.

Najib ditentang dalam diam?


"Mungkinkah wujud penentangan ke atas Najib dan gagasannya itu hingga membuatkan ahli dan pemimpin Umno secara terbuka menyokong Perkasa?" soal Idris lagi.

Tambahnya, gagasan 1Malaysia tidak perlu jika pertubuhan atau parti perkauman tidak wujud.

"Ini kerana, mereka yang sering menyemarakkan rasa benci, dendam dan amarah antara kaum di negara ini," tamabah Idris lagi.

Pengawal terkejut jumpa janin dalam balang

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan merasa curiga dengan penemuan sebuah balang plastik yang diletakkan di hadapan pintu pagar kuil Foo Yan di Jinjang Utara di sini.

Penemuan itu mendorongnya untuk memeriksa balang tersebut dan alangkah terkejutnya apabila mendapati di dalamnya mengandungi janin bayi lelaki.

Kejadian berlaku pada pukul 11.40 malam tadi, ketika Joseph Mukan, 33, sedang bertugas di kuil tersebut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, siasatan awal mendapati janin berusia empat bulan itu ditemui masih bertali pusat.

"Keadaan janin itu sudah cukup sifat dengan panjang lebih kurang 10 sentimeter. Janin itu kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat petang ini.

"Tiada saksi melihat individu meletakkan janin tersebut ketika kejadian. Kita telah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kejadian," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

500 AHLI UMNO BUKIT GARAM SERTAI PKR

Laporan : HALIK ZAMAN (sabahkini)



PENGERUSI Majlis Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Negeri Sabah, Ahmad Tamrin hari ini telah dimaklumkan bahawa Cabang PKR Kinabatangan telah menerima penyertaan masuk seramai 500 orang ahli baru terdiri daripada beberapa Cawangan UMNO di sekitar Kinabatangan.

Penyertaan beramai-ramai ini ekoran rasa tidak puas hati masyarakat setempat dengan Wakil Rakyat UMNO yang mewakili kawasan berkenaan yang tidak mahu turun padang membantu mengatasi masalah kemiskinan kami.



Menurut mereka yang telah menemui Ahmad Tamrin semasa beliau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Kinabatangan di Bukit Garam, bahawa "UMNO/BN telah pun memerintah negeri Sabah hampir 16 tahun, namun mereka tidak nampak apa-apa keberhasilan yang memihak kepada rakyat pedalaman; selain keberhasilan yang lebih terarah kepada poket dan kepentingan para pemimpin UMNO itu sendiri."

Kata salah seorang kuat Cawangan UMNO di sini, "Banyak perkara yang tidak menyenangkan hati rakyat Kinabatangan Rakyat Sabah diibaratkan mengemis hak mereka sendiri. Beberapa kepimpinan terdahulu selain dari UMNO ada juga memperuntukkan pembahagian tanah kepada rakyat Kinabatangan, namun apabila UMNO/BN mengambil alih tampuk pemerintahan, kemudahan ini tidak lagi mereka nikmati. Banyak lagi permasalahan yang tidak ditangani di Kinabatangan yang telah di kenal-pasti."

"Penduduk setempat berhasrat perkara-perkara sebegini dapat diatasi seandainya Pakatan Rakyat mampu menumbangkan dinasti para pemimpin UMNO di bumi Sabah ini. Kelelahan menantikan pembaharuan yang sering dicanangkan oleh para pemimpin UMNO sebenarnya hanyalah omong kosong. Rakyat pedalaman terus-menerus sengsara, manakala para pemimpin UMNO megah mempamerkan kekayaan dan 'dua tiga isteri-isteri jelita' mereka, kami dibuat bagai jambatan, bila lalu tongkat dibuang," rungut seorang ibu kesal.

Mereka juga menyimpan penuh pengharapan yang amat tinggi terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat untuk membaik-pulih senario ekonomi dan melaksanakan kemajuan untuk penduduk pedalaman yang saban hari mendambakan pembelaan dari kepimpinan yang telah mereka undi, namun penantian mereka senantiasa berakhir dengan kehampaan.

Pengerusi Pimpinan PKR Negeri, Ahmad Tamrin dalam ucapannya bersama rakyat Kinabatangan mengatakan, " PKR sentiasa menghulurkan tangan terbuka menerima sesiapa sahaja yang mahu menyertai perjuangan PKR, matlamat PKR untuk memperbaiki keadaan hidup rakyat yang selama ini dilupakan dan membina masa depan rakyat menuju ke arah suatu destinasi perubahan hidup rakyat yang cemerlang."

"Rakyat semua harus membuka minda menuju ke arah masa depan yang lebih ceria daripada kepompong sempit di bawah ketiak para pemimpin UMNO dan kroni-kroninya yang membolot segala projek demi diri, demi kroni dan khadam-khadam para pemimpinnya. Kalau dalam PKR, kita tidak ada kroni, tidak ada khadam dan para pemimpin PKR berkhidmat untuk rakyat," bidas Tamrin dengan penuh semangat.

Ahmad Tamrin mengucapkan tahniah kepada Cabang PKR Bukit Garam Kinabatangan yang berkerja kuat dan mengucapkan tahniah kepada 500 orang ahli UMNO yang menyertai PKR kerana kesedaran mereka.


Malek Noor Kini Bergelar Datuk

BERNAMA


Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memakaikan pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) kepada Abdul Malek Mohd Noor pada istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Pahang sempena ulang tahun hari keputeraan Sultan Pahang di Istana Sultan Abu Bakar, Pekan, hari ini. -Foto BERNAMA

PEKAN: Bekas juara bina badan Asia, Malek Noor hari ini dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) membawa gelaran "Datuk" sempena ulang tahun hari keputeraan ke-79 Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pada 24 Oktober lepas.

Malek atau nama sebenarnya Abdul Malek Mohd Noor merupakan antara 57 penerima DIMP dalam istiadat disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini.

Malek yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Atlet Malaysia Berhad mengucapkan rasa syukur kerana pembabitannya dalam bidang sukan menerima penghargaan Sultan Ahmad Shah.

"Semoga penghargaan ini menjadi pendorong kepada generasi muda yang berkecimpung dalam bidang sukan, namun perlu diingat supaya jangan terlalu berharap untuk menerima gelaran, sebaliknya perlu melakukannya dengan bersungguh-sungguh," katanya yang berkecimpung selama 25 tahun dalam bidang bina badan.

Penerima DIMP lain termasuk Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Seremban, Ahmad Nasfy Yasin; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Datuk Abdul Aziz Ishak; Pengarah Perikanan Pahang, Mohamad Mat Saman; Pengasas dan Pengarah Urusan Yusmira Trading Sdn Bhd, Datin Yusmira Mohd Yusof dan Pesara Askar Orang Asli, Mohd Nor Abdullah.

Sementara itu, ratu rock negara, Ella atau Nor Zila Aminuddin, 43, dan vokalis utama kumpulan Spring, Ameng atau Wan Aminuddin Wan Ismail pula merupakan antara 14 penerima darjah Setia Mahkota Pahang (SMP).

Ella berkata, beliau bersyukur dengan penghargaan itu kerana penyanyi rock akhirnya mula dihargai masyarakat dan keadaan ini berbeza berbanding waktu beliau mula-mula menceburi industri hiburan tanah air.

Pada istiadat itu juga, sembilan orang menerima darjah Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP), 25 menerima darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP), 10 orang masing-masing menerima Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) dan Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) serta 34 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Khazanah Akan Jual Kepentingannya Dalam Pos Malaysia Dua Peringkat

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd akan menjalankan proses penjualan dua peringkat bagi pengangan kawalan 32.2 peratusnya dalam Pos Malaysia Bhd.

Proses penjualan strategik itu sejajar dengan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila mengumumkan Model Ekonomi Baharu di sini semalam.

Dalam satu kenyataan, Khazanah berkata, dalam peringkat pertama, aspek utama bagi persekitaran perniagaan makro Pos Malaysia akan ditangani untuk memastikan kepentingan awam dan komersil adalah seimbang.

"Seperti yang ditunjukkan oleh kerajaan, ini dijangka akan termasuk, struktur kawal atur, penggunaan tanah milik kerajaan yang diperuntukkan untuk prasarana pos, dan kepentingan pekerja syarikat," katanya.

Pada peringkat kedua, Khazanah akan menjalankan proses bidaan untuk memilih pemegang saham kawalan berdasarkan pertimbangan kewangan dan strategik.

Keperluan utama ialah bidaan yang layak harus dikawal oleh pihak Malaysia, dengan pertimbangan sewajarnya kepada kualiti rakan kongsi strategik dan teknikal yang mungkin membabitkan pihak asing.

"Peringkat pertama akan bermula serta merta, manakala peringkat kedua akan bermula setelah syarat-syarat pada peringkat pertama dipenuhi.

"Kedua-dua peringkat akan dibuat menerusi proses tadbir urus korporat yang betul dan dengan rundingan bersama semua kumpulan pemegang saham berkaitan," kata Khazanah.

"Dalam memilih Pos Malaysia sebagai calon bagi penjualan strategik, ini berikutan pertimbangan bahawa walaupun sebahagian daripada aktiviti Pos Malaysia kekal sebagai perkhidmatan awam yang penting, sebahagian besar aktivitinya kini didapati kurang penting berikutan perkembangan perkhidmatan komunikasi dan media moden," jelasnya.

Kelebihan unik Pos Malaysia dari segi lokasi dan jaringan juga menawarkan peluang penciptaan nilai yang kukuh dalam bidang logistik dan runcit yang mungkin lebih sesuai di bawah struktur milikan yang lain dengan syarat kepentingan awam dan pemegang saham tetap dilindungi.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, Khazanah terus komited kepada penciptaan nilai dalam pegangannya menerusi Program Perubahan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pada waktu yang sesuai, pengurangan pegangan bukan terasnya untuk merealisasikan perubahan ekonomi Malaysia di bawah MEB.

"Penjualan strategik pegangan kawalan Khazanah dalam Pos Malaysia yang dicadangkan ini akan dijalankan atas sebab itu, di mana pegangan penciptaan nilai akan diserahkan kepada pemegang saham kawalan yang akan dipilih dengan cara yang telus dan berasaskan merit," katanya.

Khazanah telah menjalankan penjualan pegangan aset bukan teras dan tidak berdaya saing secara berperingkat semenjak pertengahan 2004, melibatkan sejumlah RM18.4 bilion dalam 30 urus niaga, yang telah mendatangkan keuntungan sebanyak RM8.4 bilion. -

Tee Hock Seng Letak Jawatan Bendahari Agung MCA

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bendahari Agung MCA dan Pengerusi Perhubungan Wilayah Persekutuan, Tan Sri Tee Hock Seng telah meletakkan kedua-dua jawatan parti semalam.

Tee menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Setiausaha Agung Parti, Datuk Wong Foon Meng dan juga Presiden yang baru dipilih Datuk Seri Dr Chua Soi Lek di ibu pejabat parti tengah hari semalam.

"Saya memutuskan meletak jawatan sebab saya berkhidmat bersama Datuk Seri Ong (Tee Keat). Oleh kerana beliau tidak lagi menjadi presiden parti, saya memutuskan meletak jawatan dalam parti," katanya ketika dihubungi malam semalam.

Tee dilantik ke kedua-dua jawatan itu selepas Tee Keat dipilih sebagai presiden parti pada Oktober 2008.

Tee berkata, beliau kesal kerana jawatankuasa pusat di bawah penggal Ong tidak dapat menghabiskan penggalnya, namun berharap pucuk pimpinan baru di bawah Dr Chua akan dapat menyatukan parti.

"Saya akan terus menjadi anggota MCA tetapi tidak akan menerima sebarang tawaran balas bagi saya memegang apa-apa jawatan dalam parti. Sebaliknya saya akan beri lebih perhatian kepada kerja-kerja kemasyarakatan dan persatuan puak," ujarnya.

Wong ketika dihubungi mengesahkan Tee telah meletak jawatan tetapi enggan mengulas lanjut.

Tee Keat kalah pada pemilihan baru parti Ahad lepas dalam pertandingan tiga penjuru menentang Dr Chua dan bekas presiden parti Tan Sri Ong Ka Ting.

Selangor Ikhtiar Pilihanraya PBT

TV SSELANGOR

Mesyuarat Exco hari ini memutuskan untuk menyiarkan kepada umum surat yang dihantar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada Menteri Besar Selangor berhubung cadangan untuk mengadakan pilihan raya peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Tindakan ini bagi membolehkan orang ramai memahami isu ini secara mendalam.

Dalam surat setebal 11 muka surat bertarikh 23 Mac 2010 itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memberikan maklumat dari perspektif perundangan dan had batasan berkaitan cadangan mengadakan pilihan raya PBT di Selangor.

Beliau membuat kesimpulan bahawa SPR dan negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengadakan pilihan raya peringkat PBT bagi memilih ahli majlis.

Tan Sri Abdul Aziz juga berkata, SPR tidak boleh menjalankan kajian dan analisis seperti yang diminta Selangor kerana ia bukan bidang kuasa SPR seperti termaktub dalam Perlembagaan dan Akta Pilihan Raya 1957.

Kerajaan Negeri menegaskan surat SPR ini bukan noktah akhir kerana kerajaan negeri akan terus berusaha mencari jalan atau kemungkinan lain yang membolehkan pilihan raya PBT ini diadakan.

“Kita membincangkan isu ini dalam Mesyuarat Exco hari ini dan memutuskan jalan terbaik ialah dengan mencari pilihan lain dari sudut yang berbeza.

“Kami percaya dalam sebuah negara yang matang, fungsi sesebuah kerajaan perlu didemokrasikan dan ini baik kerana rakyat mempunyai banyak pilihan,” kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pada 11 Mac lalu, Menteri Besar menulis surat kepada SPR untuk mendapatkan pandangan mengenai pilihan raya kecil PBT selain meminta SPR mengadakan kajian menyeluruh untuk kepentingan rakyat khususnya di Selangor.


Seks Luar Tabii: Kerajaan Enggan Dakwa Chua Soi Lek

TV SELANGOR

Perdana Menteri Najib Razak, Ketua Polis Negara Musa Hassan dan Peguam Negara Gani Patail lazimnya bingkas menegaskan sistem keadilan negara dilaksanakan tanpa memilih bulu dan yang salah tetap di kenakan tindakan.

Namun ketiga-tiga mereka membisu apabila berdepan dengan isu skandal video lucah Chua Soi Lek – bekas Menteri Kesihatan yang diangkat sebagai presiden baru MCA pada pemilihan parti itu Ahad lalu.

Sikap itu membawa tafsiran Chua dilindungi dan diberi layanan khas walaupun sendiri mengaku melakukan seks haram luar tabii yang menyalahi undang-undang negara.

Beberapa laporan polis di buat terhadap Chua setelah beliau mengakui melakukan hubungan seks di luar tabii dan pita rakaman itu diedarkan secara meluas di seluruh negara.

Namun semua itu dilupakan malah Najib mengangkat Chua sebagai penyelaras Barisan Nasional pada tahun lalu.

Musa dan Gani setakat ini tidak tampil untuk memaklumkan hasil siasatan atau memberi penjelasan mengapa tidak ada pendakwaan terhadap Chua.

Dan semalam, setelah diisytiharkan presiden baru MCA, segala laporan polis dan hasil siasatan pihak berkuasa nampaknya sudah dilupakan, bukan sahaja oleh Chua , tetapi juga oleh peguam Negara dan ketua polis Negara dan perdana menteri sendiri.

“ Dalam kes Chua Soi Lek di mana beliau mengaku kesalahan yang beliau lakukan, video juga telah dikemukan, tetapi UMNO-Barisan Nasional gagal untuk mengambil tindakan yang tegas terhadap Chua Soi Lek. Persoalan beliau telah dimaafkan oleh perwakilan, adalah masalah dalaman parti tetapi jenayah yang telah dilakukan mestilah diadili oleh mahkamah yang terbuka. Dari segi ini kita dapat melihat UMNO bukan berminat untuk membanteras jenayah tetapi mereka sekadar memilih bulu cuba melempar fitnah terhadap Pakatan Rakyat," kata Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali.

Peguam Sankara Nair adalah antara yang pertama mempersoalkan kewibawaan Gani atas keengganannya mendakwa Soi Lek walaupun mempunyai bukti amat kukuh termasuk pengakuan bekas menteri kesihatan itu.

Sankara menyifatkan keengganan Peguam Negara untuk mendakwa Chua sebagai “ diskriminasi tahap paling tinggi dan mencerminkan sikap berat sebelah Peguam Negara”.

“Kes mengenai dia yang ada oral seks dan sebagainya itu, kita lihat Peguam Negara tidak mengambil tindakan terhadap perkara ini walaupun adanya keterangan yang nyata daripada pihak Chua Soi Lek sendiri dan juga pengakuan serta laporan polis dibuat terhadapnya," kata pengamal undang-undang Wan Anwar Wan Syahadat.

“Jadi mengapa dalam kes pendakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim, memang kita nafikan sekeras-kerasnya dan tidak mempunyai bukti dan nyata yang keras, kenapa Datuk Seri Anwar didakwa di mahkamah sedangkan Datuk Chua soi Lek tidak didakwa di mahkamah," tegas beliau.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong, layanan berbeza untuk Chua dan Anwar menunjukkan kerajan mengamalkan dua sistem keadilan berteraskan kepentingan politik.

“Ini 1 Malaysia 2 sistemlah. Satu sistem untuk ahli-ahli Barisan Nasional, satu sistem untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini memang selective prosecution”

Dan apa pula kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berhubung su ini.

“ Tak tau. Saya tak tau. Itu kita tanya polis, saya tak tau”


Siapa Pemilik Pembinaan M.A.N Sdn Bhd

SM NOR

http://buletinonline.net/images/stories/berita23/zalehanik.jpg- kontraktor bangunan INOS-AKUATROP UMT yang runtuh.
KUALA TERENGGANU

Bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur Tropika (INOS-AKUATROP) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang bernilai RM25 juta adalah dibina oleh Pembinaan M.A.N Sdn Bhd yang beralamat di 25-A Losong Masjid, 21000 Kuala Terengganu.

Syarikat tersebut telah ‘dianugerahkan’ tender pembinaan diatas pada 28 Disember, 2008 oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia.

Kerja-kerja pembinaan dimulakan pada 15 Disember tahun yang sama dan dijangka siap pada pada 18 Disember, 2010.

Pembinaan MAN memang cukup hebat, kerana selang 10 hari dari tarikh menerima anugerah tender membina INOS-AKUATROP UMT, syarikat yang sama dianugerahkan pula satu kontrak pembinaan Klinik Kesihatan Batu 2 ½ jalan Air Putih Chukai, yang bernilai RM13, 833, 561.60.

Apakah keistimewaan syarikat ini? Sehingga disayangi oleh kerajaan Malaysia yang memberikan kontrak bernilai RM38.9 juta dalam tempoh 10 hari!

Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah satu lagi program ‘Juara Rakyat’, ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian di Utamakan dan Orang Kuat Umno (OKU) Melaksanakan’.

Lembaga Pengarah Pembinaan M.A.N adalah empat orang yang terdiri daripada adik beradik Mohamed@Mohd Amran b. Nik dan Jannah@Zaleha b Nik, serta dua orang yang dipercayai anak kepada Mohd Amran iaitu Suhaida Amran dan Ahmad Shahril b Mohamed@Mohad Amran.

Yang lain tidak dijumpai rekodnya sebagai aktivis Umno, namun Jannah@Zaleha b Nik (gambar) adalah bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Terengganu 2005 - 2008

Oleh itu, tidak hairanlah kalau Pembinaan M.A.N mendapat layanan yang begitu baik oleh kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menterinya Dato’ Seri Najib Razak.

Selain itu, rekod menunjukkan betapa kayanya orang Umno Terengganu dengan rekod Pembinaan M.A.N sendiri yang telah mendapat nilai kontrak kerajaan sebanyak lebih dari RM135 juta sejak tahun 2000.
(Klik Untuk Lihat)