Isnin, 29 Februari 2016

Penganalisis: Krisis Umno gugat BN

BN


SHAH ALAM – Krisis  yang berlaku dalam Umno kini ibarat gempa bumi kecil yang akhirnya akan memberi kesan pada sokongan rakyat terhadap BN pada PRU14.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, melihatkan persepsi rakyat terutamanya di media sosial, BN berdepan situasi sukar mengembalikan semula sokongan rakyat mahupun ahli akar umbinya.

“Saya lihat persepsi masyarakat, kesetiaan dalam kalangan ahli Umno sebenarnya boleh diragui. Kalau orang Umno sendiri  mencurigai kepimpinan, apatah lagi  orang luar. Siapa lagi yang akan membantu parti.

“BN harus berwaspada, kerana situasi genting ini bukan ujian oleh pihak luar, tetapi ini dalam parti. Ini bukan krisis parti, tetapi ini perang elit dalam Umno iaitu antara kem Datuk Seri Najib Razak dan Kem Tan Sri Muhyddin Yassin. Perang ini yang menyebabkan Umno dipandang rendah oleh orang luar,” katanya.

Menurutnya, penggantungan Tan Sri Muhyiddin Yassin  daripada jawatan timbalan presiden Umno mendedahkan lagi konflik kepimpinan Umno, yang selama ini tidak nampak secara ketara.

“Apabila berlaku tindakan terhadap Muhyiddin, rakyat akan nampak secara ketara akan konflik dalaman Umno. Masyarakat di bawah tertanya-tanya siapa yang betul dan salah. Umno harus bersedia, perang persepsi dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, paling dibimbangi wujudnya revolusi dalam kalangan ahli Umno  yang mahu mensabotaj parti.


“Dalam satu sudut, itu hak Majlis Tertinggi Umno untuk tentukan (penggantungan). Tetapi perlu diingat, Umno itu milik ahli.
“Mereka ahli parti, tetapi tidak lagi mengiktiraf diri sebagai ahli Umno dan tidak lagi menyokong Umno,” katanya.
Katanya, protes secara senyap dalam kalangan ahli boleh berlaku apabila tibanya PRU.
“Mereka akan protes dalam diam, jentera tidak bergerak, berlaku perselisihan di peringkat bawah, tidak keluar mengundi mahupun  undi rosak. Ini tindakan yang sudah lambat. Paling digusarkan, sabotaj di kotak undi, tidak akan dapat disekat,” katanya.
Justeru, pemangku Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  dilihat akan menggalas tugas serta tanggungjawab yang berat bagi memastikan sokongan rakyat kembali kepada Umno dan BN.
“Jadi dalam hal ini, Ahmad Zahid akan menjadi mangsa imej dan populariti,” katanya.

Tiada ulasan: