Jumaat, 26 Februari 2016

Mahfuz: Bentang siasatan isu RM2.6b Najib, SRC di Parlimen

MALAYSIAKINI




Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar hari ini mencadangkan supaya kertas siasatan berhubung ‘derma’ RM2.6 bilion dan wang SRC International yang disalurkan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dibentangkan di Parlimen.

Ini, katanya akibat kekalutan apabila Penal Penasihat Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan siasatan diteruskan sedangkan Peguam Negara, Mohamed Tan Sri Mohd Apandi Ali pula mengarahkan kes itu ditutup.

“Saya sarankan jika benar dakwaan peguam negara tiada kes dalam kedua-dua kertas siasatan dan arahan kes ditutup, saya cabar PM dan peguam negara membentangkan kedua-dua kertas siasatan tersebut ke sidang parlimen yang akan bermula 7 Mac ini untuk dijadikan dokumen awam,” katanya.

Melalui kenyataan medianya hari ini, Mahfuz berkata tindakan itu sebagai langkah berkesan menjadikan kertas siasatan itu sebagai dokumen awam.

“Tiada undang undang yang menghalang untuk PM dan peguam negara untuk berbuat demikian,” katanya.

SPRM sedang menyiasat dana RM42 juta milik syarikat negara, SRC International dan derma AS$ 681 juta (RM2.6 bilion) yang disalurkan ke akaun bank peribadi perdana menteri.

Najib menafikan salah laku dan peguam negara juga ‘membersihkannya’ tetapi SPRM merayu keputusan supaya tidak ada pertuduhan dikenakan dalam kes berkenaan.

SPRM, dalam satu kenyataan hari ini, berkata Panel Penilaian Operasi telah meminta supaya mengemukakan semula kertas siasatan SRC International kepada Peguam Negara.

Suruhanjaya itu berkata ia juga dinasihatkan mendapatkan kerjasama peguam negara untuk memohon Bantuan Guaman Bersama (MLA) bagi mendapatkan maklumat perbankan luar negara berhubung wang RM2.6 bilion.


Tiada ulasan: