DUNGUN: Seorang pelajar lelaki cedera di bahagian muka selepas ditumbuk
dan disepak beberapa pelajar lain dalam kejadian di sebuah sekolah
menengah, di Dungun Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 pagi, mangsa yang merupakan pelajar
tingkatan satu berada di dalam kelas dikatakan telah didatangi seorang
pelajar lain yang menyuruhnya keluar hingga ke tepi tangga tingkat tiga
sekolah tersebut.
Setelah sampai di lokasi berkenaan, sekumpulan pelajar lelaki telah
menunggu dan seorang daripada mereka telah mengheret dan menumbuk muka
pengadu sehingga mangsa terjatuh.
Suspek didakwa telah menyepak di bahagian muka mangsa yang berasal dari
Paka itu hingga mengalami pendarahan teruk di bibir dan menerima tujuh
jahitan di bibir, patah sebatang gigi, bengkak di bahagian muka selain
sakit di beberapa bahagian badan yang lain.
Selepas insiden berkenaan, mangsa telah berjumpa dengan seorang guru
dan menceritakan kejadian itu sebelum memaklumkan kepada guru disiplin
serta mendapat rawatan di klinik kesihatan berdekatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Katanya suspek telah ditangkap pada hari yang sama dan siasatan lanjut bagi mengetahui punca kejadian sedang dijalankan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan