KUALA LUMPUR: Pekebun durian menggesa undang-undang lebih ketat
terhadap perlombongan bauksit yang dikatakan memusnahkan tanah pertanian
dan mencemarkan air diperlukan untuk tanaman mereka mengeluarkan hasil
baik.
Pekebun di Pahang merancang untuk menghabiskan masa 2 minggu berarak
sejauh 250km ke Parlimen sebagai protes terhadap impak perlombongan
bauksit ke atas pengeluaran buah yang digelar “Raja buah” di Asia
Tenggara itu.
Sebahagian daripada Pahang bertukar sejak beberapa tahun lalu akibat
perlombongan bauksit berleluasa untuk memenuhi permintaan China terhadap
galian itu yang menjadi bahan utama pembuatan aluminium.
Rakyat merungut kerana perlombongan itu menyebabkan kemusnahan alam
sekitar, dan ia dikatakan punca pencemaran tanah serta menukarkan air
sungai di Kuantan menjadi merah.
Tekanan diberikan kepada kerajaan menyebabkan larangan aktiviti
perlombongan dijalankan selama 3 bulan pada awal Januari, tetapi, bagi
pekebun durian seperti Che Long Che Ali, beliau bimbang keadaan sama
berulang apabila arahan moratorium ditarik balik pada 15 April depan.
“Kita akan berarak untuk menyerahkan memorandum kepada Parlimen. Saya
lakukan ini untuk diri sendiri dan generasi masa depan bagi
mempertahankan alam sekitar kita,” katanya, menambah pekebun mahu
undang-undang lebih ketat dikenakan terhadap perlombongan bauksit atau
larangan kekal dikuatkuasakan.
“Pokok durian saya tidak berbuah tahun lepas. Sungai kami dan udara
yang kami hirup tercemar. Orang ramai jatuh sakit,” kata Che Long.
Perarakan itu dijangka bermula pertengahan bulan depan.
Pelombong bauksit enggan memberi komen terhadap isu itu.
Selepas Thailand, Malaysia adalah pengeluar kedua dunia untuk buah
durian, walaupun ia dilarang dibawa di kebanyakan hotel dan lapangan
terbang kerana baunya, tetapi ramai penggemarnya menganggap bau itu
sebahagian kelazatan ketika menikmatinya.
China ialah pasaran utama durian beku dan produk berkaitan buah itu.
Industri durian Malaysia tidak besar – angka kerajaan menunjukkan
penghantaran buah durian beku ke China pada 2014 hanya kira-kira AS$1.2
juta (RM5.06 juta) akan tetapi penanamannya jadi sumber kebanggaan
negara.
Koh Yen Boon, penjual durian di Kuantan berkata, jualannya jatuh 30%
tahun lalu kerana kekurangan pengeluaran, akibat kemusnahan alam sekitar
dan semakin banyak tanah diberikan kepada pelombong bauksit.
“Tidak banyak durian untuk dijual. Pokok yang tinggal dipenuhi debu merah dan coklat,” katanya.
Pekebun menyalahkan debu itu kerana mengganggu pendebungaan, sementara
aktivis alam sekitar berkata habitat burung, lebah dan kelawar –
pendebunga semula jadi bunga durian – musnah apabila tanah dibersihkan
bagi memberi laluan kepada perlombongan.
Persatuan Alam Sekitar Malaysia berkata tanah yang digunakan sebagai
perlombongan mungkin jadi tidak subur kerana pencemaran logam berat,
bermakna pemulihan pertanian akan mengambil masa lama dan mahal.
Perlombongan bauksit di Kuantan berkembang pesat sejak 2 tahun lalu
apabila China beralih kepada Malaysia sebagai sumber bahan itu selepas
Indonesia sebagai bekas pembekal utama mengharamkan eksport bahan
berkenaan.
Meskipun penduduk dan aktivis amal sekitar mendesak perlombongan di
Kuantan dihentikan sepenuhnya, pegawai industri perlombongan
menjangkakan aktiviti itu akan bersambung semula selepas larangan 3
bulan tamat.
“Kami menjangkakan perlombongan akan bermula semula, dan berharap
peraturan mencukupi digunakan untuk menyekat sebarang kesan terhadap
alam sekitar, terutama daripada perlombongan haram,” kata Presiden Kelab
Perlombongan Malaysia Keith Vaz.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan