Sabtu, 27 Februari 2016

Bahagian Pagoh dakwa Najib pecah belahkan pemimpin Umno Johor .

MALAYSIAKINI




Umno bahagian Pagoh kesal kerana naib presiden dari Johor telah dipalit untuk mengetuai penggantungan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden Umno.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah meninggalkan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam, memberi laluan kepada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussain, seorang pemimpin Johor, untuk mempengerusikan mesyuarat itu yang menggantung Muhyiddin.

"Ini menunjukkan presiden parti terus memecahbelahkan pemimpin pemimpin Umno johor dan menunjukkan beliau bersikap 'membaling batu sembunyi tangan'," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Umno pagoh, tegasnya, akan terus berdiri teguh bersama Muhyiddin dalam perjuangannya dalam menegakkan kebenaran.

"Biarlah apa pun berlaku, Umno Pagoh akan terus padu kerana kami sayang Umno johor yang lahir di Johor, malahan di Istana Johor dan suatu ketika dulu telah menyatupadukan orang Melayu Johor," katanya lagi.

Semalam, Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk menggantung Muhyiddin dari jawatan timbalan presiden.

Umno Bahagian Pagoh juga menolak keputusan MT menggantung Muhyiddin sebagai timbalan presiden parti itu.

Umno bahagian itu berkata keputusan tersebut tidak mengikut saluran berperingkat seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti itu.

"Umno Bahagian Pagoh yang bermesyuarat pada hari ini, 27 Febuari 2016 yang dipengerusiakan oleh Timbalan Ketua Umno Bahagian Pagoh memutuskan menolak keputusan MT menggantung Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.

Menurutnya, Muhyiddin menegur presiden adalah untuk memperkukuhkan parti, bukan untuk kepentingan peribadi.

"Beliau mengambil tanggungjawab mempertahankanparti dan imej negara," tambahnya.

Tiada ulasan: