Khamis, 25 Februari 2016

SIAPA YANG BUAT TUDUHAN TAK BERASAS, TIDAK TERBUKTI DAN SIAPA YANG MEMALUKAN NEGARA?

shahbudindotcom

 






Untuk kesekian kalinya, berkatalah lagi Pengarah Komunikasi Strategik BN, Abdul Rahman Dahlan bahawa tuduhan yang berulang, tidak berasas dan tidak terbukti oleh The Wall Street Journal atau WSJ adalah bertujuan merosakkan nama Malaysia dan pembangunan ekonominya.

Sama seperti banyak kenyataannya sebelum ini, beliau nampaknya tidak menggunapakai otak kiri dan kanannya sebelum berkata-kata. 

Sebagai pemimpin, bukankah wajar beliau menilai dengan jujur terlebih dahulu tentang siapakah sebenarnya yang membuat tuduhan tidak berasas dan tidak terbukti itu dan siapa pula yang merosakkan nama negara dan pembangunan ekonominya?

Adakah ianya WSJ atau Najib Razak?

Apakah tuduhan WSJ berkaitan wang sebanyak RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadi Najib Razak merupakan tuduhan yang tidak berasas dan tidak terbukti atau ia merupakan fakta melibatkan Perdana Menteri yang telah memalukan nama negara ke seluruh dunia?

Jika benar tuduhan WSJ sebagai tidak berasas dan tidak terbukti, bagaimana Panel Penilaian Operasi SPRM boleh mengatakan terdapat bukti kukuh untuk agensi penguatkuasa anti rasuah itu mendakwa Najib berkaitan skandal kewangan yang melibatkan akaun peribadinya?

Apakah Panel Penilaian Operasi yang dibarisi oleh tokoh-tokoh berwibawa itu hanya "temberang kosong"  saja apabila mahukan SPRM meneruskan siasatannya berkaitan wang tersebut serta mengemukakan rayuan kepada Peguam Negara agar membenarkan bantuan undang-undang bersama atau MLA digunakan untuk mendapatkan bukti dan dokumen daripada luar negara?




Selain pendedahan pertama WSJ terbukti benar, mengapa dakwaan kedua WSJ bahawa wang tersebut bukannya datang daripada keluarga Diraja Arab Saudi, tetapi daripada pelbagai akaun berkaitan 1MDB, masih tidak berani disanggah oleh Najib yang selalu berbangga dengan darah Bugisnya?

Bagaimana jika WSJ mendedahkan bukti-bukti sokongan yang dimilikinya tidak lama lagi?

Adakah sekali lagi Abdul Rahman mahu menyifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas, tidak terbukti dan mahu merosakkan nama negara juga?

Dalam hal ini, antara WSJ yang mendedahkan kebenaran dengan Najib yang secara konsisten boleh dianggap terlibat dalam skandal kewangan paling besar, siapakah yang telah memalukan nama negara dan merosakkan pembangunan ekonominya?

Mengapa takut menyaman WSJ jika benar-benar yakin tuduhan akhbar perniagaan itu tidak berasas dan tidak terbukti?

Kepada Rahman, rakyat tidaklah sebodoh yang mungkin beliau fikirkan untuk menilai yang mana benar dan salah berkaitan wang tersebut.

Sebagai menantu kepada tokoh terkenal iaitu Prof. Dr Awang Had Salleh serta beliau sendiri seorang yang berpendidikan, sebaiknya berhentilah mengeluarkan kenyataan yang semata-mata untuk mengipas Perdana Menteri, sedangkan rakyat makin mahu "termuntah" mendengar.


Tiada ulasan: