KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga emas di Alor Setar berkhemah di hadapan rumahnya sejak 21 Disember lalu gara-gara tidak berpuas hati dengan tindakan bank melelong rumahnya.
Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd Arif berkata, pihaknya sedang berusaha menyelesaikan masalah wanita berusia 60 tahun itu selepas menerima aduan tentang kes tersebut tiga hari lalu.
"Wanita itu berkhemah di hadapan rumahnya di Titi Gajah kerana enggan meninggalkan rumah yang ditinggalkan bekas suaminya.
"Dia yang kematian suami sejak tahun 1999 mendakwa diarah keluar rumah oleh individu yang membida itu pada Mei tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Rosland berkata, 4PM bagaimanapun meragui cara bank melelong rumah wanita tersebut kerana dia memaklumkan rumah berkenaan dibeli oleh bekas suaminya.
Katanya, pihak bank sepatutnya menyelesaikan tuntutan insurans rumah berkenaan berdasarkan syarat `Mortgage Reducing Term Assurance' memandangkan pembeli rumah itu sudah meninggal dunia.
Sehubungan itu, katanya, 4PM sedang menyiasat perkara berkenaan dan pihaknya akan mendapatkan keadilan untuk Salmah jika pihak bank didapati sengaja mengabaikan aspek insurans dalam kes tersebut.
Sementara itu, beliau menyelar sikap segelintir pembida rumah lelong yang bertindak menghalau penghuni asal sebelum tempoh 120 hari.
Kata beliau, pemilik asal perlu diberikan tempoh yang mencukupi untuk mengeluarkan barangan mereka dan mencari rumah lain.
"4PM terima beberapa aduan pemilik asal dihalau keluar oleh pembida hanya beberapa jam selepas rumah mereka dilelong. Ini sangat tidak berperikemanusiaan," katanya.
Orang ramai yang memerlukan bantuan 4PM diminta melayari laman web www.ppppmalaysia.weebly.com atau laman Facebook Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM).
No comments:
Post a Comment