Wednesday, December 23, 2015

SPR: Pendaftaran automatik sukar dilaksana di M'sia

MALAYSIAKINI


 


Sistem pendaftaran pengundi secara automatik sukar dilaksanakan di negara ini kerana ia akan memberi kesan besar kepada keseluruhan sistem pilihan raya di Malaysia, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau menjelaskan menurut Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan seseorang yang ingin menjadi pengundi perlu membuat permohonan sebagai pengundi baru dan ia jelas memberikan hak kepada warganegara untuk mendaftar atau tidak.

Sehubungan itu, sekiranya saranan untuk mewajibkan pendaftaran sebagai pengundi secara automatik hendak dibuat, maka pindaan kepada Perkara 119 perlu dilakukan terlebih dahulu bagi membolehkan pindaan kepada akta dan peraturan lain berkaitan pilihan raya dapat dilaksanakan, katanya.

"Harus diingat pindaan ini memerlukan sokongan undi dua pertiga di dalam Parlimen dan hanya boleh dicapai sekiranya semua pihak bersetuju.

"Selain itu, jika syor tersebut dilaksanakan ia akan menjejaskan proses semakan, tuntutan dan bantahan terhadap Daftar Pengundi Induk SPR," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menjelas lanjut, Abdul Aziz berkata sekiranya sistem pendaftaran pengundi secara automatik dilaksanakan, ia akan menimbulkan kesulitan kepada individu yang tidak menukar atau mengemaskini alamat dalam kad pengenalan jika berpindah ke tempat lain.

Katanya sistem pendaftaran pengundi yang diguna pakai oleh SPR adalah berdasarkan kepada alamat bermastautin sebagaimana tertera di dalam kad pengenalan dan disemak oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Pangkalan data JPN akan menunjukkan pengundi itu menetap di sesuatu alamat sedangkan sebenarnya sudah berpindah dan pengundi akan berdepan kesulitan pada hari pengundian apabila pusat mengundi jauh dari kediaman sebenar," katanya.

Pengerusi SPR itu menarik perhatian apabila berkata pendaftaran pengundi secara automatik akan menyebabkan peratusan keluar mengundi merosot kerana daftar pengundi baru meningkat secara mendadak tanpa disusuli dengan pengundian secara wajib.

"Sekiranya pendaftaran automatik ini dilaksakana adakah pengundi berdaftar itu secara automatik perlu diwajibkan untuk mengundi?

"Jika tidak disusuli dengan pengundian, maka peratusan keluar mengundi dijangka merosot kemungkinan sekitar 50 peratus dengan mengambil kira purata peratusan keluar mengundi beberapa pilihan raya kecil atau umum yang berlangsung sebelum ini," jelas Abdul Aziz.

Selain itu, cadangan tersebut juga dijangka menyebabkan pendaftaran baru secara skala besar seterusnya menjadikan isu pengundi hantu sentiasa berbangkit sehingga akhirnya SPR dijadikan mangsa tuduhan liar pihak yang tidak berpuas hati.

"Isu pendaftaran pengundi secara automatik ini tidak perlu dijadikan bahan politik perkauman oleh sesetangah pihak, dan SPR sentiasa mengkaji setiap perkembangan proses pilihan raya bagi penambahbaikan sistem pilihan raya di negara ini," katanya.

Abdul Aziz menegaskan SPR sentiasa telus dalam mendaftar bakal pengundi yang layak tanpa mengira kaum, bangsa dan agama atau mengambil kira kepentingan politik mana-mana pihak.

Katanya tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa SPR menyebelahi pihak-pihak tertentu adalah berniat serong dan bertujuan mempengaruhi persepsi buruk terhadap suruhanjaya itu selain menjejaskan kredibilitinya.- Bernama


No comments: