Tuesday, December 22, 2015

RUU MKN musuhi sistem demokrasi dan hak asasi melebihi militan IS

RUU-MKN-650x400

Oleh Fatih Hassan Nordin


KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) membayangkan sistem demokrasi dan aktivis hak asasi manusia sebagai musuh lebih besar berbanding militan Negara Islam (ISIS), kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Menyifatkan Malaysia bakal mengantikan Myanmar sebagai negara ‘penyangak’ di ASEAN, beliau berkata RUU itu jika dilaksanakan akan menghakis sistem demokrasi yang menjadi tunjang kepada negara.

“Apabila Kerajaan UMNO BN menganggap demokrasi dan ahli aktivis sebagai musuh seperti yang dibayangkan RUU itu, Malaysia bakal jadi seperti Myanmar,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Myanmar sekian lama diperintah junta tentera dan memiliki rekod terburuk dalam hak asasi apabila ramai warganya yang membangkang pemerintah diktator dihumban ke penjara atau disenyapkan.

Pelaksanaan RUU itu membenarkan kerajaan menjadi negara diktator kerana memberi kuasa yang luas kepada Perdana Menteri untuk melakukan tangkap dan seterusnya mencabuli hak asasi individu di negara ini.

Kit Siang turut mempersoal tindakan kerajaan yang tidak meminta nasihat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam membuat usul RUU itu walaupun suruhanjaya berkenaan diberi mandat memelihara hak asasi di negara ini.

“Kenapa tidak minta nasihat dari Suhakam dan tidak memaklumkan kepada Suhakam mengenai perancangan RUU itu?” kata sambil menambah tindakan itu seolah-olah memperolok-olok demokrasi, hak asasi manusia dan kedaulatan Perlembagaan.

Beliau turut mengkritik usaha kerajaan UMNO BN yang cuba menyakinkan rakyat kononnya RUU itu tidak memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk melakukan kezaliman dan pencabulan terhadap demokrasi negara.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak umpama ‘lidah bercabang’ kerana membuat kenyataan berlainan kepada rakyat tetapi nadanya bertukar apabila berucap kepada kepimpinan UMNO.

Ia berikutan, kata Kit Siang, kenyataan Ketua Wanita UMNO, Datuk Shahrizat Abdul Jalil pada Perhimpunan Wanita UMNO lalu menyifatkan RUU itu sebagai perlu bagi mengekang serangan pembangkang .

“Kata Shahrizat, MKN itu perlu bagi mengurus elemen anti-kerajaan yang mahu mengulingkan kerajaan, kononnya dengan berselindung di sebalik demokrasi, hak asasi manusia dan kebebasan,” katanya.


No comments: