Wednesday, December 23, 2015

MENGAPA KERJASAMA UMNO - PAS PERLU DITOLAK?

shahbudindotcom


Dua tiga hari kebelakangan ini saya banyak ditanya mengenai kerjasama UMNO dengan Pas dan mengapa tulisan di blog ini seperti menjurus kepada menentang atau menolak perkara tersebut.

Sementara ramai yang setuju bahawa kerjasama itu lebih bersifat politik dan banyak kesukarannya, beberapa rakan serta kenalan bertanya, tidak bolehkah ianya sama-sama disokong demi kepentingan Melayu dan Islam di negara ini?

Seorang pemimpin UMNO peringkat bahagian pula berkata kepada saya, kita sebagai orang Melayu dan Islam wajib menyokong usaha yang dipelopori Najib Razak itu kerana ia mampu meningkatkan maruah bangsa serta agama yang selama ini agak tercabar.

Ketika berada di sebuah lobi hotel sementara menunggu rakan, seseorang yang agak berusia dan mengaku pembaca blog saya menegur dan kemudian menyarankan agar saya turut menyumbang kepada jalinan kerjasama itu.

Katanya, lanskap politik negara akan berubah dan membawa banyak kebaikan jika kerjasama kedua-dua parti Melayu itu dapat dicantumkan.

Selalunya apabila dilontar pertanyaan dalam pertemuan secara spontan atau kebetulan itu, saya lebih banyak membiarkan saja mereka meluahkan pendapat tanpa terlalu ingin berhujah atau menegakkan pendirian saya.

Pertamanya, sebagai penulis kecil yang sekadar ingin berkongsi pandangan melalui blog ini, saya tidaklah terlalu menentang sebarang bentuk kerjasama yang boleh membawa kebaikan kepada negara.

Apa pun kebaikan kepada negara, sama ada secara langsung atau tidak langsung, akhirnya saya, keluarga dan anak-anak yang sedang membesar akan dapat juga percikan daripadanya, baik pada waktu ini mahu pun di masa akan datang.

Makanya, tidak berbaloi jika saya hanya semberono saja menentang sesuatu perkara itu.

Tetapi, dalam soal kerjasama ini, bukan saja  saya, malah ramai yang lain mungkin turut tidak bersetuju dengannya. Asasnya tidak lain ialah kerana ia semata-mata ditimbulkan atas niat, faktor dan pertimbangan politik yang seratus-peratus untuk menyelamatkan kedudukan Najib.

Kalau ada pun kepentingan agama dan bangsa, dalam pertimbangan Najib ia barangkali terletak di nombor 12 atau 13. Keutamaan nombor satu Najib tidak lain ialah untuk memastikan  kuasanya kekal lebih lama lagi.

Bukan saja Najib tidak mungkin menimbulkan idea kerjasama itu jika kedudukannya tengah kukuh, malah mustahil beliau mahu "mengenyit mata"  kepada Pas kiranya tidak dibelenggu dengan isu 1MDB dan derma RM2,600 juta melibatkan dirinya yang menyebabkan semua rakyat dan seluruh dunia mencebiknya.

Daripada kedua-dua isu itu, wang yang masuk ke akuan peribadi seorang pemimpin dan kemudian dikatakan sebagai derma adalah perkara yang tidak boleh diterima sama sekali oleh sesiapa pun jua. Bersetuju dengan kerjasama itu seolah-olah turut setuju dengan perbuatan dan cara menerima wang tersebut.

Najib barangkali beruntung kerana beliau menjadi pemimpin negara dunia ketiga di mana masih ramai rakyatnya yang tidak begitu terdedah dan boleh dilencongkan pemikirannya untuk menerima perkara itu sebagai suatu kewajaran atau menganggap seseorang pemimpin itu ada kelebihan untuk melakukan sesuatu yang di luar kenormalan.

Cuba perkara itu berlaku di negara maju di mana kesedaran mengenai wibawa, maruah dan intergriti seorang pemimpin begitu diambil berat?

Oleh kerana di sebalik mengaku menerima wang itu Najib masih juga disokong oleh UMNO untuk memimpin negara ini, bermakna menjadi tanggungjawab kita semua untuk menunjukkan penolakan terhadap apa juga kaedah untuk menyelamatkan dirinya, sekurang-kurangnya bagi membuktikan rakyat negara ini masih ada maruah, harga diri dan tahu menilai pemimpin yang baik.

Kedua, kerjasama kedua-dua parti itu mungkin boleh diterima kewajarannya jika Najib tidak terlibat dengan isu berat berkaitan wang derma itu atau sekiranya setelah beliau bukan lagi mengetuai UMNO dan menjadi Perdana Menteri.

Kerjasama dengan Pas hanya sesuai ketika UMNO dipimpin oleh orang lain selain Najib yang tidak terkait dengan isu wang seberat RM2,600 juta. Ia lebih mudah diterima ketika itu dan bukan di ketika Najib yang cukup cukup tercemar mengetuai UMNO.

Bolehkah kita bayangkan apa akan jadi kepada rakyat dan negara, malah bentuk kepimpinan serta perlakuannya selepas ini jika kerjasama itu menjadi kenyataan dan Najib terus kekal lagi sebagai Perdana Menteri?

Dalam konteks yang lain iaitu faktor ketiga, jika kerjasama itu berjaya dan Najib mampu mempertahankan kuasanya, ia juga akan menyebabkan Pas bakal dihukum oleh sejarah kerana bersubahat dengan pemimpin yang mengikut hukum akal dan kewarasan manusia normal, tidak boleh dipertahankan sama sekali.

Dalam hal ini, baik juga masih ada pemimpin utama Pas seperti Tuan Ibrahim Tuan Man dan Idris Ahmad yang berani bersuara dan sekaligus memperlihatkan nilai tidak mudah bersekongkol dengan keburukan serta sesuatu yang dibenci oleh majoriti rakyat.

Bukan saja rakyat, malah ahli Pas juga seharusnya terus bersama-sama dengan pendirian Tuan Ibrahim dan Idris itu demi maruah dan kecintaan kepada negara.

Daripada menjalin kerjasama dengan UMNO yang dipimpin oleh Najib dan kemudian tujuannya juga untuk terus mengekalkan beliau di persada Seri Perdana, jauh lebih baik bagi Pas bersama-sama dengan pakatan pembangkang untuk membawa perubahan menyeluruh yang akhirnya mendatangkan banyak manfaat kepada rakyat.

Lantaran itu, kepada yang bertanya mengenai kecenderungan tulisan dalam blog ini berkaitan kerjasama UMNO dan Pas, artikel kali ini barangkali dapat menjawabnya.


No comments: