Sunday, December 27, 2015

Menanti ‘kegelapan’ 2016



Oleh Amin Iskandar


Tinggal beberapa hari lagi 2015 akan berakhir. Terlalu banyak peristiwa besar berlaku dalam tahun ini yang tidak mungkin kita akan lupakan.Tambahan pula kerana ia memberikan kesan langsung kepada kehidupan kita.

Kedatangan tahun baru turut membawa “harapan” baharu kepada kita. Kita mengharapkan sesuatu yang lebih baik berlaku pada 2016, terutamanya kepada kehidupan kita.

Tetapi yang nyatanya, kedatangan tahun baru tidaklah begitu menggembirakan memandangkan kos kehidupan pada hari ini meningkat dengan mendadak akibat pengurangan subsidi bagi pelbagai barangan dan perkhidmatan berlaku secara serentak.

Jika tidak percaya, pergilah pasar dengan membawa RM100. Lihatlah apa yang dapat anda bawa pulang dengan jumlah wang sebanyak itu. Kemudian, bandingkan apa yang boleh dibeli dengan jumlah sama 3 bulan lalu.

Bagi yang berkeluarga dan mempunyai anak bersekolah tidak kurang hebatnya. Apatah lagi jika mempunyai lebih daripada seorang anak bersekolah.

Hari ini semua harga barangan keperluan sekolah meningkat. Harga baju sekolah, beg sekolah dan buku semuanya meningkat.

Bagi yang tinggal di kota besar seperti di Kuala Lumpur lebih malang lagi.

Harga pengangkutan awam turut meningkat. Untuk memandu kenderaan sendiri harga petrol tidak menentu, harga tol juga semakin mahal.

Belum dikira harga untuk parkir kenderaan. Selain mahal, di Kuala Lumpur ini, selalunya sekalipun anda mempunyai wang untuk membayar sewa parkir, belum tentu ruang mencukupi!

Jika kenderaan diletakkan di tempat yang salah, sekelip mata saja saman polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sampai.

Jika nasib anda malang, kenderaan anda akan ditarik penguatkuasa tempatan. Jadi apa pilihan yang kita ada?

Hidup makin perit

Mahu menggunakan basikal jalan raya kita tidak begitu “mesra” penunggang basikal. Nak berjalan kaki cuaca kita tidaklah dingin seperti di negara 4 musim.

Kesan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) semakin terasa. Apa saja perbelanjaan kita pada hari ini semuanya GST, GST, GST, walaupun sebelum Putrajaya melaksanakan cukai baharu itu pada April, bapak menteri berjanji banyak harga barang dan keperluan akan turun.

Kita dikejutkan baru-baru ini dengan laporan media tentang 16 sekeluarga yang terpaksa tidur bergilir di sebuah rumah flat satu bilik di tengah bandar Kuala Lumpur.

Dengan berbekalkan pendapatan hasil perniagaan tanpa lesen di Dataran Merdeka, keluarga Melayu-Islam ini meneruskan kehidupan di kota yang penuh pancaroba ini.

Pada hari sama media melaporkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) mengakui mempunyai “simulator golf” seperti didedahkan Pusat Pemantau dan Pendedahan Maklumat Nasional (NOW) tidak berapa lama dulu walaupun menafikan membelinya menggunakan hasil sumbangan orang ramai.

Tetapi tidak mengapalah. Sekurang-kurangnya mempunyai “harapan” 2016 memberikan kehidupan yang lebih baik sudah memadai.

Memandangkan “harapan” yang menyebabkan kita meneruskan kehidupan sehingga hari ini walau bagaimana susah sekalipun.

Tanpa “harapan”, kita mungkin sudah terjun bangunan atau meminum racun untuk membunuh diri.
Bukan mahu menjadi pesimis tetapi inilah realiti kehidupan yang perlu kita hadapi.

Selamat datang 2016. Walaupun 2016 datang dengan pelbagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, sekurang-kurangnya ia turut memberikan “harapan”.

Dan kerana “harapan” itu jugalah kita terus hidup dan menanti kedatangan 2016

No comments: