Friday, December 25, 2015

'Mayat itu adik saya'

SINAR HARIAN


Mayat mangsa lemas ditemui terdampar di pantai Marang
Ketua Polis Marang, DSP Mohd Suhaimi Ali (kiri sekali) turut berada di tempat kejadian. - Foto Sinar Harian


MARANG - Mayat yang ditemui di Pantai Rhu Muda dekat Kelulut sekitar  jam 12.00 tengah hari tadi disahkan sebagai Muhammad Wafiq Mohd Noor, 17, yang lemas di Pantai Rhu Sepuluh, Setiu, Isnin lalu.

Pengecaman mayat mangsa dibuat oleh kembar mangsa, Muhammad Wafiy, 17, berdasarkan pakaian yang dipakai Allahyarham.

"Sah memang adik saya. Syukur alhamdulillah, ALLAH  makbulkan doa kami sekeluarga yang tidak henti sejak kejadian," katanya ketika ditemui di pekarangan rumah mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ ) Kuala Terengganu, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mayat mangsa lemas ditemui di pantai Marang]

Katanya, walaupun ditemui dalam keadaan kaku, dia dan adik-beradik serta bapa, Mohd Noor Ismail, 58, dan ibunya, Zabedah Kamdan, 55, bersyukur mayat adiknya ditemui meskipun pada jarak lebih 70 kilometer dari tempat kejadian.

"Saya menerima berita penemuan mayat sebelum solat Jumaat dan bergegas ke hospital bersama keluarga selepas selesai solat Jumaat," katanya.

Menurutnya, dia dan keluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada anggota polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), penduduk kampung, nelayan dan mereka yang terbabit sama ada secara langsung atau tidak dalam usaha mencari adiknya.

Jenazah Muhammad Wafiq akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Bengkal, Parit Yaani, Batu Pahat, Johor sebaik tiba malam ini.


No comments: