Thursday, December 24, 2015

Exco: Ayam murah di Dungun ada sijil halal

MALAYSIAKINI


 


Ayam yang dijual dengan harga murah di sebuah pasar raya di Dungun sejak beberapa bulan lepas disahkan mempunyai sijil halal dan diimport dari China.

Ini disahkan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu yang membuat siasatan terhadap aduan pengguna yang meragui status dan tahap keselamatannya.

Berikutan itu, Exco Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi, dan Kepenggunaan Negeri Roslee Daud berkata perkara tersebut dianggap selesai dan terpulang kepada pengguna untuk membuat pilihan sama ada ingin membeli ayam berkenaan atau ayam tempatan dengan harga kawalan yang ditetapkan.

"Memang kita ada dapat aduan daripada pengguna yang ragu-ragu dengan status ayam dijual terlalu murah kerana risaukan mengenai status halal dan tahap keselamatannya apabila dimasak.

"Bayangkan harga runcit ayam diproses yang ditetapkan KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) pada RM7.30 dan harga borong RM6.60 sekilogram tetapi peniaga tertentu menjual ayam itu dengan harga RM4 hingga RM4.50 sekilogram.

"Dari segi peraturan, peniaga itu tiada apa-apa masalah kerana jika diimport dari China, mungkin harga yang diperoleh adalah murah. Namun pada masa sama kita akan tetap meneruskan pemantauan berhubung perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai aduan pengguna mengenai penjualan ayam terlalu murah di negeri ini yang dijual di beberapa tempat termasuk di sebuah pasar raya di Dungun.

Mengulas lanjut, Roslee berkata pihaknya juga memuji tindakan pantas pengguna yang memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk memastikan siasatan segera dijalankan, sekali gus merungkai keraguan pengguna berhubung perkara itu.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2015 di sebuah pasar raya besar di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah PPDNKK negeri, Azlan Abdul Samad.

Sempena sambutan Krismas pada tahun ini, KPDNKK menetapkan 12 jenis barangan di bawah kawalan harga yang ditetapkan. Antaranya daging kambing tempatan bertulang, daging kambing biri-biri import bertulang dan daging kambing biri-biri import tanpa tulang.

"Setiap barangan di bawah kawalan harga KPDNKK mempunyai tanda harga berwarna merah jambu dan skim kawalan harga itu bermula hari ini hingga 27 Disember ini," katanya.- Bernama


No comments: