Thursday, December 3, 2015

Dewan lulus usul persempadanan semula Sarawak

Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Usul Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak.
 
Dengan persempadanan semula ini, kerusi DUN di Sarawak bertambah daripada 71 kerusi kepada 82.
 
Pengundian dibuat melalui undi belah bahagi dengan keputusannya memihak kepada kerajaan.
 
Speaker membuat keputusan itu dengan 130 ahli dewan bersetuju manakala seramai 72 orang tidak bersetuju.
 
Sebelum itu, ucapan pergulungan dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukry.
 
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan usul mengenai laporan kajian persempadanan semula bahagian pilihan raya Sarawak hari ini. 
 
Laporan itu mencadangkan penambahan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) meliputi DUN Batu Kitang, Stakan, Serembu, Bukit Semuja, Gedong, Kabong, Tellian, Bukit Goram, Murum, Samalaju dan Mulu. 
 
Turut disyorkan adalah pindaan nama kerusi Parlimen Mambong digantikan kepada Puncak Borneo. 
 
"Satu perkara yang ingin ditegaskan di sini adalah pembahagian bilangan pemilih berdaftar sama rata bagi setiap bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri di dalam negeri Sarawak adalah sukar dilaksanakan kerana terdapatnya kawasan luar bandar yang keadaan topografinya dan demografinya yang sangat-sangat berbeza antara satu sama lain. 
 
"Ini secara tidak langsung mewujudkan kekangan dari segi lokasi terpencil, jarak antara lokasi di kawasan pedalaman yang amat jauh serta jalan-jalan perhubungan serta pengangkutan yang terhad," kata Najib.
 
Katanya, dengan pertambahan bahagian pilihan raya itu, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan tahap perkhidmatan wakil rakyat kepada penduduk tempatan di Sarawak khususnya penduduk yang berada dalam kawasan bahagian pilihan raya negeri itu.
 
 

No comments: