Thursday, December 24, 2015

Amanah boleh gugat Kerajaan Kelantan

Mohd Amar
Mohd Amar
 
 
KOTA BHARU - Pas tidak menolak keputusan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bertanding di negeri akan memberi kesan termasuk boleh menyebabkan Kerajaan Pas Kelantan tergugat.

Timbalan Menteri Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keputusan Amanah untuk bertanding di negeri ini akan memberi kelebihan kepada BN kerana akan memecahkan undi.

“Kalau nak bertanding Kelantan, Amanah kena jelaskan alasannya, sebab bila bertanding di sini, jelas dia ingin bantu Umno, kita tak boleh nak halang sebab negara demokrasi, bertandinglah, menang atau kalah kita serah pada ALLAH.

“Kemungkinan Kelantan jatuh ada, Malaysia jatuh pun ada, semua kemungkinan tu ada, jangan pelik,” katanya selepas Mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Mohd Amar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang tidak menolak kemungkinan wujud saingan tiga penjuru antara Amanah, Pas dan BN di Kelantan pada PRU14 nanti.

Mohamad Sabu berkata, perkembangan semasa mengenai sambutan masyarakat di Kelantan terhadap Amanah akan menjadi penentu kepada percaturan politik pakatan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, Amanah perlu melihat kembali kenyataan mereka sebelum ini yang tidak mahu menjatuhkan Kerajaan Kelantan.

“Kita tak sekat siapa pun yang ingin bertanding di Kelantan, tetapi Amanah kena ingat, mereka sudah keluarkan kenyataan tidak akan kacau Kelantan, itu janji yang dibuat sebelum ini.

“Malah Pengerusi Amanah negeri, Datuk Wan Rahim pun pernah mengatakan mereka tidak akan kacau Pas di Kelantan sebaliknya bersama- sama mempertahankan negeri ini dari Umno,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama antara parti itu dan Umno, Mohd Amar yang juga Naib Presiden berkata, Pas tidak mungkin digigit dua kali kerana pernah mempunyai pengalaman pahit ketika bersama BN suatu ketika dahulu.

“Tak ada keperluan untuk bergabung, kita pernah masuk BN dan ada pengalaman pahit, jadi tidak ada dalam fikiran untuk bersama, ‘memaafkan’ itu isu lain, bagaimanapun pendirian Pas dari dulu memang terbuka dan boleh bekerjasama dalam perkara yang  menyentuh kepentingan orang ramai” katanya.

No comments: