Friday, December 25, 2015

AKAR UMBI PAS TAK TERUJA KERJASAMA DENGAN UMNO



Jika sepuluh ahli akar umbi Pas ditanya mengenai kerjasama yang sedang diusahakan oleh sesetengah pihak antara parti itu dengan UMNO, barangkali agak sukar untuk mendapatkan lebih daripada seorang yang bersetuju dengannya.

Yang seorang itu pun, jika kelihatan seperti bersetuju bukanlah pula setuju dalam erti kata yang sebenarnya, persetujuan itu tetap tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi UMNO terlebih dahulu.

Kadang-kadang yang seorang yang nampaknya macam bersetuju itu pula hanya tersenyum penuh makna apabila diajukan pertanyaan. 

Majoritinya, sama ada sembilan daripada sepuluh atau semua sepuluh orang yang ditanya itu, terang-terang menolak dan tidak teruja dengan jalinan kerjasama dengan UMNO itu.

Sejak beberapa hari lepas, saya mengambil kesempatan membuat tinjauan secara rambang dengan menghubungi beberapa kenalan dan saudara mara yang diketahui sebagai penyokong dan ahli Pas mengenai kerjasama itu.

Di kampung saya di Perak, saya juga berjumpa dengan ramai kenalan dan ahli keluarga yang lebih dekat untuk bertanya tentang perkara yang sama.

Kesimpulannya, tidak terlekat langsung dalam hati mereka dengan kerjasama yang menjadi dambaan Najib Razak UMNO yang cuba diusahakannya dengan tiba-tiba mahu berbaik dan melobi Presiden Pas, Hadi Awang itu.

Yang agak terbuka, terang-terang menolak kerjasama itu berdasarkan ideologi politik dan sejarah masa lalu UMNO yang menyakitkan bagi mereka. Secara umumnya mereka tetap menganggap UMNO sebagai musuh yang perlu ditumbangkan sebagaimana yang berlaku Kelantan serta Selangor dan pernah berlaku di beberapa negeri sebelum ini.

Ramai juga yang mencebikkan muka apabila ditanya mengenai hasrat UMNO tentang kerjasama itu, malah ada juga yang sama sekali tidak percaya Hadi Awang akan membawa Pas ke arah tersebut. 

Kata mereka, Hadi Awang bukanlah pemimpin yang mudah terpedaya dengan janji manis atau apa saja yang cuba dilakukan oleh Najib terhadapnya kerana ketinggian ilmunya akan sentiasa memeliharanya.

Walaupun mereka mengikuti segala perkembangan yang diheboh-hebohkan, terutama melalui propaganda televisyen dan media kerajaan, hakikatnya  ahli akar umbi Pas tidak mengurangkan darjah permusuhan mereka dengan UMNO dengan perkembangan terbaru ini.

Secara tidak langsung, ini menunjukkan perang saraf yang cuba dilakukan Najib untuk membentuk persetujuan terhadap kerjasama itu boleh dikatakan gagal serta  tidak berkesan. Najib dan UMNO tetap dilihat tidak baik dan tidak boleh dipercayai di mata ahli-ahli Pas.

Mereka tetap menganggap Najib dan UMNO sebagai musuh yang perlu dijauhi dan dijatuhkan melalui pilihanraya. Ternampak bahawa yang ghairah dan seperti sedang asyik mahsyuk bercinta dengan UMNO hanyalah dua tiga kerat pemimpinnya di peringkat atasan saja.

Di peringkat bawahan dan akar umbi, selain tidak teruja, majoriti ahli Pas adalah bersama pendirian dengan Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man dan dua Naib Presidennya, Iskandar Samad serta Idris Ahmad yang terang-terang menolak dan meletakkan beberapa syarat jika kerjasama itu benar-benar mahu dijayakan.

Memaafkan perlakuan dan sejarah silam UMNO dalam beberapa aspek juga tidaklah mudah bagi mereka atau boleh dilupakan begitu saja.

Bagi ahli akar umbi Pas, menolak kerjasama itu bukan disebabkan tidak mahukan perpaduan atau menjauhi kebaikan, tetapi kerana nawaitu UMNO dan Najib mengenainya terlalu jelas hanya untuk menyelamatkan dirinya saja.

Mengalahkan atau membiarkan UMNO kalah,  bagi mereka, lebih banyak afdal dan kebaikannya lagi untuk negara ini


No comments: