Saturday, September 26, 2015

Wujud salah faham dalam tuduhan PSM - Khalid Samad

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamed Azhar

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad hari ini menjawab tuduhan Parti Sosialis Malaysia (PSM) berhubung pembohongan dalam penubuhan Pakatan Harapan.
 
Ujar Khalid, timbul salah faham dalam kenyataannya dan Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Ong Kian Ming berkenaan Artikel 153 Perlembagaan Malaysia yang dipersetujui bersama Pakatan Rakyat sebelum ini.
 
"Apabila ingin mengimbau kembali mengapa PSM telah tidak bersama PR, maka timbul dua versi yang berbeza. Ini mungkin atas sebab soalan itu telah tidak dijangka dan oleh itu tiada persiapan untuk menjawabnya.
 
"Versi pertama menyatakan bahawa ianya adalah atas sebab PSM tidak bersetuju dengan sebahagian dari ‘dasar bersama PR’, khususnya penerimaan artikel 153 Perlembagaan Persekutuan oleh PR. 
 
"Versi kedua pula ialah bahawa penerimaan mereka sebagai anggota PR telah dibantah oleh PAS pada ketika itu.
 
"Kedua-dua versi ini telah saya sebutkan pada pemberita berkenaan. Malangnya hanya satu versi dilaporkan dan ianya kononnya jawapan dari saya. Sedangkan, sepertimana yang telah saya jelaskan, saya hanya menyatakan jawapan yang diberi apabila soalan itu ditimbulkan semasa sidang meja bulat," katanya memetik sebahagian tulisannya di blog, hari ini.
 
Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S Arutchelvan menuduh kedua-dua pemimpin Amanah dan DAP itu sebagai berbohong dalam penubuhan Pakatan Harapan pada Selasa lalu.
 
Kononnya PSM tidak dijemput dalam rundingan meja bulat pembentukan gagasan pembangkang yang baru itu disebabkan parti berkenaan tidak bersetuju dengan Artikel 153 Perlembagaan Malaysia yang disepakati bersama pembangkang sebelum ini.
 
Khalid dalam pada itu menegaskan parti-parti yang dijemput dalam rundingan tersebut hanyalah mereka yang telah bersama dengan Pakatan Rakyat.
 
"Parti Amanah Negara, walaupun parti baharu yang bukan sebahagian dari PR sebelum ini, anggota dan pimpinannya merupakan pimpinan PAS pada ketika itu. Kami dikenali sebagai pendokong tegar konsep PR dan atas sebab itu kami telah berbalah dengan pimpinan PAS sediada. 
 
"Maka di atas dasar ini kami turut dijemput bersama. Hakikatnya kami telah sememangnya menjadi sebahagian dari PR sejak mula ianya ditubuhkan tetapi melalui wadah lain pada ketika itu," ulasnya lagi.
 
Untuk rekod Artikel 153 Perlembagaan Malaysia memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga kedudukan dan keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia, atau dikenali sebagai Bumiputera.
 
Pada Selasa lalu, PSM tidak dijemput dalam rundingan meja bulat pembentukan Pakatan Harapan yang kemudiannya menyaksikan PKR, DAP dan Amanah bergabung dalam gagasan pembangkang yang baru.
 
 

No comments: