Oleh Dr Mahathir Mohamad
1. Saya bekerja keras untuk menjadikan Najib Perdana Menteri Malaysia.
2. Tetapi sekarang saya mahu dia disingkirkan, meletak jawatan daripada menjadi perdana menteri.
3. Ia bukan hal peribadi.
4. Ia adalah kerana dia telah gagal teruk sebagai perdana menteri.
5. Daripada awal lagi saya perhatikan perkara-perkara salah yang dia lakukan.
6. Kita telah merdeka semenjak 1957. Kita sepatutnya dapat mentadbir
negara kita sendiri. Sesungguhnya kita telah pun berbuat demikian selama
beberapa dekad sebelum Datuk Seri Najib Razak, dan kita telah
melakukannya dengan cemerlang.
7. Tetapi Najib melantik beberapa pegawai British sebagai penasihatnya.
8. Najib melantik ramai perunding asing untuk menasihatinya bagaimana mentadbir negara.
9. Orang-orang ini melibatkan kos berbilion-bilion ringgit tetapi
nasihat mereka secara amnya tidak baik untuk negara ini. Mereka tidak
tahu apa-apa tentang politik, ekonomi dan sensitiviti Malaysia.
Akibatnya pembangunan Malaysia lembab dan bangsa-bangsa berada dalam
keadaan menentang satu sama lain.
10. Kerajaan di bawah
pimpinan Najib menjadi sangat tidak popular. Walaupun memberi banyak
wang kepada rakyat, mereka menolak beliau dalam Pilihan Raya 2013.
Prestasi beliau lebih buruk daripada Abdullah, yang juga ditolak oleh
rakyat. Orang Cina menolaknya sama sekali walaupun beliau
mengisytiharkan dirinya sebagai saudara mereka.
11. Dia
menimbulkan kemarahan kakitangan awam dengan menubuhkan Pemandu untuk
mengambil alih tugas EPU. Kakitangan Pemandu yang bukannya pegawai
kerajaan dibayar gaji yang tinggi, jauh lebih tinggi mengatasi Skim
Gaji Kerajaan. Begitu marah, sebilangan pejawat awam sebaik sahaja
bersara mereka menyertai parti pembangkang dan bertanding sebagai calon
pembangkang, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
12. Pertumbuhan ekonomi jatuh di bawah paras pertumbuhan ekonomi Filipina dan Indonesia.
13. Mata wang susut dan harga saham susut dengan teruk mengakibatkan
masalah untuk perniagaan, pengimport dan pengeksport. Kos sara hidup
meningkat terutama selepas GST.
14. Kemudian datangnya pula
skandal 1MDB. Suatu dana yang sama sekali tidak perlu diwujudkan yang
akan dibiayai oleh pinjaman yang besar. Kerajaan memberi RM1 juta
sebagai modal tetapi 1MDB (1Malaysia Development Berhad) meminjam RM42
bilion daripada pasaran. Ia membayar faedah yang tinggi sebanyak 5.9%
dan memberikan komisen 10% kepada Goldman Sachs. Kerajaan tidak pernah
meminjam begitu banyak atau membayar kadar yang begitu tinggi itu.
15. 1MDB membeli loji kuasa elektrik pada harga lebih tinggi daripada
harga pasaran. Ia juga membeli/mengambilalih hutang piutang
syarikat-syarikat janakuasa. Jumlah kos adalah RM18 bilion. 1MDB
kehilangan begitu banyak wang sehingga ia tidak boleh membayar faedah ke
atas pinjaman.
16. 1MDB membeli tanah Kerajaan pada RM60 kaki
persegi sedangkan harga sebenarnya adalah lebih daripada RM3,000 kaki
persegi. Dengan menilai semula tanah itu sebanyak 50 kali ganda, ia
mendakwa asetnya adalah lebih besar daripada hutangnya. Ini adalah
seperti menjual permit import yang didapati secara percuma daripada
Kerajaan.
17. Kemudian 1MDB menyertai perniagaan yang
mencurigakan dengan PetroSaudi sebagai rakan usaha sama. Ia membayar
AS$1 bilion bagi saham 40% miliknya itu. Enam bulan kemudian usaha sama
ini dibubarkan. Akan tetapi AS$1 bilion itu bersama dengan AS$700 juta
yang lain ditukar menjadi pinjaman kepada PetroSaudi. Wang ini kini
lesap.
18. Satu-satunya aset yang dipunyai oleh 1MDB sekarang
adalah loji kuasa dan tanah di Kuala Lumpur. Lebih daripada RM20 Bilion
daripada RM42 bilion itu tidak dapat dikesan atau dihitung.
19. Kemudian tiba-tiba The Wall Street Journal melaporkan Najib
mempunyai AS$700 juta dalam akaun peribadinya di Bank Arab Malaysian
(bersamaan RM2.6 bilion pada masa itu).
20. Tidak ada PM
Malaysia atau Presiden Umno yang boleh mempunyai wang sebanyak itu.
Semua sumbangan kepada Umno biasanya diterima dan dibankkan oleh
Bendahari Umno. Semua aset diletakkan di bawah nama tiga pemegang
amanah.
21. Tidak pernah dalam sejarah Umno terdapat lebih
daripada RM250 juta secara tunai. Semua aset lain adalah dalam bentuk
saham, tanah dan bangunan. Presiden adalah bertanggungjawab untuk
menyerahkan semua sumbangan kepada Bendahari untuk perbankan. Presiden
tidak pernah menyimpan wang Umno atau wang didermakan kepada Umno,
untuk pilihan raya misalnya, di dalam akaun peribadinya. Tiada
peruntukan untuk akaun Umno dikendalikan oleh Presiden.
22.
Najib dan isterinya terkenal dengan gaya hidup yang mewah. Jelas sekali
jutaan dibelanjakan untuk pertunangan dan pelbagai majlis perkahwinan
di Malaysia dan Kazakhstan. Anak tiri Najib membelanjakan ratusan juta
dolar membeli hartanah di London, New York dan California. Beliau juga
membiayai pembikinan filem Hollywood, “The Wolf of Wall Street” dengan
perbelanjaan melebihi AS$100 juta.
23. Dengan gaji Najib
sebagai perdana menteri, adalah mustahil baginya untuk membelanjakan
jutaan ringgit bagi semua ini. Ada satu kenyataan oleh PMO yang
mendakwa bahawa wang bagi harta-harta luar negara dan filem itu
diwarisi. Adalah mustahil bagi Tun Razak, atau Haji Noah atau bapa
Datin Seri Rosmah Mansor memiliki dan mewariskan ratusan juta ringgit.
Malah mereka tidak dikenali sebagai jutawan pun. Adik beradik Najib
menafikan dakwaan itu.
24. Jadi dari mana datangnya wang itu?
Najib mendakwa RM2.6 bilion itu didermakan kepadanya oleh seorang Arab.
Ini tidak masuk akal. Tiada siapa yang pernah memberikan wang sebanyak
itu kepada sesiapa. Dan Najib tidak dapat membuktikan bahawa orang
Arab itu memberinya wang.
25. Dan dengan itu sebuah pasukan
petugas khas yang terdiri daripada Peguam Negara, Pesuruhjaya
Pencegahan Rasuah, Gabenor Bank Negara dan Ketua Polis Negara
ditubuhkan untuk menyiasat punca RM2.6 bilion berada dalam akaun
peribadi Najib di Bank Arab-Malaysia.
26. Jawatankuasa
Kira-Kira Dewan Rakyat juga sedang menyiasat apa yang berlaku kepada
RM42 bilion yang dipinjam oleh 1MDB. Begitu juga Ketua Audit Negara.
27. Tiba-tiba Najib memecat Peguam Negara dengan mendakwa dia sakit.
Peguam Negara menafikan beliau sakit. Tidak ada sijil oleh doktor
membuktikan dia sakit. Najib tidak mempunyai hak untuk mendakwa bahawa
Peguam Negara sedang sakit.
28. Pada masa yang sama, ketua
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dikatakan pergi bercuti. Gabenor Bank
Negara membisu. Kemudian dia menyatakan dia takut ditangkap.
29. Dua daripada ahli-ahli Kerajaan PAC dilantik Timbalan Menteri dan
dua lagi diberi pekerjaan lain. Mereka tidak dapat meneruskan
kerja-kerja mereka sebagai ahli PAC. PAC adalah tanpa seorang Pengerusi
dan siasatan 1MDB berhenti.
30. Dua anggota Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah ditangkap, dibebaskan dan dipindahkan ke Pejabat
Perdana Menteri. Selepas komplen dibuat mereka dipindahkan semula ke
Suruhanjaya.
31. Penolong Ketua Cawangan Khas dipindahkan keluar. Beliau kemudian membuat kenyataan yang keras terhadap pemindahannya.
32. Orang yang bercakap mengenai 1MDB dan RM2.6 bilion dalam akaun
Najib, atau melaporkan mengenainya ditangkap, pasport mereka dirampas
dan diancam oleh polis dengan soal siasat. Ianya seolah-olah sebarang
soalan mengenai 1MDB dan Najib 2.6 bilion merupakan tindakan untuk
melemahkan demokrasi dan menjatuhkan Kerajaan yang dipilih dengan betul.
Orang boleh ditahan sehingga 28 hari tanpa perbicaraan di bawah
undang-undang baru yang bertujuan untuk mencegah tindakan keganasan.
Bercakap tentang 1MDB dan RM2.6 bilion kepunyaan Najib seolah-olah
merupakan tindakan keganasan. Najib lupa bahawa beliau sendiri terlibat
dalam penyingkiran pemimpin terdahulu yang juga dipilih secara
demokrasi.
33. Kemudian datangnya sesuatu yang menggemparkan.
Al Jazeera menayangkan kisah pembunuhan gadis Mongolia Altantuya.
Adalah jelas daripada kisah itu bahawa Najib mempunyai kaitan dengan
pembunuhan itu.
34. Ramai rakyat Malaysia tidak mahu
mempercayainya. Tetapi orang di seluruh dunia mempercayai cerita itu.
Ia menjadi satu skandal antarabangsa. Ia memalukan Malaysia. Di
mana-mana sahaja sesiapa pergi, ada yang bertanya, “Apa yang berlaku
kepada Malaysia”.
35. Di antara 1MDB, RM2.6 bilion dalam akaun
peribadi Najib dan pembunuhan Altantuya, nama baik Malaysia benar-benar
rosak. Tidak pernah sebelum ini, Malaysia menjadi begitu hina oleh
merdana menterinya sendiri. Tidak pernah orang memandang rendah negara
ini. Tidak pernah sebelum ini rakyat Malaysia begitu malu dengan negara
mereka.
36. Najib membayar orang untuk menunjuk perasaan di
jalan-jalan untuk menyokong beliau. Dengan sewenangnya beliau juga
mengharamkan usaha orang-orang tunjuk perasaan bagi memecatnya.
37. Untuk mata wang dan ekonomi pulih, Najib mesti berhenti menjadi
perdana menteri Malaysia. Rakyat Malaysia mesti menuntut penyingkiran
Najib. Ianya sesuatu yang amat demokratik untuk menuntut penyingkiran
beliau. Tindakan yang diambil beliau untuk menahan seseorang untuk
mengadakan perhimpunan untuk menuntut penyingkiran beliau adalah apa
yang tidak demokratik dan bercanggah dengan undang-undang negara ini.
38. Saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk menuntut Najib
membenarkan siasatan terhadapnya yang akan dijalankan oleh orang-orang
bebas yang tidak dilantik olehnya. Najib mesti membenarkan proses
undang-undang berjalan. Jika didapati bahawa dia melakukan kesalahan
dia perlu didesak untuk
meletakkan jawatan.
39. Hanya
dengan pengundurannya sebagai perdana menteri Malaysia barulah ekonomi
akan pulih, nilai ringgit akan meningkat, dan kos sara hidup akan
turun. Hanya selepas penyingkirannya rakyat Malaysia akan mampu berdiri
semula.
* Tun Dr Mahathir Mohamad ialah perdana menteri Malaysia sehingga 2003.
No comments:
Post a Comment