SHAH ALAM: Pakatan Harapan dijangka akan hilang pengundi Melayu
khususnya Melayu konservatif sekiranya PAS masih enggan menyertai
gabungan pembangkang baru itu.
Menurut penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Agus Yusof,
ada beberapa faktor yang pada padangan beliau akan memburukkan gabungan
berkenaan sekiranya tiada penglibatan PAS.
"Pakatan akan kehilangan sokongan pengundi Melayu konservatif. Parti
Amanah Negara (Amanah), parti baru yang ditubuhkan tetap boleh mendapat
sokongan pengundi Melayu progresif, tetapi tidak sebanyak sekiranya
Amanah kekal dalam PAS. Apatah lagi, jika PAS bekerjasama dengan UMNO,
maka Pakatan akan kehilangan sokongan pengundi Melayu yang banyak."
"Kedua, saya melihat Pakatan Harapan terlalu tergesa-gesa menubuhkan
gabungan baru dan ia terlalu eksklusif. Sepatutnya Pakatan Harapan lebih
berjiwa besar dengan merundingi terlebih dahulu kemasukan gabungan
parti-parti baru dari Sabah dan Sarawak serta juga tidak meninggalkan
PSM", katanya dalam Facebook rasmi beliau.
Malah usaha beberapa pihak untuk tidak menerima PAS dalam Pakatan
Harapan juga tidak meninggalkan kesan terhadap parti berkenaan yang
mempunyai pengundi setia, katanya.
"Bagi saya, untuk melenyapkan PAS dalam arus politik negara adalah
mustahil kerana PAS adalah parti yang mempunyai asas ideologi perjuangan
yang kukuh. PAS juga mempunyai cukup pengalaman dalam arus politik
negara sejak tahun 1951 lagi," ujar pensyarah kanan UKM itu.
Justeru, katanya tindakan PAS untuk bergerak sendiri harus ditimbal
balik oleh kepimpinan tertinggi parti itu kerana disifatkan
terburu-buru.
"Bolehkah PAS menang sebanyak kerusi yang dimenanginya dalam PRU lalu
tanpa Pakatan? Jawapan saya, susah untuk PAS mengekalkan kemenangannya
kerana komposisi pengundi negara memerlukan PAS juga mendapat sokongan
pengundi bukan Melayu—sesuatu yang sukar untuk PAS memperolehinya tanpa
Pakatan (Harapan)", ujar beliau.
PAS pada Selasa menegaskan tidak akan menyertai Pakatan Harapan yang
baru dilancarkan hari ini dan dalam masa sama tidak sesekali akan
bekerjasama dengan DAP.
Kenyataan itu dibuat Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.
Keputusan untuk tidak menyertai Pakatan Harapan dibuat menerusi
mesyuarat Dewan Harian PAS yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang.
PAS juga tidak memerlukan kerjasama dengan DAP memandangkan hubungan dengan parti itu sudah putus, kata Takiyuddin.
Pakatan Harapan ditubuhkan pada 22 September lalu hasil persidangan
meja bulat anjuran PKR yang dipengerusikan Presidennya Datuk Seri Wan
Azizah Wan Ismail.
Gabungan bru pembangkang itu disertai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) tanpa PAS.
No comments:
Post a Comment