KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan 5 Oktober depan bagi
mendengar keputusan mahkamah terhadap bantahan awal oleh Presiden PAS,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Speker Dewan Negara Tan Sri Pandikar
Amin Mulia.
Perbicaran kes saman ke atas Abdul Hadi ekoran tindakan PAS membawa
Rang Undang-undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah
1965 untuk membolehkan sebahagian Enakmen Kanun Jenayah Syariah II
dapat dilaksanakan di Kelantan.
Jun lalu, empat individu memfailkan permohonan untuk mencabar rang
undang-undang persendirian, bagi membuka laluan kepada pelaksanaan hudud
dibentangkan di parlimen.
Individu itu ialah Mansoor Saat, Azira Aziz, Hasbeemaputra Abu Bakar
dan Hazwany Jamaluddin, memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi
Kuala Lumpur itu yang berhujah bahawa langkah tersebut bercanggah dengan
Perlembagaan.
Mereka juga memohon injunksi bagi menghalang Dewan Rakyat membahaskan rang undang-undang tersebut.
Terdahulu, mahkamah mendengar bantahan peguam yang mewakil Abdul Hadi,
Datuk Sulaiman Abdullah yang berhujah mengenai saman yang dibuat
plaintif tidak mengikut prosedur.
"Jika bantahan itu diterima nanti, maka kes saman ini akan tertolak.
Jika bantahan ini tidak diterima, maka kes saman ini akan diteruskan,"
demikian lapor laman Facebook rasmi PAS.
Abdul Hadi pada Mac lalu mengemukakan notis bagi membawa rang
undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang
kuasa Jenayah) 1965.
Rang Undang-undang itu tidak dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat
sebelum ini kerana kesuntukan masa dan terdapat urusan-urusan kerajaan
lain perlu didahulukan.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang
Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) pada 19 Mac lepas.
No comments:
Post a Comment