KUALA LUMPUR,  Pemuda Barisan Nasional (BN) terpaksa memutuskan hubungan dengan Pemuda MCA Pasir Gudang sekiranya berkeras dengan keputusan mereka untuk memutuskan hubungan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata tindakan berkenaan akan dilakukan sekiranya mereka tidak menarik balik keputusan yang dibuat sebelum ini.

Menurut Khairy, pendirian MCA Pasir Gudang itu tidak wajar kerana sekalipun boleh ada pandangan yang berbeza, namun tidak boleh untuk putuskan hubungan dengan Pengerusi BN.

“Saya melihat tindakan mereka keterlaluan dan tidak matang dan Pemuda BN tidak ada kuasa disiplin ke atas parti komponen, sebab itu bukan dalam peraturan di peringkat hubungan antara parti.

“Namun demikian, sekiranya tetap berkeras dengan keputusan mereka, Pemuda BN terpaksa putus hubungan dengan Pemuda MCA Pasir Gudang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Proram 14th World Heart Day Walk-A-Mile Run 2015 di Taman Botani Perdana di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Yayasan Jantung Malaysia,Tun Ahmad Sarji dan Pengarah Urusan Nestlé Malaysia Berhad, Alois Hofbauer.

Sebelum ini, Pemuda MCA Bahagian Pasir Gudang telah mengumumkan untuk memutuskan hubungan dengan Najib.

Keputusan itu adalah berikutan sokongan yang dinyatakan Najib terhadap Himpunan Rakyat Bersatu yang diadakan pada 16 September lalu.