KUALA LUMPUR: PAS tetap mahu wakil rakyatnya yang menyertai Gerakan
Harapan Baru (GHB) meletakkan jawatan tersebut yang dimenangi mereka
atas tiket parti Islam itu secara bermaruah.
Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan, polemik yang
tercetus selepas kekalahan besar kumpulan progresif pada pemilihan Jun
lalu sewajarnya dinilai dari aspek ketaatan kepada parti.
"Ia ada dua keadaan, yang pertama sekiranya mereka rasmi menubuhkan
parti baru dan menyertai parti baru secara automatik mereka gugur
keahlian (dalam PAS)," katanya dalam temubual ekslusif bersama
Antarapos.
Justeru beliau menegaskan kesemua wakil rakyat PAS yang menyertai
seharusnya melepaskan jawatan berkenaan yang dimenangi atas tiket parti
itu yang turut mendapat kelulusan Majlis Syura Ulama untuk diletakkan
sebagai calon pada pilihan raya umum.
"Jadi apabila mereka gugur keahlian parti maka secara bermaruah,
sewajar dan selayaknya mereka kena meletakkan jawatan sebagai wakil
rakyat.
"Sebab mereka menang kerusi itu adalah atas tiket PAS dan mereka lulus
menjadi calon pun mewakili PAS yang dipersetujui oleh ahli jawatankuasa
kerja PAS dan diluluskan Majlis Syura Ulama," katanya.
Beliau mengulas mengenai kedudukan 12 wakil rakyat PAS yang menyertai
GHB berikutan gesaan sebelum ini agar mereka meletakkan jawatan
berkenaan kerana melanggar bai'ah dan mengkhianati parti.
Bagaimanapun beberapa wakil rakyat yang berkenaan membidas kembali
dengan mempersoalkan gesaan sedemikian kerana bagi mereka baiah adalah
kepada Pakatan Rakyat (Pakatan) dan bukan kepada PAS saja.
Bagaimanapun keahlian tujuh Ahli Parlimen dan lima Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) PAS tergugur secara automatik selepas mereka secara rasmi
diisytiharkan sebagai pimpinan Parti Amanah Negara, parti baru yang
ditubuhkan melalui GHB.
Mereka terdiri daripada Datuk Dr Mujahid Yusof (Parlimen Parit Buntar),
Dr Siti Mariah Mahmud ( Parlimen Kota Raja), Dr Mohd Hatta Ramli
(Parlimen Kuala Krai), Khalid Samad ( Parlimen Shah Alam), Mohamad
Hanipa Maidin (Parlimen Sepang), Raja Kamarul Bahrin (Kuala Terengganu)
dan Datuk Kamaruddin Jaafar (Tumpat).
Sementara lima ADUN berkenaan adalah Datuk Seri Dr Nizar Jamaluddin
(Changkat Jering), Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Datuk Phahrolrazi
Zawawi (Pengkalan Kundor), Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul
Baharudin (Morib).
Pimpinan dan ahli yang menyokong GHB bakal dihadapkan kepada Jawatankuasa Disiplin PAS
Tegas Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh, tiada alasan untuk
mereka terus memegang jawatan wakil rakyat kerana telah mengkhianati
bai'ah serta prinsip perjuangan parti itu.
"Jadi mereka bertanding atas tiket PAS dan apabila mereka menyertai
parti baru maka sudah wajarlah mereka kena meletakkan jawatan.
"Itu kalau masih ada sedikit maruah pada mereka," katanya.
Mengulas
lanjut, Nasrudin berkata sekiranya pemimpin serta anggota PAS
hanya menyokong GHB namun tidak keluar parti maka mereka akan
dihadapkan kepada Jawatankuasa Disiplin.
"Tapi kalau sekiranya mereka hanya menyokong dan tidak keluar daripada
PAS sikap mereka telah menumpahkan taat setia atau ketaatannya kepada
parti lain.
"Maka mereka ini akan dihadapkan kepada Jawatankuasa Disiplin parti
untuk parti fikirkan apakah tindakan paling wajar dikenakan ke atas
mereka sebab kedudukan mereka pada ketika itu sangat merugikan parti dan
meletakkan parti dalam keadaan lemah kalau tidak diambil tindakan,"
katanya.
Untuk rekod Pengerusi GHB Mohamad Sabu semalam mengumumkan Parti Amanah
Negara atau 'Amanah' digunakan sebagai nama rasmi wadah politik gerakan
berkenaan yang membariskan bekas pimpinan utama PAS.
Bekas timbalan presiden PAS itu berkata GHB telah mengambil alih dan
akan menjenamakan semula sebuah parti politik sedia ada iaitu Parti
Pekerja-pekerja Malaysia sebagai Amanah dan butirannya akan diserah
kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) secepat mungkin bagi mendapatkan
kelulusan.
No comments:
Post a Comment