JAKARTA, Tentera Laut Indonesia telah menahan seorang lelaki yang dipercayai dalang di sebalik rampasan kapal tangki Malaysia, MT Orkim Harmony.


Akhbar The Jakarta Post yang memetik seorang jurucakap tentera laut, Kol M. Zainudin sebagai berkata, pasukan IV Tindak Balas Cepat Armada Barat (WFQR) menahan seorang suspek warga Indonesia yang dikenali sebagai Albert Yohanes, di sebuah pangsapuri di Grogol Petamburan, Jakarta Barat, pada Khamis lalu.

“Albert Yohanes dipercayai menjadi dalang utama di sebalik drama rampasan kapal tangki Malaysia. Kejayaan pasukan itu adalah hasil usaha bersungguh-sungguh memburu sasaran utama dalam senarai orang dikehendaki dalam tempoh sebulan setengah,” katanya.

Suspek itu kini ditahan Polis Tentera Laut (Pomal) di Kelapa Gading, Jakarta Utara, untuk disoal siasat, sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada suspek itu akan didakwa di republik itu atau akan diekstradisi ke Malaysia.

MT Orkim Harmony yang membawa muatan 6,000 tan metrik petroleum RON95, dirampas pada 11 Jun lalu, ketika berada 30 batu nautika dari Tanjung Sedili, Johor.

Kapal tangki tersebut berjaya dikesan di Teluk Siam oleh sebuah kapal peninjau Tentera Udara Diraja Australia yang berpangkalan di Butterworth, pada 17 Jun lalu.

Semua lapan lanun terbabit telah ditahan Pasukan Pengawal Pantai Vietnam, berhampiran Phu Quoc, selepas melarikan diri dari kapal terbabit, pada 19 Jun lalu.

Petroleum dalam kapal terbabit dimiliki Petronas dan ia dikendalikan Orkim Ship Management.

Semasa kejadian, kapal itu membawa 22 kru, termasuk 16 rakyat Malaysia, Indonesia (lima) dan Myanmar (seorang).