Oleh Subky Latif
APAKAH ikrar bai’ah/sumpah calon PAS dalam pilihan raya sah atau tidak syaraknya mungkin suatu perkara khilaf pada ulama seperti yang diketahui sekalian penuntut Islam. Ulama-ulama mazhab sendiri khilaf dalam banyak perkara dan khilaf itu bukan suatu yang buruk justeru semuanya dilakukan kerana Allah untuk mendapat jawapan terbaik dalam hal-hal dipertikai tadi.
Adapun ikrar bai’ah bagi setiap calon PAS itu asalnya diterima baik oleh setiap ahli dan penyokong PAS termasuklah para calon itu. Antara isinya ialah calon berikrar akan dilaknat atas khianatnya calon dan sebagai wakil rakyat.
Saya yang banyak kali bertanding dan kalah terasa amat lega, kerana kekalahan itu membebaskan saya daripada ikrar semasa menerima tauliah pencalonan. Beban bai’ah itu bukan sekadar terpikul sesudah menang, bahkan terbeban semasa menjadi calon. Calon sendiri boleh khianat apabila sengaja merosakkan kertas pencalonan supaya pencalonannya ditolak atas apa jua sebab, atau calon menarik diri sesudah menjadi calon dan lain-lain.
Khilaf timbul apabila wakil rakyat bermasalah dengan partinya dan mengira ikrarnya tiada apa-apa obligasi dengan agamanya. Lalu ada mufti mengira bai’ah itu tidak sah. Tentulah menyeronokkan YB yang bermasalah dengan partinya.
Khilaf ini mungkin berpanjangan. Yang mengadakan bai’ah itu orang alim belaka dan yang mengira bai’ah itu tidak sah pun orang alim juga. Para ulama mazhab zaman dulu tidak berbalah apabila mereka khilaf dan tidak kata tidak betul kepada yang berbeza pendapat itu. Sebab itulah hingga sekarang ada yang qunut solat subuh dan ada yang tidak.
Adapun bai’ah bagi calon PAS telah ada lama. Zaman Dr. Burhanuddin dan Prof. Zulkifli Mohamad dulu sudah ada. Tujuannya ialah bagi mengikat calon dan wakil rakyat komited kepada amanah dan tidak mengkhianati parti. Mereka bukan calang-calang ulama. Ulama zaman Datuk Asri, zaman Yusof Rawa dan zaman Ustaz Fadzil Noor tidak pernah pertikai apa yang ulama sebelum mereka putuskan.
Haji Yusof dan Ustaz Fadzil sendiri melafazkan bai’ahnya. Ertinya mereka tidak kata apa-apa. Jika bai’ah itu sia-sia, mengapa mereka berbai’ah dan membenarkannya. Membuat kerja sia-sia itu bukan saja tidak berpahala tetapi tidak termasuk hal yang digalakkan oleh Islam.
Mungkin orang asing kira bai’ah itu tidak demokratik dan berfikiran terbuka, mahu mengongkong dan membelenggu manusia. Dr. Mahthir sebagai Perdana Menteri tiba-tiba kenakan aku janji kepada pegawai kerajaan. Tidakkah itu satu bentuk bai’ah juga? Bezanya PAS mengira bai’ah itu termasuk ajaran Islam dan ada pahala. Tidak dipastikan adakah Dr. mahathir mengira aku janji yang dikenakan itu berpahala juga.
Apapun wakil rakyat PAS pernah bersetuju berbai’ah. Tentulah mereka mengiranya tidak salah. Jika ia perbuatan yang salah, maka mengapa mereka rela berbai’ah? Patutnya mereka bantah. Biar tidak menjadi calon asal tidak subahat atas kerja salah.
Bahkan ada bai’ah memasukkan cerai talak tiga dengan isteri kiranya ia khianat. MB Kelantan mengesahkan bai’ah yang demikian. Jika tidak silap, Selangor pada zaman Pesuruhjaya Datuk Hasan Ali berbangkit perkara itu. PAS Pust pernah bertanya, mengapa ada bai’ah seperti itu? Ia satu teguran, bukan larangan.
Jika bai’ah itu dikira satu kezaliman dan mengongkong kebebasan manusia, maka saya kira elok jangan masuk PAS dan jangan jadi calon PAS.
Sama ada bai’ah itu baik atau tidak, calon yang dilihat berbai’ah wajar ada maruah. Sekadar janji mulut, bukan bai’ah, orang yang ada maruah mengelak daripada mungkin janji, maka apalah lagi bai’ah. Wajar berhati-hati supaya tidak melanggar bai’ah.
No comments:
Post a Comment