Tuesday, July 7, 2015

Umno Johor serah polis siasat kekecohan majlis DAP

SINAR HARIAN


Mohamed Khaled Nordin

Mohamed Khaled Nordin


JOHOR BAHRU - Badan Perhubungan Umno Johor menyerahkan kepada polis melakukan siasatan berhubung kekecohan pada majlis dihadiri beberapa pemimpin DAP di Taman Megah Ria, di sini, semalam.

"Kita serahkan kepada polis. Biarlah mereka siasat perkara yang betul atau tidak," kata Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Kejadian mungkin berlaku disebabkan terdapat ucapan provokasi atau sensitif yang dikeluarkan pemimpin parti pembangkang itu pada majlis tersebut, katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa di Pusat Pembangunan Usahawan (EDC) Johor di sini malam ini, apabila diminta mengulas mengenai kekecohan itu.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor berkata, kekecohan yang berlaku bukan diatur Umno, malah penganjur program itu juga sepatutnya menjangkakan insiden sedemikian boleh terjadi kerana telah dihebah di laman sosial yang pasti menarik ramai untuk datang.

Semalam, beberapa pemimpin DAP termasuk Anggota Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang yang menghadiri Program Forum Kedai Kopi DAP bersama masyarakat Sabah dan Sarawak di sebuah kedai makan di Taman Megah Ria, dihalau sekumpulan individu.   

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, kumpulan berkenaan yang didakwa penyokong Umno, mula menyerbu ke kedai tersebut ketika Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong membuat ucapan yang didakwa berbaur provokasi seolah-olah menghina Umno dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama

No comments: