SHAH ALAM: Kebarangkalian untuk PAS bergabung dengan PKR dan
Umno-Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan campuran di Selangor
tetap ada, kata penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed.
Senario itu kata Martadha, tidak mustahil akan berlaku berdasarkan
realiti politik semasa dan juga keangkuhan DAP kebelakangan ini yang
merasakan partinya lebih kuat berbanding 'rakan komponen', PAS dan PKR.
"PKR,PAS dan DAP masing-masing ada kerusi yang banyak juga dan perlu
mengadakan kerjasama dalam membentuk kerajaan (Selangor). Dan kalau kita
lihat senario di Selangor, PKR berupaya mampu membentuk kerajaan jika
bergabung dengan PAS dan Umno. Jadi saya rasa kemungkinan untuk terjadi
senario itu tetap ada.
"Dalam satu segi, matlamat utama dari konteks parti masing-masing tidak
begitu jauh beza antara PKR, Umno dan PAS. Manakala haluan dan hala
tuju DAP berbeza sama sekali dengan PAS dan Umno.
"Sebagai contoh kita ambil dari sudut pelaksanaan hudud. Umno tidak
kata menolak, dan PKR juga tidak menolak bulat-bulat. Pada mereka
pelaksanaan itu perlu dikaji semula mengikut kesesuaian waktu. Manakala
DAP memang menolak terus," katanya kepada Antarapos.
Menurut Martadha, walaupun senario penggabungan PAS-PKR-BN di Selangor
itu dilihat seperti 'bermimpi di siang hari', namun kemungkinan itu
tidak boleh ditolak selain menyifatkan politik penuh dengan kejutan.
Di Selangor, PAS dan DAP masing-masing memperoleh 15 kerusi, PKR
mempunyai 13 kerusi, manakala BN pula dengan 12 kerusi, dan 1 kerusi
disandang ADUN Bebas.
Berdasarkan kiraan, senario penggabungan PAS (15), PKR (13), BN (12) pasti meletakkan DAP di kerusi pembangkang.
"Di Selangor, masing-masing perlu bekerjasama untuk memastikan bahawa
kerajaan yang ada itu terus kekal, sebab itu PKR perlu lebih bersifat
diplomasi dalam melihat dab meneliti segala bentuk kerjasama.
"Kemungkinan untuk kerjasama itu sangat besar berdasarkan kestabilan
politik di negeri tersebut," kata pensyarah Universiti Utara Malaysia
itu.
Namun katanya, senario penggabungan itu agak sukar berlaku di Pulau
Pinang, walaupun bakal memenangi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan
campuran.
Martadha merujuk kepada bilangan kerusi yang dimiliki DAP yang berjumlah 19 daripada keseluruhan 40 kerusi.
"Keadaan majoriti mudah dalam mana-mana kerajaan agak bahaya. Ia boleh
memberikan pelbagai reaksi, tindakan dan tindak balas dan memungkinkan
bahawa kerajaan itu tak mampu kekal lama. Senario yang sama (kerajaan
campuran PAS, PKR, Umno) agar sukar berlaku di Pulau Pinang jika
dibandingkan dengan Selangor," katanya lagi.
DAP kini dilihat semakin angkuh apabila berani membuat kenyataan
mendahului Pakatan Rakyat (PR) berhubung kerjasama antara parti komponen
itu.
Terbaru Setiausaha Agungnya membuat kenyataan bahawa Pulau Pinang bukan lagi di bawah PR.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat exco negeri menentang usul
muktamar PAS memutuskan hubungan dengan DAP dan menerima hakikat bahawa
Pakatan tidak wujud lagi.
Sebelum itu beliau juga membuat kenyataan bahawa PR juga sudah berkubur
ekoran PAS mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan DAP.
No comments:
Post a Comment