KUANTANKementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengambil tindakan terhadap Taska yang menyebabkan kecederaan kanak-kanak asuhan mereka.


Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pihaknya juga pernah menyita Taska yang disabitkan dengan kesalahan tersebut.

Beliau meminta semua pihak agar bersabar dan menunggu sehingga polis selesai menyiasat kes seorang bayi perempuan berusia empat bulan Putri Wafa Saifudin yang koma setelah disyaki didera pengasuh di sebuah pusat jagaan di Alor Setar, Kedah.

“Kami sudah semak dan pegawai saya juga sudah turun ke Taska itu. Taska tersebut didapati berdaftar (dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan operasinya didapati mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita semasa menyampaikan sumbangan di Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajah Kalsom, Penor dekat sini.

Beliau berkata Taska itu masih beroperasi seperti biasa sehingga kementerian dapat memperincikan kejadian sebenar yang berlaku.

Sebelum itu, bayi berkenaan dilapor turut mengalami sawan dan tidak sedarkan diri.

Pihak Kesihatan Negeri Kedah dilapor sebagai berkata bayi tersebut berada pada tahap kritikal di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan mengalami pendarahan pada mata dan otak.

Rohani berkata kes penganiayaan kanak-kanak boleh dilapor ke Talian Kasih di talian 15999.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau berkata pusat jagaan yang menempatkan bayi malang itu telah beroperasi sejak tiga tahun lepas dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata berdasarkan pemeriksaan dan ujian dijalankan mendapati bayi itu mengalami pendarahan pada bahagian kedua-dua belah mata dan otak.

Beliau berkata bayi yang dalam keadaan koma itu masih berada di tahap kritikal dan di bawah jagaan rapi doktor pakar di wad rawatan rapi kanak-kanak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Dr Norhizan berkata hasil ujian makmal dan imbasan sinar X pada tulang dan keseluruhan badan tiada menunjukkan tanda-tanda kecederaan pada bayi itu.

“Bayi berkenaan menggunakan alat bantuan pernafasan. Bayi ini lahir normal tanpa sebarang penyakit. Tidak pernah ada rekod sawan. Perdarahan otak antara tanda-tandanya adalah sawan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, memandangkan bayi mengalamai perdarahan pada mata dan otak dengan tiada tanda kecederaan, pihak hospital telah berbincang dengan bapa bayi berkenaan Saifudin Seman, 26, yang bersetuju untuk membuat laporan polis.

Saifudin mendakwa bayi perempuannya itu mengalami pendarahan pada otak dan mata dipercayai didera atau kecuaian daripada pengasuh di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak.

Katanya, bayi itu dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani Rabu lepas oleh pemilik pusat jagaan itu selepas mengalami sawan dan tidak sedarkan diri.

Anggota tentera dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Sungai Petani berkata disebabkan berada dalam keadaan kritikal, bayi itu kemudian dirujuk ke HSB untuk mendapat rawatan lanjut pada hari kejadian.