shahbudindotcom
Susulan
ucapan Muhyiddin Yassin di mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Cheras
Ahad lalu yang menyentuh banyak perkara mengenai Perdana Menteri dan
1MDB, ia kini merebak pula kepada usaha menekan kedudukan Timbalan
Perdana Menteri itu.
Selain
sudah digelar pengkhianat kepada Najib dan didesak berundur daripada
jawatannya, beliau juga turut disekat daripada terus bercakap mengenai
1MDB dan unsur-unsur tidak baik tentang Perdana Menteri.
Laman
sosial, blog pro Najib dan petugas Jabatan Hal Ehwal Khas atau Jasa,
secara lantang dan terbuka menyerang dan melabelkan Timbalan Presiden
UMNO itu sebagai pengkhianat dan menyusahkan parti memenangi pilihanraya
akan datang.
Speaker
DUN Sabah, Salleh Tun Said Keruak pula secara terbuka meminta
Muhyiddin mencontohi apa yang pernah dilakukan oleh Musa Hitam dahulu
lantaran sikapnya yang dianggap tidak sebulu dan hilang kepercayaan
terhadap Perdana Menteri.
Tidak
mustahil langkah Salleh ini akan dituruti oleh beberapa pihak lain
sebagai strategi masing-masing untuk menonjolkan diri, menambat hati dan
memperolehi apa-apa yang dihajati daripada Perdana Menteri.
Dikhabarkan
juga UMNO Bahagian Raub, Pahang turut membatalkan jemputan yang sudah
dipersetujui kepada Muhyiddin untuk merasmikan mesyuarat perwakilan
bahagiannya.
Juga
tidak mustahil, keputusan UMNO Raub ini akan diikuti oleh
bahagian-bahagian lain, kononnya bagi mengelakkan kemungkinan keadaan
lebih keruh dalam parti. Alahai...
Dalam
masa yang sama, isu 1MDB seolah-olah sudah menjadi suatu ancaman kepada
negara dan sesiapa saja yang berbicara mengenainya akan dianggap
merbahaya.
Setelah
Sarawak Report disekat aksesnya dan The Edge digantung permitnya kerana
siri pendedahan mengenai syarikat pelaburan bermasalah itu, anggota
pentadbiran kerajaan, khususnya Muhyiddin seolah-olah turut "dibisukan"
daripada terus membangkitkannya kerana dianggap boleh menjejaskan
keadaan negara.
Dalam
kenyaaan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri lewat petang
semalam, ia meminta semua pihak agar menunggu dengan sabar siasatan
pasukan petugas khas terlebih dahulu.
Dengan
ini, gambarannya ialah sementara siasatan sedang dijalankan terhadap
1MDB, tiada kritikan boleh dikeluarkan terhadap Najib mahu pun syarikat
tersebut, kecuali jika ianya untuk memuji dan menyatakan sokongan saja
sepertimana yang hampir setiap hari dilakukan oleh Abdul Rahman Dahlan,
Shabery Cheek dan menteri-menteri yang lain.
Menyokong dan memuji Najib serta 1MDB adalah "halal", manakala mengkritik dan mengeji pula dianggap "haram" ketika ini.
Bertitik
tolak daripada semua perkembangan itu, Najib Razak juga dikatakan akan
mengadakan rombakan kabinetnya dalam sehari dua ini bagi memastikan
kedudukannya tidak lagi mudah diganggu-gugat, khususnya oleh Muhyiddin.
Selain
beberapa menteri dikhabarkan akan digugurkan, kedudukan Muhyiddin
adalah sasaran utama dalam rombakan ini. Menteri lain yang disebut-sebut
turut digugurkan ialah Shafie Apdal yang dianggap tidak lagi setia
kepada Najib sejak kebelakangan ini manakala Hasan Malek, Shahidan
Kassim dan beberapa yang lain akan diketepikan kerana prestasi dan lebih
menjadi cemuhan masyarakat.
Ada
yang mengatakan beliau akan dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri
dan digantikan dengan Ahmad Zahid Hamidi, manakala yang lain pula
percaya, tiada kementerian khusus atau hanya kementerian tidak penting
saja akan diberikan kepada Muhyiddin kali ini.
Najib
dikatakan perlu mengambil langkah segera menyekat kemaraan langkah
Muhyiddin, selain sudah cukup "berasa hati" dengan gelagat timbalannya
itu selama ini. Ada yang melaporkan, di majlis jamuan Hari Raya anjuran
CIMB malam tadi, kedua-duanya kelihatan tidak lagi mesra sepertimana
selalu.
Cuma,
adakah Najib benar-benar berani menyingkirkan atau mengurangkan kuasa
timbalannya itu sedangkan beliau sendiri sedang tersepit dengan
undang-undang yang sedang memburunya?
Adakah
Ahmad Zahid Hamidi pula benar-benar pilihan yang berwibawa untuk
mengambil alih tempat Muhyiddin dan mampu menciptakan keputusan lebih
baik dalam pilihanraya akan datang?
Yang
lebih sadis, bagaimana jika setelah rombakan kabinet dilakukan,
tiba-tiba pasukan petugas khas nanti mendapati pengaliran wang RM2.6
bilion ke dalam akaun Najib itu benar-benar wujud?
Siapa akan terlompat akhirnya?
No comments:
Post a Comment