Thursday, July 9, 2015

PPIM : Rakyat nak jimat macam mana lagi?

menabung syiling



SHAH  ALAM – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan kebanyakan rakyat di negara ini semakin tidak mempunyai peluang lagi untuk berjimat cermat susulan peningkatan kos hidup yang berlaku mutakhir ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Maamor Osman berkata, banyak perbelanjaan yang dikeluarkan setiap bulan adalah keperluan termasuk membayar balik pinjaman.

“Kebanyakan rakyat hampir-hampir tidak ada pilihan. Jika ada pun pilihan adalah berjimat cermat. Sudah tentu untuk berjimat cermat itu bukan sesuatu yang mudah kerana sekarang ini sebahagian besar perbelanjaan itu sudah menjadi keperluan yang tidak boleh dipotong-potong.

“Pembayaran balik pinjaman perumahan, pendidikan, kereta dan sebagainya. Sudah tidak boleh nak jimat lagi dah. Apa yang boleh kita jimat adalah ikat perut. Tapi berapa banyak yang kita boleh jimat dari situ?,” katanya kepada Sinar Online.

Menurutnya lagi, kepakaran rata-rata rakyat Malaysia juga terhad apabila sudah terikat dengan pekerjaan tetap sama ada dari sektor swasta mahupun kerajaan.

“Kita mungkin boleh mengambil peluang untuk meningkatkan pendapatan yang boleh dilakukan di luar waktu bekerja untuk menambah pendapatan. Misalnya perniagaan online, jual insurans, jualan langsung tapi bagi saya ini mungkin akan mengganggu tugas hakikinya.

“...kerana mereka mempunyai kepakaran yang terhad. Maksudnya, jika kerja swasta atau kerajaan, mereka sudah terikat dan tidak ada kemahiran lain yang membolehkan mereka meningkatkan pendapatan,” katanya.

Malah beliau juga menyentuh soal peluang perniagaan yang telah dirampas oleh warga asing yang merugikan negara ini.

“Beberapa industri sekarang ini diambil peluang oleh pendatang-pendatang asing yang sebenarnya orang kita boleh buat. Seperti perniagaan kedai makan, jual barang-barang keperluan dan sebagainya.

“Tapi sekarang ini kita lihat di mana-mana pun telah dikuasai bangsa asing. Orang Vietnam, Bangladesh pun sudah ada kedai makan sendiri. Hasil dapatan berniaga itu dihantar ke luar negara yang merugikan negara ini.,” katanya.

Tegasnya, kerajaan perlu tegas dalam menangani isu tersebut.

“Kerajaan sepatutnya meningkatkan peluang orang tempatan untuk mengambil alih perniagaan ini. Apa yang berlaku sekarang kita lihat kerajaan macam tutup mata. Mereka itu pendatang asing tapi ‘dibenarkan’ berniaga.

“Malah saya mendapat laporan bahawa ada yang membuka klinik dan doktor dari Myanmar membawa masuk ubat dari Myanmar untuk merawat warga mereka. Kalau lihat pasar malam, ia dikuasai warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh.

Kerajaan perlu serius memikirkan bagaimana menghalang ‘pencuri peluang’ dari kalangan bangsa asing ini,” katanya.


No comments: