KUALA LUMPUR, Pengusaha-pengusaha bas henti-henti meminta kerajaan mempercepatkan bayaran Dana Bantuan Sementara (ISF) yang kini sudah tertangguh selama enam hingga lapan bulan.


Pengerusi Konsortium Transnasional Berhad (KTB), Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh, berkata disebabkan kelewatan pembayaran dana itu menyebabkan pengusaha mengalami masalah aliran tunai yang kritikal bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat.

Menurutnya, pengusaha terutamanya yang menjalankan operasi di luar bandar – bas henti-henti merupakan pengangkutan awam utama – menghadapi kesukaran untuk meneruskan operasi mereka.

“Kerajaan perlu sedar bahawa pengusaha bas ini menjalankan perniagaan dan bas henti-henti hanya memberikan margin keuntungan yang cukup tipis.

“Dengan kos operasi, penyelenggaraan, insurans dan gaji pekerja yang semakin meningkat menyebabkan ada pengusaha yang tidak dapat meneruskan perkhidmatan mereka atau dalam erti kata lain gulung tikar.

“Jadi aliran tunai dalam perniagaan sangat penting dan melalui dana yang diperuntukkan kerajaan tersebut ia sedikit sebanyak memberikan pengusaha sedikit ruang untuk bernafas. Namun ia perlulah dibayar mengikut waktu yang dijanjikan,” katanya pada sidang media di Wisma Wahida KTB di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Pengusaha-pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA), Datuk Mohd Asfar Ali.

Tambah Nadzmi lagi, pengusaha bas telah menandatangani memorandum berkenaan masalah tersebut dan akan menyerahkannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada petang ini yang dijadual pada jam 2.30 petang ini di Pejabat Perdana Menteri.

“Diharapkan dengan penyerahan memorandum tersebut dapat menyelesaikan masalah kelewatan dan pembayaran dari Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dapat disalurkan kepada para pengusaha.

“Ia bagi membolehkan kami supaya dapat meneruskan perkhidmatan yang terbaik terutamanya kepada rakyat yang tinggal di luar bandar seperti di Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka,” ujarnya.

Sementara itu, Asfar berkata, SPAD ada memaklumkan bahawa Kementerian Kewangan telah meluluskan dana sebanyak RM19 juta pada 7 Julai lalu.

Namun, katanya, sudah 20 hari berlalu bayaran tersebut masih belum disalurkan kepada pengusaha bas yang sangat memerlukannya.

“Pengusaha bas henti-henti kini sangat tertekan dan terdapat ahli PMBOA di Sandakan, Sabah telah mengemukakan notis untuk mengurangkan operasi mereka.

“Sekiranya masalah ini berlarutan, pengusaha bas berkenaan tidak mempunyai jalan lain selain daripada menamatkan operasi perkhidmatannya yang mana ia akan memberikan kesan kepada pekerja dan juga pengguna,” tegasnya.

Untuk rekod, terdapat 150 pengusaha bas henti-henti yang merupakan ahli PMBOA yang melibatkan lebih 2,000 pemandu bas yang bekerja di bawahnya manakala KTB pula mempunyai 750 pemandu yang bernaung di bawah konsortium tersebut.