AHLI Pas diseru agar terus istiqamah dengan
kelangsungan perjuangan walaupun cabaran yang mendatang dalam menongkah
arus perjuangan semakin hebat.
Di saat 'sinar kemenangan' di hadapan mata , janganlah ada yang tidak
sabar dan bersifat gopoh hingga 'menebuk' bahtera kerana tidak yakin
dengan wadah parti Pas yang telah diperjuangkan selama 60 tahun lamanya.
Saya ingin melahirkan rasa sedih dan dukacita atas tindakan segelintir
pimpinan tertinggi parti sesi 2013-2015 yang kini menggerakkan usaha ke
arah penubuhan Harapan Baru meskipun, masih bergelar ahli Pas dan AJK
Pas di peringkat cawangan, kawasan, negeri atau pusat.
Ada sebahagian daripada mereka merupakan 'idola' saya dalam perjuangan
tetapi keputusan mereka berpindah ke wadah parti baharu dan meninggalkan
Pas tidak akan saya turuti.
Walaupun begitu, keputusan mereka saya hormati kerana itu hak masing -masing walaupun jauh di sudut hati, saya cukup kecewa.
Berundurlah secara terhormat dan meletakkan jawatan secara berprosedur
tanpa menunggu penajaan parti baharu diluluskan oleh ROS.
Bagi ahli Pas di Negeri Johor khususnya, saya ingin beri ingatan agar
jangan menjadi 'gunting dalam lipatan' dengan menarik ahli keluar parti
dengan menggunakan jawatan yang diamanahkan dalam muktamar, dalam pada
masa yang sama masih kekal sebagai ahli Pas.
Itu sikap hipokrit dan sikap tidak berintegriti dalam parti.
Adalah lebih baik, berundur secara baik secepat mungkin supaya segala
gerakerja Pas tidak direncatkan dengan sikap segelintir dari mereka yang
tidak bertanggungjawab.
Saya juga ingin melahirkan rasa kesal dengan sikap segelintir pemimpin
tertinggi negeri dalam parti yang menggunakan aplikasi WhatsApp AJK
Parti Pas, dengan menyebarkan maklumat tentang kewujudan parti baru
untuk mempengaruhi pemikiran dan pendirian YDP dan Ketua Muslimat
Kawasan, agar berpindah ke wadah parti baru.
Ada juga mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan sehingga menjejaskan matlamat whatsApp rasmi parti itu diwujudkan.
Kemungkinan juga suatu 'Muktamar Khas' bakal berlaku sekiranya
sebahagian besar AJK Dewan Muslimat Negeri Johor dan Dewan Pemuda Pas
Johor meletak jawatan beramai-ramai untuk berpindah ke parti baharu.
Seboleh-bolehnya kita tidak mahu situasi ini berlaku . Apa pun, kita akan bersedia atas segala kemungkinan.
Penulis ialah AJK Dewan Muslimat Pas
No comments:
Post a Comment