Semua Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang perlu memberi sokongan kepada Muhyiddin untuk ambil alih jawatan Perdana Menteri.
PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu segera mengambil alih kepemimpinan negara daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Gesaan itu dibuat oleh Datuk Husam Musa kerana mendakwa negara ini buat pertama kalinya benar-benar berada dalam keadaan sangat kritikal.
Katanya, tindakan drastik perlu diambil termasuk menukar tampuk pemerintahan negara dan individu paling layak adalah Muhyiddin selaku pemimpin nombor dua negara.
“Muhyiddin sewajibnya menemui Yang Dipertuan Agong bersama Peguam Negara untuk menyembah maklum keadaan yang ada dan seterusnya mencadangkan pelucutan jawatan Perdana Menteri.
“Ahli Parlimen seluruhnya perlu menunjukkan sikap patriotik mereka termasuk memberikan sokongan kepada TPM untuk mengambil alih negara dari Najib sekalipun mereka adalah dari parti-parti di luar kerajaan.
“Muhyiddin juga perlu menjamin suatu tindakan undang-undang diambil tanpa mengira kedudukan dan pangkat. Lebih banyak malapetaka akan berlaku jika tindakan segera tidak diambil,” katanya dalam kenyataan media.
Husam berkata, kenyataan berani dan terbuka Peguam Negara pada Sabtu lalu sebenarnya sudah cukup bagi seorang pemimpin yang bermaruah mengambil langkah mengundurkan diri.
“Segalanya telah tersimpul dalam kenyataan itu dan hingga petang ini, Isnin 6 Julai, empat hari selepas kenyataan itu, Najib gagal mengeluarkan sebarang penjelasan terhadap kenyataan Peguam Negara.
‘Ketika Peguam Negara membuat kenyataan telah melihat sendiri dokumen-dokumen berkaitan dan mengarahkan serbuan dibuat ke atas syarikat berkaitan, negara kita sepatutnya telah pun diambil alih oleh seorang Perdana Menteri yang baru atau paling kurang Pemangku,” katanya.
No comments:
Post a Comment