A Kadir Jasin
MUTAKHIR - Saman Wall Street Journal. Itu sahaja pilihan yang ada kepada Mohd Najib Abdul Razak. Kalau tidak apa yang dilaporkan oleh akhbar Amerika itu mengenai akaun beliau yang mengandungi hampir AS$700 juta, akan menjadi kenyataan. Kalau tidak betul Mohd Najib wajib mengemukakan saman terhadap WSJ.
Saya faham proses pengumpulan berita WSJ. Berita yang sesitif seperti tuduhan terhadap Mohd Najib tidak akan disiarkan tanpa disemak dan diluluskan oleh panel peguamnya. Jadi eloklah peguam Mohd Najib berdepan dengan peguam WSJ.
Tuduhan Tony Pua dan Rafizi Ramli adalah kecil dan kabur berbanding dakwaan WSJ. Kalau Mohd Najib dan isterinya telah mengemukakan saman terhadap Pua dan Rafizi, adalah wajar mereka melakukan hal yang sama terhadap WSJ.
ORIGINAL POSTING
SAYA tidak mengulas secara khusus skandal pembelian hartanah oleh Majlis AMANAH Rakyat (Mara) di Australia kerana bagi saya ia tidak sedikit pun memeranjatkan.
Lagi pun kes ini masih berjalan dan lebih banyak hal didedahkan. Yang terbaru Pengerusi Mara Incorporated, Mohammad Lan Allani dan Ketua
Pegawai Eksekutifnya, Abd Halim A. Rahim digantung jawatan dan firma audit PWC
dilantik bagi menyemak pembelian harta oleh Mara Inc.
Mohammad Lan digantung jawatan |
Selepas 1Malaysia Development
Berhad (1MDB) tidak ada apa lagi yang memeranjatkan, mustahil dan luar biasa.
1MDB mencetuskan piawaian dan tanda aras baru urus niaga dan urus tadbir
syarikat dan agensi berkaitan kerajaan.
Ini cerita bapa borek anak
rintik. Kata orang Johor, “engkau garuk belakang aku, aku garuk belakang
engkau” atau kata orang putih, birds of a feather flock together –
burung yang sama bulunya berkumpul bersama.
"Birds of a feather flock together" |
Bukan rahsia lagi. Banyak orang
tahu dan lagi banyak dengar apa yang berlaku ketika peralihan kuasa daripada
Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada penghujung tahun
2003.
Mereka tahu dan dengar mengenai
fail-fail segar Badan Pencegah Rasuah (SPR/ACA) – kini Suruhanjaya Pencegah
Rasuah Malaysia (PSRM/MACC) - yang diserahkan oleh Dr Mahathir kepada Abdullah.
Mereka tahu dan dengar bagaimana
kandungan fail-fail itu tidak diambil tindakan sebaliknya digunakan untuk
mengukuhkan kedudukan politik orang tertentu.
Beberapa watak dalam fail-fail
ACA itu bukan sahaja tidak didakwa malah diberi habuan lumayan dengan syarat
mereka menyokong pentadbiran baru.
Amalan “engkau garuk belakang
aku, aku garuk belakang engkau” berterusan ke zaman Mohd Najib Abdul Razak apabila
individu-individu yang dihukum dan disingkir oleh Umno pada era Abdullah kerana
politik wang kembali dimuliakan dan diberi kuasa luar biasa kerana mereka tahu
“what you did last summer”.
Poster "I know what you did last summer" |
Bila bapa borek, logiknya anak
rintik. Bila atuk borek, bapa rintik, cucu tentu tidak banya berbeza warna dan
coraknya.
Apabila berlaku persepsi dan
realiti bahawa orang di atas rasuah maka anak buah pun tidak teragak-agak untuk
rasuah juga. Apatah lagi apabila
berlaku persekongkolan ala birds of a feather flock together atau macam
dalam filem seniman agung P Ramlee Nujum Pak Belalang – “satu untuk engkau, satu untuk aku”.
Jangkitan moral itu menyebabkan
rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor awam merebak menjadi sistemik.
Apa yang salah, korup dan
seleweng di 1MDB, Felda, FGV, Tabung Haji, LTAT, Pembinaan PFI SRCI adalah
lebih dahsyat dan hanyir apabila berlaku di Mara.
Sesiapa yang celik sejarah tentu
sedar betapa keramatnya Mara. Lagi keramat apabila kerajaan pimpinan Umno
sendiri mengubah nama asalnya kepada Mara dengan kata kuncinya “amanah”.
Amanah yang dipegang atas nama rakyat Melayu dan Bumiputera.
Mara Dalam Kontrak Sosial
Mara adalah antara manifestasi
terawal kontrak sosial di antara peribumi dan pendatang. Apabila pada tahun
1950-an Inggeris mencuba memujuk Raja-Raja Melayu untuk memberi
“kewarganegaraan negeri” kepada pendatang Cina dan India, sebagai ganti British
menubuhkan Rida (Rural Industrial Development Authority) untuk memajukan
ekonomi dan pendidikan orang Melayu.
Rida/Mara banyak berjasa kepada
orang Melayu dan penduduk luar bandar. Ada rumah Rida, kilang Rida, bas Mara
dan yang paling unggul pembabitannya dalam bidang pendidikan.
Bas Mara tahun 1960-an |
Malangnya sejak dekad-dekad
kebelakangan ini Mara sudah menjadi seolah-olah pusaka keluarga atau “fiefdom”
elit politik yang diberi amanah mengurus dan mentadbirnya.
Dalam konteks pendedahan di
Australia dan UK sekarang, kita janganlah terlalu yakin bahawa yang bersalah
akan dihukum.
Selagi orang yang
bertanggungjawab tidak dihadapkan ke mahkamah dan didapati bersalah, kita
janganlah terlalu menaruh harapan. Kita sudah terlalu kerap mendengar guruh
berdentum tetapi hujan tak jadi.
Mengapa Diam Mengenai Siasatan
MAS?
Berkenaan 1MDB saya terfikir,
kalau penangkapan Xavier Andre Justo (XAJ) di Thailand menjadi modal besar
kepada kerajaan dan penyokong Perdana Menteri, mengapakah Bank Negara berdiam
diri mengenai hasil siasatan Pihak Berkuasa Mata Wang Singapura (MAS) ke atas
simpanan “unit” 1MDB di Singapura?
Mengapa rahsiakan laporan MAS? |
Kalau hasil penyiasatan itu
positif kepada 1MDB, mengapakah Bank Negara tidak menguar-uarkannya sebaliknya
berselindung di sebalik kerahsiaan (confidentiality)?
Kalau laporan MAS itu positif,
hebahkanlah saja demi membersihkan nama 1MDB dan membebaskan Bank Negara
sendiri daripada tuduhan cuai (oversight)!
Dan adakah Bank Negara dalam penyiasatannya
berani menyeluk pekasam seperti ini? - http://www.sarawakreport.org/2015/07/sensational-findings-prime-minister-najib-razaks-personal-accounts-linked-to-1mdb-money-trail-malaysia-exclusive/
Wallahuaklam.
No comments:
Post a Comment