SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) berasa kesal apabila karikatur
yang memaparkan pusat zakat di negara ini begitu lemah dalam pengagihan
zakat itu sedikit telah mencalarkan imej baik institusi Islam itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Hussin Mohd Ali berkata perkara itu
sebaliknya tidak berlaku khususnya di Selangor apabila golongan asnaf
itu bukan sahaja datang meminta bantuan zakat bahkan mereka terus
dijejaki petugas mereka.
“Setiap kali bulan Ramadan, akan kecoh di media sosial tentang peranan
zakat dan bagaimana wang zakat tidak diagih dan bagaimana karikatur
menunjukkan bangunan tinggi, kaunter hebat tetapi dari segi
pengagihannya amat menyedihkan sampai asnaf yang fakir itu tidak tahu
nak ke mana.
“Saya ingin beri jaminan bahawa kami amat berbeza di LZS. Kami
mempunyai lebih kurang 49 eksekutif zakat di seluruh Selangor, yang
dibahagi kepada sembilan daerah yang mengendalikan lebih 1,400 keluarga
ansaf fakir miskin yang melibatkan anak-anak mereka dari peringkat
sekolah tadika sampai ke pusat pengajian tinggi, semuanya kita beri
perhatian,” katanya pada majlis Iftar Media dan Blogger di Pusat Jagaan
Warga Emas, Baitul Mawaddah Zakat Selangor di Jalan Kebun, di sini,
semalam.
Dalam pada itu, Hussin juga berkata, anak-anak golongan asnaf ini bukan
sahaja dibantu dari segi kos pendidikan bahkan mereka yang cemerlang
turut diberikan sagu hati untuk menggalakkan mereka terus berjaya hingga
ke menara gading.
“Mana-mana anak asnaf yang berjaya di pusat pengajian tinggi, kita bagi
setiap seorang notebook untuk memudahkan urusan pembelajaran mereka di
pusat pengajian tinggi,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya lagi, dalam memastikan agihan zakat itu lebih
berkesan, pihak telah mewujudkan Kompleks Perlindungan Warga Emas Baitul
Mawaddah bukan sahaja sebagai tempat perlindungan bahkan menjadi pusat
pembangunan dan pengurusan warga emas dari asnaf fakir dan miskin di
Selangor.
“Seiring dengan keperluannya, LZS mengambil inisiatif mewujudkan sebuah
pusat jagaan yang lebih teratur, bersistematik dan mempunyai prasarana
yang lebih sempurna kepada kemudahan penghuni.
“Selain memberi keperluan harian, tempat tinggal dan juga pemantauan
kesihatan, pusat jagaan kelolaan LZS itu turut menitikberatkan
perkembangan sahsiah diri penghuni,” jelasnya.
Pada masa ini, Baitul Mawaddah mampu menampung penghuni seramai 52
orang, dan kini menempatkan seramai 31 penghuni iaitu seramai 15 lelaki
manakala 16 wanita berusia 60 tahun dan ke atas.
Antara aktiviti yang disediakan kepada asnaf ialah aktiviti keagamaan
dan pendidikan, latihan dan kursus, rekreasi, sukan, terapi dan
pemulihan, fisioterapi, khidmat sosial, serta kesihatan.
No comments:
Post a Comment