Sunday, July 5, 2015

Kerajaan alternatif, KEADILAN sambut baik pandangan Anak Muda.

KEADILAN DAILY

 

Nurul Izzah


KUALA LUMPUR : KEADILAN menyambut baik pandangan serta cadangan yang dilontarkan kumpulan Anak Muda yang diwakili oleh 146 aktivis untuk mewujudkan kerajaan alternatif yang lebih baik dan berkesan.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata, pandangan sedemikian mengambarkan bahawa golongan muda kini menuntut sebuah pentadbiran baharu yang mampu membentuk Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih adil, bersatu, makmur dan sejahtera.

Kata Izzah, ekoran kegagalan kerajaan pemerintah yang terpalit dengan pelbagai skandal serta penyelewengan kini menguatkan lagi iltizam bahawa golongan muda ini memerlukan sebuah perubahan secara menyeluruh yang mana perkara tersebut adalah tidak mustahil untuk dilaksanakan.

“Komentar Anak-anak muda Malaysia ini seolah-olah​ diiringi Semboyan yang Tegas mengungkap kata-kata Sutan Takdir Alisjahbana – berlatarbelakangkan kepelbagaian tetapi menaruh harapan yang satu; melihat Malaysia yang lebih adil, bersatu, makmur dan sejahtera.

“Tuntutan mereka meniupkan ​semboyan yang mengiringi keluhan rakyat terbanyak. Rakyat, yang kini semakin serba tidak keruan kesempitan ekonomi yang semakin keruh – akibat skandal demi skandal yang kini mendapat perhatian dalaman negara serta dunia,” katanya dalam kenyataan.

Jelas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, dakwaan-dakwaan membabitkan penyelewengan dana awam, skandal 1MDB, ketirisan tatakelola negara, tanggungan hutang-hutang negara, pelaksanaan cukai GST yang membebankan, lonjakan kadar inflasi yang perlu diatasi bagi menyelamatkan ekonomi negara.

Justeru, beliau mengharapkan tuntutan anak muda in perlu digalas sebaiknya dan disambut dengan pengharapan yang lebih baik bahawa perkara tersebut adalah tidak mustahil untuk dilaksanakan.

“Semboyan anak-anak muda ini saya sambut dengan penuh pengharapan serta keterbukaan. Mereka mewakili 7 juta pemilih baru dalam PRU yang bakal mendatang,” ujarnya.

Sebelum ini, sekumpulan 146 aktivis muda Malaysia telah mengemukakan tuntutan mengenai perlunya sebuah kerajaan yang alternatif, dengan menggariskan tiga asas utama iaitu membentuk gabungan baru demi rakyat, prinsip kerjasama yang lebih tegas dan gabungan yang benar-benar inklusif.

No comments: