Tuesday, July 28, 2015

Husam gesa MP bersatu lawan PM

MALAYSIAKINI


 


Bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa menggesa para MP untuk mengambil tindakan bersama untuk “menyelamatkan negara” sekiranya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan dari Kabinet.

Kenyataan Husam itu dipercayai bermaksud agar para MP bergabung suara untuk mengemukakan undi tidak percaya di Parlimen ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bekas MP itu membuat seruan tersebut ekoran kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam yang mengarahkan Muhyiddin menutup mulut dalam isu 1MDB.

“Arahan terbuka PM supaya semua pihak termasuk timbalannya sendiri mesti membisu sepanjang isu 1MDB membuktikan Datuk Seri Najib tidak lagi mengambil kira integriti diri dan kerajaan yang dipimpinnya.

“Demi 1MDB, Datuk Seri Najib sanggup melakukan apa sahaja tanpa memperdulikan lagi nasib negara dan maruah dirinya.

“Bermakna, jika beliau kekal sebagai PM, lebih banyak malapetaka terhadap rukun bernegara akan berlaku,” kata bekas MP Kubang Kerian itu dalam kenyataannya.

Susulan arahan Najib semalam, timbul spekulasi bahawa Muhyiddin akan digugurkan dari Kabinet.

“Andainya Tan Sri Muhyiddin dipecat dari kabinet, semua ahli Parlimen yang mempunyai kesedaran untuk menghentikan kerakusan kuasa dengan membelakangkan kepentingan negara hendaklah mengusahakan satu tindakan bersama mengikut amalan demokrasi sedia ada,” kata Husam.

Husam bagaimanapun menjelaskan bahawa seruannya itu bukan dibuat kerana Muhyiddin tokoh terbaik untuk memimpin negara.

“Muhyidin bukan tokoh terbaik tetapi membiarkan 1MDB merosakkan lagi negara ini adalah lebih memudaratkan.

“Saya mengulangi seruan saya supaya MP ada kesedaran patriotik mengambil satu inisiatif bersama,” katanya.


1 comment:

Master Jaguh said...

lagi cerita panas ... Jom Terjah !! >>> CLICK HERE !!<<<