shahbudindotcom
Seboleh
mungkin, Perdana Menteri Najib Razak tentunya ingin bertahan lebih lama
di kedudukannya sekarang. Apatah lagi setelah berjaya memujuk MT UMNO
menyetujui penangguhan pemilihan UMNO 2016 selama 18 bulan,
keghairahannya untuk kekal itu sekurang-kurangnya sehingga pilihanraya
ke 14 akan datang.
Kecuali
jika kecundang dalam PRU 14 atau keputusan lebih buruk berbanding
pilihanraya 2013 yang mungkin menyebabkan wujudnya penolakan dalaman
terhadapnya, Najib seboleh mungkin juga mahu mengekalkan lagi jawatannya
dalam pemilihan UMNO akan datang ini.
Cabaran
paling getir Najib ialah PRU 14. Jika melepasi rintangan itu,
penggalnya tidak mustahil bersambung lebih lama lagi, kalau pun tidak
mampu memecahkan rekod 22 tahun yang kini disandang oleh Tun Mahathir
Mohamad.
Tetapi
dakwaan Wall Street Journal atau WSJ mengenai kemasukan wang 1MDB
berjumlah hampir AS$700 juta ke akaun peribadinya seakan-akan menjadikan
impian itu tidak mungkin kesampaian.
Walaupun
Najib sudah menafikan dakwaan itu dengan mengatakan tidak mungkin
beliau mahu menyamun menggunakan akaun peribadi dan mengancam untuk
mengambil tindakan undang-undang, WSJ sebaliknya mempertahankan laporan
yang dibuatnya dengan mengatakan ia ditulis berdasarkan maklumat yang
boleh dipercayai dan ditapis dengan teliti.
Apatah
lagi berdasarkan reputasi tinggi WSJ dengan usia menjangkau 125 tahun,
edaran 2.5 juta sehari, memenangi banyak anugerah kewartawanan
berprestij dan menjadi rujukan kumpulan berpengaruh di seluruh dunia,
mereka bukanlah akhbar yang sewenang-wenangnya mengutip maklumat tepi
jalan untuk rujukannya.
Ketegasan WSJ mempertahankan laporannya mengenai dakwaan itu menggambarkan mereka juga sedia bersemuka di mahkamah.
Najib
pula, di sebalik pada awalnya mengancam keras untuk mengambil tindakan
undang-undang, akhirnya menangguhkan keputusan itu untuk beberapa hari
lagi bagi mendapat nasihat lebih lanjut daripada para peguamnya.
Kenapa
ditangguhkan saman jika sudah yakin laporan WSJ itu palsu dan fitnah?
Apa lagi nasihat peguam yang diperlukan sebelum saman dikemukakan?
Ini nyata menimbulkan kesangsian dan persoalan seolah-olah ada sesuatu yang tidak beres dalam usaha menyanggah laporan WSJ itu.
Lebih
memburukkan masa depan Najib ialah jika tindakan saman kepada WSJ itu
tidak jadi dikemukakan sedangkan ia sudah dihebohkan sebelumnya.
Ia secara automatik akan membentuk persepsi dakwaan WSJ itu seratus-peratus benar, manakala Najib berada di pihak yang salah.
Menambahkan
lagi kesangsian ramai juga ialah kerana Najib sehingga ini masih belum
mengesah atau menafikan sama ada beliau mempunyai akaun peribadi di
Ambank atau tidak sebagaimana yang didakwa itu?
Begitu juga, adakah nombor-nombor akaun bank yang didedahkan itu adakah benar miliknya atau tidak?
Sejujurnya,
persoalan mengenai akaun bank ini hanyalah semudah umpama menjawab
soalan peperiksaan secara objektik yang memerlukan jawapan "ya" atau
"tidak" saja. Tetapi setelah beberapa hari berlalu, Najib nampaknya
masih memikir-mikir jawapan yang betul dan jujur mengenainya.
Lantaran itu, kesangsian orangramai bukan saja memuncak, malah kian menghakis kepercayaan umum terhadapnya.
Jika
dalam pilihanraya umum lalu, sokongan yang diterima BN ialah 47 peratus
undi popular dan beberapa bulan kemudian melalui kajian Merdeka Center,
ia menurun kepada 44 peratus, persoalannya berapakah peratusan itu
sejak timbulnya dakwaan WSJ ini?
Apakah
masih 44 peratus? Sudah menurun kepada 40 peratus? Mungkinkah turun
lagi menjadi 30 peratus? Atau ia sebenarnya lebih rendah daripada itu?
Semakin
berkurangnya sokongan dan kepercayaan rakyat, bermakna makin pendek
hayat seseorang pemimpin itu. Waima diktator paling gagah sekali pun,
akan tumbang atau ditolak akhirnya jika sokongan makin tiada dan rakyat
kian menolak.
Najib
tidak dinafikan sedang mengalami fasa merbahaya dalam kariernya
sekarang ini. Walaupun dikatakan mempunyai sokongan kukuh di kalangan
pimpinan UMNO, tetapi dakwaan WSJ ini nyata tersangat serius yang
berkaitan dengan perlakuan berunsur jenayah melibatkan seorang pemimpin.
Menafikan
dakwaan WSJ tidak memadai sekadar dengan penafian kosong atau
mengemukakan saman semata-mata tetapi mestilah disertakan bukti-bukti
kukuh mengenai semua dakwaan itu.
Sementara
ingin bertahan lama lama sebagai Perdana Menteri, tekanan memaksanya
berundur juga makin kuat hari demi hari. Selepas ini, mungkin lebih
banyak dan lebih berat tekanan yang diterimanya lagi.
Bertahan
sehingga tarikh pilihanraya saja mungkin membuatkan Najib
tercungap-cungap, kalau pun tidak patah kaki atau mengalami kederaan
parah dari segi reputasinya.
Pihak
berkuasa pula, jika terbukti benar sebagaimana yang dilapor oleh WSJ
itu, sewajibnya bertindak berdasarkan kedaulatan undang-undang tanpa
mengira ia Perdana Menteri atau rakyat biasa.
No comments:
Post a Comment