AZIZI SUNIP
Menteri Pertahanan, Datuk
Seri Hishammuddin Tun Hussein ditemui pada sidang media selepas
menghadiri rakaman takbir raya di Masjid Khalid Al-Walid dan diikuti
majlis berbuka puasa bersama warga Kementerian Pertahanan. - Foto
TRP/Arif Karton
KUALA LUMPUR- Jawatankuasa khas siasatan mengenai
penyelewengan dana 1MDB yang didakwa oleh Wall Street Journal (WSJ)
adalah individu yang layak.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata mereka dianggotai oleh individu yang berul-betul berwibawa.
“Peguam Negara, Gabenor Bank Negara,
Ketua Polis Negara dan Ketua Pengarah SPRM yang dilantik, kalau tidak
siapa lagi kalau tidak mereka ini untuk mencari kebenaran,” katanya pada
sidang media selepas menghadiri rakaman takbir raya di Masjid Khalid
Al-Walid dan diikuti majlis berbuka puasa bersama warga Kementerian
Pertahanan.
Hishammuddin menjelaskan tidak ada sesiapa boleh meletakkan dirinya melebihi undang-undang negara.
“Biarlah undang-undang dan siasatan
menjalankan prosesnya. Jangan kita pula membuat spekulasi untuk
memecah-belahkan perpaduan sesama kita di bulan Ramadan dan menuduh
orang yang tidak bersalah,” katanya.
Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO
turut mengulas mengenai tuduhan WSJ dan beranggapan ia adalah tuduhan
tidak berasas tanpa bukti kukuh.
“Kita serahkan kepada jawatankuasa untuk
menyiasat, saya ingatkan kepada orang ramai jangan kita terlalu mengikut
emosi, kita mempunyai saluran dan badan-badan tertentu yang untuk
tampil ke hadapan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai dalang di sebalik
isu ini, Hishammuddin menjawab menjadi lumrah sebagai ahli politik
untuk menghadapi dugaan seperti ini.
“Sememangnya macam-macam serangan
kepimpinan terhadap kerajaan secara bertalu-talu, ini sudah menajdi adat
resam dan juga asam garam kita nak berdepan dengan dunia tanpa sempadan
di mana maklumat datang dan keluar tanpa sekatan,” katanya.
Jelasnya, tindakan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak untuk membawa perkara ini ke mahkamah adalah yang
terbaik dan perkara ini telah dibangkitkan ke dalam mesyuarat Kabinet
hari ini.
Jumaat lalu, The Wall Street Journal
menyiarkan laporan yang mendakwa sejumlah hampir US$700 juta (RM2.6
bilion) dana milik 1MDB disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana
Menteri.
Pada hari yang sama, Pejabat Perdana
Menteri menafikan laporan WSJ itu dan menyifatkan ia sebagai sabotaj
politik untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang dipilih secara
demokratik.
1MDB pula juga menegaskan bahawa ia tidak pernah menyalurkan dana kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sehubungan itu, banyak pihak menggesa
Perdana Menteri mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ bagi
membersihkan nama beliau dan imej negara kerana dakwaan itu melibatkan
soal maruah kepimpinan negara di mata dunia.
Najib berkata beliau akan membuat
keputusan dalam masa beberapa hari mengenai bentuk tindakan yang akan
diambil berhubung tuduhan itu.
Katanya, perkara tersebut telah dirujuk
kepada barisan peguam beliau untuk mendapatkan nasihat dan bentuk
tindakan susulan dari segi perundangan dan sebagainya yang boleh diambil
di dalam dan luar negara.
No comments:
Post a Comment