MALAYSIAKINI
Tidak ada seorang pun pemimpin tertinggi dalam PAS berpendirian mahu
membawa parti itu keluar dari Pakatan Rakyat, tegas Datuk Mustafa Ali.
Malah Setiausaha Agung PAS itu berkata setakat ini beliau tidak
mendengar sebarang usul yang mahu parti berkenaan dibawa keluar daripada
Pakatan.
Bahkan katanya, beliau juga difahamkan dalam ucapan dasar Presiden PAS
Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam muktamar nanti, isu berkenaan juga
tidak terkandung.
"Memandangkan tahun ini tahun pertandingan, ada pemilihan, biasalah
dalam zaman media sosial ini, ia dimanfaatkan dan menjadikan pemilihan
hangat sedikit. Saya akui.
"Tapi
tiada ada seorang pun pemimpin tertinggi ada pendirian nak keluar
daripada Pakatan Rakyat. Dan tidak ada kumpulan pro-Pakatan atau
kumpulan anti-Pakatan," katanya.
Menurut Mustafa, walau blok mana pun yang menang dalam pemilihan PAS kali ini parti itu tidak akan keluar daripada Pakatan.
'Perang' dalaman PAS semakin panas ketika tarikh muktamar dan pemilihan semakin hampir.
Di satu pihak, wujud kumpulan yang digelar proulama yang dekat dengan
Abdul Hadi, manakala di sisi lain ialah kumpulan moderat yang mahu kerjasama dengan Pakatan dipererat.
Namun di sebalik keadaan itu Abdul Hadi dan penyokongnya semakin kerap
membuat kenyataan yang menimbulkan keresahan di kalangan parti lain
dalam Pakatan, serta rakyat.
Antara kenyataan Abdul Hadi ialah membenarkan umat Islam memarahi DAP yang didakwanya menentang hudud.
Mustafa berkata, cakap-cakap mengenai PAS akan keluar daripada Pakatan hanyalah spekulasi.
Muktamar Dewan Pemuda PAS akan bermula di Dewan Jubli Perak, bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam esok.
"Ada yang kata masa depan Pakatan bergantung kepada muktamar PAS kali
ini. Itu tak betul," kata Mustafa dalam sidang medianya hari ini.
No comments:
Post a Comment